Sunday, April 12, 2015

Minuman yang mengandungi probiotik boleh menyebabkan kanser?

9 April lalu, seorang rakan telah berkongsi di dalam group whatsapp kami (wanita kental) dengan coretan berikut:


" Ibu2 tlg la jgn bg ank2 minum vitagen, solivite n segala jnis yogurt. Info dr seorg ibu yg kehilangan anaknya akibat kanser. Bakteria idup tu mengaktifkan sel kanser. Dr yg rawat aruah anak dia bgtau. Minuman tu sume ada bakteria hidup yg boleh mgaktifkn sel kanser. Doc yg bgtau siap merayu supaya kami jgn bg ank2 minum.. Tp pesakit kanser xboleh makan or minum bakteria hidup. - copy dr ibu yg kematian anaknya akibat kanser darah. Masa doc pakar ambik sampel air sum2 arwah, mmg byk bakteria drpd vitagen, yakult dan sebagainya yg hidup dlm sel darah dia."

Coretan ini telah menimbulkan kegemparan, kegusaran dan persoalan..betul ke? Rata-rata mengatakan minuman ini kegemaran anak masing-masing. Stok vitagen memang sentiasa ada dalam peti ais di rumah katanya. Maklumla group ni group wanita-wanita dalam ofis saya. Baru je diorang buat lawatan ke kilang vitagen. Takde pulak dapat apa-apa info semasa lawatan tu.

Tak nak biarkan kegusaran ini berpanjangan, saya selaku detektif konon sedara detektif conan memulakan siasatan lanjut dengan memanjangkan coretan ini kepada group sebelah. Group geng2 rakan sebaya masa sekolah dulu sebab ada doktor dalam group tu. Mohon pencerahan. 

Kawan saya yang doktor ni jawab,
" Macam bohong je. Cancer tiada penyebab utama. Cancer cuma ada risk factor. Nak kata kaitan vitagen penyebab cancer itu satu penipuan, Nak kata vitagen itu risk factor kepada cancer tu - belum ada kajian." katanya.

Ada juga rakan group yang turut berkongsi komen dari seorang doktor lain bernama Dr. Hairin Anisa sebagaimana berikut:


" Maaf, info ini salah. Bakteria yang baik tidak mengaktifkan sel kanser...tapi dalam kes mereka yg sudah ada kanser, sel kanser & rawatan chemotherapy tersebut yang akan mengurangkan daya tahan tubuh pesakit, maka apa2 yg mengandungi bakteria hidup (baik@jahat), makanan mentah @ separuh masak memang kita tak benarkan pesakit kanser mengambilnya. Untuk mengelakkan kanser lebih baik makan ikut sunnah Rasulullah saw, pastikan anak menyusu badan, kurangkan makanan & minuman dari tin (aluminium), kurangkan pengambilan makanan ada MSG (seperti potato crisps), melayu kata jajan. Saya rasa ibu tersebut tersalah faham apa yg doktor maksudkan."

Ehm.. lega sikit mendengarnya. Tak cukup lagi info dari 2 doktor ni, saya kongsikan lagi pandangan seorang doktor lagi, Dr Zubaidi Hj Ahmad (drzubaidi.com)

" Saya berpendapat ia adalah satu dakwaan tidak munasabah kerana tidak diberikan bukti. Lebih elok dakwaan seperti ini disertakan dengan nama doktor dan hospital mana dia berkerja agar penjelasan yang lebih baik dapat dierolehi dari doktor tersebut.
Ada beberapa kemusykilan dakwaan ini. Nama doktor yang dikatakan mengucap dakwaan ini tidak diberitahu. Mungkin ada salah faham antara pembawa berita dan doktor. Mungkin doktor mengatakan minuman itu tidak sesuai untuk beberapa pesakit.
Kuman probiotik yang digunakan dalam minuman tersebut telah disahkan selamat bagi individu yang sihat termasuk wanita yang hamil dan menyusukan anak.
Namun minuman seperti ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah kerana kerana kuman probiotik adalah kuman bakteria yang hidup, dikhuatiri akan berkembang dengan cepat pada individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah. Ini termasuk:
  • Pesakit HIV / AIDS
  • Orang yang baru menerima dermaan organ dan mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan organ yang dipindahkan.
  • Pesakit diabetes
  • Pesakit kanser dan pesakit yang sedang menerima rawatan untuk kanser seperti kemoterapi dan radioterapi
  • Pesakit yang mengalami penyakit ginjal dan pesakit yang manjalani rawatan dialysis
  • Pesakit yang mengalami penyakit autoimmune seperti SLE
  • Pesakit yang mendapat rawatan steroid
  • Pesakit yang telah menjalani pembedahan usus.
Saya bimbang apa yang dikatakan doktor ialah pesakit kanser tidak boleh meminum minuman itu dan bukannya minuman itu menyebabkan kanser."
Hari ini, dalam akhbar Metro Ahad juga ada dipaparkan artikel bertajuk "Mengarut! Minuman probiotik mengandungi bakteria hidup tidak mengaktifkan sel kanser seperti didakwa."


"Tidak benar, tiada kaitan minuman probiotik dengan kanser." Kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.
Kesimpulannya, kalau kita dalam kategori sihat dan tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Dr Zubaidi, tiada masalah untuk kita meminum minuman yang mengandungi probiotik ini.


Realiti kehidupan : Jangan mudah percaya tanpa usul periksa.

Saturday, April 4, 2015

Kanak-kanak 6 tahun maut gara-gara bermain di eskalator

Terkedu. Terkejut. Tergamam. Ini reaksi saya bila terbaca kiriman whatsapp ahli group berhubung berita menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun maut apabila terjatuh dari ketinggian 5 tingkat ketika bermain-main dengan handrail eskalator. Kanak-kanak malang ini tertarik ke handrail yang sedang bergerak sehingga beliau terjatuh ke ruang kosong di celahan eskalator dari tingkat 2 sehingga ke aras basement B2. Innalillahi wainna ilaihiroji'un..

Tersentuh hati saya melihat gambar-gambar yang disebarkan. Kanak-kanak perempuan ini berlumuran darah. Tak sanggup nak tengok. Beliau memakai seluar frozen. Seluar sama macam Rania. Umurnya pun sebaya Rania. Terbayangkan..mesti beliau telah didaftarkan untuk bersekolah darjah 1 tahun depan. Tapi dah tertulis, ajal dah menjemput tanpa sempat beliau memulakan persekolahan. Moga ahli keluarga adik ini diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.

Mula terbayang di ruang mata, perihal Rayyan, Rania dan Razin yang gemar sangat nak bermain dengan eskalator. Encik asben marah sangat kalau diorang ni dok main-main dekat eskalator. Seriously, saya sebelum ni tak kisah sangat sebab saya tak pernah terbayangkan impak sebegini boleh terjadi. Baru saya sedar betapa ini bukanlah kes pertama yang melibatkan kanak-kanak maut akibat eskalator. Rupa-rupanyanya telah acapkali berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di luar negara juga.

Peringatan buat saya dan semua ibu bapa di luar sana. Eskalator memang satu kemudahan. Walau bagaimanapun, sedikit kecuaian dan kealpaan mampu mendatangkan kemalangan. Awasi anak-anak kita yang sangat seronok bermain dengan benda-benda yang menarik perhatian mereka ini.

Berikut adalah petikan berita dari www.hmetro.com.my berhubung cerita ini:
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh daripada tingkat dua di kompleks beli belah Kenanga Wholesale City, di sini, kira-kira jam 3 petang tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. "Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit di bawa oleh ibu bapanya ke kompleks beli belah itu sebelum jatuh dari tingkat dua hingga ke aras bawah tempat meletak kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi. Difahamkan kanak-kanak malang berkenaan terlebih dulu bermain di kawasan sekitar eskalator sebelum terjatuh dari ketinggian lima tingkat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Tips keselamatan ketika menggunakan eskalator
  • Pastikan tali kasut tidak longgar dan kasut yang dipakai bersesuaian ketika menaiki eskalator;
  • Sentiasa memegang tangan anak-anak di eskalator dan tidak membenarkan anak-anak untuk duduk atau bermain di muka tangga eskalator;
  • Sentiasa memandang ke hadapan, berdiri di tengah muka tangga iaitu dalam kawasan tangga eskalator di mana sempadannya diwarnakan kuning dan berpegang pada handrail;
  • Elakkan berdiri di tepi muka tangga bagi mengelakkan kaki tersepit;
  • Ketahui di mana butang kecemasan shutoff yang berwarna merah jika anda perlu untuk menghentikan eskalator;
  • Elakkan daripada meletak beg tangan atau bungkusan di atas handrail;
  • Jangan bersandar di tepi handrail.
Sumber: http://www.dosh.gov.my 

Realiti kehidupan : Sifat semula jadi anak-anak adalah bermain dan berseronok tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya. Ibu bapalah yang perlu memainkan peranan untuk mengawasi anak-anak ini.