Sunday, November 22, 2015

Sepi

Sepi blog ini
Bila tuan dia tak peduli
Bila sibuk melanda diri
Bila masa tak pandai bahagi
Akhirnya masa berlalu pergi

Ok jumpa lagi..
Next entry..
Saje nak lepas rindu di hati..
Dan nak beritahu tuan tanah ada lagi..


Tuan tanah letih...banyak benda nak buat

Realiti kehidupan : 

Masa akan pantas berlalu tanpa perlu menunggu samada kita bersedia atau tidak untuk ditinggalkan olehnya.

Sunday, May 24, 2015

Kapsul Jiwa : Ubati Sakit Dengan Sedekah

Assalamualaikum dan salam bahagia..

Agak lama saya senyap tanpa sebarang bicara di blog ni. Hari ni saya ingin kongsikan artikel yang saya taip semula daripada sebuah majalah kecil molek, Mastika keluaran April 2015. Judul asal artikel ni bertajuk "Kerana seekor kucing...". Moga penulis asal artikel ini mendapat ganjaran daripada apa yang beliau telah sampaikan. Saya hanya memanjangkan penulisannya melalui medium berlainan. Moga ada manfaat yang dapat kita ambil daripada artikel ini.



Para sahabat pernah mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan?" Lalu Rasulullah menjawab, "Ya, (berbuat baik) kepada semua makhluk bernyawa akan mendapat pahala." (Hadis riwayat al-Bukhari).


Setelah lama berkahwin, doa seorang lelaki agar dia dan isterinya mendapat cahaya mata dimakbulkan. Lahirnya seorang putera adalah perkara paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Walaupun tidak berharta, hari-hari yang dilalui dipenuhi kebahagiaan. Mereka tatang putera itu dengan penuh kasih sayang. Tidak putus-putus lelaki itu bersyukur kepada Allah s.w.t atas kehadiran permata hati mereka.

Akan tetapi, kegembiraan mereka mula diuji. Anak yang baru berusia setahun itu tiba-tiba jatuh sakit. Pelbagai ikhtiar cuba dilakukan. Bermacam-macam jenis perubatan mereka cuba. Sayangnya, keadaan anak tunggal mereka bukan semakin baik, bahkan kian buruk.

Pasangan itu jadi tidak keruan. Wang simpanan telah habis untuk mengubati nak mereka. Hidup mereka dirundung kesedihan. Tiada lagi tawa gembira seperti sebelumnya.

"Ya Allah, kau berilah kekuatan untuk kami menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, kami sudah tidak berdaya memberikan rawatan untuk anak kami yang masih kecil," rintih lelaki itu dalam doanya setiap hari.

Anak mereka semakin kritikal. Suhu badannya meningkat. Badannya lembik, tidak bermaya.

"Keadaan anak kecil ini sangat parah. Tidak ada apa yang dapat saya bantu. Jika suhu badannya tidak juga turun menjelang pagi esok, kemungkinan besar hayatnya tidak panjang," beritahu seorang tabib. Dia juga buntu bagaimana harus merawat anak kecil itu. Sudah pelbagai ubat diberi, tetapi tiada perubahan.

Malam menjelma, lelaki itu tidak mampu memejamkan mata. Dia berduka. Hanya mampu menatap sayu wajah si isteri yang berlinangan air mata di sebelah anak tunggal mereka.

Bagi menenangkan hati, lelaki itu mengambil wuduk dan mengerjakan solat. Mengadu kepada yang Maha Esa keperitan hatinya, meminta diberikan jalan terbaik dalam menghadapi dugaan ini.

Selesai solat, dia mengambil keputusan untuk keluar rumah. Lelaki itu mahu berjalan-jalan seketika bagi menenangkan hati, sambil mencari jalan bagaimana hendak merawat anaknya.

Sewaktu sedang berjalan tanpa arah tujuan di malam hari, sayup-sayup telinganya terdengar sebuah ceramah yang sedang diadakan di sebuah surau. 

"Rasulullah pernah bersabda, ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah..." (Hadis riwayat at-Thabrani dan Baihaqi).

Kata-kata itu menusuk jauh ke dalam sanubarinya. Sedekah? Jika aku hendak bersedekah, kepada siapa? Bagaimana hendak melakukannya jika kehidupanku juga sukar? Pertanyaan itu menusuk ke dalam kalbunya.

Dengan rasa kecewa, dia berjalan pulang. Wajahnya muram. Sebaik sampai di pintu rumah, dia terdengar bunyi seekor kucing. Entah dari mana datangnya, haiwan kecil itu terus mengiau, seakan memberitahu ia sedang kelaparan.

Lelaki itu masuk ke dalam rumah menuju dapur. Hanya ada sedikit roti dan susu masih berbaki. Lalu dibawanya keluar makanan itu dan diletakkan di hadapan kucing tersebut. Dengan lahapnya haiwan itu menjamah rezeki yang dihidangkan. Sesekali, ia mengiau seakan mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. 

Ketika Subuh menjelang, lelaki itu dikejutkan oleh isterinya. Ada sedikit riak ceria di wajah si isteri. 

"Tadi aku bermimpi. Aku sedang mendakap anak kita di sebuah tempat yang indah. Tiba-tiba datang seekor burung hitam yang besar dari langit. Ia cuba menyambar anak kita. Aku jadi takut. Tidak tahu apa harus dilakukan. 

"Tiba-tiba muncul seekor kucing kecil. Ia menyerang burung itu tanpa henti. Walaupun ia cedera dan aku fikir, tidak mungkin kucing itu akan memenanginya, tetapi ia langsung tidak berganjak daripada cuba mempertahankan kami berdua. Ia terus menyerang hingga akhirnya burung itu terbang jauh dan menghilang.

"Apabila aku terbangun tadi, aku melihat putera kita sudah mula membuka mata. Bibirnya memanggil ibu. Bahkan, suhu badannya juga sudah mula turun," cerita isterinya.

Lelaki itu lantas merasa tubuh anaknya. Benar, tidak lagi panas seperti sebelumnya. Lelaki itu segera keluar rumah. Matanya melilau mencari kucing yang diberi makan malam tadi. Tapi, tidak kelihatan di mana-mana.

Menjelang siang, anaknya sudah mula mahu makan dan menyusu. Beberapa hari kemudian, kesihatan anak itu kian baik dan akhirnya sembuh.

Berjuraian air mata lelaki itu bermunajat. Dia tidak tahu, apakah kerana sedekahnya yang tidak seberapa terhadap kucing itu menyebabkan anaknya semakin sihat. Yang pasti, air matanya terus berjuraian tanda bersyukur ke hadrat Allah melihat anaknya kembali pulih.




Realiti Kehidupan : 

"Kadang-kadang Allah hantar sesuatu kepada kita kerana hendak memberikan sesuatu kepada kita. Setiap perit yang kita lalui, pasti ada manis yang menanti. Janji Allah itu pasti. Setiap yang terjadi, penuh hikmah tersembunyi." 

Sunday, April 12, 2015

Minuman yang mengandungi probiotik boleh menyebabkan kanser?

9 April lalu, seorang rakan telah berkongsi di dalam group whatsapp kami (wanita kental) dengan coretan berikut:


" Ibu2 tlg la jgn bg ank2 minum vitagen, solivite n segala jnis yogurt. Info dr seorg ibu yg kehilangan anaknya akibat kanser. Bakteria idup tu mengaktifkan sel kanser. Dr yg rawat aruah anak dia bgtau. Minuman tu sume ada bakteria hidup yg boleh mgaktifkn sel kanser. Doc yg bgtau siap merayu supaya kami jgn bg ank2 minum.. Tp pesakit kanser xboleh makan or minum bakteria hidup. - copy dr ibu yg kematian anaknya akibat kanser darah. Masa doc pakar ambik sampel air sum2 arwah, mmg byk bakteria drpd vitagen, yakult dan sebagainya yg hidup dlm sel darah dia."

Coretan ini telah menimbulkan kegemparan, kegusaran dan persoalan..betul ke? Rata-rata mengatakan minuman ini kegemaran anak masing-masing. Stok vitagen memang sentiasa ada dalam peti ais di rumah katanya. Maklumla group ni group wanita-wanita dalam ofis saya. Baru je diorang buat lawatan ke kilang vitagen. Takde pulak dapat apa-apa info semasa lawatan tu.

Tak nak biarkan kegusaran ini berpanjangan, saya selaku detektif konon sedara detektif conan memulakan siasatan lanjut dengan memanjangkan coretan ini kepada group sebelah. Group geng2 rakan sebaya masa sekolah dulu sebab ada doktor dalam group tu. Mohon pencerahan. 

Kawan saya yang doktor ni jawab,
" Macam bohong je. Cancer tiada penyebab utama. Cancer cuma ada risk factor. Nak kata kaitan vitagen penyebab cancer itu satu penipuan, Nak kata vitagen itu risk factor kepada cancer tu - belum ada kajian." katanya.

Ada juga rakan group yang turut berkongsi komen dari seorang doktor lain bernama Dr. Hairin Anisa sebagaimana berikut:


" Maaf, info ini salah. Bakteria yang baik tidak mengaktifkan sel kanser...tapi dalam kes mereka yg sudah ada kanser, sel kanser & rawatan chemotherapy tersebut yang akan mengurangkan daya tahan tubuh pesakit, maka apa2 yg mengandungi bakteria hidup (baik@jahat), makanan mentah @ separuh masak memang kita tak benarkan pesakit kanser mengambilnya. Untuk mengelakkan kanser lebih baik makan ikut sunnah Rasulullah saw, pastikan anak menyusu badan, kurangkan makanan & minuman dari tin (aluminium), kurangkan pengambilan makanan ada MSG (seperti potato crisps), melayu kata jajan. Saya rasa ibu tersebut tersalah faham apa yg doktor maksudkan."

Ehm.. lega sikit mendengarnya. Tak cukup lagi info dari 2 doktor ni, saya kongsikan lagi pandangan seorang doktor lagi, Dr Zubaidi Hj Ahmad (drzubaidi.com)

" Saya berpendapat ia adalah satu dakwaan tidak munasabah kerana tidak diberikan bukti. Lebih elok dakwaan seperti ini disertakan dengan nama doktor dan hospital mana dia berkerja agar penjelasan yang lebih baik dapat dierolehi dari doktor tersebut.
Ada beberapa kemusykilan dakwaan ini. Nama doktor yang dikatakan mengucap dakwaan ini tidak diberitahu. Mungkin ada salah faham antara pembawa berita dan doktor. Mungkin doktor mengatakan minuman itu tidak sesuai untuk beberapa pesakit.
Kuman probiotik yang digunakan dalam minuman tersebut telah disahkan selamat bagi individu yang sihat termasuk wanita yang hamil dan menyusukan anak.
Namun minuman seperti ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah kerana kerana kuman probiotik adalah kuman bakteria yang hidup, dikhuatiri akan berkembang dengan cepat pada individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah. Ini termasuk:
  • Pesakit HIV / AIDS
  • Orang yang baru menerima dermaan organ dan mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan organ yang dipindahkan.
  • Pesakit diabetes
  • Pesakit kanser dan pesakit yang sedang menerima rawatan untuk kanser seperti kemoterapi dan radioterapi
  • Pesakit yang mengalami penyakit ginjal dan pesakit yang manjalani rawatan dialysis
  • Pesakit yang mengalami penyakit autoimmune seperti SLE
  • Pesakit yang mendapat rawatan steroid
  • Pesakit yang telah menjalani pembedahan usus.
Saya bimbang apa yang dikatakan doktor ialah pesakit kanser tidak boleh meminum minuman itu dan bukannya minuman itu menyebabkan kanser."
Hari ini, dalam akhbar Metro Ahad juga ada dipaparkan artikel bertajuk "Mengarut! Minuman probiotik mengandungi bakteria hidup tidak mengaktifkan sel kanser seperti didakwa."


"Tidak benar, tiada kaitan minuman probiotik dengan kanser." Kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.
Kesimpulannya, kalau kita dalam kategori sihat dan tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Dr Zubaidi, tiada masalah untuk kita meminum minuman yang mengandungi probiotik ini.


Realiti kehidupan : Jangan mudah percaya tanpa usul periksa.

Saturday, April 4, 2015

Kanak-kanak 6 tahun maut gara-gara bermain di eskalator

Terkedu. Terkejut. Tergamam. Ini reaksi saya bila terbaca kiriman whatsapp ahli group berhubung berita menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun maut apabila terjatuh dari ketinggian 5 tingkat ketika bermain-main dengan handrail eskalator. Kanak-kanak malang ini tertarik ke handrail yang sedang bergerak sehingga beliau terjatuh ke ruang kosong di celahan eskalator dari tingkat 2 sehingga ke aras basement B2. Innalillahi wainna ilaihiroji'un..

Tersentuh hati saya melihat gambar-gambar yang disebarkan. Kanak-kanak perempuan ini berlumuran darah. Tak sanggup nak tengok. Beliau memakai seluar frozen. Seluar sama macam Rania. Umurnya pun sebaya Rania. Terbayangkan..mesti beliau telah didaftarkan untuk bersekolah darjah 1 tahun depan. Tapi dah tertulis, ajal dah menjemput tanpa sempat beliau memulakan persekolahan. Moga ahli keluarga adik ini diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.

Mula terbayang di ruang mata, perihal Rayyan, Rania dan Razin yang gemar sangat nak bermain dengan eskalator. Encik asben marah sangat kalau diorang ni dok main-main dekat eskalator. Seriously, saya sebelum ni tak kisah sangat sebab saya tak pernah terbayangkan impak sebegini boleh terjadi. Baru saya sedar betapa ini bukanlah kes pertama yang melibatkan kanak-kanak maut akibat eskalator. Rupa-rupanyanya telah acapkali berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di luar negara juga.

Peringatan buat saya dan semua ibu bapa di luar sana. Eskalator memang satu kemudahan. Walau bagaimanapun, sedikit kecuaian dan kealpaan mampu mendatangkan kemalangan. Awasi anak-anak kita yang sangat seronok bermain dengan benda-benda yang menarik perhatian mereka ini.

Berikut adalah petikan berita dari www.hmetro.com.my berhubung cerita ini:
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh daripada tingkat dua di kompleks beli belah Kenanga Wholesale City, di sini, kira-kira jam 3 petang tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. "Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit di bawa oleh ibu bapanya ke kompleks beli belah itu sebelum jatuh dari tingkat dua hingga ke aras bawah tempat meletak kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi. Difahamkan kanak-kanak malang berkenaan terlebih dulu bermain di kawasan sekitar eskalator sebelum terjatuh dari ketinggian lima tingkat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Tips keselamatan ketika menggunakan eskalator
  • Pastikan tali kasut tidak longgar dan kasut yang dipakai bersesuaian ketika menaiki eskalator;
  • Sentiasa memegang tangan anak-anak di eskalator dan tidak membenarkan anak-anak untuk duduk atau bermain di muka tangga eskalator;
  • Sentiasa memandang ke hadapan, berdiri di tengah muka tangga iaitu dalam kawasan tangga eskalator di mana sempadannya diwarnakan kuning dan berpegang pada handrail;
  • Elakkan berdiri di tepi muka tangga bagi mengelakkan kaki tersepit;
  • Ketahui di mana butang kecemasan shutoff yang berwarna merah jika anda perlu untuk menghentikan eskalator;
  • Elakkan daripada meletak beg tangan atau bungkusan di atas handrail;
  • Jangan bersandar di tepi handrail.
Sumber: http://www.dosh.gov.my 

Realiti kehidupan : Sifat semula jadi anak-anak adalah bermain dan berseronok tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya. Ibu bapalah yang perlu memainkan peranan untuk mengawasi anak-anak ini.

Sunday, March 29, 2015

Maraton Asam Pedas Untuk Dia


Siapa tengok cerita ni?
Best kan? hehehe..
Mula-mula saya tak layan pun cerita ni.
Biasanya hari sabtu dan ahad layan NTV7 waktu-waktu macam ni
Hari Sabtu layan cerita Shin Chan dan Doraeman
Hari Ahad pulak layan Perfect Match.

Alkisahnya..encik asben yang perkenalkan cerita ni.
Masa dia outstation kat kelantan, macam biasa, hari kerja pukul 7 bukak TV3
Nak tengok cerita Istiharah Cinta kononnya.
Tapi cite lain lak yang muncul. Mungkin cerita tu dah habis kot.
So, dia layan la cerita ni. First time tengok dia rasa best lak cerita ni.
Esoknya dia nak tengok lagi tapi takde pulak. 
Istikharah Cinta ada lagi.
Rupanya semalam tu hari ahad..kelantan kerja..
Dan cerita ni hanya ditayangkan pada hari Sabtu dan Ahad

So, bila dia balik next weekend tu, 
dia pun jadi ejen TV3 promote cerita ni kat bini dia ni..huhu
Dan sejak itu.. bini dia ni jadi pengikut tegar cerita ni.
Encik asben siap cakap, nasib baik rayyan lahir sebelum cerita ni keluar. kalau tak nama rayyan bukan rayyan.. Ahmad Ziyad katanya..haha
Saya balas, rayyan maintain cuma dari umar rayyan.. dia jadi Ziyad Rayyan..hehe..

Kemuncak kepada kegilaan saya terhadap cerita ni
Minggu lepas.. saya membuang masa bermaraton
Tonton episod 1 hingga episod 17 Asam Pedas untuk Dia di internet.
Itu pun puas godek sana godek sini.
Banyak cubaan saya gagal. Banyak yang saya klik tapi keluar iklan je.
Ceritanya tak keluar..huhuhu..
Last-last jumpa juga link myflm4u.com.
Dari malam sampai ke awal pagi mengadap laptop.
Sambung lagi esok pagi..huhuhu
Sampai encik asben perli, dah tengok episod akhir?
Huhuhuhu..

Kalau ada la episod akhir.. dah lama dah saya klik dan ngadap!
Hehehe.. tak sabar nak tahu ending cerita ni.
Biasanya kalau cerita adaptasi novel ni memang saya cari novel asal dan baca sampai abis!
So, drama TV tak abis lagi saya dah tahu ending dia.
Tapi yang sedihnya..
Saya tak jumpa langsung novel Asam Pedas Untuk Dia ni..huhuhu  

Cari novel Asam Pedas tapi jumpa novel Miss You Mr Arrogant!
Sambungan novel Love You Mr Arrogant yang pernah diadaptasi kat TV jugak.
Hah! ambik! Semalaman tak tido nak bagi abis novel ni..huhuhu..
Tapi ni kejadian beberapa minggu lepas sebelum saya dapat ilham nak tengok episod2 lepas kat internet..hehe..

Sekian dulu. Anak-anak dah merengek ajak jalan-jalan.
Kena keluar cepat supaya dapat balik cepat.
Episod akhir hari ni..hehe..


Realiti Kehidupan : Kita sanggup buang masa berjam-jam untuk benda tak berfaedah..huhuhu

Thursday, March 19, 2015

Pertama kali di hari ke-78

Salam.

Lama sungguh tuan tanah menyepi.
Bukan tarik diri.
Bukan merajuk hati.
Bukan follower tidak saya hargai.
Bukan tiada cerita yang nak dikongsi.
Bukan tak sayang blog ni.
Tapi saya bergelut dengan masa setiap hari.

Saya kata masa sangat mencemburui
Tapi hakikatnya saya tak pandai membahagi
Antara masa kerja dan peribadi

Saya selalu rindu nak menulis lagi
Lagi dan lagi dan lagi dan lagi
Setiap hari dengan satu entry
Atau mungkin seminggu sekali
Tapi saya tertewas lagi

Bila idea bertandang
Masa tiada yang terluang
Bila masa ada yang lapang
Mood pulak mana ntah terbang

Hari ini saya celah juga masa
Memberi sepatah dua kata
Di dada blog yang dah lama tak disapa
Bimbang nanti dilupa

Hari ini di hari yang ke tujuh puluh lapan
Baru saya jengah blog ni nak bagi ucapan
Selamat tahun baru kat kawan-kawan
Semoga 2015 memberi 1001 kejayaan


mamiraysha
                                                                               
Realiti Kehidupan : Sangat jarang kita hargai masa yang ada. Tapi selalunya menyesal bila masa berlalu pergi. Bukan masa yang tiada, tetapi kita yang tidak pandai membahagi masa. 

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran! (Surah al-Asr, ayat 1-3)