Artikel ni saya jumpa dalam Majalah Pa&Ma Edisi Februari 2009 untuk dikongsikan bersama..terutamanya kawan-kawan yang masih gagal hamil. Selain daripada belum ada rezeki lagi..mungkin ada faktor lain yang boleh menghalang kehamilan.
Untuk pengetahuan, di kalangan pasangan suami isteri yang subur, peratus kejayaan hamil selepas percubaan bulan pertama hanyalah sekitar 25 peratus. Ini bermakna 75 peratus daripada pasangan perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil. Ramai tertanya-tanya mengapakah dia masih gagal hamil walaupun telah banyak kali mencuba tanpa jemu. Antara faktor penyebabnya ialah :
1) Usia wanita tersebut
Peningkatan usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita itu untuk hamil. Setelah berusia 30 tahun, tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.
2) Usia dan tahap kesihatan pasangan
Tahap kesuburan lelaki juga berkurangan apabila usia mereka meningkat. Walau bagaimanapun, penurunan tersebut tidaklah secepat wanita. Biasanya tahap kesuburan lelaki mula menurun selepas berusia 40 tahun.
3) Gaya hidup
Pelbagai faktor yang ada kaitan dengan gaya hidup memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita itu untuk hamil. Antaranya ialah faktor pemakanan, senaman, tahap stres yang sedang dialami, tabiat tidur dan macam-macam lagi. Untuk memastikan berjaya hamil, anda mestilah betul-betul sihat. Maknanya, anda perlu berhenti merokok, tidak mengambil minuman keras, mengamalkan diet seimbang setiap hari, tidur yang cukup dan senaman secara berkala.
4) Stres yang melampau
Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang anda untuk memiliki cahaya mata sendiri. Sama ada berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerja, kedua-duanya boleh menyebabkan anda sukar hamil. Semakin tertekan pasangan suami isteri itu maka semakin susah bagi mereka untuk mendapatkan anak.
5) Pakaian
Bagi lelaki, pemakaian pakaian terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh menyebabkan sperma yang dihasilkan kurang berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar. Jadi, ini bermakna sekiranya masih belum ada anak dan suami gemar memakai seluar dalam, eloklah bertukar kepada memakai boxer agar lebih longgar.
6) Masalah hormon
Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil tetapi tubuh mereka tidak mampu menghasilkan progesteron yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan. Oleh itu, sekiranya anda risau tentang kemungkinan ada masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
7) Bilangan sperma yang rendah
Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma. Akibatnya, isteri mereka sukar hamil. Oleh yang demikian, suami perlulah menjalani beberapa ujian terhadap sperma mereka untuk mengetahui keadaan sebenarnya.
8) Pengambilan Kafein
Sekiranya anda mengambil lebih daripada 1 atau 2 cawan kopi setiap hari, anda sebenarnya mengurangkan keupayaan diri untuk hamil. Ada kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur untuk melekat dalam uterus.
Ingat, jika anda masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Dengan bantuan peralatan moden dan kemajuan sains dan teknologi, memiliki anak daripada benih sendiri tidak mustahil. Suami isteri hendaklah membuat pemeriksaan kesihatan di klinik sama ada swasta ataupun kerajaan. Contohnya pasangan yang sudah berkahwin lebih setahun dan masih belum hamil, boleh melakukan pemeriksaan di klinik yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atau di klinik / hospital kesuburan swasta. Yang penting, anda mesti berusaha!
sy mmg nk tau sgt punca gagal hamil ni tau..thanks kak sbb bg info..walaupun perkahwinan sy br msk 6bulan tp agak ternanti2 gak la sbb ramai mmber yg br 2,3bulan kawen dh lekat..mgkin itu rezki mereka...
ReplyDelete