Assalamualaikum dan salam sejahtera pembuka bicara..(chewah!)
Lama dah tak berkongsi cerita kat sini. Maaf ye kalau ada yang ternanti-nanti. Bukan apa, kekangan masa dan tuntutan tugas tak mengizinkan untuk menulis entry. Maklumla menulis blog ni bukan tugas rasmi..hehe..lain macam plak struktur bahasa ari ni ek..layankan je la..
Sebagaimana tajuk..begitulah fakta yang nak saya kongsikan kat sini kali ni. Macamana boleh terlintas nak buat entry ni? Ceritanya begini..
25.2.2011 yang lalu..kami bawa Rania ke klinik sebab demam, batuk dan selsema. Actually, selsemanya dah 2,3 hari kot. Memandangkan hingusnya dah kehijauan, doktor bagi ubat antibiotik. Demam doktor kata ada sikit, so dia bagi gak ubat demam, ubat selsema dan juga ubat batuk untuk cairkan kahak selain ubat antibiotik tadi.
Masa kat dispensari, saya cakap kat pembantu klinik tu, kalau tak bagi antibiotik ni boleh tak? Rasanya tak sedap kan? Anak saya ni susah sikit nak makan ubat. Dia jawab, kalau tak bagi..lambat la sikit baiknya..
Apa yang ada kat kepala saya ni..antibiotik ni kalau dah makan kena habiskan. Kalau tak habiskan, penyakit tu kalau menyerang lagi..antibodi tak bleh nak lawan. Kat mana saya dapat fakta ni tak berapa nak ingat plak. Tahu2 dah tertanam kat dalam kepala ni. Memandangkan si Rania ni susah sangat nak makan ubat..apatah lagi ubat yang tak berapa nak sedap..saya decide tak bagi dia langsung antibiotik yang doktor bekalkan. Just ubat demam, ubat selsema dan ubat batuk je saya bagi. Itu pun..tak tahu la berapa % je yang masuk dalam perutnya sebab yang lain abis dimuntahkan.
Seminggu lebih jugak la Rania selsema dan batuk sebelum baik. Tak sampai sebulan, 9.3.2011 malam, Rania demam lagi. Selsema pun turut datang gak. Tetiba plak mummy rasa bersalah..sebab tak bagi antibiotik ke? Aduih!
Ada apa dengan antibiotik ni? Betul ke kalau sakit kena ambik antibiotik? Kenapa antibiotik kena habiskan? Betul ke tindakan saya tak bagi Rania antibiotik? Segala macam persoalan tentang antibiotik bermain kat fikiran. So..bagi merungkai segala persoalan ini..saya meringankan jari jemari buat carian tentang antibiotik ni.
Berikut adalah hasil carian yang saya dapat daripada blog seorang doktor. Memang layak la dia buat entry ni. Saya hanya layak mengongsikannya kat sini untuk bacaan kita bersama..
Sumber :http://drazwan.blogspot.com/
Ramai ibu bapa yang meminta saya menulis tentang antibiotik. Antibiotik menjadi subjek yang sangat penting di dalam bidang perubatan sehingga kini. Sejak ia dijumpai oleh saintis Perancis Alexander Fleming pada tahun 1928 (sebelum itu dijumpai oleh seorang pelajar perubatan dari German pd 1896 - tapi tak popular), penicillium yang merupakan produk dari sejenis kulat didapati berjaya membunuh pelbagai bakteria. Penicillin kemudiannya digunakan secara meluas ketika perang dunia ke 2 sebagai rawatan utama.
Sehingga kini berpuluh-puluh antibiotik digunakan secara meluas diseluruh dunia. Antibiotik boleh dibahagikan kepada kesannya yang membunuh bakteria (bactericidal) atau kesan yang merencatkan aktiviti bakteria (bacteriostatic). Kedua-duanya memberi kesan untuk melumpuhkan bakteria daripada merebak di dalam badan.
Sesuai dengan kesannya, antibiotik hanya berkesan untuk membunuh bakteria dan bukan virus. Virus biasanya menyebabkan batuk, sakit tekak, selsema dan sakit badan. 80% sakit tekak dan selsema adalah disebabkan virus. Virus biasanya akan hilang dengan sendirinya selama 7 hari hingga 14 hari walaupun tanpa penggunaan antibiotik.
Sebagai contoh - Denggi ialah sejenis virus, jadi tiada antibiotik apa pun di dalam dunia ini yang boleh membunuh virus denggi. Ia akan hilang dengan sendirinya selepas 10 hari, tetapi perawatan yang lain seperti mengawal hidrasi tubuh dan pemerhatian kadar platelet diperlukan. Kenapa tiada antibiotik digunakan untuk merawat denggi? Ya, kerana denggi ialah sejenis virus. (pandaaaii..... :) )
Sekiranya semua doktor memberikan antibiotik kepada pesakit yang mempunyai sakit tekak dan selsema, dan semua pesakit mengambilnya, ini bermakna 80% daripada antibiotik tadi yang tidak memberi apa-apa kesan kepada virus adalah satu pembaziran, sia-sia malah boleh mendatangkan bahaya kepada tubuh.
Kenapa Perlu Berhati-Hati Mengambil Antibiotik?
1. Antibiotik boleh menyebabkan alahan. Alahan boleh jadi sedikit seperti urticaria iaitu timbul ruam gegata di seluruh badan sehingga ke alahan yang teruk seperti kulit melecur dan sesak nafas.
2. Antibiotik mempunyai kesan sampingan. Antibiotik boleh menyebabkan kesan sampingan kecil seperti loya, pening, muntah dan cirit birit sehingga ke yang teruk seperti kerosakan buah pinggang, usus dan hati, pekak dan sawan. Steven Johnson Syndrome adalah satu kesan sampingan kepada beberapa jenis antibiotik berasaskan sulfa. Ia menyebabkan keadaan kulit seperti terbakar dan juga menyerang kawasan seperti mulut mata dan lidah. Kesan sampingan ini boleh membawa maut.
3. Antibiotik sebagai bom nuklear. Bukan semua bakteria di dalam badan adalah jahat. Bakteria baik di dalam usus sebagai contoh lactobacillus, memenuhi usus supaya bakteria jahat seperti Clostridium Difficile tidak dapat memenuhi ruang tersebut. Malah ada bakteria di usus yang boleh membantu penghadaman dan menghasilkan sejenis vitamin yang membantu manusia. Begitu juga contohnya dengan kawasan vagina wanita. Bakteria baik yang terbunuh boleh menyebabkan "candida", sejenis kulat senang membiak di kawasan itu.
Malangnya, antibiotik tidak mengenal musuh. Ia seperti sebuah BOM NUKLEAR. Kawan atau lawan, semuanya disapu, disembelih dan dibunuh dengan kejam. Pembunuhan beramai-ramai tanpa belas kasihan ini ternyata membawa padah. Selepas tiada lagi bakteria yang baik, maka bakteria yang jahat akan bermaharajalela. Jadilah episod cerita koboi bila sherif dah tak ada.
Antibiotik Seperti Harimau Hilang Taring
Apabila antibiotik diambil dan digunakan sewenang-wenangnya, maka Bakteria yang tidak terbunuh oleh antibiotik akan menjalani mutasi. Ia menjadi kebal dan semakin kuat. Bakteria ini akan membiak dan tersebar di kalangan manusia yang dekat dan jauh.
Apa yang berlaku, antibiotik yang sama apabila digunakan tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya. Maka, doktor terpaksa menggunakan antibiotik yang lebih kuat kerana yang lama tidak berkesan. Kitaran ini akan menjadi lebih menakutkan. Antibiotik yang kuat ini pula digunakan sewenang-wenangnya. Maka apabila bakteria mula bermutasi dan menjadi kebal, antibiotik yang kuat tadi semakin hilang belangnya. Antibiotik yang lebih kuat lagi digunakan... ia akan berterusan sehingga tiada lagi antibiotik yang berkesan terhadap manusia.
Kos Perubatan Meningkat
Semakin kuat antibiotik digunakan semakin mahal antibiotik tersebut. Anda yang kaya mungkin tak kisah dengan kos antibiotik yang meningkat sekarang. Tetapi buat yang susah, RM 60 untuk 7 biji Augmentin memang memeningkan kepala. Di hospital kos perbelanjaaan rawatan juga semakin meningkat. Ini kerana antibiotik yang kuat tidak mungkin berharga murah. Syarikat farmaseutikal terpaksa membelanjakan jutaan wang untuk menghasilkan antibiotik yang lebih kuat dan siapa yang harus membayar harga itu?
Kenapa Antibiotik Digunakan Sewenang-Wenangnya?
1. Sebelum menuding kesalahan kepada orang lain, lebih baik salahkan diri sendiri dahulu. Doktor seperti saya, kadangkala selalu memberikan antibiotik walaupun tidak perlu. Biasanya General Practioner (GP) di klinik-klinik swasta lebih suka melakukan demikian. Ada beberapa sebab...
a. Satunya mungkin tidak beberapa yakin kepada diagnosis yang dibuat. Terdapat
garisan di antara jangkitan bakteria dan virus. Mungkin garisan itu sukar
dibezakan untuk sesetengah pesakit.
b. Untuk mengelakkan secondary infection. Jangkitan bakteria di atas jangkitan virus yang sedia ada. (ini alasan yang baik bagi doktor untuk menjual antibiotik)
c. Menghindarkan persepsi buruk pesakit kepada doktor dan klinik. Kalau anda nak tahu, ada jenis pesakit yang mempunyai tanggapan buruk kepada doktor yang tak mahu memberikan antibiotik. "Apalah ini doktor, tarak bagi antibiotik, next time tarak mau datang sini lagi". atau "ini klinik tak bagus, takda bagi antibiotik". Hilang seorang pelanggan...
d. Meningkatkan keuntungan dengan memberi antibiotik. Ya, jualan antibiotik boleh menguntungkan. Itu sebab ramai doktor swasta akan memberi antibiotik walaupun dengan sebab-sebab yang tidak logik.
2. Pesakit juga bersalah di dalam hal ini. Saya sudah banyak kali menceritakan ada ibu bapa yang terlalu menekan doktor untuk memberi antibiotik. Ada yang masam mencuka bila tak bagi antibiotik. Padahal anak tak ada demam pun, atau hanya sedikit selsema. Jikalau ibu bapa tahu betapa teruknya kesan Steven Johson Syndrome, sejenis lecuran kulit disebabkan alahan antibiotik pasti anda lebih berhati-hati.
"Anak saya takkan baik kalau tak diberi antibiotik". Ini adalah ayat cliche untuk ibu ayah yang selalu bagi anaknya antibiotik walaupun sedikit demam.
Cara Saya
Anda patut percaya, saya sendiri sebagai doktor, tak pernah memberi antibiotik kepada anak saya yang batuk, demm atau selsema selama seminggu. Saya akan memberinya ubat-ubat yang perlu sahaja, vitamin C tambahan, minum air kosong banyak dan makan banyak buah-buahan. Pada kebiasaannya, selepas seminggu batuk itu akan hilang.
Sekiranya selepas seminggu batuk, dengan adanya demam tinggi dan selsema, saya mungkin akan mulakan antibiotik yang paling rendah. Antibiotik mesti dihabiskan.
Perlu diberitahu di sini... Ubat antibiotik bukanlah ubat demam, atau selsema atau ubat sakit perut. Ia adalah untuk membunuh bakteria dan . Kalau demam, makan lah ubat demam dan kalau selsema makanlah ubat selsema. Antibiotik digunakan sekiranya terdapat jangkitan bakteria.
Doktor, Tolong Bagi Antibiotik Paling Kuat!
"Doktor, saya batuk dan sakit tekak, esok saya ada meeting. Boleh bagi saya antibiotik paling kuat supaya saya boleh pergi meeting esok".
Pertama sekali saya nak bagi tahu, Allah bagi kita sakit selain daripada ujian dan menghapuskan dosa, ialah untuk memberitahu kita yang badan kita ini perlukan rehat kerana bekerja terlalu kuat. Antibiotik tak boleh membantu anda mengembalikan kesihatan anda seperti sediakala sekiranya anda mengidap jangkitan. Berilah masa untuk badan anda berehat.
Kedua, untuk memberi antibiotik, perlu ada caranya. Mulakan dengan antibiotik yang tak beberapa kuat dahulu. Kemudian baru naik selangkah demi selangkah sekiranya tidak berkesan. Kalau kita nak bunuh seekor nyamuk, janganlah rumah hendak dibakar. Kalau nak bunuh bakteria yang tak beberapa kuat, jangan gunakan antibiotik yang paling kuat. Itu salah cara.
Tujuannya adalah untuk memastikan antibiotik yang paling kuat disimpan untuk menghadapi kuman yang sama kuat juga. Sekiranya kuman biasa pun dah menjadi kebal kepada antibiotik yang paling kuat, apabila tiba kuman yang paling kuat, tiada antibiotik lagi yang boleh digunakan.
Bayangkan, tiada lagi ubat untuk membunuh bakteria... Sedikit luka di kaki pun boleh menyebabkan kematian. Kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum Perang Dunia Kedua!!
nice info.. saya ada dapat antibiotik untuk baby saya yg baru 3month (demam).. curious nk bagi ke tak.. check up kat klinik swasta, doc bg ubat demam n antibiotik.. mcm tak puas hati je, then bawa baby ke PPUM..doc just bagi ubat je tanpa antibiotik.. so, prefer ubat yang doc hospital bg..Alhamdulillah, semakin sihat..
ReplyDeletesalam doktor.. nk tnya.. sy mengalami jgkitan dlm telinga.. dan doktor memberi sy 10 biji utk dihabiskan selama 5 hari..sy mengikut jadual pemakanan antibiotik tersebut selama 4 hari, tiba hari yg ke 5, iaitu hari ini 23 july 2012, sy dapati antibiotik tersebut telah rosak apabila dibuka dari penutupnya, 2biji antibiotik telah terhiris dua dan sy tidak berani memakannya. sy mencari antibiotik lain di rumah milik adik sy yg tidak habis dimakan nya..antibiotik yg sama jenis dan dr klinik yg sama..dan terjumpa 1 biji..sy makan ubat antibiotik tu, bermakna setakat ni sy telah habiskan 9 biji antibiotik yg sepatutnya 10 biji sprti disarankn oleh doktor. sy nk tny, apa kesannya kpd sy jika tidak memakan 1biji lagi antibiotik tersebut? thanks doktor..
ReplyDeletegood info. sememangnya antibiotik tidak digalakkan untuk di ambil..lebih banyak keburukan berbanding kebaikan untuk tempoh jangka masa panjang..
ReplyDelete