Tuesday, May 24, 2011

Teknik Bernafas Ketika Bersalin

Meniti hari-hari penuh debar menjelang tarikh jangkaan bersalin 010611..hihihi.. macam tak pernah bersalin plak ek. Seriously, walaupun bakal menghadapinya untuk yang ketiga kali..perasaan nerbes tu tetap ada. Ternanti-nanti juga..bila baby nak kuar. Ari ni kah? esok kah? lusakah? sama dengan tarikh anniversary ke-4 mummy dan daddy pada 030611 kah? atau baby nak kuar pada 060611 kah? Hah.. hanya Allah je yang tahu apa yang telah tertulis..

Dikira-kira..lebih kurang 8 hari je lagi nak due. Cepat sungguh masa berlalu.. Rasa macam tak cukup lagi je persediaan nak bersalin..hihihi.. maklumla keje opis tak settle lagi.

Memandangkan anytime je bleh masuk labour room ni..maka..marilah kita sama-sama study teknik macam mana nak bernafas ketika nak melahirkan anak :-) Ada rupanya teknik bernafas ni ye? sebelum ni saya main belasah je. Bernafas macam biasa ikut dan..hihihi.. Mari kawan-kawan..kita tambah ilmu di dada sebelum meneran anak keluar..hihihi..

Bernafas dan bernafas terlebih

Apabila anda berasa tertekan dan ketakutan, pernafasan anda akan menjadi lebih pendek dan deras. Bahu anda akan tertarik ke atas ke arah telinga dan, pada masa yang sama leher dan otot bahu anda berasa tertekan dan tegang. Jika anda terus panik, anda akan mula bernafas berketerlaluan, dan menyedut udara ke dalam paru-paru anda dan menghembus nafas bercungap-cungap secara pendek dan laju. Anda akan berasa pening dan hilang kawalan. Jari anda mencucuk-cucuk anda dan mulut anda berasa kebas.

Semua ini adalah reaksi normal terhadap situasi yang penuh stres atau yang menakutkan. Ini adalah normal, tetapi badan anda tidak boleh berterusan begini tanpa menjadi letih. Semasa pelahiran, anda mesti menyimpan tenaga anda seberapa banyak yang boleh. Anda juga mahu membekalkan oksigen yang secukupnya kepada bayi anda untuk membantunya menghadapi stres semasa dilahirkan. Jika anda bernafas panik, jumlah oksigen yang anda sedut untuk anda dan bayi anda akan berkurangan.

Corak pernafasan untuk perlahiran

Tutup mata anda seketika dan tumpukan kepada pernafasan anda.

Lihat bagaimana pernafasan anda mempunyai ritmanya sendiri. Anda akan sedar bahawa semasa menarik nafas anda berhenti seketika sebelum anda menghembus nafas keluar. Hembusan nafas keluar sama tempoh dan kedalaman dengan tarikan nafas masuk anda. Anda terpaksa berhenti seketika sebelum paru-paru anda menarik nafas masuk sekali lagi.

Semasa pelahiran, anda perlu mengekalkan pernafasan beritma anda. Jangan biarkan tempoh tarikan nafas lebih panjang daripada hembusan keluar. Hembusan nafas anda sepatutnya lebih lama daripada tarikan nafas anda. Adalah normal apabila anda sedang mengalami kontraksi, anda akan bernafas dengan lebih pendek dan cetek. Ini tidak salah selagi pernafasan anda tidak menjadi lebih deras, dan bertukar menjadi pernafasan panik.

Teknik pernafasan mudah

• Fikirkan perkataan "RELAKS". Ia mempunyai dua suku kata, "RE" dan "LAKS". Cuba latihan ini. Semasa anda menarik nafas, fikirkan "RE" dan semasa anda menghembus nafas, fikirkan "LAKS". Jangan biarkan minda anda merayau; sebaliknya tumpukan kepada meyebut perkataan "RELAKS" berulang-ulang selaras dengan pernafasan anda. Semasa anda menghembus nafas, cuba lepaskan sebarang tekanan dalam badan anda. Fokus kepada otot yang anda tahu akan tegang apabila anda stres. Setiap kali anda menghembus nafas, ingatlah: "LAAAAAKS". Fokuslah kepada hembusan nafas: tarikan nafas akan berlaku dengan sendirinya!

• Cuba mengira apabila bernafas. Semasa anda menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor yang anda mahu) dan semasa anda menghembus nafas keluar, kira juga sebanyak tiga atau empat kali lagi. Anda akan dapati bahawa adalah lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.

• Cuba bernafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut anda. Hembus nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Ramai wanita akan dapati bahawa membuat bunyian semasa menghembus nafas seperti "Oooooooh" atau "Aaaaaah" amat membantu mereka. Di antara kontraksi, minum sedikit air untuk mengelakkan mulut anda menjadi kering.

Sokongan semasa pernafasan

Adalah satu perkara yang sangat sukar untuk mengekalkan pernafasan beritma anda di samping relaks setiap kali anda mengalami kontraksi yang menyakitkan; anda berasa letih dan perlahiran itu seakan-akan tiada penghujungnya. Pada masa inilah ianya penting untuk mendapatkan sokongan teman pelahiran anda (kini, kebanyakan hospital membenarkan suami masuk ke bilik pelahiran). Suami anda dapat membantu mengekalkan kestabilan pernafasan anda dengan bernafas bersama anda. Anda perlu memandang mata suami anda dan dia perlu memegang tangan anda atau meletakkan tangannya di atas bahu anda sambil bersandar dengan lembut. Anda boleh mengikut corak pernafasannya semasa dia menarik nafas melalui hidung dan menghembus nafas ke muka anda dengan lembut.

Praktikkan ini semasa kehamilan. Pada mulanya, ia akan berasa pelik dan kedua-dua anda akan berasa kurang selesa. Walau bagaimanapun, bernafas cara bersama amat membantu semasa dalam pelahiran, terutama sekali apabila anda berasa anda tidak berdaya lagi.

Bernafas dan meneran

Semasa fasa kedua pelahiran, anda akan menolak bayi anda keluar. Ramai wanita menahan nafas semasa mereka menolak. Ini adalah okey asalkan anda menolak ke arah bahagian antara kaki anda, bukan ke arah bahagian belakang tekak anda.

Adalah lebih baik jika anda menarik nafas panjang apabila anda rasakan kontraksi bermula dan bernafas atau meniup nafas keluar secara perlahan sambil anda meneran. Ini akan mengelakkan anda daripada mencederakan tekak anda dan memastikan anda mengekalkan corak pernafasan yang sihat dan adalah penting untuk menghasilkan satu peneranan yang kuat.

Sekiranya anda telah diberikan epidural dan tidak dapat merasakan bila masanya untuk menolak, tariklah nafas apabila bidan atau doktor memberitahu anda bahawa kontraksi telah bermula. Semasa anda menghembus nafas keluar, fokuskan kepada kepala bayi anda di antara kaki anda dan teruslah meneran dan menolak.

Kadang-kala wanita diminta menahan nafas, dan meneran dan menolak seberapa lama yang boleh. Ini bukanlah satu idea yang baik. Anda akan mengurangkan oksigen kepada anda dan bayi anda, dan anda akan meletihkan diri anda dengan cepat. Teran dan tolaklah seberapa banyak kali bagi satu kontraksi. Empat atau lima tolakan bagi setiap kontraksi adalah mencukupi.

Bernafas dan bukan meneran

Kadang-kala wanita akan terasa mahu meneran sebelum serviks mereka mengembang sepenuhnya. Dalam kes ini, doktor anda akan meminta supaya anda jangan meneran untuk memberikan masa kepada serviks anda untuk mengembang. Ini adalah perkara yang amat sukar! Anda boleh membantu dengan berlutut dengan kaki dan tangan anda, punggung anda di arahkan ke atas dan pipi anda di atas lantai. Apabila kontraksi bermula, berikan empat nafas pendek, diikuti dengan empat lagi nafas pendek dan seterusnya. Anda juga boleh berulang menyatakan dengan tegas frasa "Saya tidak mahu meneran" di dalam kepala anda sambil bernafas pantas. Antara kontraksi, bernafaslah dengan normal.

Sumber : www.babycenter.com.my

No comments:

Post a Comment