Risau keadaan Razin makin teruk, kami bawa Razin ke klinik berdekatan, pukul 8 malam tadi. Doktor kata Razin kena jangkitan telinga. Akibat selsema yang lama berpanjangan.
Doktor kata penyakit ni biasa menjangkiti baby bawah 1 thn. Tapi ini pengalaman pertama kami sebab Rayyan dan Rania Alhamdulillah tak pernah mengalaminya. Mungkin Allah nak kami rasa pengalaman tu, Allah uji kami dengan apa yang Razin alami ini.
Risau juga kami, maklumla melibatkan deria pendengaran ni. Doktor bagi 5 jenis ubat semalam iaitu ubat demam, ubat batuk dan kahak, antibiotik, ubat selsema (titis) dan ubat telinga (titis) berserta bil berjumlah RM77.
Bagaimana jangkitan telinga atau istilah perubatannya otitis media (radang telinga tengah) ini boleh berlaku? Apa puncanya? Macam mana langkah pencegahannya? Apa rawatan terbaiknya? Jom sama-sama kasi tau jawapannya dengan membaca artikel yang telah saya copy and paste ini. Sebelum tu, meh tengok dulu keratan rentas telinga yang sempat saya googlekan ni supaya kita boleh imagine kat mana berlakunya otitis media ni.
Hilang Pendengaran
PERNAHKAH anak anda mengadu sakit telinga atau menunjukkan cecair keluar daripadanya? Jika ya, jangan ambil mudah kerana anak anda mungkin terkena jangkitan telinga atau radang di bahagian telinga tengah.
Ia dipanggil otitis media iaitu penyakit telinga yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga satu tahun. Ia penyakit kedua biasa berlaku selepas selesema.
Secara global, 83 peratus kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya sekali otitis media sebelum berumur tiga tahun dan 10 hingga 20 peratus kes membabitkan bayi berumur bawah 12 bulan.
Kajian mendapati 60 hingga 80 peratus kes otitis media berlaku di negara membangun, termasuk Malaysia yang disebabkan oleh bakteria.
Menurut Pakar Bedah ENT (telinga, hidung, tekak) dan Surgeri Kepala Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Samril Bokari berkata, otitis media terbahagi kepada dua iaitu otitis media dengan kehadiran cecair (OME) dan otitis media akut(AOM).
“Gejala AOM berlaku apabila jangkitan kuman pada saluran pernafasan atas mengakibatkan tisu hidung bengkak tersumbat dan dipenuhi cecair.
“Ia mengakibatkan fungsi pembersihan terganggu dan regulasi tekanan di bahagian telinga tengah menyebabkan jangkitan bakteria masuk dari bahagian belakang hidung ke telinga tengah.
“OME pula berlaku selepas beberapa minggu AOM disebabkan tiub eustachio tidak dapat berfungsi secara normal, menyebabkan tekanan negatif di telinga tengah, seterusnya berlaku rembesan cecair berterusan dari saluran kapilari darah ke dalam telinga tengah,” katanya sewaktu ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kanak-kanak mudah terdedah kepada kuman atau organisma yang mengakibatkan jangkitan sama ada bakteria, virus mahupun fungus. Jangkitan virus menyumbang kepada 15 peratus daripada keseluruhan kes manakala jangkitan bakteria merangkumi majoritinya.
“Ada tiga jenis bakteria yang kerap menyerang iaitu streptococcus pneumoniae (25 hingga 50 peratus), haemophilus infuenzae (15 hingga 30 peratus) dan moraxella catarrhalis ( tiga hingga 20 peratus).
“Kanak-kanak lelaki lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan. Selain itu, kurang menjaga kebersihan antara punca otitis media berjangkit,” katanya.
Otitis media harus diberi rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran kanak-kanak. Apabila pendengaran terjejas, proses pembelajaran juga menjadi perlahan.
Akibatnya kanak-kanak menghadapi masalah dalam bilik darjah, prestasi pelajaran merosot dan perkembangan sosialnya terbantut. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak yang mendapat otitis media sering dilabel ‘lembap’.
Jika tidak dirawat segera, otitis media boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan saraf muka, gegendang telinga berlubang, jangkitan telinga kronik (jika berlaku berulang kali), jangkitan merebak ke tulang belakang telinga, meningitis (keradangan selaput otak) dan kehadiran nanah atau sista dalam telinga.
Pencegahan awal adalah dengan memberi bayi susu ibu berbanding susu formula kerana ia menolong mengeluarkan imuniti kepada bayi yang mampu menghalang berlakunya otitis media yang disebabkan posisi ketika penyusuan ibu mampu meningkatkan tahap optimum fungsi tiub eustachio dibandingkan penyusuan menggunakan botol.
Faktor risiko
Ada beberapa faktor risiko utama otitis media iaitu:
1) Sindrom Down
2) Kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan kanak-kanak
3) Kanak-kanak sumbing
4) Umur — Kanak-kanak berumur enam hingga 18 bulan paling mudah mendapat jangkitan telinga. Masalah jangkitan telinga adalah masalah biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat bulan hingga empat tahun
5) Kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan besar seperti di pusat jagaan harian lebih mudah diserang selesema berbanding yang dijaga di rumah. Oleh itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan telinga
6) Terdedah pada asap rokok atau dibesarkan dalam persekitaran dengan kualiti udara rendah. Kanak-kanak yang terdedah kepada udara mengandungi asap rokok atau tercemar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami jangkitan
7) Kerap mendapat jangkitan saluran pernafasan atas (contohnya selesema)
8) Sejarah keluarga. Jika anda, pasangan atau ada ahli keluarga pernah mendapat jangkitan telinga, bermakna anak anda juga berpeluang mengalami masalah sama
9) Posisi badan ketika disusukan. Bayi yang menyusu dari botol sambil berbaring dikatakan lebih mudah mendapat jangkitan berbanding bayi yang menyusu dalam kedudukan badan tegak atau kedudukan kepala lebih tinggi dari badan. Justeru, pakar menyarankan ibu memberi susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan untuk menguatkan imun badan bayi dan mencegah masalah otitis media
Tanda
Oleh kerana kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak kecil yang belum tahu mengadu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada tanda ditunjukkan anak seperti:
1) Anak menarik telinganya
2) Anak menjadi cerewet dan kerap menangis
3) Anak sukar tidur
4) Anak enggan makan
5) Demam (terutama bayi dan kanak-kanak kecil)
6) Ada cecair meleleh daripada telinga
7) Anak mengalami masalah keseimbangan
8) Anak mengalami masalah pendengaran atau lambat bertindak balas terhadap bunyi perlahan
Rawatan
- Oleh kerana otitis media boleh menyebabkan pelbagai masalah, rawatan segera perlu diberi. Biasanya doktor memberi antibiotik untuk satu jangka masa pendek, terutama jika kanak-kanak masih kecil dan tidak sihat
- Selepas mendapat jangkitan telinga, bahagian tengah telinga anak anda mungkin mengandungi cecair selama beberapa minggu
- Dalam tempoh ini anak anda mengalami sedikit masalah pendengaran dan cecair dalam telinganya akan hilang dalam masa dua bulan. Jika masih menunjukkan gejala keresahan dan tidak mendengar dengan baik, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut
- Ini kerana kanak-kanak boleh mendapat beberapa kali jangkitan telinga dalam masa setahun. Bagaimanapun, jika masalah tidak berkurang selepas beberapa kali berjumpa doktor keluarga, minta supaya anak anda dirujukkan kepada pakar kanak-kanak atau pakar telinga
- Seperkara yang ibu bapa perlu ingat ialah, bukan semua pesakit otitis media memerlukan antibiotik. Doktor akan membuat pertimbangan sama ada anak anda memerlukannya atau tidak, dan jika tidak diberi, jangan meminta kerana antibiotik tidak berguna jika masalah disebabkan jangkitan virus
- Dalam keadaan tertentu — jika antibiotik tidak berkesan, doktor mungkin memasukkan tiub kecil pada telinga anak bagi membolehkan cecair yang terperangkap di belakang gegendang mengalir keluar
- Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tiub ini akan keluar sendiri selepas satu tempoh dan gegendang telinga yang berlubang (kesan cucukan tiub) akan sembuh dan tertutup kembali. Pendengaran anak juga akan kembali normal
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, jangkitan telinga berhenti apabila kanak-kanak membesar dan mereka mempunyai pendengaran baik. Namun kaedah paling baik ialah mencegah jangkitan daripada berlaku.
Pencegahan
Mencegah otitis media bermakna kita boleh mengurangkan masalah penghasilan bakteria yang ada daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik; beban ibu bapa (daripada segi pengambilan cuti untuk menjaga anak sakit dan kos rawatan), beban sektor perubatan dan ekonomi masyarakat; kesakitan, kesengsaraan dan kesan sampingan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta ibu bapa.
Jika mempunyai anak yang mendapat jangkitan telinga, asingkan dengan anak lain hingga demam reda. Pada masa sama, elak membawa anak yang dijangkiti berenang kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan telinga seperti:
l) Membawa anak mendapatkan suntikan vaksin. Doktor akan mencadangkan jenis vaksin yang boleh mencegah jangkitan telinga seperti vaksin untuk pneumokokal. Walaupun ia tidak memberi perlindungan 100 peratus, vaksin sangat berkesan mencegah jangkitan, terutama bagi serotype virus atau bakteria yang terkandung dalam vaksin berkenaan. Malah, ia penting untuk mengurangkan komplikasi teruk akibat jangkitan pneumokokal
2) Memberikan vaksin mencegah selesema juga dianggap langkah baik kerana risiko mendapat otitis media meningkat jika kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan
3) Basuh tangan sekerap mungkin untuk mencegah pemindahan bakteria atau virus kepada anak
4) Beri susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan. Elak menyusu anak sambil berbaring
5) Jangan merokok di dalam rumah. Lebih baik, berhenti merokok. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap mengalami jangkitan telinga
6) Selain itu anda boleh meminta doktor memeriksa telinga anak setiap kali ke klinik, juga menyarankan doktor keluarga untuk lebih peka mengenai gejala jangkitan telinga bagi membolehkan masalah telinga dapat dikesan lebih awal.
Sumber Artikel dari sini
Untuk tambahan bacaan boleh jugak klik kat sini.
Mamiraysha : Saya terfikir nak ambik vaksin pneumokokal la untuk Razin. Vaksin ni kalau tak silap untuk mencegah 3 penyakit iaitu radang otak, radang paru-paru dan juga radang telinga ni. ex-jiran saya yang merupakan seorang nurse kat Hospital Serdang pernah cerita ambil suntikan ni untuk anak dia yang sebaya Razin. RM seratus lebih kat hospital serdang untuk 1 dos. Complete dos kalau tak silap saya 3 kot katanya. Harga bil rawatan pun dah nak hampir sama dengan harga suntikan pencegahan ni. Lebih baik la berhabis sikit untuk kos pencegahan ye tak? Prevention is better than cure!
Alhamdulillah,anak2 sy pun mmg dibg pnemukokol ni,walaupun diorang ni dok kat umah ja,sbb sy sndiri yg jaga..tp kalo anak2 duduk di nursery ka,meemang sgt2 di reccommend la utk amik vaksin ni noo,ni docter la kabor ;)
ReplyDeleteSekadar ingin bertanya..anak puan selepas ambik vaksin pnemukokol berkesan x utk elak selsema? anak sy sudah kena radang telinga 4 kali dlm masa setahun coz selalu selsema bila berada di taska..
ReplyDeletesaya dah ambik pnemukokol waktu anak saya sembilan bulan, sekarang anak saya dah berumur 1 tahun 1 bulan..baru jer semalam kena jangkitan telinga tapi tidak la serius kerana dalam masa 1-2 hari cecair sudah kering...Semuanya adalah kehendak Allah,kita sebagai manusia harus berusaha (mengambil vaksin pnemokokos.. sekurang2 sebagai usaha kurangkan risiko...)
ReplyDeleteSalam. t.kasih bkongsi. anak sy sdg mengalami jangkitan telinga skrg ni. Ni anak ke5 , sebelum ni mmg tak pernah lalui pengalaman ni. panik juga pagi td bila tgk ada cecair keluar dr telinga, bila sy bau mmg x de bau. dah bawa ke klinik and doc bg ubat2 >< spt anak puan juga. semoga cepat anakku sembuh Ya Allah..
ReplyDeleteHey tony! Nama saya Julia, terima kasih atas ketenangan maklumat yang anda bagikan mengenai Dr. Iyabiye mengenai penyembuhan hepatitis, dia dalam keberkahan saya menghubungi dia dan saya sembuh selepas memohon rawatannya. Beliau menghantar saya ubat melalui khidmat kurier DHL yang mudah untuk saya dapatkan dan mengambil ubat selama 4 minggu dan saya pergi ke hospital selepas itu untuk ujian dan negatif. Saya datang ke sini untuk memberitahu anda bahawa anda betul-betul di mana-mana ubatnya, semuanya baik dengan saya sekarang. Terima kasih banyak - banyak. Hanya sekiranya ada sesiapa di luar sana yang ingin menghubunginya, di sini adalah kenalannya: iyabiyehealinghome@gmail.com Panggilan / Whatsapp: +2348072229413
ReplyDeleteĹwietna sprawa. Pozdrawiam serdecznie.
ReplyDelete