Monday, September 30, 2013

Hernia : Bukan hanya anak lelaki, anak perempuan pun boleh kena jugak!

Saya seperti juga kebanyakan orang, sebelum ini menganggap hernia atau selalu disebut sebagai 'angin pasang' hanya terjadi kepada anak lelaki. Semasa berpantang selepas bersalinkan Umar Rayyan dulu, mak, ma, atok dan nenek siap pesan supaya 'aset' anak lelaki dituam dengan daun ati-ati yang telah dilayur. Petua menolak 'aset' tersebut dengan tumit kaki baby turut diamalkan sepanjang tempoh berpantang. Punyalah menjaga agar tidak berlaku angin pasang.

Amalan menjaga anak lelaki dalam pantang tidak saya samakan dengan anak perempuan. Tidaklah saya menuam bagai.. Just urut je satu badan sama macam anak lelaki. Tidak pula saya sangka, rupanya anak perempuan juga boleh terkena hernia ni. 

Doktor telah mengesahkan Rania mempunyai hernia pada sekitar Ramadhan yang lepas. Saya perasan ada benjolan di sebelah kiri atas alat sulitnya lebih kurang sebulan sebelum berjumpa doktor. Apabila saya urut dengan lembut, benjolan itu hilang dan keadaan kembali normal macam biasa. Walau bagaimanapun, ia akan muncul kembali dan akan hilang apabila diurut. Maklumbalas daripada Rania, beliau rasa sakit bila benjolan itu ditekan.

Semasa membawa encik asben mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 28.7.2013 lepas, tergerak pulak untuk bertanya doktor perihal Rania. Ketika inilah doktor mengesyaki Rania ada hernia (dah lebih kurang pulak namanya) dan mengesyorkan pemeriksaan susulan di hospital.

Lalu, bersama-sama surat rujukan doktor kami anak beranak ke Hospital Putrajaya. Dipendekkan cerita (kalau tak pendekkan mahu panjang lagi kena taip iaitu cerita sepanjang masa yang kena tunggu sebelum jumpa doktor..hehehe), doktor membuat pemeriksaan fizikal dan interview sikit dan terus sahkan Rania ada hernia. Tak payah scan-scan.. senang rupanya nak detect ada hernia ni. Doktor ini menetapkan satu tarikh iaitu 1.8.2013 untuk berjumpa doktor pembedahan. Tiada cara lain kecuali pembedahan! Fuh! ngeri dengar pasal bedah-bedah ni. 

Semasa berjumpa doktor bedah pulak, beliau buat lagi pemeriksaan fizikal ke atas Rania dan interview mummy sikit. Tiada juga scan-scan. Mungkin sangat biasa penyakit ini. Doktor jelaskan bahawa terdapat lubang pada dinding perut Rania sehingga menyebabkan tisu-tisu lemak atau lain-lainnya masuk ke dalam lubang tersebut dan menyebabkan bengkak. Apabila diurut, bengkak itu hilang bermakna ia masuk kembali ke tempat asal. 

Saya cuba mengelak agar Rania tidak dibedah. Tetapi doktor menasihatkan agar pembedahan dilakukan kerana dibimbangi lubang membesar dan kemungkinan usus akan terjulur keluar dari lubang tersebut dan tidak boleh masuk kembali. Tambah doktor lagi, ini melibatkan struktur badan maka pembedahan perlu dilakukan untuk membaikinya. Tidak boleh hanya sekadar memakan ubat.

Tak nak ambik risiko, maka saya setuju untuk Rania dibedah. Mula-mula doktor cadangkan tarikh bedah ialah pada hujung bulan ogos. Alamak! cepat sangat la pulak. Saya minta bulan September. Maka 30 September 2013, Rania akan dibedah!

Mohon doakan Rania ye.. agar semuanya selamat!






No comments:

Post a Comment