So, macam mana result adik-adik akak? Best? Tak best? Macam best? Hampir best?
Apapun keputusannya.. kena redha ye.. itulah rezeki yang Allah dan peruntukkan kat kita.
Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Jangan frust bila result yang kita dapat menyebabkan kita tak layak apply kursus yang kita minat. Ia bukan penamat kepada perjalanan menuntut ilmu ye adik-adik. Banyak lagi bidang yang tak berapa glamour yang mungkin lebih sesuai untuk kalian.
Dah tak yah nak sedih-sedih bagai..
Hari ni akak (tetiba lak jadi akak kan? Memang dah masuk golongan akak-akak dah pun.. belum makcik-makcik lagi..hihi..) bermurah hati nak melaksanakan khidmat masyarakat kepada adik-adik yang baru dapat result SPM ni. Tengah sibuk isi borang online UPU kan? Mesti tengah pening nak apply course apa kan? 8 pulak tu..huhu.. yang minat.. syarat minimum tak lepas pulak. Akak faham, sebab lama gak la akak dan adik ipar akak mengadap borang tu semalam. Akak pun mengalami simptom-simptom pening tu jugak la.
Adik-adik ada nampak tak dalam senarai kursus yang ditawarkan tu ada Kursus Diploma Pengurusan Hartanah? Ada 2 universiti yang tawarkan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mesti ada yang tertanya-tanya kursus apa kan? Meh.. akak bagi pencerahan dalam entry ni. Tapi kena baca sampai abis tau. Akak ko ni memang panjang ceritanya nak bolehkan sampai ke maksud asal..hehe..
Kronologi
Pejam celik pejam celik (Alhamdulillah.. Allah masih pinjamkan nyawa.. mampu celik semula selepas pejam mata).. tahun ni tahun ke-11 akak berkerja dalam bidang hartanah ni berbekalkan Diploma Pengurusan Hartanah akak dulu. Itulah titik tolak akak tercebur dalam bidang ni.
Macam kalian juga, akak tak kenal pun kursus ni dulu. Belajar apa.. keluar nanti kerja apa.. semuanya tidak terjangkau dek fikiran akak ni. Akak appy ni dulu pun atas saranan pakcik. Tu pun third choice. Masa zaman akak apply melalui UPU dulu (tahun 1999), 5 pilihan kursus je boleh buat. Pakcik akak yang sibuk sarankan course ni dulupun bukannya tahu pun kursus ni belajar apa. Nak tahu apa dia cakap masa sarankan couse ni?
"Ko try apply course Pengurusan Hartanah ni. Macam tak glamour je Pak Man tengok. Kalau ko apply course Sains Komputer ni, course ni glamour. Mesti ramai yang apply. So, chance untuk ko dapat tu kurang.. banyak saingan. Kalau course tak glamour ni, tak ramai apply. Kebarangkalian nak dapat tu tinggi."
Nasib baiklah akak ko ni jenis yang boleh terima nasihat orang..hehehe. Akak terima saranan pakcik akak dan apply juga kursus ni. Tak glamour pun tak glamour la. Janji dapat..hehe.. Tak nak pakai uniform sekolah lagi.. tak nak masuk Tingkatan 6. Itu dalam kepala akak masa tu.
Nak tahu apa pilihan pertama akak? Kursus Bimbingan dan Kaunseling (UTM). Akak minat bidang ni dan lepas syarat universiti dan program. Takde rezeki. Tapi kan.. sebenarnya kursus yang paling akak nak apply ialah Pengurusan Hotel dan yang berkaitan dengannya. Tapi melampau tau.. diorang tetapkan syarat kena credit dalam bahasa inggeris. Adeh! akak ko ni setakat lulus je bahasa inggeris tu.. maklumlah anak melayu sejatilah kononnya..kehkehkeh..
Pilihan kedua akak pulak ialah Diploma Perakaunan (UTM). Konon terer la belajar prinsip akaun.. nak jadi akauntan. Hehehe.. takde la terer mana. Dapat A2 je dulu.. tu pun siap tido rumah member 2,3 hari nak berguru punya pasal. Member akak ni memang ikhlas mengajar akak. Akak lebih faham dia ajar dari cikgu ajar..hahaha. Maklumla.. bahasa cikgu tinggi sangat. Dah jadi cikgu pun member akak ni sekarang. Thanks Hasanah! (akak tahu dia tak baca pun coretan ni.. saje je nak abadikan nama dia di sini. Upps lupa cerita.. dia dapat A1 subjek ni tau. Tak jadi akauntan pun.)
Pilihan ke-3, Diploma Pengurusan Hartanah. Pilihan ke-4, Diploma Pengurusan Ladang (UiTM) (bajet boleh jadi pengurus ladang) dan Pilihan terakhir rasanya Kursus Pra-perakaunan kot (tapi bidang perakaunan jugak la. Begitu mendalam minat, sanggup apply pra pun pra la janji boleh jadi akauntan..haha..) (UiTM).
Nak tahu tak apa cita-cita asal akak? Sejak dari darjah 1.. cita-cita akak nak jadi cikgu. Konsisten uolls cita-cita tu sampai la tingkatan 4. Tapi masa tingkatan 4, cikgu tanya satu kelas cita-cita nak jadi apa? Lepas sorang, sorang bagitau cita-cita.. Ada yang nak jadi doktor.. akauntan.. engineer.. arkitek.. tapi sorang pun takde yang nak jadi cikgu..huhuhu.. tiba turn akak kena jawab.. terus tukar.. nak jadi akauntan..hehehe.. macam malu je nak cakap nak jadi cikgu sedangkan kawan-kawan yang lain gempak je cita-cita diorang. Hahaha.. sangat teruk ini orang. Tak tetap pendirian langsung! (Jangan salah faham ye. Bukan akak nak down gredkan profesion perguruan tau. Ini apa yang akak fikir pada masa tu. Ye la.. fikiran mentah lagi. Akak respek profesion ni. Mereka orang yang ikhlas dan sabar. Sebab tu la ramai anak-anak guru yang berjaya dalam hidup. Mungkin akak tak cukup sabar untuk jadi seorang guru.. tu yang Allah takdirkan akak di bidang lain. Tapi minat akak nak jadi cikgu tak pernah pudar tau. Mungkin lepas ni aim untuk jadi pensyarah pulak)
Kita merancang.. Allah juga merancang.. tetapi perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Ditakdirkan akak terpilih untuk mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Hartanah dan ditempatkan di Kampus Shah Alam. Masa zaman akak ni, ada 2 cawangan UiTM yang ada course Pengurusan Hartanah ni. Shah Alam dan Seri Iskandar, Perak. Tapi sekarang hanya ada di Seri Iskandar, Perak. Shah Alam hanya untuk degree sahaja.
Belajar apa?
Pengurusan Hartanah. Tentulah pasal menguruskan hartanah kan? Dalam bahasa inggeris disebut Estate Management. Tapi jangan salah faham pulak ingat Estate Management tu pengurusan estet atau ladang. Kalau pengurusan ladang dipanggil Plantation Management. UiTM memang sebut Estate Management. Tapi di UTM dipanggil Property Management. Kadang-kadang sebut Real Estate Management. Akak punya degree dia tulis Bachelor of Science (Property Management) tapi kat dalam transkrip pulak tulis Bachelor of Science (Real Estate Management). Ah.. lantaklah janji dah laku pun degree tu.. yang penting ia membawa maksud yang sama.
Tapi apa itu hartanah atau harta tanah ini? Senang cerita.. ia adalah harta berupa tanah yang meliputi segala apa yang ada atas tanah, bawah tanah, atas tanah, yang melekat atas tanah, yang melekat kat benda yang melekat atas tanah serta tanah yang diliputi air. Contoh: tanah, bangunan, yang melekat secara kekal kat bangunan, tasik, sungai, tumbuh-tumbuhan, bahan galian, lombong, kuari, ruang udara.. haish! banyak betul kalau nak senarai. Nanti adik-adik akan jumpa definisi tanah di bawah Seksyen 5, Kanun Tanah Negara 1965 ye. Kang akak masukkan definisi tanah kat sini kang dah jadi lecture note la pulak..hehe..
Apa yang adik-adik akan belajar dalam course ni?
1) Penilaian
Ini merupakan subjek utama course ini. Wajib lulus tau subjek ni. Dalam subjek ni banyak guna matematik. Sebab tu syarat minimum untuk masuk kursus ni kena credit matematik iaitu sekurang-kurangnya gred C. Takde la matematik yang susah macam add math atau calculus tu. Ada la sifir penilaian yang kena hafal dan kena tahu nak implement masa bila. Lain-lain pengiraan macam matematik biasa.. campur tolak bahagi darab. Lain kaedah penilaian lain cara pengiraannya. Contoh pengiraan.. berapa perlu dilaburkan sekarang untuk mencapai simpanan RM50,000 pada 10 tahun lagi jika kadar pulangan 5% setahun. Hah.. kena kira la untuk dapatkan jawapan dengan menggunakan formula yang diajar. Interesting sebenarnya subjek ni. Uolls akan belajar macam mana nak tentukan nilai pasaran harta tanah. Kalau nak nilai tanah kosong guna kaedah apa, nak menilai stesyen minyak guna kaedah apa, nak nilai hotel guna kaedah apa, nak nilai shopping complex guna kaedah apa.. semua akan diajar.
Konsep penting subjek ini ialah penilaian itu art and science. Ada elemen sains dan seni. sains merujuk kepada formula dan pengiraan yang digunakan, manakala seni itu merujuk kepada pendapat dan pandangan yang diadun bersama bukti-bukti data yang ada.
Pening? Jangan pening lagi.. interesting tau. Uolls akan dapat ilmu tentang harta tanah yang bukan semua orang ada. Uolls akan tahu apa faktor-faktor yang boleh mempengaruhi nilai harta tanah. See.. nanti kalau nak melabur dalam bidang harta tanah ni.. uolls akan tahu patut tak beli sesuatu harta tanah tu atau sebaliknya.
Soalan first assignment akak subjek ni dulu ialah " Apa yang anda akan lakukan jika anda ada wang sebanyak RM1 juta." begitulah lebih kurang tajuk assignmentnya. Sampai sekarang akak ingat!
Opps lupa nak bagitau.. macam mana nak menilai orang takde diajar dalam subjek ni ye. Hanya menilai harta tanah. Macam mana nak menilai orang.. sila ambik kelas dengan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah la kot.
2) Undang-undang
Antara subjek penting dalam course ni. Belajar undang-undang.. terutama yang related dengan harta tanah. First semester biasanya diajar asas perundangan.. undang-undang kontrak, agensi dan tort. Kemudian disusuli setiap semester dengan undang-undang yang lain. Antara akta berkaitan yang adik-adik akan belajar ialah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Setem 1949, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Penilai Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Bangunan Seragam 1984, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyenggaraan) 2007 (akta ni akan dimansuh dan akan diganti dengan Akta Pengurusan Strata 2013) serta ada sikit sentuh Perlembagaan Persekutuan.. Fuh! sakit otak akak nak recall dik non..
Kenapa kena belajar undang-undang? Sangat penting adik-adik.. sebab harta tanah banyak kaitannya dengan undang-undang. Banyak undang-undang yang mengawal harta tanah ni. Penting untuk kita tahu undang-undang supaya tindakan yang kita buat tidak menyalahi undang-undang dan sebagai panduan untuk kita membuat keputusan mengikut peruntukan yang ada.
Akak paling suka subjek law ni. Nak apply kursus undang-undang dulu tak layak.. bahasa inggeris setakat lulus je..huhu.. So, kepada mereka yang minat belajar undang-undang tapi tak lepas nak apply course untuk jadi lawyer.. boleh la apply kursus Pengurusan Hartanah ni. Boleh jugak feel jadi lawyer..hehe.. Still boleh jugak merasa naik mahkamah, jadi saksi pakar, buat written reply untuk mempertahankan nilaian.. bila adik-adik jadi pegawai penilaian kerajaan atau penilai berdaftar di firma penilaian swasta.
3) Bangunan
Subjek ni pun penting jugak. Adik-adik akan belajar semua elemen-elemen yang menjadikan bangunan tu. Ada part yang kena melukis struktur bangunan termasuk asas, dinding, bumbung, pintu, tingkap dan sebagainya. Tengok.. ada gak lukis-melukis. Boleh la feel macam arkitek sikit..hehe..
Selain itu, akan diajar juga tentang building services iaitu perkhidmatan2 bangunan seperti sistem bekalan air, bekalan elektrik, sanitari, perkhidmatan lif, sistem pencegahan kebakaran dan sebagainya. Building maintenance.. penyenggaraan bangunan juga turut diajar. Macam mana nak rancang penyenggaraan bangunan. Penting untuk kita tahu kerana penyenggaraan bangunan yang betul akan mengekalkan nilai harta tanah. Bila dah belajar, kita akan tahu bahawa aspek penyenggaraan bangunan ini sangat perlu diambil kira ketika peringkat design bangunan lagi. Hah.. macam mana? Ada feel macam engineer lak kan? hehe..
4) Ekonomi
Ini pun subjek penting jugak. Macam-macam ekonomi kena belajar. Ekonomi Mikro, Ekonomi Makro, Ekonomi Tanah, Ekonomi Perbandaran.. semua diajar. Ekonomi rumah tangga je tak termasuk. Nilai harta tanah juga sangat dipengaruhi oleh ekonomi. Ye.. anda akan rasa macam ahli ekonomi sekejap.. ala-ala adam smith..hehe.. Tapi kalau anda rasa macam ala-ala mark adam.. nampaknya anda tido dalam kelas! haha
5) Prinsip akaun
Subjek ni masa akak belajar dulu, jumpa masa final semester je. Belajar akaun macam sekolah menengah dulu. Penting untuk tahu sebab lulusan pengurusan hartanah ni boleh jadi pengurus harta. Pengurus harta kena pandai akaun ye. Ehm.. walaupun akak tak dapat jadi akauntan.. tapi still boleh lagi belajar dan feel macam akauntan kan? hehe..
6) Lain-lain
Dik.. akak dah agak penat menaip..huhuhu.. akak ringkaskan je boleh? Subjek-subjek lain yang akan adik belajar ialah marketing, perejenan harta tanah, keusahawanan, bahasa inggeris, pendidikan islam, komputer dalam pengurusan harta tanah, perancangan bandar, statistik, ukur tanah, dan beberapa lagi subjek yang mungkin akak tak senaraikan. Tak boleh nak recall semua.. maklumlah dah kurang muda..hehe.. Namun begitu, suka akak nak ingatkan bahawa nama subjek mungkin berbeza-beza ikut universiti antara UTM dan UiTM. Akak dulu buat diploma di UiTM, so perkongsian ni tertakluk kepada pengalaman akak la ye. Lagi satu tertinggal, di UiTM, satu semester diperuntukkan untuk student menjalani latihan industri (practical) di mana-mana firma penilaian swasta atau Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta atau majlis daerah/perbandaran/bandaraya yang dipilih. Masa akak dulu, praktikal di semester ke-5. Tapi sekarang dah tukar.. semester akhir pulak iaitu di semester ke-6.
Senang ke belajar course ni?
Soalan glamour bakal-bakal student kan? Serius cakap dik.. belajar kat sekolah menengah lagi susah! Belum tentu apa yang kita belajar ditanya masa exam kan? Peperiksaan SPM contohnya, merangkumi pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5. Banyak tu.. tapi tak semua keluar exam kan? Kita pun tak tahu mana yang keluar mana yang tidak. Yang buat soalan orang lain.. yang tanda kertas orang lain. Berbeza dekat Universiti.. apa yang awak belajar tu la yang akan keluar exam. Orang yang mengajar awak tu la yang buat soalan exam dan tanda kertas jawapan awak. Senang kan?
Senang-senang pun.. ada juga yang kena dismiss tau dik. Bukan sebab senang ke susah sesuatu course tu.. tapi lebih kepada sikap dan minat individu itu. Kuliah jangan ponteng, assignment kena buat sungguh-sungguh, sentiasa ulang kaji, rajin cari maklumat tambahan.. itu semua faktor kejayaan.
Ramai juga student yang cemerlang semasa SPM tetapi terkandas semasa di universiti. Bukan sebab tak pandai atau course susah.. tapi macam akak katakan tadi.. sikap. Tiada jalan pintas untuk berjaya kecuali dengan usaha!
Sebelum mula belajar.. kena tanamkan minat dan azam dalam hati. Niat kena betulkan. Menuntut ilmu kerana Allah..
Kerjaya
Boleh kerja apa dengan Diploma Pengurusan Hartanah ni? Confirm adik-adik tak boleh nak jadi doktor dengan diploma ni. Salah course ok. Berikut adalah beberapa pekerjaan yang adik-adik boleh ceburi:
1) Penilai
Penilai yang dimaksudkan adalah Penilai harta tanah ye. Takde kena-mengena dengan penilaian peperiksaan. Ada juga yang salah faham bila cakap kerja kita sebagai penilai. Mereka ingatkan ada kena-mengena dengan peperiksaan. Mungkin terpengaruh dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kot..hehe.
Ada dua sektor yang boleh diceburi iaitu sektor kerajaan dan sektor swasta. Jika sektor kerajaan, dengan diploma ini, adik-adik layak menjawat jawatan Penolong Pegawai Penilaian W27 dengan gaji pokok permulaan RM1,742.28 dan kenaikan tahunan RM145. Jawatan ini paling banyak ditawarkan di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia. Jika dengan JPPH, jawatan ini adalah jawatan persekutuan dan kalian boleh merasa bertugas di serata Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Selain itu, ada juga jawatan ini ditawarkan di majlis-majlis daerah/ perbandaran/ bandaraya. Masih menggunakan nama jawatan dan skim gaji yang sama tetapi perjawatan ini adalah perjawatan kerajaan tempatan yang mana kebarangkalian untuk berpindah ke tempat lain hampir tiada dan kemungkinan besar kekal di situ sehingga pencen.
Tugas utama seorang penilai ialah menilai harta tanah. Dalam kata lain, menentukan nilai pasaran harta tanah. Sebelum sesuatu nilai itu ditentukan/ dianggarkan, bukti-bukti jual beli perlu dianalisis, data-data berkaitan perlu diambil dan disemak, lawat periksa tapak perlu dilakukan, mengukur bangunan jika ada bangunan yang terlibat dan lain-lain tugas yang berkaitan.
So, kerja seorang penilai bukan sentiasa di pejabat. Ada masanya mereka perlu keluar pejabat untuk melakukan lawat periksa harta tanah yang hendak dinilai. Jika ada bangunan yang terlibat, bangunan perlu diukur untuk mengetahui keluasan bangunan jika tiada pelan bangunan dikemukakan. Siapa yang suka environment kerja yang tidak memerap sepenuhnya di pejabat, bidang ini sangat sesuai untuk anda. Tapi bagi mereka yang sangat menjaga kecantikan kulit sehingga tak sanggup terdedah kepada matahari.. mungkin anda perlu pertimbangkan dulu untuk memohon kursus ini.
Bestnya kerja ni, kita tidak perlu menghadap kerja yang sama setiap hari. Rutin kerja yang tidak membosankan kerana walaupun membuat kerja yang sama iaitu menilai tetapi kita akan berdepan dengan kes yang berlainan setiap hari. Setiap harta tanah adalah unik. Sama tetapi tidak semestinya serupa.
Tak banyak beza dari segi kerja sama ada anda penilai kerajaan atau penilai swasta. Prinsip penilaian tetap sama. Kerja-kerja penilaian juga sama.
2) Pengurus Harta
Selain bidang penilaian, adik-adik juga boleh menceburi bidang pengurusan harta. Bidang tugas utama tentunya menguruskan harta tanah. Biasanya syarikat besar, shopping complex, perumahan strata dan kompleks pejabat memerlukan khidmat pengurus harta. Antara tugas seorang pengurus harta ialah menguruskan penyewaan bangunan, penyenggaraan bangunan, menguruskan kontrak-kontrak yang berkaitan dengan perkhidmatan yang terdapat dalam bangunan, memastikan insuran yang mencukupi bagi bangunan, iklan/ promosi/ publisiti terhadap harta serta penyediaan laporan yang dikehendaki.
Rasanya tiada dalam jawatan kerajaan pengurus harta ni. Kalau di JPPH, penilai juga yang menjalankan kerja-kerja pengurusan harta tetapi hanya segelintir yang ditugaskan kerana core business JPPH ialah perkhidmatan penilaian. Begitu juga penilai di majlis, mereka juga turut menggunakan penilai untuk menguruskan harta.
3) Ejen harta tanah
Adik-adik juga layak untuk menjadi ejen harta tanah dengan diploma ini. Tugas utama seorang ejen harta tanah ialah menjadi ejen untuk jual beli harta tanah termasuk juga sewaan harta tanah. Tugas anda ialah mencari pembeli jika client anda hendak menjual hartanahnya. Begitu juga sebaliknya, jika client anda ingin membeli.. tugas anda ialah mencari penjual harta tanah yang diinginkan. Begitu juga untuk sewaan harta tanah. Walau bagaimanapun, hanya ejen hartanah yang berdaftar sahaja yang layak menerima fee. Tetapi dibenarkan jika pekerja syarikat perejenan harta tanah yang menjalankan tugas untuk ejen harta tanah berdaftar tu. Fee yang dikenakan ialah 2.5% hingga 3% daripada nilai harta tanah yang berjaya dijual beli. Sangat lumayan kan? Manakala fee untuk sewaan depends on panjang tempoh sewaan. Kalau sehingga 3 tahun, fee dikenakan 1.25 bulan dari sewa kasar. Lagi panjang tempoh, lagi tinggi fee dia tau. Fee minimum pulak sebulan sewa.
Memang sangat boleh untuk kaya jika menceburi bidang ejen harta tanah ni. Kalau adik-adik berkerja dengan syarikat ejen harta tanah ni tanpa berdaftar sendiri, akak tak pasti pulak tentang pembahagian fee tu. Ada syarikat yang mengagihkan 40% - 60%. Nasihat akak, baik adik jadi je ejen harta tanah berdaftar. Macam mana? dengan diploma pengurusan hartanah ni, adik dah lepas 1 step. Then, kena lalui Ujian kecekapan (Test of Professional Competence) dan temuduga yang dilaksanakan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen harta tanah.
4) Penolong Pegawai Tadbir N27
Dengan diploma ini juga, anda layak untuk menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27 di sektor kerajaan. Lari bidang sikit.. memang tak jumpa kerja-kerja menilai harta tanah di sini. Kalau ada pun mungkin kena menilai staf kot..hehe..
Kerja macam mana? Tugas utama lebih kepada pentadbiran pejabat. Menguruskan cuti, gaji, kenaikan pangkat, tata tertib, pengesahan jawatan, kewangan dan sebagainya. Kerja ni most of the time memang kena duduk dalam pejabat la. Tak perlu keluar untuk membuat lawat periksa harta tanah. Sesuai la untuk cik kak yang sangat menjaga kecantikan kulit tadi..hehe...
Lupa nak cerita.. jawatan ini adalah jawatan gunasama tau. Maksudnya adik-adik boleh bertukar di mana-mana jabatan kerajaan yang ada jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Boleh la dapat pengalaman kerja di hospital, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba, dan sebagainya.
5) Lain-lain
Selain yang dinyatakan di atas, anda mungkin boleh berkerja dengan pemaju hartanah (developer). Biasanya bagi pemaju-pemaju yang besar, mereka mempunyai penilai mereka sendiri untuk menasihati mereka berkenaan pelaburan harta tanah dan penilaian harta tanah, selain boleh juga dijadikan sebagai pengurus projek. Memang sangat menguntungkan jika pemaju hartanah ini menggaji seseorang yang ada lulusan dalam bidang harta tanah ni. Boleh jimat apa.. gaji seorang tapi boleh buat macam-macam benda. Start dari nak rancang projek, semasa projek sampai la nak pasarkan projek tu (buat marketing).
Selain itu, anda juga boleh menjadi penganggur terhormat tanpa apa-apa pekerjaan sekiranya malas mencari kerja!
Kemajuan kerjaya
Anda boleh meningkatkan taraf pendidikan ke tingkat yang lebih tinggi dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah. Kalau diploma tadi ada 2 IPTA yang tawarkan, tapi untuk degree ini up lagi sikit. Universiti Tun Hussien Onn dan Universiti Malaya juga ada course ni selain UTM dan UiTM.
Dengan ijazah ini, anda layak untuk menjawat jawatan Pegawai Penilaian W41 di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan juga majlis-majlis perbandaran/ bandaraya.
Kalau minat nak kerja mengurus staf dan pejabat, boleh apply jadi Pegawai Tadbir Diplomatik M41 (PTD) macam Ariana Rose dan Harith..hehehe..
Dengan ijazah ini juga, anda layak untuk menjadi Penilai Berdaftar (Registered Valuer) yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (LPPEH). Caranya.. kena daftar dengan LPPEH sebagai penilai percubaan. Tempoh percubaan adalah selama 2 thn. Dalam tempoh ini anda perlu mengisi buku log yang dicatatkan kerja-kerja yang anda lakukan sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa yang sama, anda juga perlu menyiapkan 2 task. Setelah cukup tempoh, anda perlu menghadiri temuduga yang merangkumi presentation 2 task tadi dan soalan-soalan lain yang merangkumi bidang penilaian, pengurusan harta, perejenan harta tanah serta perundangan dan percukaian. Temuduga ini akan mengambil masa selama 3 jam. Jika ada bidang yang tak lulus, kena repeat interview bidang itu sahaja.
Akak ni pun sedang dalam edah percubaan ni dik. Sangat tak sempat untuk isi buku log tersebut. Bulan 7 ni genap setahun, kena hantar untuk disemak dan disahkan then sambung lagi rekod untuk 1 thn lagi. Tahun depan baru boleh interview kalau siap la..huhuhu..
Jika anda telah menjadi Penilai Berdaftar, automatik anda juga akan dapat lesen Pengurus Harta Berdaftar dan juga Ejen Harta Tanah Berdaftar. Orang cakap sign anda laku.. dan boleh buka company sendiri atau jadi share partner. Nanti check kat laman web LPPEH ni ye untuk tahu lebih lanjut tentang syarat-syarat, etika, fee dan sebagainya. Tak larat dah akak ko ni nak menaip lagi. Panjang berjela dah entry ni.
Profesional
Penilai merupakan pekerjaan profesional yang mana anda perlu ada kelulusan berkaitan sahaja untuk menjadi seorang Penilai. Tak boleh nak jadi penilai kalau anda ambil course Pentadbiran Awam ke Seni Bina ke Kejururawatan ke..
Sebagaimana profession professional yang lain, Penilai juga dikawal oleh satu lembaga (jangan takut.. ini lembaga tak menakutkan punya..hehe..) iaitu Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (BOVEA) yang ditubuhkan di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981.
Oleh yang demikian, walau sign dah laku pun.. seorang penilai, pengurus harta dan ejen harta tanah still terikat dengan Akta Penilai ini dan perlu mematuhi segala kod etika dan peraturan yang telah ditetapkan. Fee yang boleh dikenakan juga perlu tertakluk kepada Akta ini.
Akhir kata
Fuhh!! sampai juga garisan penamat! hehehe.. macam mana? boleh bayangkan tak masa depan anda kalau kerja bidang harta tanah ni? Minat? Tak minat? Keputusan di tangan anda ye adik-adik. Apa-apapun akak doakan supaya adik-adik berjaya dalam hidup tidak kira bidang apapun kalian ceburi. Sebelum apply sesuatu course itu, sila semak dahulu syarat-syarat yang ditetapkan oleh sesuatu kursus itu supaya anda tidak di'reject'!
Bidang apapun yang bakal anda tuntut ilmunya, belajar rajin-rajin, jangan culture shock! Zaman sekarang ni sangat sukar untuk mendapat pekerjaan. Pointer yang baik mungkin boleh jadi kelebihan untuk melepasi tapisan temuduga tetapi belum tentu berjaya. Ada faktor lain yang diambil kira seperti keyakinan diri, communication skill, leadership, kebolehan berbahasa inggeris dan sebagainya. So, selain belajar dan belajar.. jangan lupa develop kemahiran generik anda juga ye! Tak payah nak jadi ulat buku sangat sampai tak joint aktiviti persatuan dan sebagainya.