Saturday, May 23, 2020

Pengalaman Bersalin Edisi Keempat: Bersalin Normal di Dewan Bedah

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam 30 Ramadan 1441 Hijrah.

Sebuah catatan buat ingatan.

Tarikh hari ini 23 Mei, 2 tahun yang lalu bersamaan dengan 7 Ramadan 1439 Hijrah, hari rabu, mami selamat melahirkan anakanda keempat. Setelah berehat hampir 7 tahun.

Belum pernah mami kongsikan pengalaman bersalin edisi keempat ini dalam blog ni. Saje nak tulis untuk perkongsian pengalaman selain untuk bacaan mami dan anak-anak pada masa depan. Lama nak menulis kisah ni. Tapi tertangguh-tangguh, sampai la saat ini, setelah 2 tahun..hihi.

Sebagaimana anak kedua dan ketiga, anak keempat mami ni nak juga keluar pada tarikh expected due date (EDD) dia, 23.5.2018. Doktor yang melawat mami di wad kata 5% je kelahiran yang menepati EDD ni. Ok mami ada sumbangan sebanyak 3 sampel kat statistik ni..hehe. Anak sulung mami je lahir awal 5 hari dari EDD, tak sabar nak keluar pada usia kandungan 39 minggu 2 hari. Anak-anak yang lain sabar menepati masa jangkaan kelahiran mereka, cukup 40 minggu dok dalam rahim mami.

Berbalik kepada kisah 2 tahun lepas, memandangkan mami dah dapat rasakan yang no.4 ni pun akan keluar pada tarikh due date, maka mami siap-siap minta tolong adik bujang yang tinggal di Shah Alam untuk balik kampung ambil mak pada 22.5.2018. Jarak ke kampung lebih kurang 140 km dari sini. Sempat la adik berbuka di kampung dan patah balik semula ke sini, sampai rumah lebih kurang pukul 12 tengah malam pada 23.5.2018.

Alhamdulillah, mak dah ada bolehlah nak beranak dengan tenang kan? Tak lama lepas tu lebih kurang pukul 3.30 pagi mami terjaga daripada tidur. Masuk toilet dan perasan dah keluar tanda lendir bercampur darah. Yes! It's the time. Tanda yang sama macam anak sulung, kedua dan ketiga nak keluar. Masa ni contraction belum sampai lagi. Nervous pulak rasa bila lama tak beranak ni. 

Mami kejut dedi maklumkan dah sampai masa nak beranak tapi belum urgent lagi. Lebih kurang setengah jam kemudian baru contraction datang tapi belum berapa nak kuat lagi. Mami siap-siap sediakan juadah sahur dan iron baju sekolah anak-anak dulu. Sempatlah sahur dulu sebelum ke hospital. Nak pakai tenaga nak meneran kan? Kami gerak lebih kurang pukul 5.20 pagi dari rumah. Contraction masa ni macam tak berapa nak konsisten lagi. Antara 5 hingga 10 minit sekali.

Dedi tanya nak ke hospital mana? Hospital Putrajaya ke Hospital Serdang? Dua-dua pun jarak lebih kurang sama dari rumah. Mami ajak dedi pegi Hospital Serdang. Nak anak Selangor kata mami..haha. Padahal seram bila terdengar cerita yang Hospital Putrajaya suka bedah orang, tak nak ambil risiko katanya. Takut juga kalau kena bedah, walaupun belum pernah bersalin melalui pembedahan. Tapi jauh di sudut hati mami percaya doktor di sana pastinya membuat keputusan sedemikian untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak kan?

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari...haha. Nampaknya hasrat nak beranakkan anak Selangor tak kesampaian. Mami dimaklumkan oleh nurse yang bertugas di front desk, ward penuh. Boleh baca seperti yang tertera pada notice board. Boleh kalau nak bersalin di hospital ini, tapi akan stay di labour room sehingga ada ward kosong katanya. Alamak! 


Notis terpapar di lobi pintu masuk Dewan Bersalin Hospital Serdang
Nurse tanya tinggal di mana dan suggest pegi hospital lain yang terdekat. Mami minta tolong beliau, boleh ke tolong checkkan sama ada Hospital Putrajaya yang mami bakal pergi tu penuh jugak tak? Tapi dukacita beliau tidak dapat membantu sejauh itu. 

Ok, mami dedi teruskan perjalanan menuju ke Hospital Putrajaya pulak. Tak lama lepas  bertolak ke Hospital Putrajaya, azan subuh berkumandang di corong radio. 5.40 pagi masa ni (mami semak kat portal e-solat jakim baru jap tadi). Contraction masa ni lebih kurang 5 minit sekali. 

Sebelum ke hospital, kami singgah solat subuh di Stesen Minyak Petronas di Presint 9 dulu. Lebih kurang pukul 6 pagi di sini. Tunaikan dulu tanggungjawab sebelum nak berjuang kan?

Sampai Dewan Bersalin Hospital Putrajaya dah hampir pukul 6.30 pagi. Prosedur biasa, kena interview dulu kenapa datang. Mami cakap lah dah ada blood show dan contraction 5 minit sekali. Mula-mula nurse macam nak percaya tak percaya yang mami dah ada contraction sebab dia kata mami boleh duduk elok. Biasanya orang yang contraction 5 minit sekali ni tak boleh nak duduk dah katanya. Eh, beliau meragui kita ke ni? Ah tak kisah la kan. Janji beliau bagi masuk buat pemeriksaan. Ambil tekanan darah, timbang berat, ukur tinggi. Pastu baring untuk dipasang CTG, alat yang dilekatkan pada perut untuk memantau denyut jantung baby dan contraction rahim.

Sementara mami dalam pemeriksaan, dedi balik sekejap nak hantar anak-anak pergi sekolah. Ketiga-tiga mereka ada exam pertengahan tahun. Mami baru teringat yang mami lupa salam dedi...huhu...

Berdasarkan rekod whatsapp dengan dedi, pukul 7.17 pagi dedi dah settle hantar anak-anak ke sekolah dan dalam perjalanan semula ke hospital. Mami masih belum settle lagi, CTG masih terpasang. Doktor datang check bukaan, baru 1 cm katanya. Adoii la.. masa ni contraction mami dah kuat.. memang tak tahan. Rasa nak guling-guling je atas katil tu. Tak kan la baru 1 cm. Eh, mami pulak nak meragui doktor muda ni! Ada pulak nurse yang berada di situ kata boleh balik dulu. Tapi bila tahu mami nak beranak anak keempat, risau pulak beliau nak bagi balik. 

Lebih kurang pukul 7.45 pagi, sekali lagi mami dipasang CTG. Tak pasti kenapa sampai dua kali. Doktor kata gerak jantung baby tak cantik. Maybe baby tengah tido katanya. Contraction makin kuat...sakit....huhu...

Lebih kurang pukul 8.05 pagi doktor pakar datang check pulak. Sekali lagi mami diseluk tapi kali ni oleh doktor pakar. Doktor kata bukaan dah 4cm. Baby dah berak kat dalam katanya sebab air ketuban nampak keruh. Emergency operate!
arahnya. Masa ni doktor pakar agak marah sebab mami masih belum dipasang tag nama dan branula di belakang tapak tangan. Kelam kabut nurse dan pembantu pasang tag nama dan branula. Paling sakit nak pasang branula la, tak jumpa salur darah agaknya. Tak dapat belah kanan, belah kiri mereka kerjakan. Sakit kena cucuk..di dua-dua belah tangan pulak tu..huhu. Akhirnya jumpa jugak la. 


Menyakitkan...
Nak kena bersalin secara pembedahan caesarean ke ni? Bila dengar doktor pakar kata operate, mami try nego. Berapa lama boleh bagi mami masa untuk try normal. Beliau kata, sekarang juga tak boleh tunggu. Emergency. Risiko untuk baby katanya. Dedi dipanggil masuk jumpa mami. Mami dah sedih dah masa ni bila nak kena operate. Bergenang dah air mata nak nangis. Dedi sabarkan mami. Redha je katanya. Perkara yang mami nak elak di Hospital Putrajaya ni akhirnya mami kena hadap juga..huaaa.. Terketar2 jugak la tangan sign borang kebenaran operate.. tahan sakit contraction plus takut nak kena operate. Hah bergabung!

Sebenarnya masa nak bersalinkan Uzair 7 tahun yang lalu di hospital yang sama, mami pun ada pengalaman macam ni. Bila doktor pecahkan air ketuban, doktor tengok air ketuban mami dah keruh. Baby dah berak kat dalam kata doktor. Masa ni doktor bagi tempoh sejam untuk bersalin normal. Kalau tak, emergency operate! Tak sampai sejam, lebih kurang 20 minit kemudian mami dah selamat bersalin secara normal.

Nampaknya kali ni doktor tak boleh nak bagi masa sejam macam doktor yang dulu bagi. Mami pasrah, sambil berdoa moga Allah permudahkan. 

Sebelum ditolak ke dewan bedah, mami dipasang tiub kencing dan diberi minum sejenis cecair ubat yang rasanya macam serai..huhu..(ubat tahan muntah katanya). Contraction mami masa ni memang dah kuat...sakit sangat rasa nak berguling, rasa nak menendang...sambil mengerang kesakitan.

Semasa baru nak bertolak ke dewan bedah, salah seorang nurse bisik pada mami, "Puan, kalau puan rasa nak teran, puan teran je. tapi jangan cakap saya cakap tau." Mungkin dia tengok mami mengerang kesakitan akibat contraction tu dan percaya mami boleh bersalin normal tanpa pembedahan kot. Beliau juga ada masa doktor pertama check bukaan 1cm dan sejam kemudian doktor kedua check bukaan dah 4cm.

On the way ke dewan bedah, ternampak dedi duduk di kerusi menunggu. Dedi tengok mami, mami tengok dedi. Masa ni lupa nak request nak salam dedi...huhu.

Sampai di dewan bedah, doktor bedah dan doktor bius dah menunggu mami. Mami masih mengerang kesakitan akibat contraction. Doktor bedah tanya mami "puan nak teran ke?" Mami cakap "Ya". Doktor tanya juga kelahiran paling besar berapa kg? Mami cakap 3.38 kg.

Ok, doktor terus minta mami buat posisi biasa bersalin normal dan suruh mami teran. Mami tarik nafas dalam-dalam dan push. Dalam 3 kali push juga la baby keluar. Doktor tak putus-putus bagi semangat dan pujian masa push ni. Alhamdulillah....pukul 8.38 pagi baby keluar dengan selamat. Tiada koyakan juga, so mami tak perlukan jahitan perineum. Alhamdulillah...kali pertama tak jahit. Kalau tak, menahan satu lagi kesakitan..huhu...

Mami tak pasti tiada koyakan ni disebabkan faktor mami tak angkat punggung masa meneran atau mami ada minum minyak kelapa dara pada penghujung kehamilan atau baby kecil, 2.82 kg atau kombinasi kesemuanya? yang penting Allah dah permudahkan...Alhamdulillah....bersalinlah mami secara normal di dewan bedah.

Lepas bersalin dan disorong keluar dari dewan bedah, mami dimasukkan drip oksitosin. Nurse kata untuk bantu kecutkan rahim dengan segera sebab rahim mami dah berkerja keras dari 1cm ke 10cm dalam tempoh sejam lebih.

Dah keluar dari dewan bedah, dedi dah boleh berada di samping mami. Nampaknya dua-dua anak perempuan lahir dedi tak dapat tengok. Masa Rania lahir dulu boleh nurse lupa panggil dedi. Dah selamat bersalin baru dedi masuk, padahal ada je dedi kat luar tu..huhu. Kali ni tak boleh masuk sebab dalam dewan bedah.

Setengah jam kemudian, baru mami dapat dakap baby yang mami baru lahirkan. Baby girl dengan berat 2.82 kg. Paling kecil berbanding kelahiran terdahulu 3.19 (lelaki), 2.92 (perempuan), 3.38 (lelaki). Anak-anak perempuan tak sampai 3kg..hehe..sama macam mami lahir dulu, 2.9 kg je.

Tak tunggu lama, mami terus menyusukan baby. Subhanallah, pandainya dia menyusu, kuat betul hisapannya macam anak lelaki..hihi.


Fresh from oven. 5 jam selepas dilahirkan.
Alhamdulillah Allah permudahkan urusan bersalin anak keempat ini. Satu lagi pengalaman berharga yang Allah titipkan untuk mami.

Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-2 tahun anak mami, Adra Raisha! Moga Adra membesar dengan sihat dan pintar, jadi anak solehah, berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.


1 comment: