Tuesday, May 18, 2010

Kaedah Shicida

Kaedah apa ni? Kaedah Shicida adalah satu kaedah mendidik anak-anak berfikir menggunakan otak kanan seperti yang diajar oleh orang Jepun. Ini kerana otak sebelah kanan lebih efektif berbanding otak kiri tetapi ia perlu dipraktikkan dengan lebih kerap supaya ia berkesan. Berikut adalah sedikit kaedah Shicida yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Dalam masa seminggu ia diaplikasikan impaknya sudah boleh dilihat bergantung kepada keupayaan dan kebolehan anak-anak menerimanya.

1) Katakan sayang padanya

Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam, cakap padanya dengan sepenuh hati dan sejujur-jujurnya yang kita sayang padanya, dia budak baik, anak soleh, budak kuat, budak pandai dan sebagainya. Ini kerana waktu tidur-tidur ayam itulah otak kanannya sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur. Tetapi perlu dilakukan seikhlas hati sebab jika dilakukan dalam keadaan marah, ia tidak menjadi. Jika mereka sudah tidur, cuba ramas jari-jarinya atau picit-picitkan badannya supaya dia kembali dalam keadaan tidur-tidur ayam. Cuba praktikkan pada anak khususnya bagi mereka yang liat bangun pagi. Insya-Allah menjadi.

2) Flash card

Mula guna kad untuk ajar anak anda dengan gambar binatang atau benda yang berwarna dan cara yang betul ialah tunjuk sepintas lalu sahaja dan otaknya akan berkerja keras untuk mengenali apakah benda yang ditunjuk. Boleh dibuat sendiri atau beli kad yang berabjad A,B,C atau 1,2,3..

3) Kreatif

Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan, jadi cuba ajar anak anda main tanah liat, cat air, melukis, gunting kertas, origami dan sebagainya. Satu lagi, cuba lukis gambar contohnya rama-rama, tetapi hanya sebelah badannya sahaja dan suruh anak anda sambung lukis ikut apa yang anda lukis di bahagian satu lagi. Ini juga dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.

4) Jangan emosi

Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak kiri. Kalau tanpa sengaja anda marah atau menengking mereka, kembali semula ke cara pertama dan minta maaf kepada mereka dengan ikhlas

5) Bina daya imaginasi

Cuba bina daya imaginasi mereka dengan cara bercerita dan kemudian suruh mereka menyambung semula cerita tersebut. Cerita merapu pun takpe asalkan mereka punya inisiatif untuk berimaginasi.

6) Main teka-teki

Letakkan satu barang dalam kotak kemudian suruh mereka teka apakah barang dalam kotak tersebut. Untuk permulaan, berikan mereka pilihan untuk menggambarkan jenis barang dalam kotak tersebut seprti memberitahu warna, bunyi dan sebagainya. Lama-kelamaan mereka boleh bangunkan deria keenam (sixth sense) dengan menumpukan perhatian kepada benda yang berada dalam kotak tersebut. Ini semua adalah untuk mengaktifkan otak sebelah kanan. Tetapi ingat, semua permainan yang hendak dilakukan itu hanya boleh dilakukan selama setengah jam sehari. Tidak boleh terlalu lama kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan.

Lastly, sebelum melakukan semua kaedah ini, pastikan anda mempunyai masa yang benar-benar cukup. Pendekatan ini memerlukan keikhlasan dan kesungguhan. Dalam islam sendiri pun menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak ketika mereka mahu tidur kerana pada ketika itulah antara waktu-waktu doa dimakbulkan. Seorang kaunselor juga memberitahu, jangan suka menyebut JANGAN pada anak-anak kerana apa yang kita sebut itulah yang mereka ikut. Cuba ganti perkataan JANGAN dengan perkataan lain untuk menyampaikan maksud anda, misalnya "Tolong senyap, Along" berbanding "Along, jangan bising".

Sumber : Majalah Nur edisi Mei 2010

No comments:

Post a Comment