Check it out!

Monday, December 9, 2013

Pneumonia : check-in @ Hospital Putrajaya

Lena di katil hospital. Volkswagen dan Jaguar sentiasa menemani.

Lebih kurang pukul 1 pagi semalam, 8.12.2013, mummy terjaga dari tidur. Gara-gara Razin asyik merengek ketidakselesaan. Nenen yang biasanya menjadi ubat penenang, langsung tak mampu menenangkan Razin tika itu. Terlentang salah, meniarap tak kena. Memang Razin serba tak selesa. Mummy tengok Razin bernafas dengan laju. Degup jantungnya juga laju. Mummy khabarkan pada daddy, dan cadangkan supaya Razin dibawa ke hospital. Mummy sangka mungkin Razin asma walaupun dia tidak pernah diserang asma sebelum ni. Razin batuk dan selsema sekarang ni, mungkin itu penyebab dia asma, fikir mummy. Mungkin bila ambik nebulization, dia akan ok.

Pukul 1.30 pagi, kami sampai di Hospital Putrajaya. Daftar nama di triage Jabatan Kecemasan dan Trauma. Kena interview dulu. Sebelum mummy bercerita lebih jauh lagi, mummy nak bagi peringatan kepada semua mummies di luar sana, sila ambil tahu dengan mencatatkan tarikh setiap apa yang berlaku ke atas anak anda. Bila tarikh dia demam? Bila tarikh dia start batuk? Bila tarikh dia start selsema? Masa demam, berapa suhu yang tercatat? Berapa hari demam? Ubat apa yang diambil? Ye.. inilah antara soalan-soalan yang dikemukakan semasa interview di triage ni. Bukan di sini sahaja, bahkan sepanjang anda berada di hospital apabila doktor yang berlainan mengunjungi anda. Mummy sebenarnya tak berapa nak ingat, bila tarikh-tarikh yang ditanya ni berlaku. Mummy main agak-agak je. Silap mummy! So, I tak nak ada mummy lain yang macam I ye. Doktor biasanya akan mengagak penyakit berdasarkan simptom yang kita beritahu mereka. 

Semasa di triage, mummy ceritakan kepada nurse yang bertugas simptom2 yang dialami oleh Razin. Razin diperiksa, namun nurse tak confident nak mengesahkan lalu dirujuk ke doktor. 2,3 doktor datang untuk check Razin dengan stetoskop mereka. Darah Razin diambil. Badan Razin di x-ray. Sejam jugak la kami tunggu result keluar. Razin juga turut diberi neb untuk membantu melancarkan pernafasannya.

Bila result keluar, doktor mengesahkan paru-paru Razin dijangkiti kuman. Pneumonia kata doktor.
Razin perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
Lebih kurang pukul 3 pagi, Razin disorong ke wad 2C, wad pediatrik, ditemani oleh mummy.

Hidung Razin disalurkan dengan tiub oksigen untuk menambah bekalan oksigen dalam badannya. Hanya pukul 10 pagi tadi tiub ini dicabut setelah nurse memeriksa dan mendapati bilangan oksigen dalam badan Razin sudah mencecah angka 98.
Sepanjang di hospital juga Razin perlu mengambil nebulization setiap 4 jam sekali.
Razin turut disuntik dengan ubat antibiotik. 

Pukul 6 pagi semalam, selain darah Razin sekali lagi diambil, tekak Razin dijolok doktor untuk mendapatkan sampel kahak. Mummy tidak dibenarkan menemani Razin. Ketika di surau, mummy boleh dengar suara Razin menangis. Kesian Razin.
Mesti dia kesakitan.

3 pagi masuk wad, dah bulan ke-13 dah bulan ni ye..

Kesian budak tak sihat ni..

Celik je mata bangun tido, ini yang ditanya. Mana car ujai? Terpaksa daddy bawa datang berjumpa.

Hari ni Razin semakin ok.
Sejak bangun pagi tadi, dia sudah kembali aktif.
Menyanyi-nyanyi dan bercakap tak berhenti dengan pelat yang melekat.
Mummy juga kena main car dengan dia.
Main game lumba motor dengan dia juga. Kalah je nak nangis. Tension betul main dengan budak kecik ni..huhuhu..
Layankan aje la.

Kami juga telah bermain di taman permainan yang disediakan di situ.
First time main kat sini sejak dimasukkan ke wad. Tapi tak seronok sangat sebab kami dua orang je dalam ni.

Dua malam kami bermalam di Hospital Putrajaya.
Petang tadi, pukul 6 petang, Razin telah dibenarkan discharge without charge. 
Alhamdulillah, doktor kata Razin semakin ok walaupun belum pulih sepenuhnya lagi.
Kena sambung makan antibiotik dan ubat batuk di rumah.

Saturday, November 30, 2013

Welcome to new member in the house

Eh eh tersilap tajuk pulak.
Takde de beliau boleh masuk dalam house kami
Tak muat.
Boleh dok diam-diam kat luar rumah je.

22 November lepas, mummy dan daddy telah membawa balik anak angkat yang bernama Rayqal. Ya, nama ni mummy yang bagi kat dia. Supaya nampak sedondon dengan nama anak-anak mummy yang lain. Supaya beliau tidak terasa terasing.. hahaha..




Inilah Rayqal yang mummy maksudkan..hehe..
Putih gebu kan? hahaha..

Oppss! sebelum tu, biar mummy jelaskan dulu.
Ini bukan entry menunjuk-nunjuk ye. Jauh sekali nak membangga diri apa yang kami ada.
Tak ada apa yang nak dibanggakan pun.
Belum sah milik kami lagi. Bank yang punya. Masih taraf sewa lagi..sebab perjanjiannya sewa-beli.. hehehe. Dia boleh ambik bila-bila masa je, kalau kami tak bayar sewa kan? (psssst!! satu sen pun belum bayar lagi ni..hihihi..)

Memang dah masuk tahap keperluan dah ni. 
Family dah besar. Tambah lagi mummy dan daddy sendiri masing-masing anak sulung dari family yang besar. So, senang nak bawa orang tua jalan-jalan sekali.
Tak mampu nak beli yang besar lagi. Ni je la yang termampu setakat ini.

Mummy ingat lagi, 
masa mummy konvo kat UTM Skudai tahun lepas, kami naik kenari 8 orang tau. 
Mak, abah dan adik bongsu mummy, plus mummy, daddy, dan 3R.
Walaupun muat, tapi tak la berapa selesa.
Mummy cakap kat abah masa tu, "nanti abah doakanlah lepas ni cepat dapat naik pangkat, boleh beli kete yang lagi besar.."
Alhamdulillah, 4 bulan selepas konvo, mummy dapat naik pangkat.
Mungkin berkat doa mak dan abah, Allah murahkan rezeki.
Setahun lepas naik pangkat, baru mummy dapat merealisasikan impian untuk beli kereta yang lebih besar untuk bawa mak dan abah dengan selesa, walaupun taklah sebesar mana.  

Rombongan cik kiah. Termasuk pemotret gambar ini.

Geng 3R sangat excited dengan kehadiran Rayqal ni.
Macam poyo je mummy kan.. kereta pun nak bagi nama.
Sebenarnya bukan ni je mummy bagi nama.
Motor mummy masa zaman Uitm dulu pun mummy bagi nama. Nama dia Haiqal.
Kereta pertama mummy pulak nama dia Amsyar.
Ntah.. mungkin memang hobby mummy kot bagi nama.
Termasuklah semua kucing kat rumah mummy dulu.

Antara 3R ni, paling teruja dengan rayqal ialah razin.
Sikit-sikit dia sebut kereta baru.
Nak naik kereta baru..
Nak naik kereta baru.

Hari isnin lepas, sebelum daddy bertolak ke Paka untuk outstation,
daddy dah masukkan siap-siap beg sekolah geng 3R ni ke dalam perut Amsyar.
Maka pagi tu mummy bawa la Amsyar.
Punya la menangis-nangis Razin tak nak masuk kereta.
" Nak kete baru.. nak naik kete baru.."
Ahh sudah. Dah kesuntukan masa mummy nak naik balik ambik kunci.

Sampai taska pun razin masih menangis-nangis lagi.
Petang tu, masa mummy ambik 3R, teacher kat taska tu bagi tau,
Masa sampai pagi tadi, dia tanya razin, kenapa menangis?
Razin cakap nak naik kereta baru..
Huhuhu.. habis kecoh kat semua orang 
dia ada kereta baru..

Seronok mummy bila tengok anak-anak seronok naik kereta baru.
Ye la.. mungkin mereka tak pernah merasa naik kereta baru.
Lahir-lahir je kereta dah buruk ye.
Tapi.. 
anak-anak mummy masih beruntung.
Lahir-lahir je ada gak kereta yang boleh lindung dari panas dan hujan.
Mummy kecik-kecik dulu.. tak merasa naik kereta.
Motor je la kenderaan mummy 9 beradik.
Itulah kenderaan kami. Selagi ada ruang..selagi tu la kami bertenggek atas motor tu..hehehe.
Disebabkan tak pernah naik kereta, bila sesekali dapat naik kereta pakcik untuk perjalanan jauh, siap muntah-muntah lagi. Pening. Kepala pusing. hahaha...
Bukan menyesali takdir. Sekadar berkongsi untuk anak mummy rasa bersyukur. 
Mungkin atas takdir itu, Allah takdirkan mummy seperti mana mummy yang sekarang.
Alhamdulillah!

 

Monday, November 18, 2013

Update : Tarikh pembedahan herniotomy Rania

Mummy baru je dapat panggilan telefon dari doktor.
Tarikh baru untuk Rania dibedah ialah pada
8 Januari 2014.
Ye.. tahun depan!

Doktor kata..
tarikh tu je yang kosong.
Dan doktor kata lagi..
Sila pastikan Rania tak batuk lagi pada tarikh tu..

Hah! mummy jawab sambil gelak..
Yang tu saya tak berani jamin la doktor.. hehe..

Mummy serah je pada yang Maha Mengetahui
apa yang terbaik untuk Rania.

Moga anak mummy tahu..
Hidup ini memang banyak ranjau dan duri yang kita perlu tempuhi
Belum tentu apa yang kita nak itu akan kita dapat 
dan belum tentu apa yang kita dapat itu tidak baik untuk kita
Yang penting.. sabar dan redha ye..

Pembedahan Rania dipostpone lagi!

Mummy cuti lagi hari ni.
Bercuti untuk temankan Rania yang sepatutnya dioperate hari ni.
Herniotomy operation.

Namun, ditakdirkan Allah sekali lagi hari ni operation ditangguhkan buat sekian kalinya.
Kali ni sebab Rania batuk.
Doktor tak nak ambik risiko.
Rania akan dibius penuh, satu badan.
Walau pun batuk sikit, doktor takut boleh dapat jangkitan kuman ketika tiub saluran pernafasan dimasukkan.

Takpe la mummy redha,
biar tangguh, asalkan anak mummy tak berdepan dengan risiko yang boleh mengancam nyawa. Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Tarikh baru untuk pembedahan, doktor masih belum maklumkan lagi.
Dia akan maklumkan melalui panggilan telefon nanti.

Sebagai rekod, 
Jadual pembedahan Rania yang asal adalah 30.09.2013. Terpaksa dipostpone sebab Rania telah membatalkan puasanya dengan meminum air vitagen pada pukul 6.15 pagi. Sepatutnya Rania dikehendaki berpuasa bermula 12 tengah malam.

Kemudian, diberi tarikh baru pada 14.10.2013 iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Kami sekeluarga tak balik beraya sebab pembedahan yang dijadualkan ini. Namun begitu, pembedahan terpaksa dipostpone lagi sebab Rania batuk dan selsema.

Sekali lagi diberi tarikh baru untuk pembedahan iaitu hari ini.
Walau bagaimanapun, masih lagi tidak berjaya menjalani pembedahan akibat kesihatan Rania yang tidak mengizinkan.
Doktor kata pembedahan ni senang je. Hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Tapi prosedur Anesthesia (bius) memerlukan pesakit kanak-kanak sihat sepenuhnya agar tidak berdepan sebarang risiko.

Hari ni kiranya mummy dan Rania saje je jalan-jalan ke hospital.
To get along berdua..hehe..

Sunday, November 17, 2013

Perlancaran Tabung Ke Legoland Malaysia

Semenjak keluar iklan bertubi-tubi kat TV mempromosikan Legoland, 
anak-anak dah mula menyuarakan keinginan untuk ke sana..
Huh! mudah sungguh anak-anak mummy terpengaruh


Hati mak mana la tak teringin nak menunaikan impian anak-anak dia kan?
Tapi mengenangkan kemampuan mak ko ni.. memang tak mampu la nak oii..
Dalam nak menunaikan hasrat anak-anak.. kena la mak ni mengukur baju di badan sendiri..

Risik-risik jugak harga tiket kat laman web rasmi Legoland ni 
Terbuntang mata tengok harga dia..
Memang mahal la bagi orang tak berapa nak berada macam mummy ni
Lagi la kena darab dengan 5 orang sekeluarga
Cecah ribuan ringgit!
Haruslah! nak cover RM700 juta kos nak buat taman tema yang pertama seumpamanya di asia ni dan yang ke-6 di dunia. 

Orang cakap, memang tak sempat nak round semua tempat kat dalam Legoland ni kalau sekali masuk je. Ye la.. luas kawasan dia je dah 30.4 hektar iaitu bersamaan dengan 304,000 meter persegi. Ada 7 taman tema yang menyamai 50 padang bola. Hah kau! penat ke tak penat nak round 50 padang bola tu! huhuhu...

Berdasarkan maklumat yang mummy peroleh, 
Mummy perlu menyediakan RM1,975 untuk annual pass 5 beranak kalau mummy pilih pakej ni. Masuk unlimited selama 12 bulan kat theme park dan juga water park.

Manakala kalau mummy pilih annual pass untuk theme park sahaja, mummy perlu menyediakan RM1,180 untuk 5 beranak.

Tapi kalau mummy pilih 2 day tickets (dua hari yang berturutan) untuk theme park dan water park, perbelanjaan untuk tiket yang mummy perlu sediakan ialah RM1,005.

Kalau just nak masuk theme park sehari, mummy perlu sediakan RM420 untuk harga tiket.

Berdasarkan tinjauan ini, mummy berangan nak pilih annual pass untuk theme park yang memerlukan kos RM1,180. Rasanya lebih berbaloi kan? Tapi...

Huwaaaaa.. mahalnya! 
Memang terketar-ketar la kalau nak keluar duit dari poket sendiri..
Mula la terbayang di layar mata macam-macam boleh beli dengan duit sebanyak tu!
Mulala perasaan bercampur-baur tu datang
Nak simpan punyala lama.. nak perabih sekelip mata je..
Hah kan dah datang sikap berkira tu! huhuhu...

Demi untuk merealisasikan impian anak-anak..
Tanpa mummy rasa berkira nak keluarkan wang gajian dan simpanan..
Maka, mummy telah melancarkan Tabung ke Legoland!

Tabung ni sumber dia bukan dari gaji mummy,
tapi dari cik Nuffnang.
Ye.. pendapatan yang mummy peroleh dari blog ini, akan totally mummy salurkan ke tabung ini!

Eh..eh.. ada pulak yang tertanya-tanya..
Banyak ke??
Hahaha.. baru je Jumaat lepas mummy cash outkan RM108.
Tu pun, setahun kumpul baru dapat banyak tu.
Tahun lepas buat pertama kalinya mummy dapat RM103. Tu pun rasanya dua tahun lebih punya kumpul..hehehe..
Nampak gayanya, dah ada tabung ni, mummy kena ganti la balik RM103 yang mummy dah joli katak tu untuk masukkan dalam tabung ni. Hah.. dah ada RM211 dalam tabung Legoland ni. Banyak gak tu. Tapi banyak gak lagi nak sampai ke tahap kecukupan tu.

Berdasarkan pendapatan ini, mummy rasa 10 tahun lagi baru cukup untuk menampung harga tiket annual pass mummy anak beranak ni..wakakakaka....
Harap-harap janganlah Legoland tu tutup pulak nanti bila mummy cukup duit ye..

Hish!! lama sangat tu kalau nak tunggu 10 tahun..
Ntah ada umur tak lagi mummy masa tu kan..
Nampaknya.. mummy kena berusaha lebih untuk meningkatkan pendapatan blog nih.
Ye.. mummy kena fokus lepas ni..
Demi impian anak-anak mummy..

Legoland!!!!
Kami nak datang ni.......
(hahaha.. mummy yang hover!)

Saturday, October 12, 2013

Mummy dalam dilema : Penyusuan susu ibu, nak teruskan atau tidak?

Sudah lama mummy tak update cerita breastfeeding journey mummy di blog ini.
Padahal ini la cerita yang paling mummy nak kongsi masa mula-mula buat decision nak jadi kaya dengan blog dulu..kehkehkeh..

Setakat entry ini sedang ditulis, mummy masih lagi dalam perjalanan penyusuan susu ibu.
Walau bukan sepenuhnya breastfeed dan tidak lagi menjadi pemerah tegar.
Mummy masih lagi menyusukan Rania dan Razin bila di rumah.

Semalam, 11.10.2013 Rania genap berusia 4 tahun.
4 tahun juga la dia masih menenen.
Sepanjang mengandungkan Razin, dia nenen
Sepanjang Razin nenen dia pun nenen gak.. tapi ikut turn la
Puas la mummy cakap macam-macam kat dia supaya dia berhenti nenen..
Still jugak macam tu.. nak nenen.. nak nenen..

Flashback sikit:
Rania sempat fully breastfeed sampai umur dia 1 tahun 2 minggu.
Hanya setakat itu stock susu perahan mummy mampu supply.
Tiada susu untuk diperah kerana mummy dah start mengandungkan Razin ketika itu.
Memandangkan Rania kecik lagi dan impian menyusukannya 2 tahun masih belum terlaksana, mummy buat keputusan untuk terus menyusukannya walau sedang mengandungkan Razin.
Mummy harung je kesakitan menyusukan ketika mengandung.

Alhamdulillah, dengan asbab menyusukan Rania ketika mengandung, mummy tidak menghadapi masalah nipple cracking ketika minggu awal penyusuan Razin.
Sejak lahir hingga berumur 2 tahun 4 bulan kini, Razin berkongsi nenen dengan kakaknya.
Namun begitu, Razin hanya sempat fully breastfeed sehingga berumur 1 tahun 6 bulan.
Sebabnya sila klik sini. Malas nak taip..hehe

Nak ikutkan.. dah lengkap dah 2 tahun penyusuan mereka.
Dah boleh dah kalau mummy nak bercerai susu 

Memang tiada masalah dari segi bekalan susu kalau penyusuan itu diteruskan
Mereka ni dah tahap addicted je dengan nenen
Bukanlah nak menghilangkan lapar dan dahaga
Mummy pun belum pregnen lagi

Tapi tu la..
Of course tidur mummy sentiasa terganggu di waktu malam.
Si Razin ni kejap-kejap nangis nak nenen..huhu..
Letih gak la menyusukan dua orang baby expired ni
Masalah cuma datang kalau mummy terpaksa out station
Kesian kat daddy nak menenangkannya bila malam-malam nak nenen
Ubat penenang pada mummy..

Ahad lepas mummy out station ke Morib.
Jadualnya 6 - 9 Oktober.
Menurut cerita daddy, Razin mengigau panggil-panggil nama mummy masa tidur malam, Ahad malam Isnin tu.
Nak tidur pun susah
Sudahnya sepanjang malam daddy terpaksa meriba Razin tido

Esoknya daddy khabarkan Razin demam.
Teacher taska call beritahu suhu Razin 38 darjah celcius.
Tak nak makan, tak nak minum susu
Aduih! Penangan rindu.
Tak tahu la dia rindu kan mummy atau rindukan nenen!

Sudahnya..
Daddy bawak jumpa mummy di Morib. Nasib baik dekat.
Berkampung la kami anak beranak kat sana sampai mesyuarat mummy abis.
2 hari jugak la daddy terpaksa cuti kecemasan.

Masa sampai Isnin malam tu,
Razin nenen macam orang haus sangat.
32 jam tak jumpa nenen punya pasal!
Bila dia dah lelap, mummy tinggal jap untuk ke toilet
Bila keluar toilet dia tengah merengek 
Mummy tengok dia dah jaga
Dia siap cakap kat mummy, "Mummy ada kat sini?"

Huhuhu..siannya anak mummy fobia agaknya kena tinggal dengan mummy.
Tido malam sebelah mummy malam tu pun still lagi mengigau panggil mummy..mummy..
Macam ni la rupanya apa yang daddy khabarkan.

Bersediakah mummy nak bercerai susu dengan mereka?
Bersediakah mereka bercerai susu dengan mummy?
Aduhhhh... sulitnya!!
Malasnya nak lalui kesulitan bercerai susu itu sebagaimana dikhabarkan oleh rakan-rakan blogger yang ada pengalaman.

Daddy ada pesan,
untuk next out station yang dijadualkan April tahun depan, tak payah nak nenen nenen lagi..
Adesss...






Tuesday, October 1, 2013

Hernia : Ke Hospital Putrajaya untuk pembedahan

Hari ni 30.09.2013 appointment pembedahan hernia Rania.
7 pagi kena daftar dekat pusat jagaan harian bahagian pembedahan Hospital Putrajaya.
6.45 pagi kami dah keluar rumah untuk ke hospital.
Masa sampai mummy tengok kaunter pendaftaran yang biasa mummy register masih tutup lagi. Ramai orang beratur ambik nombor giliran. Seawal 7 pagi dah ramai macam ni..

Memandangkan kaunter pendaftaran tutup, mummy terus naik ke tingkat 1, pusat jagaan harian. Mungkin tak perlu register kot. Pintu masih berkunci. Mummy dan Rania kira customer kedua la. Ada 3 orang pak Arab telah mendahului kami. Sebelah tangan mummy dukung Rania, sebelah tangan pegang beg sandang, salah seorang pak arab tu offer nak tolong sama ada pegang beg atau pegang Rania. Indah sungguh akhlaknya..hehehe. Tapi mummy tak sedia nak terhutang budi. Small the matter la pak arab, ana boleh handle! syukran..syukran..

Ada dalam 5 minit menunggu, datang pulak seorang pakcik dan anaknya. Nak buat operation gak. Nampak ditangan anak perempuan beliau sekeping kad temujanji dan sticker nama yang panjang seolah-olah telah mendaftar. Mummy ringankan mulut bertanya, "Dah daftar dah ke? Kena daftar eh?" Anak perempuan beliau mengiakannya dan menyatakan bahawa pendaftaran di buat di bahagian kecemasan.

Sejurus mendapat perkhabaran tersebut, bagaikan terkena renjatan elektrik, mummy bergegas turun ke bawah semula untuk membuat pendaftaran. Boleh pulak bertanya kat pengawal keselamatan di bawah tu kat mana nak daftar. Apasal la tadi mummy tak terfikir nak tanya sebelum naik atas. Ni lah bak kata orang tua-tua.. malas bertanya, buruk padahnya..hehe..

Dah siap daftar dan naik ke atas semula, mummy dan Rania menjadi pelanggan ke empat. Takpela.. bukannya ramai sangat pun.

Prosedur biasa.. bila nama Rania dipanggil, of course ada interview sikit. Nurse tanya Rania sihat ke tidak? Bila last makan atau minum malam tadi? Jawab mummy,

" Dia sihat. Last minum susu sebelum dia tidur lebih kurang 10.30 malam. Pagi tadi dia bangun, dia minta susu. Tapi saya tak bagi sebab dia kena puasa. Saya tinggal dia kejap nak solat, tup tup lepas solat tengok ada botol vitagen dah tinggal separuh sebelah dia. Dia ambik sendiri dalam peti ais. Kejadian berlaku lebih kurang 6.15 pagi. "

Selepas mendengar penerangan mummy, nurse cakap dia tak pasti sama ada pembedahan boleh dijalankan ataupun tidak. Depend apa doktor akan cakap. In case kalau jadi pembedahan, lepas pembedahan Rania nak makan apa nurse ni ada tanya. Siap-siap ambik order dulu. Nak bubur ke bihun goreng. Rania pilih bubur!

Dah masuk dalam wad, dua tiga orang doktor datang interview. At last pembedahan Rania tidak poleh dijalankan. Postponed! Yup! gara-gara setengah botol vitagen perisa oren. Kesian Rania.. kalau tahu.. mummy biar je dia abiskan sebotol vitagen tu kan.

Doktor jelaskan bahawa, at least 4 jam sebelum pembedahan, pesakit tak boleh makan atau minum apa-apa. Dikhuatiri pesakit akan termuntah ketika tiub pernafasan dimasukkan dan muntah tersebut masuk ke dalam paru-paru. Ini akan menyebabkan jangkitan kuman.

Wowowo.. besar risikonya! Takpelah doktor.. tak jadi bedah pun tak pe. Mummy tak marah. Mungkin ada hikmahnya Rania tak jadi bedah. Tapi tu la..kesian Rania tak dapat makan bubur..hehe..

Doktor ada cakap lagi, selain sesi pagi, ada satu lagi sesi pembedahan iaitu pukul 12.30 tengah hari. Tapi kalau operate tengah hari, pesakit kena tidur wad untuk pemantauan. Sebab tu mereka suka operate pagi, petang pesakit dah boleh balik selepas pemantauan. Doktor suggest ambik date baru. Ok, mummy terima. Kesian pulak Rania kalau dia kena teruskan puasa sampai pukul 12.30 tengah hari. Dahla dapat minum vitagen setengah botol je. 

Appointment date baru Rania ialah 14 Oktober 2013 iaitu sehari sebelum hari raya haji. Nampaknya.. kami tak balik beraya di kampung la..

Masa tengah tunggu pihak hospital uruskan dokumen pembatalan pembedahan Rania, datang pulak seorang pesakit berumur 2 tahun yang turut akan dibedah pada hari ni. Budak ni kira untung la.. dia dapat makan fish ball 2 ketul berserta air pada pukul 6.30 pagi..hahaha. Seorang lagi bakal tak jadi operate gara-gara berbuka sebelum waktu! Pening kepala doktor dan nurse! hehe.. nak buat macam mana.. luar kawalan!

Balik je dari hospital dan hantar daddy ke opis dia, mummy dan Rania pergi lepak kat Alamanda. Huh! lengang sungguh parking. Siap boleh pilih nak lot parking mana satu..hehe. Maklumla baru pukul 9.15 pagi. Berbekalkan syiling yang hanya ada 3 ringgit, Rania main la sorang-sorang mesin yang gerak-gerak keseronokan sebab dapat telan duit syiling mummy..huhuhu..

Ada dekat 2 jam kami lepak, makan donut kat big apple dan masuk MPH, 10.45 pagi kami melangkah keluar. Nak ambik daddy pulak. Katanya habis meeting pukul 11 pagi. 

Mummy dan daddy cuti saje-saje je nampaknya hari ni..hehe.. Esok mummy cancel cuti. Cuti akan dipostpone pada 14 oktober nanti pulak.

Gambar kenangan tag nama untuk pembedahan yang tak jadi..hehe..

Monday, September 30, 2013

Hernia : Bukan hanya anak lelaki, anak perempuan pun boleh kena jugak!

Saya seperti juga kebanyakan orang, sebelum ini menganggap hernia atau selalu disebut sebagai 'angin pasang' hanya terjadi kepada anak lelaki. Semasa berpantang selepas bersalinkan Umar Rayyan dulu, mak, ma, atok dan nenek siap pesan supaya 'aset' anak lelaki dituam dengan daun ati-ati yang telah dilayur. Petua menolak 'aset' tersebut dengan tumit kaki baby turut diamalkan sepanjang tempoh berpantang. Punyalah menjaga agar tidak berlaku angin pasang.

Amalan menjaga anak lelaki dalam pantang tidak saya samakan dengan anak perempuan. Tidaklah saya menuam bagai.. Just urut je satu badan sama macam anak lelaki. Tidak pula saya sangka, rupanya anak perempuan juga boleh terkena hernia ni. 

Doktor telah mengesahkan Rania mempunyai hernia pada sekitar Ramadhan yang lepas. Saya perasan ada benjolan di sebelah kiri atas alat sulitnya lebih kurang sebulan sebelum berjumpa doktor. Apabila saya urut dengan lembut, benjolan itu hilang dan keadaan kembali normal macam biasa. Walau bagaimanapun, ia akan muncul kembali dan akan hilang apabila diurut. Maklumbalas daripada Rania, beliau rasa sakit bila benjolan itu ditekan.

Semasa membawa encik asben mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 28.7.2013 lepas, tergerak pulak untuk bertanya doktor perihal Rania. Ketika inilah doktor mengesyaki Rania ada hernia (dah lebih kurang pulak namanya) dan mengesyorkan pemeriksaan susulan di hospital.

Lalu, bersama-sama surat rujukan doktor kami anak beranak ke Hospital Putrajaya. Dipendekkan cerita (kalau tak pendekkan mahu panjang lagi kena taip iaitu cerita sepanjang masa yang kena tunggu sebelum jumpa doktor..hehehe), doktor membuat pemeriksaan fizikal dan interview sikit dan terus sahkan Rania ada hernia. Tak payah scan-scan.. senang rupanya nak detect ada hernia ni. Doktor ini menetapkan satu tarikh iaitu 1.8.2013 untuk berjumpa doktor pembedahan. Tiada cara lain kecuali pembedahan! Fuh! ngeri dengar pasal bedah-bedah ni. 

Semasa berjumpa doktor bedah pulak, beliau buat lagi pemeriksaan fizikal ke atas Rania dan interview mummy sikit. Tiada juga scan-scan. Mungkin sangat biasa penyakit ini. Doktor jelaskan bahawa terdapat lubang pada dinding perut Rania sehingga menyebabkan tisu-tisu lemak atau lain-lainnya masuk ke dalam lubang tersebut dan menyebabkan bengkak. Apabila diurut, bengkak itu hilang bermakna ia masuk kembali ke tempat asal. 

Saya cuba mengelak agar Rania tidak dibedah. Tetapi doktor menasihatkan agar pembedahan dilakukan kerana dibimbangi lubang membesar dan kemungkinan usus akan terjulur keluar dari lubang tersebut dan tidak boleh masuk kembali. Tambah doktor lagi, ini melibatkan struktur badan maka pembedahan perlu dilakukan untuk membaikinya. Tidak boleh hanya sekadar memakan ubat.

Tak nak ambik risiko, maka saya setuju untuk Rania dibedah. Mula-mula doktor cadangkan tarikh bedah ialah pada hujung bulan ogos. Alamak! cepat sangat la pulak. Saya minta bulan September. Maka 30 September 2013, Rania akan dibedah!

Mohon doakan Rania ye.. agar semuanya selamat!






Sunday, September 29, 2013

Hernia : Fakta yang kita perlu tahu


Selama ni saya biasa dengar je perkataan hernia yang sama makna dengan angin pasang tu. Takde la rasa nak selidik mendalam fakta berhubung dengannya. Tapi bila dah terlibat secara langsung dengan penyakit ni, maka kajian ilmiah perlu dilakukan untuk menambah ilmu di dada. Saya kongsikan sikit info yang saya google untuk kita sama-sama tahu ye..

Bahaya mengurut hernia

HERNIA merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum Adam. Sekalipun insidennya lebih banyak menyerang orang dewasa, ia juga kerap terjadi di kalangan kanak-kanak.
Walaupun hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi ia turut mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang.

Hernia diambil daripada perkataan Latin, herniae yang membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat.

Punca

Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital). Bonjolan hernia biasanya berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.
Pakar bedah kanak-kanak di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zulkiflee Laidin berkata, sesetengah bayi memang dilahirkan dengan beberapa bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya.

Tetapi pada sesetengah kes, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan tisu-tisu berhampiran menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.

Kata beliau, hernia kanak-kanak lazimnya berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.

“Hernia jenis ini boleh ditutup dan selalunya tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Cuma kadangkala, tisu-tisu boleh terjerut di dalam bukaan dan tidak boleh ditarik semula kepada kedudukannya yang asal.

“Ia terjadi apabila sebahagian daripada organ badan tertentu seperti gelungan usus menonjol keluar dari dinding otot yang lemah atau terbuka.

“Ia juga boleh jadi membran abdomen atau lain-lain tisu yang menolak dinding otot sehingga menyebabkannya menjulur ke dalam ruang yang tidak sepatutnya. Penonjolan inilah yang dipanggil sebagai hernia, yang kelihatan seperti bengkak atau bonjolan yang keluar dari kaviti tubuh,’’ katanya Dr. Ahmad Zuilkiflee.

Terdapat dua jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal pada bahagian pusat dan hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha di mana abdomen bertemu bahagian atas paha.

Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit, yang mana sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya.

Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.

Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen atau ovari atau salur falopian bagi kanak-kanak perempuan, melalui pembukaan masuk ke bahagian groin.

Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.

“Bagi kanak-kanak lelaki dianggarkan seorang bayi daripada 40 kelahiran mengalami hernia jenis ini,’’ ujarnya.

Tambahnya, terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana hernia tidak dapat dikembalikan ke tapak normal.

Hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan. Contohnya, gelungan usus yang terperangkap dan menekan masuk pembukaan berupa kantung di dalam kawasan groin akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.

“Jika tisu-tisu yang terperangkap itu tidak dapat dikeluarkan, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera,’’ kata Dr. Ahmad Zulkiflee.

Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, hernia diaphragma iaitu satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan), menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.

Menurut Dr. Ahmad Zulkiflee, dianggarkan seorang daripada 5,000 kelahiran mengalami hernia jenis ini.

Pembedahan

Rawatan moden satu-satunya kaedah yang dapat menyelesaikan masalah bayi yang mengalami hernia. Jika ibu bapa takut dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan atau hanya mencuba kaedah mengurut, besar kemungkinan hernia itu lebih parah.

Bayi tersebut mungkin perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan.
“Pembedahan untuk pemulihan, bukannya kemudaratan. Bayangkan jika hernia itu dibiarkan. Ia akan membesar dan menolak buah zakar dan zakar ke belakang. Lama-kelamaan ia akan merosakkan alat kelamin bayi. Jadi, pembedahan adalah lebih baik,” katanya.

Hernia pusat yang terjadi kepada bayi jarang menyekat atau menjerut, tidak seperti orang dewasa.
Kebanyakan hernia pusat, sekalipun yang besar akan tertutup sendiri apabila usia kanak-kanak mencecah dua tahun. Doktor biasanya akan menasihatkan ibu bapa supaya tunggu dan lihat sahaja dulu, daripada terus membedahnya.

“Pembedahan hanya akan di jalankan jika saiz hernia mencecah dua sentimeter,” ujarnya.
Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jari, bagi memastikan sama ada ia boleh dimasukkan semula ke dalam perut atau sebaliknya.

Rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada pemeriksaan tersebut. Kebiasaannya doktor akan mengambil masa sejam bagi mengesan penyakit tersebut dan pembedahan kecemasan akan dijalankan jika perlu.

Pembedahan juga tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.

“Pembedahan segera perlu dilakukan jika ia hernia inkarserat dan terjerut kerana bahagian tersebut membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian.
“Dalam pembedahan tersebut, usus yang termasuk ke kerandut akan diletakkan kembali ke dalam perut dan ruang di antara perut dan kerandut akan diperkukuhkan,’’ jelas Dr. Ahmad Zulkiflee lagi.

Kesimpulannya kata beliau, kanak-kanak perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi dan jangan mengurut hernia kerana ia adalah sangat berbahaya.

“Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah dan boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut,’’ tegasnya.






Otot lemah punca hernia


Oleh NORAINON OTHMAN
HERNIA atau angin pasang sering dikaitkan sebagai penyakit lelaki walaupun perempuan turut mengalaminya. Penyakit itu berlaku pada individu di semua peringkat umur akibat kelemahan otot tubuh yang menyebabkan kandungan dalam badan membonjol keluar.
Kandungan itu biasanya ialah usus atau tisu lemak abdomen yang menembusi dinding abdomen yang kurang tebal membentuk kantung.

Hernia berlaku akibat kecacatan otot di badan sejak lahir yang dikenali sebagai kongenital, manakala jenis lain berpunca daripada kerosakan otot badan disebabkan kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan meningkat akibat batuk berulang kali, mengangkat objek berat, meneran, sembelit yang teruk dan sukar kencing.
Jenis hernia yang biasa ialah epigastric, umbilical, inguinal dan femoral.

Ramai lelaki mengalami hernia inguinal disebabkan proses perkembangan alat reproduksi mereka yang berbeza daripada wanita.

Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.
Lubang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, kawasan itu boleh menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia.

Ada hernia yang pasang surut, tidak surut dan hernia jerutan. Hernia pasang surut boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
Pesakit merasa sedikit senak, tetapi lazimnya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.

Bonjolan akan timbul atau saiznya bertambah apabila pesakit berdiri atau berlaku peningkatan tekanan dalam abdomen, misalnya disebabkan batuk.

Hernia tidak surut ialah bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, tetapi kemudian tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.

Sebahagiannya mungkin kronik iaitu dialami dalam jangka waktu lama tetapi disebabkan tidak sakit, pesakit tidak mendapatkan rawatan.

Hernia jerutan bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudian mengalami jerutan pada bukaan hernia, menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.

Pesakit merasa sakit jika bonjolan ditekan. Antara tanda usus tersumbat ialah loya, muntah dan perut kembung, malah pesakit boleh demam dan kelihatan tenat.

Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.

Untuk mendiagnosis hernia, doktor akan meminta pesakit batuk, mengemut atau berdiri untuk pemeriksaan badan. Bahagian terbonjol boleh ditekan masuk dengan tangan.

Semua jenis hernia patut dibedah. Ini kerana usus yang tertonjol keluar menerusi lubang hernia menyebabkannya tersumbat, seterusnya mengakibatkan pengaliran darah ke bahagian itu terganggu dan akhirnya bocor.

Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Chan Kin Yoong berkata, rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan, termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.

Menurutnya, jenis pembedahan yang biasa dilakukan ialah menggunakan jaring untuk menampal lubang hernia.

Pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi dilakukan iaitu dengan penggunaan kamera dan peralatan bagi menebuk bahagian tubuh yang mengalami hernia.

Tampalan jaring di bahagian berlubang boleh mengelak hernia berulang. Jaring untuk menampal bahagian berlubang diperbuat daripada sejenis plastik dan ia tidak mengandungi protein yang boleh mengakibatkan alahan atau penolakan pada tolakan.

Jangkitan kuman jarang berlaku pada jaring tampalan. Bagaimanapun, jika terjadi, komplikasi boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua.

“Hernia seperti inguinal, umbilical, femoral, incisional atau epigastric hernia boleh dibedah secara harian iaitu pesakit datang ke hospital untuk membuat pembedahan dan pulang ke rumah pada hari sama.

“Bagaimanapun, hernia besar atau ada komplikasi perlu menjalani prosedur lebih rumit, menyebabkan tidak boleh dibedah secara harian. Hernia kecil boleh dibedah dengan bius setempat,” katanya.

Menurutnya, pesakit hernia yang mempunyai penyakit lain seperti lemah jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi yang terkawal masih boleh menjalani pembedahan dengan selamat.

Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan dibenarkan.

“Selepas menjalani pembedahan, pesakit sembuh dengan cepat dan boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan dan selamat. Kerja di pejabat boleh diteruskan seperti biasa dua atau tiga hari selepas pembedahan.

“Pesakit boleh memandu sendiri kereta ke pejabat manakala kerja ringan boleh dilakukan selepas 10 hingga 14 hari berikutnya. Kerja berat pula boleh dilakukan selepas tiga hingga empat minggu pesakit berehat,” katanya.

Dr Chan berkata, pesakit yang menjalani pembedahan juga tiada halangan untuk kembali aktif bersukan. Selepas tiga atau empat hari, pesakit boleh berjalan kaki, berenang atau joging, antara lima hingga tujuh hari boleh bermain golf, bowling, bermain ski, papan luncur atau mendaki gunung.

Selepas 10 hingga 12 hari menjalani pembedahan, pesakit boleh bermain tenis atau berbasikal manakala dua minggu selepas itu, tiada sekatan untuk mereka membabitkan diri dengan sukan lebih lasak seperti bola lisut, bola sepak atau hoki.
Sumber info : http://www.hmetro.com.my/