Selama ni saya biasa dengar je perkataan hernia yang sama makna dengan angin pasang tu. Takde la rasa nak selidik mendalam fakta berhubung dengannya. Tapi bila dah terlibat secara langsung dengan penyakit ni, maka kajian ilmiah perlu dilakukan untuk menambah ilmu di dada. Saya kongsikan sikit info yang saya google untuk kita sama-sama tahu ye..
Bahaya mengurut hernia
HERNIA merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum Adam. Sekalipun insidennya lebih banyak menyerang orang dewasa, ia juga kerap terjadi di kalangan kanak-kanak.
Walaupun hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi ia turut mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang.
Hernia diambil daripada perkataan Latin, herniae yang membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat.
Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital). Bonjolan hernia biasanya berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.
Pakar bedah kanak-kanak di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zulkiflee Laidin berkata, sesetengah bayi memang dilahirkan dengan beberapa bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya.
Tetapi pada sesetengah kes, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan tisu-tisu berhampiran menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.
Kata beliau, hernia kanak-kanak lazimnya berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.
Hernia jenis ini boleh ditutup dan selalunya tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Cuma kadangkala, tisu-tisu boleh terjerut di dalam bukaan dan tidak boleh ditarik semula kepada kedudukannya yang asal.
Ia terjadi apabila sebahagian daripada organ badan tertentu seperti gelungan usus menonjol keluar dari dinding otot yang lemah atau terbuka.
Ia juga boleh jadi membran abdomen atau lain-lain tisu yang menolak dinding otot sehingga menyebabkannya menjulur ke dalam ruang yang tidak sepatutnya. Penonjolan inilah yang dipanggil sebagai hernia, yang kelihatan seperti bengkak atau bonjolan yang keluar dari kaviti tubuh, katanya Dr. Ahmad Zuilkiflee.
Terdapat dua jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal pada bahagian pusat dan hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha di mana abdomen bertemu bahagian atas paha.
Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit, yang mana sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya.
Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.
Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen atau ovari atau salur falopian bagi kanak-kanak perempuan, melalui pembukaan masuk ke bahagian groin.
Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.
Bagi kanak-kanak lelaki dianggarkan seorang bayi daripada 40 kelahiran mengalami hernia jenis ini, ujarnya.
Tambahnya, terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana hernia tidak dapat dikembalikan ke tapak normal.
Hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan. Contohnya, gelungan usus yang terperangkap dan menekan masuk pembukaan berupa kantung di dalam kawasan groin akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.
Jika tisu-tisu yang terperangkap itu tidak dapat dikeluarkan, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera, kata Dr. Ahmad Zulkiflee.
Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.
Sementara itu, hernia diaphragma iaitu satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan), menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.
Menurut Dr. Ahmad Zulkiflee, dianggarkan seorang daripada 5,000 kelahiran mengalami hernia jenis ini.
Rawatan moden satu-satunya kaedah yang dapat menyelesaikan masalah bayi yang mengalami hernia. Jika ibu bapa takut dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan atau hanya mencuba kaedah mengurut, besar kemungkinan hernia itu lebih parah.
Bayi tersebut mungkin perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan.
Pembedahan untuk pemulihan, bukannya kemudaratan. Bayangkan jika hernia itu dibiarkan. Ia akan membesar dan menolak buah zakar dan zakar ke belakang. Lama-kelamaan ia akan merosakkan alat kelamin bayi. Jadi, pembedahan adalah lebih baik, katanya.
Hernia pusat yang terjadi kepada bayi jarang menyekat atau menjerut, tidak seperti orang dewasa.
Kebanyakan hernia pusat, sekalipun yang besar akan tertutup sendiri apabila usia kanak-kanak mencecah dua tahun. Doktor biasanya akan menasihatkan ibu bapa supaya tunggu dan lihat sahaja dulu, daripada terus membedahnya.
Pembedahan hanya akan di jalankan jika saiz hernia mencecah dua sentimeter, ujarnya.
Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jari, bagi memastikan sama ada ia boleh dimasukkan semula ke dalam perut atau sebaliknya.
Rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada pemeriksaan tersebut. Kebiasaannya doktor akan mengambil masa sejam bagi mengesan penyakit tersebut dan pembedahan kecemasan akan dijalankan jika perlu.
Pembedahan juga tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.
Pembedahan segera perlu dilakukan jika ia hernia inkarserat dan terjerut kerana bahagian tersebut membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian.
Dalam pembedahan tersebut, usus yang termasuk ke kerandut akan diletakkan kembali ke dalam perut dan ruang di antara perut dan kerandut akan diperkukuhkan, jelas Dr. Ahmad Zulkiflee lagi.
Kesimpulannya kata beliau, kanak-kanak perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi dan jangan mengurut hernia kerana ia adalah sangat berbahaya.
Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah dan boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut, tegasnya.
HERNIA atau angin pasang sering dikaitkan sebagai penyakit lelaki walaupun perempuan turut mengalaminya. Penyakit itu berlaku pada individu di semua peringkat umur akibat kelemahan otot tubuh yang menyebabkan kandungan dalam badan membonjol keluar.
Kandungan itu biasanya ialah usus atau tisu lemak abdomen yang menembusi dinding abdomen yang kurang tebal membentuk kantung.
Hernia berlaku akibat kecacatan otot di badan sejak lahir yang dikenali sebagai kongenital, manakala jenis lain berpunca daripada kerosakan otot badan disebabkan kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan meningkat akibat batuk berulang kali, mengangkat objek berat, meneran, sembelit yang teruk dan sukar kencing.
Jenis hernia yang biasa ialah epigastric, umbilical, inguinal dan femoral.
Ramai lelaki mengalami hernia inguinal disebabkan proses perkembangan alat reproduksi mereka yang berbeza daripada wanita.
Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.
Lubang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, kawasan itu boleh menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia.
Ada hernia yang pasang surut, tidak surut dan hernia jerutan. Hernia pasang surut boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
Pesakit merasa sedikit senak, tetapi lazimnya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.
Bonjolan akan timbul atau saiznya bertambah apabila pesakit berdiri atau berlaku peningkatan tekanan dalam abdomen, misalnya disebabkan batuk.
Hernia tidak surut ialah bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, tetapi kemudian tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.
Sebahagiannya mungkin kronik iaitu dialami dalam jangka waktu lama tetapi disebabkan tidak sakit, pesakit tidak mendapatkan rawatan.
Hernia jerutan bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudian mengalami jerutan pada bukaan hernia, menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.
Pesakit merasa sakit jika bonjolan ditekan. Antara tanda usus tersumbat ialah loya, muntah dan perut kembung, malah pesakit boleh demam dan kelihatan tenat.
Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.
Untuk mendiagnosis hernia, doktor akan meminta pesakit batuk, mengemut atau berdiri untuk pemeriksaan badan. Bahagian terbonjol boleh ditekan masuk dengan tangan.
Semua jenis hernia patut dibedah. Ini kerana usus yang tertonjol keluar menerusi lubang hernia menyebabkannya tersumbat, seterusnya mengakibatkan pengaliran darah ke bahagian itu terganggu dan akhirnya bocor.
Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Chan Kin Yoong berkata, rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan, termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.
Menurutnya, jenis pembedahan yang biasa dilakukan ialah menggunakan jaring untuk menampal lubang hernia.
Pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi dilakukan iaitu dengan penggunaan kamera dan peralatan bagi menebuk bahagian tubuh yang mengalami hernia.
Tampalan jaring di bahagian berlubang boleh mengelak hernia berulang. Jaring untuk menampal bahagian berlubang diperbuat daripada sejenis plastik dan ia tidak mengandungi protein yang boleh mengakibatkan alahan atau penolakan pada tolakan.
Jangkitan kuman jarang berlaku pada jaring tampalan. Bagaimanapun, jika terjadi, komplikasi boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua.
“Hernia seperti inguinal, umbilical, femoral, incisional atau epigastric hernia boleh dibedah secara harian iaitu pesakit datang ke hospital untuk membuat pembedahan dan pulang ke rumah pada hari sama.
“Bagaimanapun, hernia besar atau ada komplikasi perlu menjalani prosedur lebih rumit, menyebabkan tidak boleh dibedah secara harian. Hernia kecil boleh dibedah dengan bius setempat,” katanya.
Menurutnya, pesakit hernia yang mempunyai penyakit lain seperti lemah jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi yang terkawal masih boleh menjalani pembedahan dengan selamat.
Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan dibenarkan.
“Selepas menjalani pembedahan, pesakit sembuh dengan cepat dan boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan dan selamat. Kerja di pejabat boleh diteruskan seperti biasa dua atau tiga hari selepas pembedahan.
“Pesakit boleh memandu sendiri kereta ke pejabat manakala kerja ringan boleh dilakukan selepas 10 hingga 14 hari berikutnya. Kerja berat pula boleh dilakukan selepas tiga hingga empat minggu pesakit berehat,” katanya.
Dr Chan berkata, pesakit yang menjalani pembedahan juga tiada halangan untuk kembali aktif bersukan. Selepas tiga atau empat hari, pesakit boleh berjalan kaki, berenang atau joging, antara lima hingga tujuh hari boleh bermain golf, bowling, bermain ski, papan luncur atau mendaki gunung.
Selepas 10 hingga 12 hari menjalani pembedahan, pesakit boleh bermain tenis atau berbasikal manakala dua minggu selepas itu, tiada sekatan untuk mereka membabitkan diri dengan sukan lebih lasak seperti bola lisut, bola sepak atau hoki.
Sumber info : http://www.hmetro.com.my/