Check it out!

Sunday, December 29, 2019

Permulaan Sesi Persekolahan 2020: Kos Tiga Anak Sekolah Rendah

Kisah tahun lepas. Mami dan Uzair sedang berlakon depan kamera..haha.. Bila kami sedang shopping baju sekolah terserempak dengan cameraman BERNAMA...lalu inilah hasilnya..😊
Photo credit: BERNAMA

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.

Belum pernah mami kisahkan pasal kos persekolahan anak dalam blog ni sebelum ni. Tapi kali ni rasa nak kongsikan kos ini untuk rujukan dan perbandingan pada masa depan. Tahun ni dah mula terasa yang menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan memerlukan kos yang tinggi..huhu.. 

Sesi persekolahan 2020 ni mami ada 3 anak sekolah rendah iaitu darjah 3, darjah 5 dan darjah 6. Wahh mami makin tua. Ya..3R mami dah makin membesar. Selain sekolah kebangsaan di sebelah pagi, mereka juga bersekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) di sebelah petang.

Berikut adalah kos yang perlu dikeluarkan untuk memulakan sesi persekolahan 2020 bagi sekolah kebangsaan dan KAFA:

1) Pakaian sekolah dan alat tulis - RM539.73

Kos untuk 3 orang anak yang merangkumi kasut sekolah warna hitam seorang sepasang, baju seragam sekolah seorang 2 pasang, underwear, stoking, tracksuit seorang sehelai, beg sekolah (untuk uzair sahaja sebab yang lain beg masih elok) dan alat tulis. 

Kos paling besar sebenarnya adalah pakaian seragam sekolah. Mami beli jenama U-Cemerlang. Sehelai baju kurung berharga RM25.27, kemeja saiz 16 - RM19.95, kemeja saiz 17 - RM21.95, seluar saiz 23 - RM27.93 dan seluar saiz 25 - RM29.26. Harga setelah ditolak diskaun 35% (diskaun asal 30% + 5% diskaun ahli aeon big). Kain sekolah tak dapat beli sebab dah habis saiz. Kakak cerewet tak nak kain berzip. Nak yang bergetah semua. Kalau tak jumpa di kedai lain nampaknya pakai la kain yang ada. Tudung sekolah kakak RM12.90 sehelai. Kasut pula mami beli jenama asadi, kos dalam RM28.50 sepasang setelah diskaun 5%. 

Manakala beg sekolah Uzair RM28.41, total harga stationary RM54.58, stoking RM10 seorang untuk 3 helai, underwear RM11.31 untuk 3 helai seorang dan tracksuit RM17 sehelai seorang. So, total kos semua jatuh lebih kurang RM180 seorang.

2) Buku tulis/ buku aktiviti Sekolah Kebangsaan - RM270.00

Kos untuk 3 orang anak. Beli di kedai buku sekolah yang disenaraikan wajib untuk dibeli sebagaimana ditetapkan oleh pihak sekolah. Kos terlibat untuk anak Darjah 6 - RM112, Darjah 5 - RM105, manakala darjah 3 - RM53.

3) Yuran Program/ Aktiviti untuk UPSR Sekolah Kebangsaan - RM520.00 (wajib)

Yuran ini khusus untuk anak yang darjah 6 sebab akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ni. Yuran merangkumi nota, soalan-soalan latihan, kursus motivasi, t-shirt, program rehat minda, majlis solat hajat, makan dan minum sepanjang  upsr serta majlis aspirasi (hadiah, gambar, file sijil, jamuan, book of the year, pengangkutan).

Selain yuran ini, ada juga yuran tambahan lain sebanyak RM560.00 untuk kelas tuition 4 subjek setiap sabtu 8 pagi - 12.30 tengah hari mulai Februari hingga September yang mana melibatkan 2 subjek setiap minggu. Walau bagaimanapun, ianya tidak diwajibkan. Terpulang kepada ibu bapa sama ada ingin menghantar anak untuk menyertainya. Dimaklumkan bahawa yuran boleh dibayar secara berperingkat sebelum UPSR. So, kos ini mami tak masukkan dalam ni ye sebab mami nak kira kos permulaan sesi persekolahan je. Yang ni nanti bayar kemudian 😅.

4) Buku teks/ buku aktiviti/ buku tulis/ yuran peperiksaan & aktiviti KAFA - RM856.00

Kos untuk 3 orang anak. Kos agak tinggi sebab ada dua orang anak yang akan menduduki peperiksaan besar KAFA iaitu UPKK untuk darjah 5 dan UPSRA untuk darjah 6. Kos terlibat untuk anak darjah 6 - RM391, darjah 5 - RM332 dan darjah 3 - RM133. Kos yang agak tinggi bagi darjah 5 & 6 merangkumi buku teks, buku tulis, buku aktiviti, yuran peperiksaan, yuran kelas tambahan, yuran aktiviti, nota padat, modul upkk/ upsra, soalan rintis, bengkel menjawab soalan, kursus motivasi, aktiviti kerohanian serta pengurusan diri upkk/ upsra (makan/ minum & alat tulis sepanjang exam).

Bila mami cerita kos ini pada anak-anak, mereka kata "tak payah sekolah la mami, Jimat!" Amboi! nampak macam murni je niat tu nak bagi mami dedi jimat tak payah hantar pi sekolah. Tapi tak fikir nak berjimat pun bila keluar duit beli sylvanian families, beyblade, komik lawak kampus... Nampak sangat malas pi sekolah kan? Hah! ambik bebelan mami. Tugas mami dedi cari duit untuk sekolahkan anak-anak. Tugas anak-anak belajar rajin-rajin untuk berjaya, ok?


5) Baju seragam KAFA - RM184.00

Mulai tahun 2020, sekolah telah menetapkan bahawa para pelajar dikehendaki memakai t-shirt KAFA sepanjang sesi persekolahan. Ini bertujuan untuk membezakan pelajar KAFA dengan pelajar lain di sekolah. T-shirt pelajar lelaki berharga RM30 sehelai manakala t-shirt pelajar perempuan berlengan panjang berharga RM32 sehelai. Mami beli seorang 2 pasang. Sempat la cuci dan keringkan untuk dipakai sepanjang minggu.

Total kos 1 hingga 5 = RM2,369.73

Fuhh!! banyak juga bila dicampurkan. Alhamdulillah, 18 Disember tempoh hari dapat wang ihsan dari kerajaan RM500.00. Suami isteri dapatlah RM1,000.00. Walaupun tak dapat menampung kos keseluruhan, dapat mengurangkan beban pun jadilah kan? 

Ini baru kos untuk anak sekolah rendah. Belum masuk anak yang di taska 😅. Pun ada jugak yuran pendaftaran tau. Untuk tahun 2020, mami dah bayar RM505.00 untuk yuran pendaftaran taska termasuk yuran bulan Januari sebanyak RM270.00.

Sekian laporan kewangan mami untuk bulan ni. Lama lagi la gaji 16 Januari 2020......huhu..


Tepek sini buat kenangan. Screen shot dari page Free Malaysia Today. Mami & Uzair jadi model tak berbayar.

No comments: