Check it out!

Sunday, May 8, 2011

Kapsul Jiwa : Fitrah Keibuan - Anugerah Yang Maha Esa

Selamat hari ibu kepada semua ibu dan bakal ibu sekalian. Sempena Hari Ibu ni saya nak kongsikan satu kisah yang dah lama saya nak kongsi tapi macam biasa kekangan masa membatasi pergerakan jari-jemari menari-nari atas keyboard PC.

Al-kisah, pertama kali saya dengar kisah ni daripada seorang kawan semasa aktiviti Island Hopping kat Langkawi bulan Januari lalu. Masa kat Pulau Beras Basah kalau tak silap, saya tertarik tengok beberapa ekor monyet berjalan sambil anaknya bergayut menyusu di dada ibunya. Kawan saya ni pun berceritalah satu kisah yang dia dengar melalui Radio IKIM yang membuatkan hati saya tersentuh dan menitiskan air mata. Lantas, balik je Putrajaya, saya search internet cari kisah tu dengan harapan dapat membaca dengan puas. Alhamdulillah, key word yang saya main hentam je masukkan kat carian google..membuahkan hasil. Rupanya..kisah berkenaan adalah petikan daripada sebuah buku, U-Turn ke jalan lurus - sebuah karya hebat daripada Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali. Apalagi, terus saya cari kat kedai buku untuk beli.



Dapat je buku ni, terus kisah berkenaan dicari. Maklumla dalam buku tu ada banyak lagi kisah motivasi yang menyedarkan diri. Saya petik kisah ini untuk bersama kita hayati..

Seorang pemilik dusun durian berkongsi cerita. Apabila datang musim durian, kerja yang paling sukar adalah untuk mengawal bunga durian daripada dirosakkan oleh haiwan. Kesan kegagalan ini secara langsung menidakkan usaha setahun membaja sehinggalah membersih kawasan. Haiwan yang paling sukar dikawal ialah monyet.

Apa yang dilakukan ialah mereka terpaksa berkawal seperti soldadu ketika darurat. Siang dan malam kena berjaga, kalau tidak musuh yang menang. Dengan selaras senapang bersama peluru daripada belerang panas, tembakan yang menjerit di seluruh lembah mencari sasaran. Mana-mana monyet yang kedapatan pasti menjadi mangsa.

Pada suatu petang seperti hari-hari lain dia keluar berkawal. Di hujung dusun kelihatan pokok duriannya bergoyang. Perlahan-lahan dia berjalan mendekati pokok tersebut. Di sebalik sebatang pokok yang lain dia bersembunyi dan dengan jelas dia nampak dari arah belakang seekor monyet sedang leka menikmati bunga durian, meratah dengan lahapnya. Tanpa berlengah dia mula mengangkat senapangnya membidik, nafas ditahan jarinya memetik picu dan:

Daaaam!!!

Bunyi tembakan bergema memecah kesunyian petang. Bersama tembakan itu terdengar jeritan monyet kesakitan apabila besi menggelegak itu bersarang di dalam tubuhnya. Peluru menembusi seluruh bahagian belakangnya. Dalam keadaan serba gawat itu sebelum ia benar-benar jatuh ke tanah, tangannya sempat mencapai satu dahan dan bertahan di situ.

Apa yang mengejutkan ialah bergayut pada bahagian leher monyet ini, seekor anak monyet. Ertinya dia telah menembak seekor ibu monyet. Di atas dahan berlaku sesuatu yang sangat menakjubkan. Ibu monyet sedang bertarung dengan nyawanya sendiri, darah menitis deras keluar dari tubuhnya yang terkoyak-koyak terjahan peluru. Di atas dahan itu kelihatan tubuhnya menggeletar kesakitan dengan raungan menahan bisa yang tidak dapat digambarkan.

Anak monyet yang ketakutan menangis dan mendakap kemas ibunya. Ketika inilah si ibu yang sakit memaut anaknya, menyusukan si anak dalam lelehan serta bau darah yang terpercik di serata dahan. Pada ketika yang lain apabila mulut anaknya terlepas dia meraung ketakutan, si ibu dengan segala kesukaran memaut kembali dan memberikan susunya.

Darah terus mengalir keluar dari tubuh ibu, ia kian lemah.

Ketika itu dengan tangan lemah diangkat anaknya dan diletakkan di dahan yang lebih tinggi. Apabila seluruh kudratnya hilang si ibu rebah dan jatuh dari dahan yang tinggi menyembah bumi.

Di tanah, matanya yang berkaca bercampur darah memerhati kepada anak yang terus ketakutan dan ia mati perlahan-lahan...

Nafas-nafas akhirnya seolah-olah berbicara:

" Anak, cukup sampai di sini, itu sahaja yang ibu terdaya untuk menjagamu..."

Semua drama ini disaksikan oleh penjaga dusun durian, ada perasaan yang sukar untuk digambarkan.

Daripada coretan kisah benar yang berlaku dalam masyarakat ini, menjelaskan tentang nilai serta harga fitrah yang sangat murni dan mulia. Fitrah keibuan yang ada di dalam diri seekor monyet, walaupun dia berhadapan dengan saat paling gawat tetapi tetap mengutamakan anaknya.

Begitulah kuasa fitrah, lembut tetapi sangat berkesan. Fitrah tidak perlu dipelajari kerana ia ada di dalam diri (kalau tidak mana mungkin ia ada pada seekor monyet). Cuma amat malang kerana manusia tidak mempedulikan kuasa fitrahnya dalam mencari arah kebenaran dan kebaikan. Rasa dari dalam ini tidak pernah dipedulikan sehingga akhirnya terbelenggu oleh kepentingan-kepentingan tertentu. Fitrah jadi bisu, tuli dan buta.

Justeru, seandainya manusia inginkan kebaikan dalam hidup maka dengarlah suara hati; bertanyalah kepada fitrah di dalam diri sendiri. Jawapannya akan menepati kebenaran kerana fitrah tidak pernah berbohong.

P/s : Untuk kisah teladan yang lain..dapatkan buku ini di pasaran. RM22 je. Lebih kurang je dengan harga novel. Tak rugi beli. Banyak kisah teladan sebagai motivasi diri. Saya bagi 5 bintang kat buku ni.

No comments: