Check it out!

Saturday, May 11, 2019

Sentapan Rasa Ramadan

Sumber: iluvislam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Salam Sejahtera. Salam Ramadan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Masih lagi diberi peluang untuk berjumpa dengan Ramadan kali ini. Diam tak diam, sudah masuk hari ke-6 Ramadan hari ini. Harap diberikan kesihatan dan kekuatan melaksanakan ibadah yang dituntut pada bulan ini. Moga tidak dibiarkan Ramadan berlalu dengan sia-sia tanpa mendapat pengampunan dan rahmat dari-Nya. Barangkali ini Ramadan terakhir kita, walaupun mengharap sangat masih berpeluang untuk berjumpa dengan Ramadan pada tahun-tahun mendatang.

Semalam, saya mendapat perkhabaran berita bahawa isteri seorang kawan telah menemui Penciptanya. Perginya ketika menjelang berbuka, tanpa sempat berbuka menjamah masakan yang telah disediakan. Allahu..tiada sakit, tiada sebarang tanda meninggalkan pasangan hidup yang masih terkejut dengan pemergian yang begitu mudah. Pergi pada usia muda, 30-an, meninggalkan 3 orang anak kecil yang masih memerlukan belaian dan didikan seorang ibu. Tersentap rasa hati, mati itu pasti. Tidak terlambat atau tercepat. Tidak tunggu tua. Tidak tunggu bersedia. Tidak tunggu sempat berbuka. Tidak tunggu sempat beraya. Semua sudah tertulis sejak azali. Beruntungnya arwah pergi dalam bulan ini, moga diampunkan segala dosa-dosanya, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Allah Maha Penyanyang, pasti ada takdir yang lebih baik untuk digantikan dengan kehilangan ini buat mereka yang ditinggalkan.

Sebelum ini, 2 hari menjelang Ramadan, seorang kawan yang lebih muda umurnya daripada saya telah menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan isteri dan 2 anak kecil. Dikhabarkan arwah mendapat jangkitan kuman di otak, berpunca dari demam yang tidak kebah. Allah.. tersentap rasa, membayangkan jika diri ini yang menerima takdir tersebut, meninggalkan 4 anak yang masih kecil. Moga arwah tenang di sana, meninggalkan dunia dan onak ranjaunya. Moga diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga isteri arwah kuat dan tabah menerima takdir Allah ini.

Beberapa hari sebelum itu, kita semua menerima perkhabaran dukacita bahawa tokoh agama dan pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz telah meninggal dunia. Satu kehilangan besar buat negara dan umat Islam di Malaysia. Setelah perkhabaran tersebut, tular di media sosial rakaman ceramah terakhir arwah di sebuah masjid sehari atau beberapa jam sebelum pergi menghadap Penciptanya. Perginya juga cukup senang. Allah....bertuahnya arwah...begitulah pengakhiran hidup orang soleh. Tersentap rasa...perginya arwah meninggalkan ilmu yang disebarkan. Bagaimana kita nanti?? Moga kita juga 'pergi' dalam keadaan husnul khotimah.

Akhir kata, mari kita manfaatkan bulan keberkatan ini dengan sebaiknya, memohon rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Semoga Ramadan kali ini memberi satu permulaan baru untuk kita menjadi insan yang lebih baik. 

Realiti Kehidupan: Hidup ini hanya sementara. Kita tidak tahu siapa antara kita yang pergi dahulu. Hargai dan berbuat baik dengan orang disekeliling kita sementara masih ada bersama, agar tiada kesalan di hari muka. Beramal dan tebarkan kebaikan sebagai bekalan umpama ini Ramadan terakhir kita.