Check it out!

Sunday, December 29, 2019

Permulaan Sesi Persekolahan 2020: Kos Tiga Anak Sekolah Rendah

Kisah tahun lepas. Mami dan Uzair sedang berlakon depan kamera..haha.. Bila kami sedang shopping baju sekolah terserempak dengan cameraman BERNAMA...lalu inilah hasilnya..😊
Photo credit: BERNAMA

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.

Belum pernah mami kisahkan pasal kos persekolahan anak dalam blog ni sebelum ni. Tapi kali ni rasa nak kongsikan kos ini untuk rujukan dan perbandingan pada masa depan. Tahun ni dah mula terasa yang menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan memerlukan kos yang tinggi..huhu.. 

Sesi persekolahan 2020 ni mami ada 3 anak sekolah rendah iaitu darjah 3, darjah 5 dan darjah 6. Wahh mami makin tua. Ya..3R mami dah makin membesar. Selain sekolah kebangsaan di sebelah pagi, mereka juga bersekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) di sebelah petang.

Berikut adalah kos yang perlu dikeluarkan untuk memulakan sesi persekolahan 2020 bagi sekolah kebangsaan dan KAFA:

1) Pakaian sekolah dan alat tulis - RM539.73

Kos untuk 3 orang anak yang merangkumi kasut sekolah warna hitam seorang sepasang, baju seragam sekolah seorang 2 pasang, underwear, stoking, tracksuit seorang sehelai, beg sekolah (untuk uzair sahaja sebab yang lain beg masih elok) dan alat tulis. 

Kos paling besar sebenarnya adalah pakaian seragam sekolah. Mami beli jenama U-Cemerlang. Sehelai baju kurung berharga RM25.27, kemeja saiz 16 - RM19.95, kemeja saiz 17 - RM21.95, seluar saiz 23 - RM27.93 dan seluar saiz 25 - RM29.26. Harga setelah ditolak diskaun 35% (diskaun asal 30% + 5% diskaun ahli aeon big). Kain sekolah tak dapat beli sebab dah habis saiz. Kakak cerewet tak nak kain berzip. Nak yang bergetah semua. Kalau tak jumpa di kedai lain nampaknya pakai la kain yang ada. Tudung sekolah kakak RM12.90 sehelai. Kasut pula mami beli jenama asadi, kos dalam RM28.50 sepasang setelah diskaun 5%. 

Manakala beg sekolah Uzair RM28.41, total harga stationary RM54.58, stoking RM10 seorang untuk 3 helai, underwear RM11.31 untuk 3 helai seorang dan tracksuit RM17 sehelai seorang. So, total kos semua jatuh lebih kurang RM180 seorang.

2) Buku tulis/ buku aktiviti Sekolah Kebangsaan - RM270.00

Kos untuk 3 orang anak. Beli di kedai buku sekolah yang disenaraikan wajib untuk dibeli sebagaimana ditetapkan oleh pihak sekolah. Kos terlibat untuk anak Darjah 6 - RM112, Darjah 5 - RM105, manakala darjah 3 - RM53.

3) Yuran Program/ Aktiviti untuk UPSR Sekolah Kebangsaan - RM520.00 (wajib)

Yuran ini khusus untuk anak yang darjah 6 sebab akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ni. Yuran merangkumi nota, soalan-soalan latihan, kursus motivasi, t-shirt, program rehat minda, majlis solat hajat, makan dan minum sepanjang  upsr serta majlis aspirasi (hadiah, gambar, file sijil, jamuan, book of the year, pengangkutan).

Selain yuran ini, ada juga yuran tambahan lain sebanyak RM560.00 untuk kelas tuition 4 subjek setiap sabtu 8 pagi - 12.30 tengah hari mulai Februari hingga September yang mana melibatkan 2 subjek setiap minggu. Walau bagaimanapun, ianya tidak diwajibkan. Terpulang kepada ibu bapa sama ada ingin menghantar anak untuk menyertainya. Dimaklumkan bahawa yuran boleh dibayar secara berperingkat sebelum UPSR. So, kos ini mami tak masukkan dalam ni ye sebab mami nak kira kos permulaan sesi persekolahan je. Yang ni nanti bayar kemudian 😅.

4) Buku teks/ buku aktiviti/ buku tulis/ yuran peperiksaan & aktiviti KAFA - RM856.00

Kos untuk 3 orang anak. Kos agak tinggi sebab ada dua orang anak yang akan menduduki peperiksaan besar KAFA iaitu UPKK untuk darjah 5 dan UPSRA untuk darjah 6. Kos terlibat untuk anak darjah 6 - RM391, darjah 5 - RM332 dan darjah 3 - RM133. Kos yang agak tinggi bagi darjah 5 & 6 merangkumi buku teks, buku tulis, buku aktiviti, yuran peperiksaan, yuran kelas tambahan, yuran aktiviti, nota padat, modul upkk/ upsra, soalan rintis, bengkel menjawab soalan, kursus motivasi, aktiviti kerohanian serta pengurusan diri upkk/ upsra (makan/ minum & alat tulis sepanjang exam).

Bila mami cerita kos ini pada anak-anak, mereka kata "tak payah sekolah la mami, Jimat!" Amboi! nampak macam murni je niat tu nak bagi mami dedi jimat tak payah hantar pi sekolah. Tapi tak fikir nak berjimat pun bila keluar duit beli sylvanian families, beyblade, komik lawak kampus... Nampak sangat malas pi sekolah kan? Hah! ambik bebelan mami. Tugas mami dedi cari duit untuk sekolahkan anak-anak. Tugas anak-anak belajar rajin-rajin untuk berjaya, ok?


5) Baju seragam KAFA - RM184.00

Mulai tahun 2020, sekolah telah menetapkan bahawa para pelajar dikehendaki memakai t-shirt KAFA sepanjang sesi persekolahan. Ini bertujuan untuk membezakan pelajar KAFA dengan pelajar lain di sekolah. T-shirt pelajar lelaki berharga RM30 sehelai manakala t-shirt pelajar perempuan berlengan panjang berharga RM32 sehelai. Mami beli seorang 2 pasang. Sempat la cuci dan keringkan untuk dipakai sepanjang minggu.

Total kos 1 hingga 5 = RM2,369.73

Fuhh!! banyak juga bila dicampurkan. Alhamdulillah, 18 Disember tempoh hari dapat wang ihsan dari kerajaan RM500.00. Suami isteri dapatlah RM1,000.00. Walaupun tak dapat menampung kos keseluruhan, dapat mengurangkan beban pun jadilah kan? 

Ini baru kos untuk anak sekolah rendah. Belum masuk anak yang di taska 😅. Pun ada jugak yuran pendaftaran tau. Untuk tahun 2020, mami dah bayar RM505.00 untuk yuran pendaftaran taska termasuk yuran bulan Januari sebanyak RM270.00.

Sekian laporan kewangan mami untuk bulan ni. Lama lagi la gaji 16 Januari 2020......huhu..


Tepek sini buat kenangan. Screen shot dari page Free Malaysia Today. Mami & Uzair jadi model tak berbayar.

Sunday, September 15, 2019

GAGAL KE IPTA LEPAS SPM? JOM AMBIL PELUANG IKUTI PROGRAM SIJIL DALAM BIDANG HARTA TANAH

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam hujung minggu.

Berita baik buat lepasan SPM yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Jangan putus asa. Masih ada peluang untuk anda menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Yang penting, ada niat dan tekad untuk menambah ilmu di dada.

Jika anda berumur antara 17 hingga 21 tahun (berdasarkan tarikh lahir), boleh mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang harta tanah di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia. Sesi pengambilan bagi tahun 2019/2020 sedang dibuka sehingga 30 September 2019.

Sebanyak tiga (3) program sijil ditawarkan secara sepenuh masa iaitu:
  • Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
  • Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)
  • Sijil Agensi Harta Tanah (CEA)
Brosur pelawaan permohonan. Layari laman web www.inspen.gov.my untuk maklumat lanjut.


Sijil Penilaian Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang penilaian harta tanah (minat nak jadi valuer).
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    


Sijil Pengurusan Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengurusan harta tanah (minat nak jadi Property Manager). 
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    

Sijil Agensi Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang agensi harta tanah (minat nak jadi Estate Agent - ejen jual beli harta tanah)
  • Tempoh pengajian : 19 bulan (termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik/ Sains/ Prinsip Akaun/ Perdagangan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam dua (2) mata pelajaran lain.

DI MANA LOKASI INSPEN?


INSPEN terletak di Gate 1, Putrajaya, bersebelahan dengan Kg. Abu Bakar Baginda dan Presint 14 Putrajaya. Lokasi strategik, dengan kemudahsampaian yang baik.

Sumber: Google map

KENAPA PERLU PILIH BELAJAR DI INSPEN?

⇨  Yuran pengajian yang rendah. Hanya RM365 setiap semester.
⇨  Penginapan asrama disediakan secara percuma sepanjang pengajian.
⇨  Bantuan makan sebanyak RM20 sehari.
⇨  Graduan berpeluang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Jom belajar di INSPEN! 
Peluang depan mata, buat apa tangguh lagi!

Jom daftar di http://icms.inspen.gov.my/ atau layari laman web inspen di www.inspen.gov.my sebelum 30 September 2019.

Mungkin boleh baca sharing saya sebelum ini berkenaan melanjutkan pelajaran dalam bidang harta tanah dan prospek kerjayanya untuk maklumat lanjut di sini.

Monday, August 26, 2019

Bagaimana nak semak status halal hotel?

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.

Sebuah coretan buat perkongsian. Moga bermanfaat.

Pernah tak rasa was-was makan kat hotel di Malaysia ni? Biasanya kebanyakan daripada kita akan makan makanan yang disediakan tanpa was-was terutama sarapan pagi yang disediakan secara complimentary apabila kita menempah penginapan di hotel kan?

Tahu tak, kita boleh semak status halal hotel melalui Portal Halal Malaysia? Macam mana nak semak? First thing first kena masuk laman web www.halal.gov.my dulu. Kemudian masukkan nama hotel pada ruangan "Verify Halal Status". Contoh seperti di bawah:

Laman web Portal Rasmi Halal Malaysia. Masukkan nama hotel untuk semakan. Contoh hotel yang dimasukkan masih valid status halalnya.

Jika hotel tersebut telah mendapatkan sijil halal JAKIM, tarikh luput sijil halal akan dinyatakan di laman ini. Sekiranya sijil halal telah ditarik balik, kenyataan "STATUS HALAL: Sijil Telah Ditarik Balik" akan tertera.

Senang bukan? Moga sedikit usaha, dapat menghindarkan diri dan keluarga kita daripada memakan makanan yang syubhah.

Saya pun sebenarnya baru sedar untuk membuat semakan ini setelah dijentik melalui satu pengalaman yang Allah bagi.

Kisahnya, saya telah diamanahkan menjadi urus setia sebuah mesyuarat bagi organisasi tempat saya bertugas. Mesyuarat ini telah diluluskan untuk diadakan di sebuah hotel di sebelah utara tanah air. Seperti biasa, sebelum menentukan tempat mesyuarat, prosedur kewangan perlu saya patuhi, yang mana saya perlu dapatkan sebut harga daripada 3 hotel di kawasan tersebut berserta beberapa salinan dokumen lain termasuk sijil halal.

Daripada 5, 3 sebut harga saya senaraipendekkan yang mana ketiga-tiganya masih dalam lingkungan bajet, mempunyai sijil halal yang sah dan berdaftar dengan MOF. Setelah membuat perkiraan bajet dan pertimbangan sewajarnya, saya mengesyorkan Hotel A (bukan nama sebenar) dan memanjangkan permohonan ke unit kewangan untuk prosedur seterusnya. Setelah confirm hotel terpilih, surat jemputan kepada semua peserta mesyuarat diedarkan. Settled semua sebelum cuti hari raya. 

Walau bagaimanapun, tak sampai 2 minggu sebelum mesyuarat, saya hubungi pihak hotel terpilih untuk membincangkan tentatif program lebih lanjut. Namun, perkhabaran lain yang saya terima. Sijil halal telah ditarik balik oleh JAKIM khabarnya. Allah... terbayang dah usaha sebelum ini yang sia-sia dan bakal memulakan usaha semula. Walau sedikit kecewa, tapi saya bersyukur Allah bukakan pintu hati person incharge hotel tersebut untuk memaklumkan perkara sebenar. Jika dia tidak jujur menceritakan, saya pun tak tahu status hotel tersebut.  

Bukan setakat Hotel A sahaja yang telah ditarik balik sijil halal, bahkan satu lagi hotel yang disenaraipendekkan juga turut ditarik balik sijil halal menjadikan hanya satu sahaja hotel yang tinggal. Adoii!

Alhamdulillah...Allah permudahkan urusan saya menukar hotel lain yang masih sah sijil halalnya. Dan yang paling menggembirakan apabila semua peserta mesyuarat puas hati dengan hotel ini. Betullah kata orang, pelangi hanya muncul lepas hujan. Rupanya ada hikmah disebalik ujian yang datang. 

Walaupun pengalaman yang mencemaskan, namun banyak hikmah yang saya peroleh daripada realiti ini. Alhamdulillah!

Sunday, August 4, 2019

Setelah 77 tahun..Akhirnya Majalah Mastika Tiada Lagi di Pasaran. Mari Mengimbau Kenangan Silam

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.

Saje mami nak kongsi cerita. Kongsi rasa.
Lambat mami dapat tahu berita ni.
Mami baru tahu 30 Julai yang lalu...huhu...

Majalah kesayangan mami, Majalah Mastika telah dihentikan penerbitannya. Keluaran November 2018 adalah yang terakhir! Patutlah mami tak pernah jumpa lagi Mastika di kedai buku dan kedai-kedai serbaneka. Mami ingatkan laris di pasaran sampai tak sempat mami beli...huhu.. Lapan bulan mami cari tak pernah jumpa. Rupanya telah tiada.... berkubur tanpa nisan... huwaaa...

Mami suka baca Mastika. Memang mami suka membaca pun. Tapi Mastika ni special berbanding majalah lain. Ada macam-macam cerita dalam majalah kecil ni. Biasanya sehari dah habis mami khatam.

Mami mula kenal Mastika ketika mami di Tingkatan 3, tahun 1996. Mami tak beli. Tapi mami tumpang baca Mastika milik kawan yang duduk di hadapan meja mami. Pertama kali diperkenalkan, mami mula jatuh hati. Jatuh hati dengan gaya penulisan dan cerita-cerita yang disajikan. Ada isu semasa, ada cerita jenaka, ada kisah iktibar, ada cerita seram, ada cerita misteri, ada cerita di sebalik cerita. Ahhh..pendek kata cukup rencah pembuka selera pembacaan.

Walaupun dah jatuh hati masa ni, mami masih tak membeli Mastika buat koleksi. Sebab mami tahu kawan mami akan beli dan mami boleh tumpang baca. Jimat duit sekolah mami. Masa ni mami beli majalah Mangga...hihihi... Ala...majalah yang ada cerita-cerita artis...gambar-gambar artis yang posing kat tepi kolam renang tu...hahaha.. zaman jahiliah katanya.. Masa ni, selain majalah Mangga, majalah URTV pun popular sebagai media artis. Tapi mami tak minat nak beli URTV sebab saiz dia besar. Majalah mangga saiz kecil, senang nak masuk dan sorok dalam beg..hihi.. Trend sekolah waktu tu bawa beg kecik-kecik je. Buku teks diikat dengan pengikat buku berwarna-warni dan dipegang dengan tangan (siapa macam ni dulu..kita geng..hehe) Alhamdulillah..sepanjang kegiatan membawa majalah Mangga ke sekolah, mami tak pernah tertangkap walaupun sekali...

Memang mami up-to-date pasal cerita artis masa ni...hahaha..segala gosip artis mami tahu. Mami paling minat Kumpulan A to Z. Khususnya Jeff..haha..sebab hensem pada pandangan mata remaja mami...kahkahkah. Siap ada koleksi keratan gambar diorang dalam album lagi...hihihi. Album berasal dari katalog kedai "Singer..menawan keluarga bahagia.." tu. Mami keluarkan gambar-gambar kerusi meja, perabot, pekakas elektrik tu semua, mami gantikan dengan gambar artis kesayangan...hihihi... Yang bestnya, kegiatan mami mendapat sokongan kawan-kawan. Bila mereka jumpa gambar A to Z dalam majalah atau surat khabar, mereka akan potongkan dan serah pada mami. Mami pula, bila jumpa gambar artis kesayangan mereka, mami pun akan buat perkara yang sama. Ya, kami bergandingan bahu, support each other bak kata orang sekarang..haha. Tapi sekarang tak tahu dah ke mana koleksi mami ni.. 

Minat mami pada Jeff masa ni dikongsi bersama kawan baik, hani. Dia pun minat jugak. Tapi kami tak gaduh tarik rambut tau. Kiranya kami madu yang baik....hahaha. Kat buku rujukan kami, masing-masing tulis nama gabungan dengan Jeff. Mami guna nama Jeffy Afifah. Hani ni pulak, Jeffny. Hahaha...taip sambil tersengih mami ni. Mengimbau kenangan silam. Kami pernah naik bas sama-sama ke Gunung Ledang bila dapat tahu A to Z turun ke sana buat promosi..hihihi.. Dah dekat, bila lagi nak ada peluang tu kan. Itu la pertama kali dan terakhir kali nampak A to Z depan mata.

Alamak...dah tersasar jauh dah cerita mami ni. Dari sedih dah terselit cerita kelakar imbauan memori silam...hahaha..

Mami mula buat koleksi Mastika bila dah masuk universiti. Masa ni, tiada lagi Mangga dalam kamus hidup mami. Mami dah tinggalkan dunia artis. Daripada Genre Pop Rock dan Balada...mami bertukar kepada Genre Nasyid dah..hahaha. Babai dah Jeff. Hani nak ambik sorang-sorang pun ambik la, tak heran..haha. Insaf dah dengan izin Allah. 

Mami beli dan buat koleksi sehingga keluaran terakhirnya. Ada juga bulan-bulan yang mami tak dapat beli bila dah habis di kedai. Tak semua koleksi ni masih ada dalam simpanan mami. Ada yang pinjam koleksi setahun mami sampai sekarang tak pulang. Banyak juga yang dah hilang bila mami berpindah-randah dari asrama, rumah sewa zaman universiti dan rumah sewa zaman kerja. Mana yang ada dalam simpanan mami je la yang mami susun rapi atas rak buku. Mami selalu ulang-ulang baca koleksi yang lama-lama. Dah tak ingat lagi dah ceritanya..macam baca majalah baru pulak. Mami suka baca masa menyusukan anak. Kalau tidak membaca, mami akan tidur joint anak sekali..haha. 

Koleksi Majalah Mastika dalam Simpanan Mami

Keluaran terakhir November 2018, tapi sayang..kulit dah terkoyak...huhu

Mami rindu sangat nak baca Mastika lagi. Edisi terkini maksud mami. Moga terbuka pintu hati pihak yang berkenaan untuk mengembalikan semula kegemilangan majalah tertua ini. Pernah memegang rekod jualan tertinggi selama sepuluh tahun berturut-turut. Sedih ianya telah terkubur begitu sahaja....sedangkan begitu lama ia diperjuang dan dipertahankan oleh pengarang terdahulu.

Mastika dalam kenangan: 1 Jun 1941 ~ November 2018

Anak mami Uzair Razin lahir pada 1 Jun 2011, sama tarikh lahir dengan Mastika.

Tuesday, July 30, 2019

Permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Coretan buat anak-anak dan tatapan buat kenangan masa depan.

Mami baru sahaja selesai membuat permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Alhamdulillah! sempat mami apply sebelum pukul 12 tengah malam. Isi borang permohonan secara online. Nasib baik semua dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik, telah ada dalam simpanan mami. Salinan kad pengenalan mami, salinan kad pengenalan dedi dan slip gaji terkini mami.

Tak tahu mengapa hari ini, tiba-tiba Allah gerakkan hati untuk "menggoogle" PPAM ni. Kebetulan ada projek di Kuantan, Pahang. Dan kebetulan juga, tarikh akhir permohonan adalah pada hari ini, 30 Julai 2019! Mami ada lebih kurang 2 jam sahaja untuk membuat permohonan!

Sebelum ini, mami pernah memohon PPA1M di Putrajaya sejak tahun 2017...tapi sehingga sekarang tidak pernah mendapat sebarang tawaran. 
Pada tahun ini, mami cuba memohon Rumah Selangorku...namun masih juga belum mendapat sebarang tawaran.

Ya..umur mami hampir mencecah 38 tahun tidak lama lagi. Mami masih belum memiliki sebarang rumah! Walaupun belajar dan bekerja dalam bidang harta tanah, namun sebuah rumah sendiri pun mami belum miliki... Mami sedar, lagi lama mami tangguh beli rumah, makin tinggi insuran mami kena tanggung bila mami beli rumah nanti!

Permohonan pertama mami, PPA1M Putrajaya - kurang mendapat restu dedi. Katanya banyak masalah, terutama masalah berebut parking. Maklumlah, perumahan bertingkat tinggi. Tak seronok nak tinggal, walaupun lokasi strategik. Lalu..mami membiarkan takdir yang menentukan. Kalau baik untuk mami miliki rumah di sini, moga Allah permudahkan.

Permohonan Rumah Selangorku juga masih perumahan bertingkat tinggi berhampiran Cyberjaya. Lokasi agak strategik kerana berhampiran UiTM Dengkil. Dua parkir disediakan untuk setiap unit, jika rujuk kepada iklan yang dipaparkan. Kurang mendapat restu dedi juga, kerana dedi prefer landed.

Mami tahu, rumah landed di Lembah Klang ini mencapai harga yang mampu tengok je..tak mampu milik. Sangat jarang pemaju nak dirikan rumah teres 1 tingkat, memandangkan harga tanah yang mahal. Rumah teres 2 tingkat di atas tanah Rizab Melayu di Semenyih pun ditawarkan pada harga melebihi RM500,000. Perghhh...tak mampu!

Seminggu dua ni, seorang rakan mami yang berkerja sebagai estate agent sering update status whatsapp mengiklankan rumah teres 1 tingkat di kuantan pada harga RM235,000 hingga RM245,000 seunit. Ehmm...harga mampu milik. Biarlah Rizab Melayu pun. Tergerak pula hati mami untuk beli rumah di Kuantan la. Dedi orang sana. Mana tahu ada rezeki pindah sana pulak.

Hari ni mami nampak lagi status whatsapp rakan mami tu. Dah tergerak hati nk tanya lanjut, masih available lagi tak? Tapi...belum sempat mami swipe up status tu, sebagaimana diarahkan, mami tergerak nak google PPAM di Kuantan. Ya..itulah yang membawa mami ke laman web PPAM dan ternampak projek rumah teres 1 tingkat yang ditawarkan. Harga serendah RM180,000 hingga RM230,000 seunit, bergantung kepada saiz dan lokasi.

Teringat mami dengan permintaan Uzair, nak mami beli rumah macam mama (sepupu dedi) masa kita beraya di rumah mama tempoh hari. Rumah mama teres 1 tingkat di Pekan, Pahang. Uzair kata rumah mama best. Uzair siap pesan pada mama supaya mama bagitahu kalau ada rumah nak jual berhampiran rumah mama. Hahaha...hai lah anak. Jauh sangat Pekan tu nak oii.

Masa mami buka laman web PPAM tadi, terpampang gambar rumah bertingkat tinggi dan landed. Rania bagitau mami, dia tak nak rumah yang tinggi tu. Dia nak rumah yang rendah (landed).

Anak-anak mami semua teruja mami nak beli rumah. Mami cakap..mami baru mohon..belum tentu dapat. Kena doa banyak-banyak supaya dapat mami beli rumah tu.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita ya nak! Niat mami nak beli rumah tu untuk gembirakan hati semua kesayangan mami. Andai tak panjang umur mami, sekurang-kurangnya ada tempat anak-anak mami berteduh (aduh! tak tergamak nak tulis ni sebenarnya....sebak!)

Mohon doakan juga ya! Moga ada rezeki kami. Ya...anda yang terbaca coretan ini....Moga doa yang baik kembali kepada yang mendoakan jua...

Update: Keputusan Permohonan - Rujuk sini (klik)

Tuesday, June 25, 2019

Adra's Milestone: #1 year 1 month

25 Jun 2019. 

Coretan untuk ingatan.

Hari ni genap Adra berusia 1 tahun 1 bulan dan 2 hari. Semalam mami nampak Adra dah boleh menapak 3 langkah. Hari ni Adra tunjuk kat mami Adra boleh menapak banyak langkah dah. Walaupun masih terkedek-kedek, langkah terabur macam mak-mak mengandung 9 bulan..haha..

Alhamdulillah..tahniah anak mami kerana berani melangkah! Setapak demi setapak! Walau lambat...Adra tetap sampai ke destinasi...asalkan terus melangkah.

Ingat ini wahai anak. Adra lahir tidak terus berlari. Bermula hanya dengan satu langkah. Berbekalkan keberanian, terus mengorak langkah demi langkah. Jatuh, bangun kembali, tidak kenal putus asa! Moga semangat ini terus bersamamu. Perjalananmu masih jauh. Banyak lagi ranjau dan onak duri kehidupan perlu ditempuh. Namun begitu, ingat ini. Doa mami sentiasa mengiringi langkahmu anak!




Wednesday, June 12, 2019

Puasa vs Raya


Saje nak cerita.
Seminggu sebelum raya, mami timbang berat 49.5 kg.
Seminggu lepas raya, mami timbang berat jadi 54.3 kg.
Guna penimbang yang sama.
Mami mengembang dengan jayanya. Adeh!

Patutla pakai baju kurung raya pertama masih selesa.
Raya ke-6 pakai baju yang sama terasa mcm tak cukup ruang pula.
Hahaha...Alhamdulillah..rezeki Allah!

Sekian sahaja laporan. Terima kasih.


Realiti Kehidupan: Biasala.. masa mengadap tak ingat!

Saturday, May 11, 2019

Sentapan Rasa Ramadan

Sumber: iluvislam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Salam Sejahtera. Salam Ramadan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Masih lagi diberi peluang untuk berjumpa dengan Ramadan kali ini. Diam tak diam, sudah masuk hari ke-6 Ramadan hari ini. Harap diberikan kesihatan dan kekuatan melaksanakan ibadah yang dituntut pada bulan ini. Moga tidak dibiarkan Ramadan berlalu dengan sia-sia tanpa mendapat pengampunan dan rahmat dari-Nya. Barangkali ini Ramadan terakhir kita, walaupun mengharap sangat masih berpeluang untuk berjumpa dengan Ramadan pada tahun-tahun mendatang.

Semalam, saya mendapat perkhabaran berita bahawa isteri seorang kawan telah menemui Penciptanya. Perginya ketika menjelang berbuka, tanpa sempat berbuka menjamah masakan yang telah disediakan. Allahu..tiada sakit, tiada sebarang tanda meninggalkan pasangan hidup yang masih terkejut dengan pemergian yang begitu mudah. Pergi pada usia muda, 30-an, meninggalkan 3 orang anak kecil yang masih memerlukan belaian dan didikan seorang ibu. Tersentap rasa hati, mati itu pasti. Tidak terlambat atau tercepat. Tidak tunggu tua. Tidak tunggu bersedia. Tidak tunggu sempat berbuka. Tidak tunggu sempat beraya. Semua sudah tertulis sejak azali. Beruntungnya arwah pergi dalam bulan ini, moga diampunkan segala dosa-dosanya, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Allah Maha Penyanyang, pasti ada takdir yang lebih baik untuk digantikan dengan kehilangan ini buat mereka yang ditinggalkan.

Sebelum ini, 2 hari menjelang Ramadan, seorang kawan yang lebih muda umurnya daripada saya telah menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan isteri dan 2 anak kecil. Dikhabarkan arwah mendapat jangkitan kuman di otak, berpunca dari demam yang tidak kebah. Allah.. tersentap rasa, membayangkan jika diri ini yang menerima takdir tersebut, meninggalkan 4 anak yang masih kecil. Moga arwah tenang di sana, meninggalkan dunia dan onak ranjaunya. Moga diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga isteri arwah kuat dan tabah menerima takdir Allah ini.

Beberapa hari sebelum itu, kita semua menerima perkhabaran dukacita bahawa tokoh agama dan pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz telah meninggal dunia. Satu kehilangan besar buat negara dan umat Islam di Malaysia. Setelah perkhabaran tersebut, tular di media sosial rakaman ceramah terakhir arwah di sebuah masjid sehari atau beberapa jam sebelum pergi menghadap Penciptanya. Perginya juga cukup senang. Allah....bertuahnya arwah...begitulah pengakhiran hidup orang soleh. Tersentap rasa...perginya arwah meninggalkan ilmu yang disebarkan. Bagaimana kita nanti?? Moga kita juga 'pergi' dalam keadaan husnul khotimah.

Akhir kata, mari kita manfaatkan bulan keberkatan ini dengan sebaiknya, memohon rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Semoga Ramadan kali ini memberi satu permulaan baru untuk kita menjadi insan yang lebih baik. 

Realiti Kehidupan: Hidup ini hanya sementara. Kita tidak tahu siapa antara kita yang pergi dahulu. Hargai dan berbuat baik dengan orang disekeliling kita sementara masih ada bersama, agar tiada kesalan di hari muka. Beramal dan tebarkan kebaikan sebagai bekalan umpama ini Ramadan terakhir kita.