Check it out!

Showing posts with label Penjagaan Bayi / Anak. Show all posts
Showing posts with label Penjagaan Bayi / Anak. Show all posts

Thursday, May 31, 2012

10 tips bercuti dengan gembira bersama anak kecil

Pendedahan kepada persekitaran semulajadi menjadikan perkembangan kognitif/pemikiran kanak-kanak lebih baik dengan menggalakkan kemahiran mengolah, kesedaran dan pemerhatian mereka (Pyle 2002)

Mempunyai anak-anak yang masih kecil bukan penghalang untuk kita merancang percutian keluarga. Namun begitu, bercuti atau melancong bersama anak kecil pastinya akan memberi sedikit tekanan kepada ibu bapa memandangkan kerenah anak kecil adalah diluar jangkaan.

Bagi menyeronokkan percutian, pastinya persediaan yang rapi sangat perlu bagi mengelakkan percutian yang dirancang untuk menghilangkan tekanan di samping mengeratkan kasih sayang keluarga bertukar menjadi percutian yang mengecewakan!

Berikut dikongsikan sedikit sebanyak tips bercuti dengan gembira bersama anak kecil atau bayi anda:

1.  Rancang waktu memulakan perjalanan hampir dengan waktu tidur anak
  • Anak kecil mudah merasa bosan apabila terpaksa duduk di dalam kenderaan dalam tempoh yang agak panjang. Mereka akan mudah meragam bagi menterjemahkan kebosanan mereka. Bagi mengelakkan ini daripada berlaku, adalah lebih baik memulakan perjalanan pada waktu yang hampir dengan waktu tidur anak supaya masa perjalanan mereka terisi dengan tidur.
  • Jika terpaksa juga memulakan perjalanan pada waktu anak segar-bugar, kerapkan berhenti di hentian rehat & rawat (jika memandu sendiri). Ini dapat memberi peluang kepada anak-anak menghirup udara segar di luar kenderaan anda, di samping mereka membeli-belah makanan dan minuman kegemaran mereka (anda akan bernasib baik jika hentian tersebut tidak menjual mainan kegemaran mereka!) Anak-anak tidak bosan, pemandu juga tidak tertekan.
2.  Elakkan bercuti semasa cuti sekolah
  • Bagi mengelakkan kesesakan di tempat percutian, elakkan bercuti semasa cuti sekolah. Tetapi tips ini hanya sesuai untuk ibu bapa yang tidak mempunyai anak yang bersekolah. Kesesakan akan menyebabkan anda mungkin terpaksa bersesak-sesak untuk mengambil giliran atau menunggu lama bagi menjalankan sesuatu aktiviti di tempat percutian. Situasi ini bukan sahaja tidak menyelesakan anak kecil anda bahkan juga boleh mengancam kesihatan dan keselamatan mereka juga.
3.  Bercuti bersama-sama rakan / saudara
  • Bercuti bersama orang yang dikenali seperti rakan-rakan atau sanak saudara sebenarnya memberi kelebihan. Selain dapat membantu memantau dan mengawal anak kecil anda, mereka juga dapat meredakan tekanan yang mungkin akan anda alami semasa percutian dengan menjadi rakan berbual dan bergurau senda. Jika percutian anda tidak dapat disertai oleh rakan-rakan mahupun sanak saudara, cuba usahakan untuk membawa bersama seorang pembantu seperti ibu, kakak, adik ataupun anak saudara yang boleh diharapkan untuk membantu menjaga anak kecil anda. Ianya berbaloi untuk mengeluarkan kos yang lebih sikit demi percutian yang menggembirakan!
4.  Sediakan keperluan anak secukupnya
  • Jika anak anda menyusu dengan susu formula, bawa bersama susu mereka secukupnya kerana anda tidak pasti adakah tempat percutian anda ada menjual jenama susu yang mereka guna. Bawa juga bersama termos air panas, berus pencuci botol, sabun pencuci botol (dipek semula menggunakan botol yang lebih kecil) dan botol susu juga. Anda beruntung jika anak anda menyusu dengan susu ibu kerana tidak perlu membuat persediaan ini kerana susu anak anda telah tersedia untuk dinikmati bila-bila masa dan di mana jua. Cuma anda mungkin perlu membawa bersama nursing cover untuk memudahkan urusan menyusu anda di tempat awam.
  • Sediakan keperluan lampin pakai buang secukupnya. Bagi memudahkan penukaran lampin, adalah lebih praktikal jika anda menggunakan lampin pakai buang jenis seluar terutama bagi anak-anak yang telah berumur 8 bulan ke atas, yang tidak suka dibaringkan apabila memakai lampin. Jika anda membawa lampin pakai buang biasa, bawa bersama 'changing mat' bagi memudahkan anda menukar lampin anak di mana jua.
  • Pastikan pakaian anak anda dibawa dengan cukup sepanjang percutian. Berapa banyak yang perlu dibawa bergantung kepada keperluan, mungkin 3 pasang sehari adalah memadai. Bawa juga bersama topi, kasut, stoking, tuala mandi, tuala kecil, tisu lembap, bantal kecil, tisu poket, set mandian (travel pack), putik kapas, ubat-ubatan, dan juga termometer untuk memudahkan memantau suhu badan anak. Perubahan cuaca mungkin boleh menyebabkan anak kecil anda mudah mendapat demam. Mungkin anda boleh mencuba petua tidak memandikan anak kurang daripada 3 jam sesudah sampai.
  • Bawa bersama pengendong bayi (baby carrier / baby sling) bagi memudahkan pergerakan anda bersama bayi terutamanya yang belum pandai berjalan sendiri. Membawa stroller mungkin kurang praktikal memandangkan saiznya yang besar dan berat.
  • Jangan dilupakan, bawa bersama makanan untuk bayi anda seperti nestum, biskut bayi, puri dan sebagainya memandangkan makanan bayi sukar didapati, tidak  seperti makanan orang dewasa. Bagi anak-anak yang lebih besar, bawakan bersama makanan dan minuman kegemaran mereka seperti biskut, roti, snek, lollipop, air kotak dan sebagainya untuk dimakan dan diminum sekurang-kurangnya semasa dalam perjalanan. Makanan akan membuatkan mereka leka dan perut yang kenyang akan membuatkan mereka kurang meragam. 
5.  Simpan keperluan utama anak dalam beg yang mudah dicapai
  • Keperluan utama anak seperti beberapa helai lampin pakai buang, changing mat, tisu lembap, tuala kecil, tisu poket, termos kecil, sebotol air mineral / air masak, susu formula yang telah disukat di dalam compartment susu, nursing cover (jika menyusu dengan susu ibu), makanan dan minuman, baby carrier serta bantal kecil hendaklah disimpan di dalam sebuah beg yang mudah dicapai. Bagi memudahkan pergerakan terutamanya apabila menggunakan kenderaan awam, menggunakan beg sandang belakang adalah lebih praktikal untuk membawa keperluan utama ini. 
6.  Bawa bersama mainan kesukaan atau buku kegemaran
  • Bagi mengelakkan anak anda merasa bosan sepanjang perjalanan ataupun semasa menunggu giliran dan sebagainya, bawa bersama mainan atau buku kegemarannya. Mainan dan buku yang baru dibeli mungkin lebih memberi tarikan berbanding mainan dan buku yang telah biasa mereka lihat. Jangan lupa memasukkan mainan atau buku ini dalam beg yang mudah dicapai tadi.
7.  Pilih penginapan yang selesa
  • Jika anda perlu menguruskan penginapan sendiri, pastikan penginapan anda telah ditempah lebih awal. Pilih penginapan yang selesa dengan mempunyai ruang untuk anak anda merangkak, berlari atau bermain. Jika anda mempunyai bajet yang lebih, memilih penginapan yang mempunyai kolam renang adalah lebih baik memandangkan kebanyakan kanak-kanak amat gemar bermain air. 
8.  Utamakan waktu rehat anak
  • Berjalan bersama anak kecil memerlukan kita mengikut rentak mereka. Elakkan terus berjalan-jalan sedangkan anak kecil anda sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam yang mana kerenah mereka mungkin akan membangkitkan kemarahan dan tekanan diri anda. Cuba rancang waktu anda dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak kecil anda sebelum anda memulakan aktiviti. Keletihan yang berterusan juga mungkin boleh mengganggu kesihatan anak kecil anda.
9.  Jangan bertangguh
  • Bercuti bersama si kecil akan mengehadkan langkah anda semasa bercuti yang mana mood anda bergantung kepada mood mereka juga. Jika anda terjumpa sesuatu cenderahati atau barangan yang berkenan di hati semasa anda beraktiviti, jangan bertangguh untuk membeli kerana anda mungkin tidak berpeluang untuk kembali ke situ lagi. Gunakan masa yang ada sebaiknya. Jangan bertangguh untuk melakukan sesuatu kerana anda tidak pasti bagaimana keadaan si kecil anda pada waktu tersebut.
10. Sentiasa berlapang dada
  • Akhir sekali, nikmati percutian anda bersama si kecil dengan hati yang terbuka. Sentiasa berlapang dada dengan segala kerenah anak-anak anda. Kegembiraan itu datangnya daripada hati. Jika hati anda ikhlas dan sabar melayan kerenah anak-anak dan menukarkan segala perasaan negatif kepada positif, insya-Allah, percutian anda akan menjadi percutian yang menyeronokkan! Anak-anak gembira, ibu bapa bahagia..

Selamat bercuti!

Wednesday, March 14, 2012

Razin dan Otitis Media - Radang Telinga Tengah

Petang semalam en asben perasan ada lelehan keluar dari telinga Razin. Macam hingus. Nanah rasanya. Warna kekuningan cair. Tapi tak bau busuk.

Risau keadaan Razin makin teruk, kami bawa Razin ke klinik berdekatan, pukul 8 malam tadi. Doktor kata Razin kena jangkitan telinga. Akibat selsema yang lama berpanjangan.

Doktor kata penyakit ni biasa menjangkiti baby bawah 1 thn. Tapi ini pengalaman pertama kami sebab Rayyan dan Rania Alhamdulillah tak pernah mengalaminya. Mungkin Allah nak kami rasa pengalaman tu, Allah uji kami dengan apa yang Razin alami ini.

Risau juga kami, maklumla melibatkan deria pendengaran ni. Doktor bagi 5 jenis ubat semalam iaitu ubat demam, ubat batuk dan kahak, antibiotik, ubat selsema (titis) dan ubat telinga (titis) berserta bil berjumlah RM77.

Bagaimana jangkitan telinga atau istilah perubatannya otitis media (radang telinga tengah) ini boleh berlaku? Apa puncanya? Macam mana langkah pencegahannya? Apa rawatan terbaiknya? Jom sama-sama kasi tau jawapannya dengan membaca artikel yang telah saya copy and paste ini. Sebelum tu, meh tengok dulu keratan rentas telinga yang sempat saya googlekan ni supaya kita boleh imagine kat mana berlakunya otitis media ni.



Hilang Pendengaran

PERNAHKAH anak anda mengadu sakit telinga atau menunjukkan cecair keluar daripadanya? Jika ya, jangan ambil mudah kerana anak anda mungkin terkena jangkitan telinga atau radang di bahagian telinga tengah.

Ia dipanggil otitis media iaitu penyakit telinga yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga satu tahun. Ia penyakit kedua biasa berlaku selepas selesema.

Secara global, 83 peratus kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya sekali otitis media sebelum berumur tiga tahun dan 10 hingga 20 peratus kes membabitkan bayi berumur bawah 12 bulan.

Kajian mendapati 60 hingga 80 peratus kes otitis media berlaku di negara membangun, termasuk Malaysia yang disebabkan oleh bakteria.

Menurut Pakar Bedah ENT (telinga, hidung, tekak) dan Surgeri Kepala Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Samril Bokari berkata, otitis media terbahagi kepada dua iaitu otitis media dengan kehadiran cecair (OME) dan otitis media akut(AOM).

“Gejala AOM berlaku apabila jangkitan kuman pada saluran pernafasan atas mengakibatkan tisu hidung bengkak tersumbat dan dipenuhi cecair.

“Ia mengakibatkan fungsi pembersihan terganggu dan regulasi tekanan di bahagian telinga tengah menyebabkan jangkitan bakteria masuk dari bahagian belakang hidung ke telinga tengah.

“OME pula berlaku selepas beberapa minggu AOM disebabkan tiub eustachio tidak dapat berfungsi secara normal, menyebabkan tekanan negatif di telinga tengah, seterusnya berlaku rembesan cecair berterusan dari saluran kapilari darah ke dalam telinga tengah,” katanya sewaktu ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, kanak-kanak mudah terdedah kepada kuman atau organisma yang mengakibatkan jangkitan sama ada bakteria, virus mahupun fungus. Jangkitan virus menyumbang kepada 15 peratus daripada keseluruhan kes manakala jangkitan bakteria merangkumi majoritinya.

“Ada tiga jenis bakteria yang kerap menyerang iaitu streptococcus pneumoniae (25 hingga 50 peratus), haemophilus infuenzae (15 hingga 30 peratus) dan moraxella catarrhalis ( tiga hingga 20 peratus).

“Kanak-kanak lelaki lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan. Selain itu, kurang menjaga kebersihan antara punca otitis media berjangkit,” katanya.

Otitis media harus diberi rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran kanak-kanak. Apabila pendengaran terjejas, proses pembelajaran juga menjadi perlahan.

Akibatnya kanak-kanak menghadapi masalah dalam bilik darjah, prestasi pelajaran merosot dan perkembangan sosialnya terbantut. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak yang mendapat otitis media sering dilabel ‘lembap’.

Jika tidak dirawat segera, otitis media boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan saraf muka, gegendang telinga berlubang, jangkitan telinga kronik (jika berlaku berulang kali), jangkitan merebak ke tulang belakang telinga, meningitis (keradangan selaput otak) dan kehadiran nanah atau sista dalam telinga.

Pencegahan awal adalah dengan memberi bayi susu ibu berbanding susu formula kerana ia menolong mengeluarkan imuniti kepada bayi yang mampu menghalang berlakunya otitis media yang disebabkan posisi ketika penyusuan ibu mampu meningkatkan tahap optimum fungsi tiub eustachio dibandingkan penyusuan menggunakan botol.

Faktor risiko

Ada beberapa faktor risiko utama otitis media iaitu:
1) Sindrom Down
2) Kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan kanak-kanak
3) Kanak-kanak sumbing
4) Umur — Kanak-kanak berumur enam hingga 18 bulan paling mudah mendapat jangkitan telinga. Masalah jangkitan telinga adalah masalah biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat bulan hingga empat tahun
5) Kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan besar seperti di pusat jagaan harian lebih mudah diserang selesema berbanding yang dijaga di rumah. Oleh itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan telinga
6) Terdedah pada asap rokok atau dibesarkan dalam persekitaran dengan kualiti udara rendah. Kanak-kanak yang terdedah kepada udara mengandungi asap rokok atau tercemar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami jangkitan
7) Kerap mendapat jangkitan saluran pernafasan atas (contohnya selesema)
8) Sejarah keluarga. Jika anda, pasangan atau ada ahli keluarga pernah mendapat jangkitan telinga, bermakna anak anda juga berpeluang mengalami masalah sama
9) Posisi badan ketika disusukan. Bayi yang menyusu dari botol sambil berbaring dikatakan lebih mudah mendapat jangkitan berbanding bayi yang menyusu dalam kedudukan badan tegak atau kedudukan kepala lebih tinggi dari badan. Justeru, pakar menyarankan ibu memberi susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan untuk menguatkan imun badan bayi dan mencegah masalah otitis media

Tanda

Oleh kerana kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak kecil yang belum tahu mengadu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada tanda ditunjukkan anak seperti:
1) Anak menarik telinganya
2) Anak menjadi cerewet dan kerap menangis
3) Anak sukar tidur
4) Anak enggan makan
5) Demam (terutama bayi dan kanak-kanak kecil)
6) Ada cecair meleleh daripada telinga
7) Anak mengalami masalah keseimbangan
8) Anak mengalami masalah pendengaran atau lambat bertindak balas terhadap bunyi perlahan

Rawatan

- Oleh kerana otitis media boleh menyebabkan pelbagai masalah, rawatan segera perlu diberi. Biasanya doktor memberi antibiotik untuk satu jangka masa pendek, terutama jika kanak-kanak masih kecil dan tidak sihat
- Selepas mendapat jangkitan telinga, bahagian tengah telinga anak anda mungkin mengandungi cecair selama beberapa minggu
- Dalam tempoh ini anak anda mengalami sedikit masalah pendengaran dan cecair dalam telinganya akan hilang dalam masa dua bulan. Jika masih menunjukkan gejala keresahan dan tidak mendengar dengan baik, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut
- Ini kerana kanak-kanak boleh mendapat beberapa kali jangkitan telinga dalam masa setahun. Bagaimanapun, jika masalah tidak berkurang selepas beberapa kali berjumpa doktor keluarga, minta supaya anak anda dirujukkan kepada pakar kanak-kanak atau pakar telinga
- Seperkara yang ibu bapa perlu ingat ialah, bukan semua pesakit otitis media memerlukan antibiotik. Doktor akan membuat pertimbangan sama ada anak anda memerlukannya atau tidak, dan jika tidak diberi, jangan meminta kerana antibiotik tidak berguna jika masalah disebabkan jangkitan virus
- Dalam keadaan tertentu — jika antibiotik tidak berkesan, doktor mungkin memasukkan tiub kecil pada telinga anak bagi membolehkan cecair yang terperangkap di belakang gegendang mengalir keluar
- Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tiub ini akan keluar sendiri selepas satu tempoh dan gegendang telinga yang berlubang (kesan cucukan tiub) akan sembuh dan tertutup kembali. Pendengaran anak juga akan kembali normal
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, jangkitan telinga berhenti apabila kanak-kanak membesar dan mereka mempunyai pendengaran baik. Namun kaedah paling baik ialah mencegah jangkitan daripada berlaku.

Pencegahan

Mencegah otitis media bermakna kita boleh mengurangkan masalah penghasilan bakteria yang ada daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik; beban ibu bapa (daripada segi pengambilan cuti untuk menjaga anak sakit dan kos rawatan), beban sektor perubatan dan ekonomi masyarakat; kesakitan, kesengsaraan dan kesan sampingan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta ibu bapa.

Jika mempunyai anak yang mendapat jangkitan telinga, asingkan dengan anak lain hingga demam reda. Pada masa sama, elak membawa anak yang dijangkiti berenang kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan telinga seperti:
l) Membawa anak mendapatkan suntikan vaksin. Doktor akan mencadangkan jenis vaksin yang boleh mencegah jangkitan telinga seperti vaksin untuk pneumokokal. Walaupun ia tidak memberi perlindungan 100 peratus, vaksin sangat berkesan mencegah jangkitan, terutama bagi serotype virus atau bakteria yang terkandung dalam vaksin berkenaan. Malah, ia penting untuk mengurangkan komplikasi teruk akibat jangkitan pneumokokal
2) Memberikan vaksin mencegah selesema juga dianggap langkah baik kerana risiko mendapat otitis media meningkat jika kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan
3) Basuh tangan sekerap mungkin untuk mencegah pemindahan bakteria atau virus kepada anak
4) Beri susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan. Elak menyusu anak sambil berbaring
5) Jangan merokok di dalam rumah. Lebih baik, berhenti merokok. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap mengalami jangkitan telinga
6) Selain itu anda boleh meminta doktor memeriksa telinga anak setiap kali ke klinik, juga menyarankan doktor keluarga untuk lebih peka mengenai gejala jangkitan telinga bagi membolehkan masalah telinga dapat dikesan lebih awal.


Sumber Artikel dari sini
Untuk tambahan bacaan boleh jugak klik kat sini.

Mamiraysha : Saya terfikir nak ambik vaksin pneumokokal la untuk Razin. Vaksin ni kalau tak silap untuk mencegah 3 penyakit iaitu radang otak, radang paru-paru dan juga radang telinga ni. ex-jiran saya yang merupakan seorang nurse kat Hospital Serdang pernah cerita ambil suntikan ni untuk anak dia yang sebaya Razin. RM seratus lebih kat hospital serdang untuk 1 dos. Complete dos kalau tak silap saya 3 kot katanya. Harga bil rawatan pun dah nak hampir sama dengan harga suntikan pencegahan ni. Lebih baik la berhabis sikit untuk kos pencegahan ye tak? Prevention is better than cure!

Friday, November 4, 2011

Penjagaan Anak : Taska atau Pengasuh?

Entry ini ditujukan khas buat pembaca blog saya bernama DEL yang telah meninggalkan komen berikut kat entry saya yang bertajuk Jaga anak : Taska vs rumah pengasuh yang telah di post hampir setahun lalu.

" Salam...sedang mencari2 info tntg pengasuh atau taska,terkeluar blog saudari..walaupn entri ni thn lepas punye..juz nk tnye, awk anta pngasuh or taska??sy msh tak dpt nk buat keputusan..pengasuh ank sy skg ada mslh kesihatan..kami perlu cr pengganti atau taska.."

Walaupun entry ini ditujukan kepada DEL, yang pandai eja DEL pun boleh gak baca. Tak payah la nak kecik ati nak tutup paparan blog mamiraysha ni..hehehe.. Meh kita sama-sama share pendapat tentang isu taska vs pengasuh ni.

Untuk pengetahuan DEL dan kawan-kawan yang terbaca entry ini, sekarang ni saya menghantar ketiga-tiga anak saya yang berumur 3 tahun, 2 tahun dan 5 bulan di taska. Taska mana? Taska dekat dengan opis (dalam kawasan opis). Actually, taska milik opis tapi diuruskan oleh pemilik Taska Bijak Cerdik.

Sebelum membuat keputusan menghantar anak-anak ke taska, saya pun macam DEL dan mommies di luar sana yang risau gak nak hantar anak ke taska. Lebih-lebih lagi sebelum ni anak dah begitu selesa dan serasi dengan pengasuh.

Pastu macam-macam pulak kita dengar cerita buruk pasal kejadian yang tak ingin kita lihat berlaku di taska. Bayi meninggal dunia tersedak susu la, bayi meninggal sebab terjatuh la. Paling selalu kita dengar, penyakit senang sangat berjangkit kat taska ni. Maklumla, dah duduk ramai-ramai kan.

Tapi kalau direnung-renungkan balik, bukan di taska je yang berlaku kejadian2 yang tak diingini tersebut. Dalam jagaan pengasuh juga, ada kes2 tersebut berlaku. Pendek kata, kat mana-mana kita hantar anak pun kemungkinan untuk berlaku kejadian buruk itu tetap ada waima dalam jagaan kita sendiri pun, kalau Allah takdirkan berlaku, akan berlaku juga. Yang penting, kita berdoa agar anak-anak kita dilindungi daripada malapetaka dan bahaya. Usaha dulu cari yang terbaik sama ada taska ataupun pengasuh..then tawakal kepada Yang Maha Penjaga.

Kelebihan menghantar anak di Taska

Melalui pengalaman saya, walaupun ada kekurangan, banyak juga kelebihan hantar anak ke taska ni. Antaranya:

1) Cuti Rehat saya jimat..hihihi.. ye la..kalau hantar anak ke rumah pengasuh, pengasuh demam ke, tak sihat ke, balik kampung ke, ada urusan bank ke dan lain-lain urusan peribadi, dia akan mohon untuk bercuti. Tak kan la tak nak bagi. Bila dah bagi cuti kat pengasuh, anak kita kena la kita jaga sendiri dan terpaksa ambik cuti. Lagi haru kalau dapat pengasuh yang masih muda dan ada potensi bersalin. Dah nak bagi cuti bersalin dan terpaksa cari pengasuh baru..hihihi. Kat taska, cikgu-cikgu lebih daripada sorang. So, takde masalah ketiadaan pengasuh ni.

2) Anak pandai bersosial. Di taska, ramai rakan sebaya anak-anak kita ni. So, mereka akan belajar macam mana nak berkawan. Macam mana nak kongsi permainan dengan kawan. Biasanya, anak-anak yang dihantar di taska tiada masalah takut orang atau bergaul dengan orang. So nanti, masa nak masuk darjah satu tak payah la mummy dan daddy sibuk-sibuk kena tunggu anak yang menangis ditinggalkan..hihihi..

3) Pengasuh yang berpengalaman dan berpengetahuan. Biasanya pengusaha-pengusaha taska ni telah menghadiri kursus yang berkaitan penjagaan dan perkembangan bayi dan kanak-kanak ni dan berusaha memastikan staf mereka juga menghadiri kursus yang berkenaan. So, mereka akan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh membangunkan minda, motor dan sebagainya (hhihihi..tak tahu apa lagi..maklumla tak pernah pergi kursus) sesuai dengan umur mereka. Contohnya, ada aktiviti mewarna, menampal, mengoyak, menganyam, menyanyi, menconteng dan lain-lain lagi.

4) Anak-anak lebih berdisiplin. Di taska, mereka menerapkan disiplin dalam diri anak-anak ni. Mungkin sebab ramai dan faktor pengaruh rakan sebaya, mereka mudah menerima dan melaksanakan peraturan yang telah ditetapkan oleh teacher2 kat taska. Makan ikut time, perlu beratur sebelum makan, duduk di tempat yang ditetapkan untuk makan, baca doa sebelum makan, letak botol susu yang telah habis di tempat yang ditetapkan, letak beg sendiri ditempat yang ditetapkan, ada waktu tidur, waktu main, waktu menonton tv dan yang sewaktu dengannya..hihihi.. (Tapi kan, anak-anak saya kat taska boleh dengar cakap teacher..berdisiplin sungguh! tapi kat rumah susah nak dengar cakap mummy dia nih!)

5) Boleh tambah kawan mummy! hihihi.. bukan anak je dapat ramai kawan, mummy dia pun bleh dapat kawan dengan mummy kawan anaknya. Boleh juga bertukar-tukar cerita tentang pengalaman membesarkan anak-anak dan sebagainya sementara tunggu anak siap untuk dilepaskan. Kalau hantar anak dengan pengasuh, sorang tu je la yang kita add senarai kawan kita kan..

Tu je la kot yang teringat saya listkan kelebihan taska ni. Kalau ada pembaca lain nak share kelebihan lain silakan.. sharing is caring!

Nantikan entry tips memilih taska selepas ini..

Saturday, August 6, 2011

Sindrom Bayi Tergoncang

Saya ada terima satu pamplet bertajuk Sindrom Bayi Tergoncang atau Shaken Baby Syndrome semasa check-up Razin kat Klinik Kesihatan Putrajaya 1 Ogos lepas. Terdapat maklumat yang bagus untuk dikongsikan. Dari sehari ke sehari nak post entry ni tapi tak berkesempatan. Tetiba bila dah berkesempatan, pamplet hilang dari pandangan la pulak. Alahai..ni mesti la kerja Rayyan dan Rania ni. Telefon en asben tanya dia ada nampak tak..jawapnya..dia dah buang! Siapa suruh sepah sepah katanya. Uhuhuhu.. punah harapan nak kongsi dalam blog.

Upps! belum punah lagi. Tetiba dapat idea nak korek gak pasal sindrom ni kat internet. Luckily, ada gak blogger yang dah post entry pasal sindrom bayi tergoncang ni sejak tahun 2010 lagi. Apalagi, bleh la saya mengimbas kembali pembacaan berdasarkan gambar-gambar pamplet yang telah diuploadnya. Saya ambik satu je dari banyak2 gambar tersebut. Nak tengok lebih, sila jengah blog beliau ye.



Apakah yang dimaksudkan dengan Sindrom Bayi Tergoncang?

Sindrom Bayi Tergoncang merupakan kecederaan otak yang berlaku akibat bayi digoncang dengan kuat. Kecederaan otak yang dialami bukan sahaja menghasilkan impak jangka panjang yang mendatangkan kecacatan kepada bayi malah ianya juga boleh membunuh bayi tersebut.

Apakah peringkat umur bayi yang paling berisiko?

Bayi berumur 0-9 bulan merupakan golongan yang amat terdedah kepada sindrom bayi tergoncang, walau bagaimanapun, terdapat juga kes yang berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 1-4 tahun.

Bagaimanakah ianya boleh berlaku?

Otot leher bayi belum berkembang dengan baik dan dan tidak berupaya untuk menyokong kepala bayi yang agak besar dimana beratnya adalah 25% (satu per empat) daripada berat badan bayi. Otak bayi pula, bersaiz jauh lebih kecil berbanding dengan tengkoraknya dan salur darah dan tisu otak bayi masih lembut dan rapuh.

Perbuatan menggoncang menyebabkan kepala bayi terhayun dan mampu membuatkan otak bayi bergoyang dengan kuat di dalam ruang tengkorak. Pergerakan yang kuat ini menyebabkan salur-salur darah di dalam kepala bayi dan tisu otak terkoyak dan menyebabkan perdarahan.

Kecederaan ini bertambah teruk sekiranya goncangan bayi diikuti oleh pergerakan hentakan tubuh bayi (ke dinding atau ke atas tilam)

Kenapa bayi digoncang?

Perbuatan menggoncang bayi dengan kuat boleh berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Apabila anak/bayi tidak berhenti menangis menyebabkan orang yang menjaga anak/bayi tersebut berada dalam keadaan kecewa, marah dan stress lalu menggoncang bayi tersebut dengan kuat.

2. Penjaga bayi/kanak-kanak hilang pertimbangan dan mudah bertindak ganas akibat pengaruh dadah/alkohol/masalah kewangan

Kenapa ianya merbahaya?

Satu dari tiga bayi yang menderita sindrom bayi tergoncang akan berakhir dengan kematian, yang lainnya akan mengalami kecacatan kekal kesan dari kecederaan otak yang dialami. Perdarahan di dalam organ mata pula boleh menyebabkan kebutaan.

Apakah gejala dan tanda-tanda Sindrom Bayi Tergoncang?

Tanda-tanda awal:
1.Bayi mudah meradang (irritable)
2.Sawan
3.Kaki dan tangan mengalami kekejangan
4.Bayi tidak bermaya dan kurang bertindakbalas
5.Tahap kesedaran bayi menurun
6.Muntah dan tidak mahu makan
7.Perdarahan yang teruk boleh menyebabkan; kematian akibat terhentinya pernafasan dan denyutan jantung

Tanda-tanda lewat akibat dari kesan jangka panjang kerosakan otak:
1.Masalah pembelajaran
2.Kurang upaya anggota
3.Masalah penglihatan atau buta
4.Masalah pendengaran
5.Terencat akal (Cereberal Palsy)
6.Masalah tingkahlaku
7.Sawan berterusan
8.Kematian.

Bagaimana mencegahnya?

Bayi meragam adalah lumrah. Ianya mungkin disebabkan bayi merasa lapar, kembung perut, demam atau merasa tidak selesa. Setiap penjaga bayi harus bersabar dan tenang mengendali bayi dalam keadaan begini. Dapatkan rehat yang cukup, amalkan makanan seimbang agar sentiasa berada dalam keadaan yang cergas dan belajarlah cara-cara menangani stress dengan bijak. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menghentikan tangisan bayi:

1. Memastikan bayi tidak lapar dan berada dalam keadaan yang selesa (lampin tidak basah)
2. Memastikan bayi tidak sakit (demam, bengkak gusi atau kembung perut)
3. Menghayun bayi secara perlahan atau berjalan perlahan2 sambil mendokong bayi.
4. Menyanyi atau bercakap perlahan2 dengan bayi
5. Menggunakan permainan yang mengeluarkan bunyi agar menarik perhatian bayi
6. Membawa bayi berjalan2 di dalam kerusi tolak
7. Meletakkan bayi di kerusi keselamatan dan bawa bayi berjalan2 di dalam kereta
8. Mendakap bayi sambil bernafas secara tenang dan perlahan2
9. Elak membuai bayi dalam keadaan marah kerana ianya mungkin menyebabkan anda terdorong membuai bayi dengan kasar dan kuat.
10.Sekiranya anda keletihan, minta bantuan seseorang menjaga bayi anda sementara anda berehat seketika
11.Sekiranya tiada satu pun tindakan di atas berjaya dan anda merasa diri anda tertekan, tinggalkan bayi di dalam katil bayi (crib), tenangkan diri anda dan periksa semula bayi selepas 5 minit.
12.Dapatkan nasihat doktor sekiranya bayi anda masih tidak berhenti menangis.

Mamiraysha : Semoga dengan maklumat ini membuatkan kita lebih berhati-hati ketika menguruskan anak-anak kecil. Prevention is better than cure!