Check it out!

Showing posts with label Kerjaya. Show all posts
Showing posts with label Kerjaya. Show all posts

Sunday, September 15, 2019

GAGAL KE IPTA LEPAS SPM? JOM AMBIL PELUANG IKUTI PROGRAM SIJIL DALAM BIDANG HARTA TANAH

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam hujung minggu.

Berita baik buat lepasan SPM yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Jangan putus asa. Masih ada peluang untuk anda menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Yang penting, ada niat dan tekad untuk menambah ilmu di dada.

Jika anda berumur antara 17 hingga 21 tahun (berdasarkan tarikh lahir), boleh mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang harta tanah di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia. Sesi pengambilan bagi tahun 2019/2020 sedang dibuka sehingga 30 September 2019.

Sebanyak tiga (3) program sijil ditawarkan secara sepenuh masa iaitu:
  • Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
  • Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)
  • Sijil Agensi Harta Tanah (CEA)
Brosur pelawaan permohonan. Layari laman web www.inspen.gov.my untuk maklumat lanjut.


Sijil Penilaian Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang penilaian harta tanah (minat nak jadi valuer).
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    


Sijil Pengurusan Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengurusan harta tanah (minat nak jadi Property Manager). 
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    

Sijil Agensi Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang agensi harta tanah (minat nak jadi Estate Agent - ejen jual beli harta tanah)
  • Tempoh pengajian : 19 bulan (termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik/ Sains/ Prinsip Akaun/ Perdagangan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam dua (2) mata pelajaran lain.

DI MANA LOKASI INSPEN?


INSPEN terletak di Gate 1, Putrajaya, bersebelahan dengan Kg. Abu Bakar Baginda dan Presint 14 Putrajaya. Lokasi strategik, dengan kemudahsampaian yang baik.

Sumber: Google map

KENAPA PERLU PILIH BELAJAR DI INSPEN?

⇨  Yuran pengajian yang rendah. Hanya RM365 setiap semester.
⇨  Penginapan asrama disediakan secara percuma sepanjang pengajian.
⇨  Bantuan makan sebanyak RM20 sehari.
⇨  Graduan berpeluang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Jom belajar di INSPEN! 
Peluang depan mata, buat apa tangguh lagi!

Jom daftar di http://icms.inspen.gov.my/ atau layari laman web inspen di www.inspen.gov.my sebelum 30 September 2019.

Mungkin boleh baca sharing saya sebelum ini berkenaan melanjutkan pelajaran dalam bidang harta tanah dan prospek kerjayanya untuk maklumat lanjut di sini.

Sunday, March 23, 2014

Diploma Pengurusan Hartanah

Keputusan SPM baru je diumumkan 3 hari lepas kan?
So, macam mana result adik-adik akak? Best? Tak best? Macam best? Hampir best?
Apapun keputusannya.. kena redha ye.. itulah rezeki yang Allah dan peruntukkan kat kita.
Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Jangan frust bila result yang kita dapat menyebabkan kita tak layak apply kursus yang kita minat. Ia bukan penamat kepada perjalanan menuntut ilmu ye adik-adik. Banyak lagi bidang yang tak berapa glamour yang mungkin lebih sesuai untuk kalian.
Dah tak yah nak sedih-sedih bagai..

Hari ni akak (tetiba lak jadi akak kan? Memang dah masuk golongan akak-akak dah pun.. belum makcik-makcik lagi..hihi..) bermurah hati nak melaksanakan khidmat masyarakat kepada adik-adik yang baru dapat result SPM ni. Tengah sibuk isi borang online UPU kan? Mesti tengah pening nak apply course apa kan? 8 pulak tu..huhu.. yang minat.. syarat minimum tak lepas pulak. Akak faham, sebab lama gak la akak dan adik ipar akak mengadap borang tu semalam. Akak pun mengalami simptom-simptom pening tu jugak la.

Adik-adik ada nampak tak dalam senarai kursus yang ditawarkan tu ada Kursus Diploma Pengurusan Hartanah? Ada 2 universiti yang tawarkan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mesti ada yang tertanya-tanya kursus apa kan? Meh.. akak bagi pencerahan dalam entry ni. Tapi kena baca sampai abis tau. Akak ko ni memang panjang ceritanya nak bolehkan sampai ke maksud asal..hehe..

Kronologi

Pejam celik pejam celik (Alhamdulillah.. Allah masih pinjamkan nyawa.. mampu celik semula selepas pejam mata).. tahun ni tahun ke-11 akak berkerja dalam bidang hartanah ni berbekalkan Diploma Pengurusan Hartanah akak dulu. Itulah titik tolak akak tercebur dalam bidang ni. 

Macam kalian juga, akak tak kenal pun kursus ni dulu. Belajar apa.. keluar nanti kerja apa.. semuanya tidak terjangkau dek fikiran akak ni. Akak appy ni dulu pun atas saranan pakcik. Tu pun third choice. Masa zaman akak apply melalui UPU dulu (tahun 1999), 5 pilihan kursus je boleh buat. Pakcik akak yang sibuk sarankan course ni dulupun bukannya tahu pun kursus ni belajar apa. Nak tahu apa dia cakap masa sarankan couse ni?


"Ko try apply course Pengurusan Hartanah ni. Macam tak glamour je Pak Man tengok. Kalau ko apply course Sains Komputer ni, course ni glamour. Mesti ramai yang apply. So, chance untuk ko dapat tu kurang.. banyak saingan. Kalau course tak glamour ni, tak ramai apply. Kebarangkalian nak dapat tu tinggi."

Nasib baiklah akak ko ni jenis yang boleh terima nasihat orang..hehehe. Akak terima saranan pakcik akak dan apply juga kursus ni. Tak glamour pun tak glamour la. Janji dapat..hehe.. Tak nak pakai uniform sekolah lagi.. tak nak masuk Tingkatan 6. Itu dalam kepala akak masa tu.

Nak tahu apa pilihan pertama akak? Kursus Bimbingan dan Kaunseling (UTM). Akak minat bidang ni dan lepas syarat universiti dan program. Takde rezeki. Tapi kan.. sebenarnya kursus yang paling akak nak apply ialah Pengurusan Hotel dan yang berkaitan dengannya. Tapi melampau tau.. diorang tetapkan syarat kena credit dalam bahasa inggeris. Adeh! akak ko ni setakat lulus je bahasa inggeris tu.. maklumlah anak melayu sejatilah kononnya..kehkehkeh.. 

Pilihan kedua akak pulak ialah Diploma Perakaunan (UTM). Konon terer la belajar prinsip akaun.. nak jadi akauntan. Hehehe.. takde la terer mana. Dapat A2 je dulu.. tu pun siap tido rumah member 2,3 hari nak berguru punya pasal. Member akak ni memang ikhlas mengajar akak. Akak lebih faham dia ajar dari cikgu ajar..hahaha. Maklumla.. bahasa cikgu tinggi sangat. Dah jadi cikgu pun member akak ni sekarang. Thanks Hasanah! (akak tahu dia tak baca pun coretan ni.. saje je nak abadikan nama dia di sini. Upps lupa cerita.. dia dapat A1 subjek ni tau. Tak jadi akauntan pun.)

Pilihan ke-3, Diploma Pengurusan Hartanah. Pilihan ke-4, Diploma Pengurusan Ladang (UiTM) (bajet boleh jadi pengurus ladang) dan Pilihan terakhir rasanya Kursus Pra-perakaunan kot (tapi bidang perakaunan jugak la. Begitu mendalam minat, sanggup apply pra pun pra la janji boleh jadi akauntan..haha..) (UiTM).

Nak tahu tak apa cita-cita asal akak? Sejak dari darjah 1.. cita-cita akak nak jadi cikgu. Konsisten uolls cita-cita tu sampai la tingkatan 4. Tapi masa tingkatan 4, cikgu tanya satu kelas cita-cita nak jadi apa? Lepas sorang, sorang bagitau cita-cita.. Ada yang nak jadi doktor.. akauntan.. engineer.. arkitek.. tapi sorang pun takde yang nak jadi cikgu..huhuhu.. tiba turn akak kena jawab.. terus tukar.. nak jadi akauntan..hehehe.. macam malu je nak cakap nak jadi cikgu sedangkan kawan-kawan yang lain gempak je cita-cita diorang. Hahaha.. sangat teruk ini orang. Tak tetap pendirian langsung! (Jangan salah faham ye. Bukan akak nak down gredkan profesion perguruan tau. Ini apa yang akak fikir pada masa tu. Ye la.. fikiran mentah lagi. Akak respek profesion ni. Mereka orang yang ikhlas dan sabar. Sebab tu la ramai anak-anak guru yang berjaya dalam hidup. Mungkin akak tak cukup sabar untuk jadi seorang guru.. tu yang Allah takdirkan akak di bidang lain. Tapi minat akak nak jadi cikgu tak pernah pudar tau. Mungkin lepas ni aim untuk jadi pensyarah pulak) 

Kita merancang.. Allah juga merancang.. tetapi perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Ditakdirkan akak terpilih untuk mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Hartanah dan ditempatkan di Kampus Shah Alam. Masa zaman akak ni, ada 2 cawangan UiTM yang ada course Pengurusan Hartanah ni. Shah Alam dan Seri Iskandar, Perak. Tapi sekarang hanya ada di Seri Iskandar, Perak. Shah Alam hanya untuk degree sahaja.

Belajar apa?

Pengurusan Hartanah. Tentulah pasal menguruskan hartanah kan? Dalam bahasa inggeris disebut Estate Management. Tapi jangan salah faham pulak ingat Estate Management tu pengurusan estet atau ladang. Kalau pengurusan ladang dipanggil Plantation Management. UiTM memang sebut Estate Management. Tapi di UTM dipanggil Property Management. Kadang-kadang sebut Real Estate Management. Akak punya degree dia tulis Bachelor of Science (Property Management) tapi kat dalam transkrip pulak tulis Bachelor of Science (Real Estate Management). Ah.. lantaklah janji dah laku pun degree tu.. yang penting ia membawa maksud yang sama. 

Tapi apa itu hartanah atau harta tanah ini? Senang cerita.. ia adalah harta berupa tanah yang meliputi segala apa yang ada atas tanah, bawah tanah, atas tanah, yang melekat atas tanah, yang melekat kat benda yang melekat atas tanah serta tanah yang diliputi air. Contoh: tanah, bangunan, yang melekat secara kekal kat bangunan, tasik, sungai, tumbuh-tumbuhan, bahan galian, lombong, kuari, ruang udara.. haish! banyak betul kalau nak senarai. Nanti adik-adik akan jumpa definisi tanah di bawah Seksyen 5, Kanun Tanah Negara 1965 ye. Kang akak masukkan definisi tanah kat sini kang dah jadi lecture note la pulak..hehe..

Apa yang adik-adik akan belajar dalam course ni?

1) Penilaian

Ini merupakan subjek utama course ini. Wajib lulus tau subjek ni. Dalam subjek ni banyak guna matematik. Sebab tu syarat minimum untuk masuk kursus ni kena credit matematik iaitu sekurang-kurangnya gred C. Takde la matematik yang susah macam add math atau calculus tu. Ada la sifir penilaian yang kena hafal dan kena tahu nak implement masa bila. Lain-lain pengiraan macam matematik biasa.. campur tolak bahagi darab. Lain kaedah penilaian lain cara pengiraannya. Contoh pengiraan.. berapa perlu dilaburkan sekarang untuk mencapai simpanan RM50,000 pada 10 tahun lagi jika kadar pulangan 5% setahun. Hah.. kena kira la untuk dapatkan jawapan dengan menggunakan formula yang diajar. Interesting sebenarnya subjek ni. Uolls akan belajar macam mana nak tentukan nilai pasaran harta tanah. Kalau nak nilai tanah kosong guna kaedah apa, nak menilai stesyen minyak guna kaedah apa, nak nilai hotel guna kaedah apa, nak nilai shopping complex guna kaedah apa.. semua akan diajar.

Konsep penting subjek ini ialah penilaian itu art and science. Ada elemen sains dan seni. sains merujuk kepada formula dan pengiraan yang digunakan, manakala seni itu merujuk kepada pendapat dan pandangan yang diadun bersama bukti-bukti data yang ada. 

Pening? Jangan pening lagi.. interesting tau. Uolls akan dapat ilmu tentang harta tanah yang bukan semua orang ada. Uolls akan tahu apa faktor-faktor yang boleh mempengaruhi nilai harta tanah. See.. nanti kalau nak melabur dalam bidang harta tanah ni.. uolls akan tahu patut tak beli sesuatu harta tanah tu atau sebaliknya.

Soalan first assignment akak subjek ni dulu ialah " Apa yang anda akan lakukan jika anda ada wang sebanyak RM1 juta." begitulah lebih kurang tajuk assignmentnya. Sampai sekarang akak ingat!

Opps lupa nak bagitau.. macam mana nak menilai orang takde diajar dalam subjek ni ye. Hanya menilai harta tanah. Macam mana nak menilai orang.. sila ambik kelas dengan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah la kot.

2) Undang-undang

Antara subjek penting dalam course ni. Belajar undang-undang.. terutama yang related dengan harta tanah. First semester biasanya diajar asas perundangan.. undang-undang kontrak, agensi dan tort. Kemudian disusuli setiap semester dengan undang-undang yang lain. Antara akta berkaitan yang adik-adik akan belajar ialah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Setem 1949, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Penilai Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Bangunan Seragam 1984, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyenggaraan) 2007 (akta ni akan dimansuh dan akan diganti dengan Akta Pengurusan Strata 2013) serta ada sikit sentuh Perlembagaan Persekutuan.. Fuh! sakit otak akak nak recall dik non..

Kenapa kena belajar undang-undang? Sangat penting adik-adik.. sebab harta tanah banyak kaitannya dengan undang-undang. Banyak undang-undang yang mengawal harta tanah ni. Penting untuk kita tahu undang-undang supaya tindakan yang kita buat tidak menyalahi undang-undang dan sebagai panduan untuk kita membuat keputusan mengikut peruntukan yang ada.

Akak paling suka subjek law ni. Nak apply kursus undang-undang dulu tak layak.. bahasa inggeris setakat lulus je..huhu.. So, kepada mereka yang minat belajar undang-undang tapi tak lepas nak apply course untuk jadi lawyer.. boleh la apply kursus Pengurusan Hartanah ni. Boleh jugak feel jadi lawyer..hehe.. Still boleh jugak merasa naik mahkamah, jadi saksi pakar, buat written reply untuk mempertahankan nilaian.. bila adik-adik jadi pegawai penilaian kerajaan atau penilai berdaftar di firma penilaian swasta.

3) Bangunan

Subjek ni pun penting jugak. Adik-adik akan belajar semua elemen-elemen yang menjadikan bangunan tu. Ada part yang kena melukis struktur bangunan termasuk asas, dinding, bumbung, pintu, tingkap dan sebagainya. Tengok.. ada gak lukis-melukis. Boleh la feel macam arkitek sikit..hehe.. 

Selain itu, akan diajar juga tentang building services iaitu perkhidmatan2 bangunan seperti sistem bekalan air, bekalan elektrik, sanitari, perkhidmatan lif, sistem pencegahan kebakaran dan sebagainya. Building maintenance.. penyenggaraan bangunan juga turut diajar. Macam mana nak rancang penyenggaraan bangunan. Penting untuk kita tahu kerana penyenggaraan bangunan yang betul akan mengekalkan nilai harta tanah. Bila dah belajar, kita akan tahu bahawa aspek penyenggaraan bangunan ini sangat perlu diambil kira ketika peringkat design bangunan lagi. Hah.. macam mana? Ada feel macam engineer lak kan? hehe..

4) Ekonomi

Ini pun subjek penting jugak. Macam-macam ekonomi kena belajar. Ekonomi Mikro, Ekonomi Makro, Ekonomi Tanah, Ekonomi Perbandaran.. semua diajar. Ekonomi rumah tangga je tak termasuk. Nilai harta tanah juga sangat dipengaruhi oleh ekonomi. Ye.. anda akan rasa macam ahli ekonomi sekejap.. ala-ala adam smith..hehe.. Tapi kalau anda rasa macam ala-ala mark adam.. nampaknya anda tido dalam kelas! haha

5) Prinsip akaun

Subjek ni masa akak belajar dulu, jumpa masa final semester je. Belajar akaun macam sekolah menengah dulu. Penting untuk tahu sebab lulusan pengurusan hartanah ni boleh jadi pengurus harta. Pengurus harta kena pandai akaun ye. Ehm.. walaupun akak tak dapat jadi akauntan.. tapi still boleh lagi belajar dan feel macam akauntan kan? hehe..

6) Lain-lain

Dik.. akak dah agak penat menaip..huhuhu.. akak ringkaskan je boleh? Subjek-subjek lain yang akan adik belajar ialah marketing, perejenan harta tanah, keusahawanan, bahasa inggeris, pendidikan islam, komputer dalam pengurusan harta tanah, perancangan bandar, statistik, ukur tanah, dan beberapa lagi subjek yang mungkin akak tak senaraikan. Tak boleh nak recall semua.. maklumlah dah kurang muda..hehe.. Namun begitu, suka akak nak ingatkan bahawa nama subjek mungkin berbeza-beza ikut universiti antara UTM dan UiTM. Akak dulu buat diploma di UiTM, so perkongsian ni tertakluk kepada pengalaman akak la ye. Lagi satu tertinggal, di UiTM, satu semester diperuntukkan untuk student menjalani latihan industri (practical) di mana-mana firma penilaian swasta atau Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta atau majlis daerah/perbandaran/bandaraya yang dipilih. Masa akak dulu, praktikal di semester ke-5. Tapi sekarang dah tukar.. semester akhir pulak iaitu di semester ke-6.

Senang ke belajar course ni?

Soalan glamour bakal-bakal student kan? Serius cakap dik.. belajar kat sekolah menengah lagi susah! Belum tentu apa yang kita belajar ditanya masa exam kan? Peperiksaan SPM contohnya, merangkumi pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5. Banyak tu.. tapi tak semua keluar exam kan? Kita pun tak tahu mana yang keluar mana yang tidak. Yang buat soalan orang lain.. yang tanda kertas orang lain. Berbeza dekat Universiti.. apa yang awak belajar tu la yang akan keluar exam. Orang yang mengajar awak tu la yang buat soalan exam dan tanda kertas jawapan awak. Senang kan?

Senang-senang pun.. ada juga yang kena dismiss tau dik. Bukan sebab senang ke susah sesuatu course tu.. tapi lebih kepada sikap dan minat individu itu. Kuliah jangan ponteng, assignment kena buat sungguh-sungguh, sentiasa ulang kaji, rajin cari maklumat tambahan.. itu semua faktor kejayaan. 

Ramai juga student yang cemerlang semasa SPM tetapi terkandas semasa di universiti. Bukan sebab tak pandai atau course susah.. tapi macam akak katakan tadi.. sikap. Tiada jalan pintas untuk berjaya kecuali dengan usaha!

Sebelum mula belajar.. kena tanamkan minat dan azam dalam hati. Niat kena betulkan. Menuntut ilmu kerana Allah..


Kerjaya

Boleh kerja apa dengan Diploma Pengurusan Hartanah ni? Confirm adik-adik tak boleh nak jadi doktor dengan diploma ni. Salah course ok. Berikut adalah beberapa pekerjaan yang adik-adik boleh ceburi:

1) Penilai

Penilai yang dimaksudkan adalah Penilai harta tanah ye. Takde kena-mengena dengan penilaian peperiksaan. Ada juga yang salah faham bila cakap kerja kita sebagai penilai. Mereka ingatkan ada kena-mengena dengan peperiksaan. Mungkin terpengaruh dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kot..hehe. 

Ada dua sektor yang boleh diceburi iaitu sektor kerajaan dan sektor swasta. Jika sektor kerajaan, dengan diploma ini, adik-adik layak menjawat jawatan Penolong Pegawai Penilaian W27 dengan gaji pokok permulaan RM1,742.28 dan kenaikan tahunan RM145. Jawatan ini paling banyak ditawarkan di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia. Jika dengan JPPH, jawatan ini adalah jawatan persekutuan dan kalian boleh merasa bertugas di serata Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Selain itu, ada juga jawatan ini ditawarkan di majlis-majlis daerah/ perbandaran/ bandaraya. Masih menggunakan nama jawatan dan skim gaji yang sama tetapi perjawatan ini adalah perjawatan kerajaan tempatan yang mana kebarangkalian untuk berpindah ke tempat lain hampir tiada dan kemungkinan besar kekal di situ sehingga pencen.

Tugas utama seorang penilai ialah menilai harta tanah. Dalam kata lain, menentukan nilai pasaran harta tanah. Sebelum sesuatu nilai itu ditentukan/ dianggarkan, bukti-bukti jual beli perlu dianalisis, data-data berkaitan perlu diambil dan disemak, lawat periksa tapak perlu dilakukan, mengukur bangunan jika ada bangunan yang terlibat dan lain-lain tugas yang berkaitan.

So, kerja seorang penilai bukan sentiasa di pejabat. Ada masanya mereka perlu keluar pejabat untuk melakukan lawat periksa harta tanah yang hendak dinilai. Jika ada bangunan yang terlibat, bangunan perlu diukur untuk mengetahui keluasan bangunan jika tiada pelan bangunan dikemukakan. Siapa yang suka environment kerja yang tidak memerap sepenuhnya di pejabat, bidang ini sangat sesuai untuk anda. Tapi bagi mereka yang sangat menjaga kecantikan kulit sehingga tak sanggup terdedah kepada matahari.. mungkin anda perlu pertimbangkan dulu untuk memohon kursus ini.

Bestnya kerja ni, kita tidak perlu menghadap kerja yang sama setiap hari. Rutin kerja yang tidak membosankan kerana walaupun membuat kerja yang sama iaitu menilai tetapi kita akan berdepan dengan kes yang berlainan setiap hari. Setiap harta tanah adalah unik. Sama tetapi tidak semestinya serupa.

Tak banyak beza dari segi kerja sama ada anda penilai kerajaan atau penilai swasta. Prinsip penilaian tetap sama. Kerja-kerja penilaian juga sama.

2) Pengurus Harta

Selain bidang penilaian, adik-adik juga boleh menceburi bidang pengurusan harta. Bidang tugas utama tentunya menguruskan harta tanah. Biasanya syarikat besar, shopping complex, perumahan strata dan kompleks pejabat memerlukan khidmat pengurus harta. Antara tugas seorang pengurus harta ialah menguruskan penyewaan bangunan, penyenggaraan bangunan, menguruskan kontrak-kontrak yang berkaitan dengan perkhidmatan yang terdapat dalam bangunan, memastikan insuran yang mencukupi bagi bangunan, iklan/ promosi/ publisiti terhadap harta serta penyediaan laporan yang dikehendaki. 

Rasanya tiada dalam jawatan kerajaan pengurus harta ni. Kalau di JPPH, penilai juga yang menjalankan kerja-kerja pengurusan harta tetapi hanya segelintir yang ditugaskan kerana core business JPPH ialah perkhidmatan penilaian. Begitu juga penilai di majlis, mereka juga turut menggunakan penilai untuk menguruskan harta.

3) Ejen harta tanah

Adik-adik juga layak untuk menjadi ejen harta tanah dengan diploma ini. Tugas utama seorang ejen harta tanah ialah menjadi ejen untuk jual beli harta tanah termasuk juga sewaan harta tanah. Tugas anda ialah mencari pembeli jika client anda hendak menjual hartanahnya. Begitu juga sebaliknya, jika client anda ingin membeli.. tugas anda ialah mencari penjual harta tanah yang diinginkan. Begitu juga untuk sewaan harta tanah. Walau bagaimanapun, hanya ejen hartanah yang berdaftar sahaja yang layak menerima fee. Tetapi dibenarkan jika pekerja syarikat perejenan harta tanah yang menjalankan tugas untuk ejen harta tanah berdaftar tu. Fee yang dikenakan ialah 2.5% hingga 3% daripada nilai harta tanah yang berjaya dijual beli. Sangat lumayan kan? Manakala fee untuk sewaan depends on panjang tempoh sewaan. Kalau sehingga 3 tahun, fee dikenakan 1.25 bulan dari sewa kasar. Lagi panjang tempoh, lagi tinggi fee dia tau. Fee minimum pulak sebulan sewa.

Memang sangat boleh untuk kaya jika menceburi bidang ejen harta tanah ni. Kalau adik-adik berkerja dengan syarikat ejen harta tanah ni tanpa berdaftar sendiri, akak tak pasti pulak tentang pembahagian fee tu. Ada syarikat yang mengagihkan 40% - 60%. Nasihat akak, baik adik jadi je ejen harta tanah berdaftar. Macam mana? dengan diploma pengurusan hartanah ni, adik dah lepas 1 step. Then, kena lalui Ujian kecekapan (Test of Professional Competence) dan temuduga yang dilaksanakan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen harta tanah. 

4) Penolong Pegawai Tadbir N27

Dengan diploma ini juga, anda layak untuk menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27 di sektor kerajaan. Lari bidang sikit.. memang tak jumpa kerja-kerja menilai harta tanah di sini. Kalau ada pun mungkin kena menilai staf kot..hehe..

Kerja macam mana? Tugas utama lebih kepada pentadbiran pejabat. Menguruskan cuti, gaji, kenaikan pangkat, tata tertib, pengesahan jawatan, kewangan dan sebagainya. Kerja ni most of the time memang kena duduk dalam pejabat la. Tak perlu keluar untuk membuat lawat periksa harta tanah. Sesuai la untuk cik kak yang sangat menjaga kecantikan kulit tadi..hehe...

Lupa nak cerita.. jawatan ini adalah jawatan gunasama tau. Maksudnya adik-adik boleh bertukar di mana-mana jabatan kerajaan yang ada jawatan Penolong Pegawai Tadbir. Boleh la dapat pengalaman kerja di hospital, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba, dan sebagainya. 

5) Lain-lain

Selain yang dinyatakan di atas, anda mungkin boleh berkerja dengan pemaju hartanah (developer). Biasanya bagi pemaju-pemaju yang besar, mereka mempunyai penilai mereka sendiri untuk menasihati mereka berkenaan pelaburan harta tanah dan penilaian harta tanah, selain boleh juga dijadikan sebagai pengurus projek. Memang sangat menguntungkan jika pemaju hartanah ini menggaji seseorang yang ada lulusan dalam bidang harta tanah ni. Boleh jimat apa.. gaji seorang tapi boleh buat macam-macam benda. Start dari nak rancang projek, semasa projek sampai la nak pasarkan projek tu (buat marketing). 

Selain itu, anda juga boleh menjadi penganggur terhormat tanpa apa-apa pekerjaan sekiranya malas mencari kerja! 

Kemajuan kerjaya   

Anda boleh meningkatkan taraf pendidikan ke tingkat yang lebih tinggi dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah. Kalau diploma tadi ada 2 IPTA yang tawarkan, tapi untuk degree ini up lagi sikit. Universiti Tun Hussien Onn dan Universiti Malaya juga ada course ni selain UTM dan UiTM.

Dengan ijazah ini, anda layak untuk menjawat jawatan Pegawai Penilaian W41 di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan juga majlis-majlis perbandaran/ bandaraya.

Kalau minat nak kerja mengurus staf dan pejabat, boleh apply jadi Pegawai Tadbir Diplomatik M41 (PTD) macam Ariana Rose dan Harith..hehehe..

Dengan ijazah ini juga, anda layak untuk menjadi Penilai Berdaftar (Registered Valuer) yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (LPPEH). Caranya.. kena daftar dengan LPPEH sebagai penilai percubaan. Tempoh percubaan adalah selama 2 thn. Dalam tempoh ini anda perlu mengisi buku log yang dicatatkan kerja-kerja yang anda lakukan sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa yang sama, anda juga perlu menyiapkan 2 task. Setelah cukup tempoh, anda perlu menghadiri temuduga yang merangkumi presentation 2 task tadi dan soalan-soalan lain yang merangkumi bidang penilaian, pengurusan harta, perejenan harta tanah serta perundangan dan percukaian. Temuduga ini akan mengambil masa selama 3 jam. Jika ada bidang yang tak lulus, kena repeat interview bidang itu sahaja.

Akak ni pun sedang dalam edah percubaan ni dik. Sangat tak sempat untuk isi buku log tersebut. Bulan 7 ni genap setahun, kena hantar untuk disemak dan disahkan then sambung lagi rekod untuk 1 thn lagi. Tahun depan baru boleh interview kalau siap la..huhuhu..

Jika anda telah menjadi Penilai Berdaftar, automatik anda juga akan dapat lesen Pengurus Harta Berdaftar dan juga Ejen Harta Tanah Berdaftar. Orang cakap sign anda laku.. dan boleh buka company sendiri atau jadi share partner. Nanti check kat laman web LPPEH ni ye untuk tahu lebih lanjut tentang syarat-syarat, etika, fee dan sebagainya. Tak larat dah akak ko ni nak menaip lagi. Panjang berjela dah entry ni.

Profesional

Penilai merupakan pekerjaan profesional yang mana anda perlu ada kelulusan berkaitan sahaja untuk menjadi seorang Penilai. Tak boleh nak jadi penilai kalau anda ambil course Pentadbiran Awam ke Seni Bina ke Kejururawatan ke.. 

Sebagaimana profession professional yang lain, Penilai juga dikawal oleh satu lembaga (jangan takut.. ini lembaga tak menakutkan punya..hehe..) iaitu Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (BOVEA) yang ditubuhkan di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981.

Oleh yang demikian, walau sign dah laku pun.. seorang penilai, pengurus harta dan ejen harta tanah still terikat dengan Akta Penilai ini dan perlu mematuhi segala kod etika dan peraturan yang telah ditetapkan. Fee yang boleh dikenakan juga perlu tertakluk kepada Akta ini.

Akhir kata

Fuhh!! sampai juga garisan penamat! hehehe..  macam mana? boleh bayangkan tak masa depan anda kalau kerja bidang harta tanah ni? Minat? Tak minat? Keputusan di tangan anda ye adik-adik. Apa-apapun akak doakan supaya adik-adik berjaya dalam hidup tidak kira bidang apapun kalian ceburi. Sebelum apply sesuatu course itu, sila semak dahulu syarat-syarat yang ditetapkan oleh sesuatu kursus itu supaya anda tidak di'reject'!

Bidang apapun yang bakal anda tuntut ilmunya, belajar rajin-rajin, jangan culture shock! Zaman sekarang ni sangat sukar untuk mendapat pekerjaan. Pointer yang baik mungkin boleh jadi kelebihan untuk melepasi tapisan temuduga tetapi belum tentu berjaya. Ada faktor lain yang diambil kira seperti keyakinan diri, communication skill, leadership, kebolehan berbahasa inggeris dan sebagainya. So, selain belajar dan belajar.. jangan lupa develop kemahiran generik anda juga ye! Tak payah nak jadi ulat buku sangat sampai tak joint aktiviti persatuan dan sebagainya.

Wednesday, May 1, 2013

Edisi Sempena Hari Pekerja: Daripada Minah Kilang kepada seorang Penilai Harta Tanah


Fuhh!!! Sebulan baru nak renew entry. Ke manakah manifesto nak post 12 entry sebulan tu?? Huhuhu.. maafkan saya pengundi-pengundi sekalian. Tolong beri saya peluang untuk baiki keadaan ini. Saya janji akan berkhidmat dengan seikhlas hati di sini. Undilah saya..hehe..

Sebagai tanda saya menghargai anda yang sudi menjenguk saya di sini, saya sajikan sebuah cerita eksklusif yang saya tak pernah cerita kat blog ni..mahupun mana-mana majalah atau surat khabar yang ada kat Malaysia mahupun di seluruh dunia. Eksklusif untuk uolls je tau.. (bajet ade orang kesah..haha)

Sempena Hari Pekerja hari ni, cerita eksklusif ini tentunya berkaitan dengan kisah saya sebagai seorang pekerja tuan-tuan dan puan-puan sekalian (sila baca dengan intonasi seorang pemidato ala-ala achey bintang mencari bintang)

Saya mula memegang status pekerja ini sejak alam persekolahan lagi. Seingat saya, sejak saya sekolah rendah lagi. Sejak kecil lagi, dengan kudrat yang tidak seberapa, saya membanting tulang empat kerat membuat kerja-kerja sekolah yang cikgu bagi. Bekerja tanpa gaji. Saya tidak faham ketika itu kenapa cikgu sanggup memberi saya pekerjaan itu sedangkan saya bukanlah besar sangat dan tidak berpengalaman untuk membuat kerja-kerja tersebut.

Pekerjaan ini berterusan sehingga saya bersekolah di sekolah menengah. Makin lama saya makin faham, bekerja tanpa gaji ini sebenarnya baik untuk saya. Terima kasih cikgu sebab suruh saya buat semua kerja-kerja tersebut walaupun saya musykil ketika itu kenapa cikgu suka tanya sedangkan cikgu sendiri tahu jawapannya. Walau bagaimanapun, saya bangga jadi pekerja cikgu! Hehe..

Setelah 11 tahun bekerja tanpa gaji, saya memulakan kerjaya dengan bergaji penuh sebagai seorang pekerja industri atau istilah lainnya pekerja kilang. Seingat saya, saya mulakan kerjaya ini pada Februari 1999, ketika menunggu result SPM. Gaji saya sehari ialah RM11 campur RM2 elaun makan. Sebulan dapatlah lebih kurang RM300++ dan kadang-kadang mencecah RM400++ kalau ada banyak overtime. Di kilang pakaian ini, saya menjawat jawatan Trimmer & Quality Controller. Kerjanya memotong benang yang terlebih di pakaian sambil memastikan semua jahitan adalah sempurna. Siapa kata kerja kilang senang? Saya sangat stress bekerja di sini. Saya perlu mencapai target yang telah ditetapkan oleh supervisor setiap hari dan pastikan tiada pakaian reject yang terlepas. Huhh!! Adalah sangat susah membuat pekerjaan dengan cepat dalam masa yang sama perlu teliti. Saya berada tidak lama dalam industry perkilangan ini. Lebih kurang 4 bulan aje sebab saya perlu melanjutkan pelajaran selepas itu. Alhamdulillah! Dapat sambung belajar.. tak perlu saya nak mengadap supervisor yang suka menjerit itu lagi..huhu..

Selepas tamat belajar di university dan memperoleh sekeping diploma (diploma ini tidak digulung), saya ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu kedai makan pakcik saya di kampong. Gaji sehari ialah RM8 dengan makan adalah percuma. Kerja dari pukul 7.30 pagi sampai 1 petang. Dengan gaji ini, RM1 akan saya gunakan untuk membeli surat khabar The Star konon nak improve penguasaan bahasa inggeris saya..hehe.. Pakcik saya sangat bangga sebab tukang cuci pinggan dia ada diploma. Konon kedai makannya sangat standard sehinggakan nak jadi tukang cuci pinggan kena ada diploma. Siapa kata kerja tukang cuci pinggan tak stress? Stress jugak woo bila pelanggan ramai dan saya perlu mencuci pinggan mangkuk dengan laju sambil mengangkat pinggan dan mengelap meja makan. Ada la lebih kurang 2 bulan saya menjawat jawatan tukang cuci pinggan ni. Sempat la tangan saya ni terasa lembut dan halus bergelumang dengan sabun pencuci pinggan selama 2 bulan..hehe..

Bukan saya saje je lepaskan jawatan tukang cuci pinggan tu. Tapi saya ditawarkan pekerjaan yang lebih baik iaitu pelatih Skim Sangkutan dan Latihan untuk graduan menganggur di Majlis Daerah Tangkak. Elaun sebulan RM400. Bolehlah daripada gaji seorang pecuci pinggan, selain dapat pengalaman bekerja di sektor awam. Memandangkan saya ada Diploma Pengurusan Hartanah, saya ditempatkan di Unit Penilaian di Majlis Daerah ini. Kerja tak la susah mana, paling banyak kerja ialah semasa nak keluarkan notis taksiran untuk cukai pintu / kadaran. Sepatutnya saya perlu menjalani latihan ini selama 6 bulan. Tapi saya sempat 4 bulan aje sebab saya telah buat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Tidak sempat menamatkan pengajian ijazah saya, saya melangkah kaki keluar university untuk bergelar seorang pekerja. Yup! Keputusan yang sangat sukar dibuat. Belajar atau berkerja? Akhirnya saya memilih berkerja memandangkan sangat sukar mendapat pekerjaan berbanding memperoleh peluang belajar. Maka bermula 14.08.2003 saya bergelar penjawat awam sehingga sekarang. Stress?? Of course, kerja cuci pinggan pun stress inikan pulak kerja menilai harta orang. Lagi pulak semua orang nak cepat. Tiada siapa yang nak lambat. Sehingga kan saya harap agar masa lambat bergerak agar sempat menyelesaikan semua kerja yang ada. Hampir 10 tahun berkhidmat dengan jabatan, ofis sekarang ialah ofis ke 8 saya. Stress jugak sebab sentiasa jadi orang baru di tempat baru. Walau bagaimanapun, saya perlu berfikiran positif dan sekarang saya dah nampak hikmah setiap pertukaran saya. Cukup 10 kali bertukar.. saya layak bergelar Ben 10! Ye.. super hero pujaan..hehe..

Kesimpulannya, setiap pekerjaan ada cabarannya sendiri. Setiap pekerjaan, ada tekanan. Bukan kita sorang aje yang tertekan dengan kerja kita. Jangan tambah tekanan orang lain dengan tekanan kita. Kita tidak mampu menghindari tekanan, tetapi kita mampu mengubah sudut pandangan kita terhadap tekanan tersebut. Jika kita pandang tekanan itu negative maka kita akan bertambah tertekan. Namun jika kita pandang tekanan itu sebagai positif, insya allah kita akan hadapi tekanan itu dengan hati terbuka dan mampu menyerap apa jua bentuk tekanan yang mendatang. (ayat memujuk hati sendiri. Saya sedang gigih mencari sudut positif ni..mana..mana..aduih..stress)

Selamat Hari Pekerja! Syukur kita tidak tergolong dalam statistic 3.3% orang yang menganggur. Sayangi kerja kita sebab tempat kerja yang kita isi, ada orang yang kecewa tidak dapat mengisinya. Jom kita tingkatkan produktiviti, kerja seikhlas hati. Pekerja pemangkin transformasi Negara!


Saturday, February 2, 2013

Sabtu di pejabat

Hari ni sepatutnya mummy berehat dan meluangkan masa bersama dengan suami dan anak-anak di rumah.
Walau bagaimanapun, tuntutan tugas memerlukan mummy mengorbankan masa tersebut.
Rasa bersalah tetap ada, walaupun mummy menggagahkan diri jugak melangkah masuk ke opis. Bersalah rasanya menggunakan masa yang sepatutnya untuk keluarga. Tapi nak buat macam mana, mummy bukan boboiboy yang boleh berpecah 3. Sorang boleh pergi opis, sorang boleh duduk rumah, sorang boleh pergi shopping. 

Masa 8 jam yang diperuntukkan satu hari berkerja memang tidak cukup untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Permohonan nilaian tidak mengira berapa banyak kes yang perlu kita handle dalam tangan. Dateline tetap sama. Dikira dari tarikh permohonan diterima. 3 hari, 5 hari, 8 hari dan 10 hari bergantung kepada maksud nilaian. Nama je opis kat shopping complex, tak sempat lagi mummy nak bershopping dengan kompleks di sini kecuali singgah sekejap pasaraya sebelum balik untuk beli barang dapur dan jajan anak-anak.

Bukan mummy sorang yang berkerja pada hari ni. Ada lebih kurang 7 orang jugak la yang bertungkus-lumus mengejar dateline. Mummy ditemani oleh Razin hari ni. Saje je mummy bawak untuk meringankan beban daddy menjaga anak-anak yang ditinggalkan. Mummy sebenarnya plan nak bawa Rania dan Razin. Tinggalkan Rayyan sorang kat rumah. Tetiba pulak Rania tak nak ikut bila mummy cakap nak hantar pi sekolah (taska) sebab mummy nak pergi kerja. Sebenarnya mummy cakap begitu supaya Rayyan tak nak ikut sebab memang dia tak suka pergi sekolah..hehe. Dah itu pilihan Rania, maka beliau ditinggalkan.

4 jam 10 minit mummy di pejabat hari ni. 1.30 petang sampai 5.40 petang. Walaupun kerja masih tak selesai, mummy balik juga la. Mummy kena punch card kat rumah pulak..hihi. Walau tak sempat selesai.. at least separuh kerja dah selesai! Isnin nanti mummy boleh fokus kes yang lain pulak.

Seserabut meja mummy, macam tu la serabutnya fikiran mummy.

Good boy Razin hari ni. Langsung tak buat perangai. Sambil mummy menaip, sambil Razin menenen.
Akhirnya tidur kepenatan.

Friday, February 1, 2013

Permulaan yang hambar

Dah masuk bulan Februari dah hari ni!
Huaaa.. cepatnya masa berlalu. Tak larat la nak berkejar-kejaran dengan masa.
Nampaknya.. permulaan tahun ni nampak hambar je blog ni ye.
Bulan lepas 2 entry aje rupanya.
Konon.. nak target 10 entry sebulan. Huhuhu.. akan tercapaikah KPI tahun ni?
Wait and see la ye..

Minggu ini saya sangat penat berkerja. Komitmen yang diberikan telah melebihi 100% sehingga ada komitmen lain yang terabai. Minta maaf banyak-banyak kat en asben dan anak-anak. Hampir setiap hari balik malam minggu ni. Gara-gara bos nak bersara. Last day semalam. Menyiapkan kerja yang tak surut-surut untuk vetting dengan beliau.
Kerja yang sedia ada belum selesai, datang lagi kerja lain menuntut penyelesaian.
Selagi ada harta tanah kat Malaysia ni, nampaknya.. kerja menilai harta tanah takkan habis..huhu. Sepantas masa yang beredar, semua orang menuntut segalanya mesti pantas. Capek deh!

Ini bukan keluhan tetapi luahan sebab hampir tak tertahan. hehe.. Semoga Allah pinjamkan saya kekuatan menempuh cabaran. Apa-apapun.. saya percaya ini Allah punya didikan untuk saya jadi yang lebih baik.


Sunday, November 11, 2012

Melangkah masuk opis ke-8

1 November lalu..
Saya selamat melaporkan diri bertugas "Berkhidmat Untuk Negara" di Bangi.
Masih di jabatan yang sama cuma cawangan yang berlainan.
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, pejabat ini merupakan pejabat saya yang ke-8 dalam tempoh 9 tahun berkhidmat dengan jabatan. Sentiasa menjadi orang baru di tempat baru. Nasib badan!

Walaupun perpindahan ini bukan saya pinta, alhamdulillah, lebih dekat dengan rumah.
Kalau dulu berulang ke Shah Alam lebih kurang 45 km sehala dengan tol RM3.90 sehala.. kini ke opis baru cuma 8 km sehala tanpa sebarang bayaran tol dan parking.

Dulu, setiap pagi tertekan berkejar dengan masa yang sangat pantas. Takut lewat nak kejar punch card..haha. Masuk pukul 7.30 pagi, 6.40 pagi atau paling lewat pun 6.45 pagi dah kena gerak dari rumah untuk ke opis. Bulan pertama di Shah Alam ok lagi 2 kali je punch card merah. Bulan lepas.. 6 kali lewat! huhu.. banyak sangat cabaran. Nasib baik la dah kena pindah, kalau tidak dah bertukar warna la punch card i..hehe..

Kalau pagi tertekan kejar masa.. balik opis pulak tertekan dengan jalan jem. Nama je masuk pukul 7.30 pagi balik pukul 4.30 petang.. tapi takde la nak dapat balik on time. Tuntutan tugas. Pernah 2 kali dalam seminggu saya sampai rumah lebih pukul 8.30 malam sebab jalan jem. Sampai dah naik lenguh kaki membawa kereta manual mengharungi jalan raya lebih 2 jam. Kepala siap pening2 lagi sampai rasa nak muntah. Macam ni la agaknya en asben rasa bila kena drive dalam jem hampir 12 jam masa balik dari Kuantan masa Raya Haji tempoh hari. Ntah2 lebih teruk lagi. Bini dia sedap tido je..hehe. Tido pun, sakit-sakit gak la badan.

Banyak juga la penjimatan dah pindah opis yang lebih dekat. Baru la berkira-kira nak order MPV memandangkan anak-anak dah mula membesar. Dah pandai bergaduh, masing-masing nak baring sambil minum susu. Mana la nak muat. Tetiba pulak dapat surat daripada JPA suruh bayar hutang! huhu.. Efisyen sungguh mereka. Dah 6 bulan rupanya saya tamat belajar..hehe. Buat-buat tak ingat pulak.
Rupanya hikmah Allah takdirkan dapat opis dekat, supaya duit yang lebih tu buat bayar hutang.. bukan tambah hutang..hehehe.. Nampaknya dua tahun lagi la dapat order MPV ye daddy!

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Walaupun rasa sedih meninggalkan opis lama yang tak berapa nak lama tu (2 bulan, ala-ala praktikal la pulak), saya kena jugak cepat sesuaikan diri dengan tempat baru. Semoga saya lebih bahagia di sini.




Monday, September 3, 2012

Cabaran baru bermula!

Hari pertama hari ni saya melaporkan diri bertugas di Shah Alam.
Opis ke-7 saya sepanjang 9 tahun berkhidmat dengan jabatan.

Masa bulan Ramadan lepas saya ada cakap kat encik asben, "dah lama kita tak pergi Shah Alam kan?" dengan harapan dia akan ajak pergi. Boleh la nak shopping raya kat PKNS yang dah lama tak jengah. Tapi.. harapan hampa.. encik asben buat donno aje.
Tup-tup 2 hari sebelum balik kampung nak cuti raya dapat surat lapor diri ke Shah Alam! hah ambik! hari-hari saya kena pergi Shah Alam! Lama sangat tak pergi ye..

6.30 pagi dah keluar rumah memandu sendiri ke Shah Alam. Sampai opis pukul 7.24 pagi tadi. Hampir 50 km jugak la dari rumah saya ke opis. Tol sehala RM3.90. Pergi balik dah RM7.80. Kos sebulan nampaknya RM156 kalau 20 hari bekerja. Dan tadi saya perlu bayar RM123.50 untuk buat pas parking dan lepas ni bulan-bulan kena bayar RM58. Fuhhh!! mencabar betul ongkosnya!

Sebelum ni saya keluar rumah pukul 7.45 atau 7.50 pagi paling lewat. Menghantar sekali Rayyan, Rania dan Razin ke taska yang bersebelahan dengan bangunan opis. Tak mengalami kesesakan lalulintas pun. 7 minit dah sampai. Takde kena bayar tol. Parking pon free aje. Banyak parking kosong plak tu. Pilih je mana satu idaman kalbu. Mencabarnya melayan kerenah pagi anak-anak aje. Tapi hari ni cabaran lain pulak saya kena hadapi.

Bermula hari ini jugak encik asben mengambil alih menghantar Rayyan, Rania dan Razin ke taska. Cabaran baru buat encik asben jugak. Semoga encik asben tabah menghadapi cabaran baru beliau sebagaimana saya cuba nak menabahkan diri dengan cabaran baru ini.

Semoga Allah memurahkan rezeki kami sekeluarga!

Tuesday, August 14, 2012

Keputusan Temu Duga Jawatan Pegawai Penilaian

Diam tak diam, hari ni genap 9 tahun saya berkhidmat untuk negara. Pantas sungguh masa berlalu. Kalau tarikh saya lapor diri pada 14.8.2003 tu dikira tarikh lahir saya, ari ni saya melangkah masuk ke darjah 3..hehehe. Rasa macam lama je 9 tahun tu kalau tengok pada angka. Tapi saya tak terasa lama sebab ofis yang saya bekerja sekarang adalah ofis keenam saya. Insya-Allah bakal melangkah ke ofis ketujuh tak berapa lama lagi..huhuhu.. Saya sentiasa menjadi orang baru di tempat baru. Tak sempat nak rasa otai, dah kena pindah. Tak pernah cecah 3 tahun pun kat satu-satu tempat. Nasib badan! Namun begitu, syukur kepada Allah. Ini menunjukkan saya masih ada pekerjaan. Jauh lebih baik daripada mereka yang tidak mendapat pekerjaan. Saya percaya, setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya!

Sempena ulang tahun pekerjaan saya hari ni, saya nak kongsi sesuatu. Satu perkongsian tau bukan satu perbuatan menunjuk-nunjuk. 

Keputusan temu duga yang telah saya hadiri pada 3.7.2012 yang lepas telahpun diumumkan pada 8.8.2012 hari tu. Ada yang tinggalkan komen kat entry pengalaman temu duga yang saya tulis, bertanyakan keputusan temu duga saya. Saje je saya tak jawab terus pertanyaan dia. Saya suruh dia tunggu entry terbaru daripada saya..hihihi.

Bagi menjawab persoalan pada yang bertanya..
Juga kawan-kawan yang mengikuti perkembangan diri ini..
Ini jawapannya..


Alhamdulillah!!
Rezeki di bulan Ramadan..
Terima kasih atas titipan doa kalian..
Semoga doa baik yang dititipkan akan kembali kepada yang mendoakan jua..

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya
Terbaik buat orang lain belum tentu terbaik buat kita
Kepada yang belum berjaya temu duga jangan berduka cita
Sungguh! entry ini bukan untuk menambah anda punya duka lara
Percayalah perancangan Allah itu paling cocok buat kita 





Saya tertarik hati bila terpandang gambar kartun ni dalam facebook dipost oleh seorang rakan. Lagi-lagi bila terbaca mesej yang hendak disampaikan. " Jangan dilihat secara luaran nikmat yang orang lain dapat. Tetapi lihat apa yang tuhan bagi secara tersirat."
Sangat mendalam maknanya..


Tuesday, July 3, 2012

Pengalaman temuduga : Pegawai Penilaian W41

Alhamdulillah! 
Sangat lega. Sampai juga akhirnya tarikh 3.7.2012 ni setelah ternanti-nanti dengan penuh debaran di hati..hihi..
Selagi tak ditemuduga selagi tu la dok tertanya-tanya apakah yang bakal ditanya oleh si penemuduga. Selagi tu la dok selak sana selak sini (buku rujukan ye). Google sana google sini mencari tahu setiap jawapan bagi setiap persoalan yang terlintas di fikiran. Sampai "azzurri" dan "la roja" pun saya google nak tahu maknanya.. kot kot penemuduga nak tanya..hihihi. Demam EURO 2012 la katakan.

Ada hikmahnya sebenarnya dipanggil temuduga ni. Daripada tak tahu sangat perkembangan semasa.. jadi tahu la pulak. Setiap hari mesti nak baca surat khabar dan dengar berita supaya dapat update info dan isu semasa. Sebelum ni, NKRA dan GTP tu ibarat angin lalu je kat telinga ni. Tapi penangan temuduga ni, saya jadi tahu dan faham apa itu NKRA dan GTP dan juga Strategi Lautan Biru. Ada sesiapa nak tahu? Meh saya jelaskan. Amboi!

Sebenarnya bukan itu tujuan entry ini. Saya sebenarnya nak kongsi pengalaman saya menghadiri temuduga hari ini.




Temuduga jawatan Pegawai Penilaian ini telah berlangsung sejak 26.6.2012 dan akan berakhir pada 5.7.2012 nanti. Tak banyak kekosongan, hanya 9 dan 20 lagi calon simpanan. Calon yang dipanggil temuduga hanya 242 orang daripada 4417 yang memohon. Saya difahamkan, calon yang mendapat CGPA 3.3 ke atas sahaja yang dipanggil untuk menjalani sesi temuduga ini. Nampaknya, saingan untuk mendapatkan pekerjaan sangat sengit. Adik-adik yang masih belajar di universiti tu memang kena bertungkus-lumus study bagi mendapatkan CGPA yang bagus supaya mendapat peluang menghadiri temuduga.

Sebentar tadi, saya telah ditemuduga oleh 2 orang panel temuduga. Seorang wakil daripada SPA dan seorang lagi wakil daripada JPPH. Soalan temuduga saya hari ini:

1. Mengapa Akta Pengambilan Tanah 1960 digubal?
2. Nyatakan kaedah-kaedah penilaian.
3. Apakah perbezaan antara Harga, Nilai dan Kos?
4. Mengapa terdapat nilai hartanah lebih rendah berbanding harga dan kos?
5. Terdapat berapa kaedah dalam kaedah baki?
6. Apakah gambaran yang anda boleh lihat di Stesyen Minyak? Apakah aktiviti-aktiviti yang berlaku di sana?
7. Jika sesebuah Stesyen Minyak terlibat dengan Pengambilan Tanah, nyatakan orang berkepentingan yang mungkin terlibat.
8. Apakah cadangan anda untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan JPPH?
9. Anda sayang dengan JPPH? (soalan ni dituju kepada staf JPPH aje mungkin)

Wah.. banyak juga rupanya soalan wakil JPPH kepada saya. Wakil SPA pula tak banyak tanya sangat. Lebih kurang ini pertanyaannya:

10. Sebelum bertugas di INSPEN, anda bertugas di mana?
11. Jika dihantar berkhidmat di Sabah atau Sarawak, anda terima?
12. Anda belajar sambil bekerja, tidak tertekankah?
13. Ada apa-apa soalan yang hendak ditanya? (sebelum beliau mengakhiri sesi temuduga)

Selesai sudah tugas saya berkongsi dengan anda semua. Sekarang, tugas anda.. tolong doakan yang terbaik buat saya! hihihi..

Yeah! seronoknya dah hilang tekanan.. (Rayyan melompat bagi pihak mummy) . Buruk pulak rupanya kalau gambar mummy sedang melompat ditempek di sini..hihi..

Thursday, June 7, 2012

Temuduga : Kembali menggugat ketenangan diri


Semalam saya terima surat ini!
Terus rasa seram sejuk je satu badan..
Bakal berdepan lagi pengalaman ditemuduga!

Macam-macam bermain difikiran..
Apa ye diorang akan tanya?
Apa yang perlu saya baca?
Sempat ke saya nak practice speaking London ni..hihihi..
Nak pakai baju kaler apa ek nanti
Nak pakai high heel ke tak yah
Nak kena corporate looking ke?
Nak kena make up ke tak yah?
Hahaha.. tersibuk pulak fikir pasal penampilan macam nak jumpa mak mentua
Ada 25 hari lagi tempoh persediaan
sebelum menjelangnya 3.7.2012, hari kejadian!

Kali terakhir saya ditemuduga bekerja ialah pada 2.7.2003 iaitu temuduga bagi jawatan yang saya jawat sekarang. Tentunya temuduga kali ini lebih mencabar sebab banyak soalan yang boleh penemuduga tanya memandangkan dah hampir 9 tahun berkerja. Tentunya temuduga kali ini memberi lebih tekanan!!

Apa-apapun saya kena anggap ini sebagai satu cabaran
Demi kemajuan kerjaya dan masa depan..ecececeh..
Semoga Allah permudahkan segala urusan
Sesungguhnya rezeki itu Allah yang tentukan!

~ Kawan-kawan tolong doakan ~

Friday, July 2, 2010

Hari ini dalam sejarah : Mengimbau pengalaman temuduga kerja kerajaan

Hari ni 2 Julai 2010. Sejarah apa yang ada pada ari ni? Hehe..bukan nak cite pasal sejarah Malaysia..jauh sekali sejarah dunia..tapi sejarah peribadi. 7 tahun lalu.. 2 Julai 2003..tarikh nilah tarikh saya interview untuk dapat jawatan sekarang ni. Ehm..kenangan yang sukar dilupakan. Anda juga mungkin begitu kan? Ada cerita tersendiri pasal interview ni..

Actually..interview ni interview ke-2 dalam hidup saya selepas gagal interview pertama pada November 2002..tapi bagi jawatan yang berlainan la. Masa isi borang SPA8 dulu jawatan yang gagal disandang tu pilihan ke-2 dan yang interview ke-2 ni pilihan pertama. Masa interview first dulu, interviewer siap cakap lagi.." Jawatan ni pilihan ke-2 awak kan.. Awak tunggu la interview jawatan pilihan pertama awak nanti.. rasanya jawatan tu belum diinterview lagi.." Pehh! nampak sangat la jawapannya mendukacitakan.. ehm..takpe la..susah juga nak dapat keje ni. Kalau macam tu..sambung study balik la!

Harapan nak bekerja dahulu lepas habis diploma sebelum sambung degree berkubur begitu aje. Saya sambung study..buat degree..memandangkan susah dapat keje..tak nak buang masa cari keje..(tak cari keje pun..takut..hehe..isi borang SPA8 aje). Masa tengah study di semester yang ke-2 ni la.. saya dapat surat panggilan interview ni. Tarikh : 2 Julai 2003, Masa : 8.00 pagi, Tempat : Bangunan SPA, Jalan Cenderasari, KL.

Memang abah saya di kampung suruh pegi interview ni untuk dapat pengalaman interview. Dapat ke tak dapat ke itu lain cerita. So, pada hari kejadian..saya ponteng kelas untuk attend interview ni bersama seorang housemate yang sememangnya takde kelas ari tu. Dari Shah Alam ke KL..kami tunggang motosikal berdua. Saya bawa motosikal dan kawan saya bonceng dibelakang. Main redah je ikut signboard memandangkan tak pernah pun pergi Jalan Cenderasari tu.

Bila dah sampai KL..tak jumpa plak signboard nak ke Jalan Cenderasari. Pusing punya pusing..tak sampai-sampai.. Tahu je la jalan KL ni..banyak jalan sehala..kalau dah terlajak tu..bukan main jauh nak u-turn balik.. Memang kami berada dalam kesesatan waktu itu..tidak jumpa jalan kebenaran..hehe.. Memang kenyang makan angin la kami pagi tu.. hahaha..sarapan!

Ada gak la saya guna talian hayat untuk membantu. Telefon pakcik yang penah keje kat KL..ehm..tapi harapan hampa..dia pun tak bleh nak bayangkan di mana saya berada.. nak tak nak kena la cari sendiri.. masa terus berlalu.. dah nak putus asa dah mencari.. last sekali saya cakap kat member.."Anne, ni last round..kalau tak jumpa jugak..kita balik je la..takde rezeki nak interview la ni.." Anne pun setuju. Dalam hati saya berdoa.."Ya Allah..kalau interview ni baik untuk aku..kau jumpakanlah aku jalan menuju ke sana.. kau permudahkanlah urusanku Ya Allah!" Lepas tu saya teruskan perjalanan..dan tergerak pulak nak masuk satu lorong yang tak pernah pun masuk sebelum ni walau pun dah banyak kali pusing kat tempat yang sama. Alhamdulillah! jumpa juga akhirnya.. Fuhh! macam tak percaya aje ada pejabat kerajaan yang tersorok macam ni..hehe..

Jam di tangan menunjukkan dah pukul 10 lebih. Ehm..ada lagi tak interview ni? dah lambat dah ni.. ahh try tanya la.. Pak Guard kata interview kat tingkat 2. Saya buka la pintu dewan yang dimaksudkan..kosong! tiada calon lain kecuali ada sorang kerani. "Puan..saya datang nak interview. Boleh lagi ke?" Tanpa malu-malu saya utarakan hajat di hati.. "Interview dah abis dah dik. Pegawai yang interview tengah minum pagi nak balik. Nanti akak tanyakan kalau boleh interview lagi.."

Tak lama kemudian..kakak tu kuar dari bilik sebelah dan mengatakan " Boleh dik..nanti mereka keluar. Adik duduk dulu.." Huh! nasib baik boleh interview lagi..tak sia-sia sesat! hehe..Alhamdulillah! Waktu ni la baru saya sibuk nak menampal gambar pada resume, susun sijil2 dalam folder..tak sempat sebelum ni..

Saya diinterview di situ juga. Kat bilik yang banyak kerusi. Difahamkan, saya diinterview kat tempat calon menunggu giliran nak masuk bilik temuduga.. Hahaha..disebabkan dah lambat sangat dan dicampur dengan perasaan malu sebab lambat..tak sempat saya nak nervous! tak macam first time interview dulu.. So, saya jawab je soalan yang diberi dengan selamba. Macam kawan2 plak..hehe..

Antara soalan yang ditanya:

1) Awak buat apa sekarang ni?
2) Misalnya awak dapat jawatan ni, awak nak teruskan degree awak ke awak nak kerja?
3) Kawan awak teruskan degree dia..lepas grad dia jadi pegawai..awak cuma penolong pegawai je..awak tak jelous ke?
4) Siapa Timbalan Menteri Kewangan?
5) Dah berapa tahun Malaysia merdeka?
6) Bila Malaysia ditubuhkan?
7) Sehari semalam sembahyang 5 waktu berapa kali baca Fatihah?
8) Apa itu Zonning dan densiti?
9) Ada berapa kaedah penilaian dan nyatakan.
10) Bagaimana nak buat penilaian menggunakan kaedah baki?
11) Apa yang special tentang diri awak? (in English)

Sesi temuduga ni banyak menguji cara kita komunikasi, kejujuran, keyakinan diri dan juga kesabaran. Kalau nak diikutkan..banyak markah kena potong sebab lambat ni. Tapi alasan yang diberi munasabah..penemuduga sendiri pun susah nak jumpa jalan ke sini! Alhamdulillah..dah namanya rezeki..saya dapat jawatan ni. Tapi dalam hidup ni tak semua yang kita nak kita akan dapat. Dalam tempoh seminggu saya perlu buat keputusan sama ada nak teruskan degree atau pilih berkerja! Masa dapat panggilan daripada abah di kampung yang bagitau temuduga saya berjaya..rasa nak nangis je..sebab memang tak harap untuk dapat kerja ni. Tak tahu nak buat keputusan sama ada nak terus belajar atau berhenti dan berkerja. Belajar tinggal 1 tahun je lagi. Posting pulak nun jauh di Batu Pahat. Nak convert full time kepada part time tak sesuai pulak sebab course yang saya study ni part time sebelah malam lepas office hour. Fuhh! dilema sungguh waktu ni. Setelah banyak nasihat diterima - ada yang suruh teruskan belajar dan ada juga suruh bekerja, akhirnya gerak hati lebih kepada berkerja. Sekarang ni bukan senang nak dapat kerja.. kalau belajar tu..senang nak dapat. Memikirkan family saya bukanlah golongan kaya, maka berkerja ini terbaik buat saya untuk membantu keluarga. Borang tarik diri dari pengajian di hantar ke pihak pengurusan universiti..dan saya melapor diri bertugas di Batu Pahat. Dalam hati..saya berjanji akan meneruskan degree yang separuh jalan ni bila tiba masa yang sesuai. Akhirnya saya kotakan janji itu pada tahun 2007 setelah 4 tahun berkhidmat..so hingga sekarang saya masih lagi bergelar part time student disamping meneruskan kerjaya..hehe..

Moral of the story..setiap kesulitan yang Allah bagi itu..ada kesenangan yang terbit daripadanya. Bersangka baiklah dengan Allah. Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya..