Check it out!

Tuesday, July 30, 2019

Permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Coretan buat anak-anak dan tatapan buat kenangan masa depan.

Mami baru sahaja selesai membuat permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Alhamdulillah! sempat mami apply sebelum pukul 12 tengah malam. Isi borang permohonan secara online. Nasib baik semua dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik, telah ada dalam simpanan mami. Salinan kad pengenalan mami, salinan kad pengenalan dedi dan slip gaji terkini mami.

Tak tahu mengapa hari ini, tiba-tiba Allah gerakkan hati untuk "menggoogle" PPAM ni. Kebetulan ada projek di Kuantan, Pahang. Dan kebetulan juga, tarikh akhir permohonan adalah pada hari ini, 30 Julai 2019! Mami ada lebih kurang 2 jam sahaja untuk membuat permohonan!

Sebelum ini, mami pernah memohon PPA1M di Putrajaya sejak tahun 2017...tapi sehingga sekarang tidak pernah mendapat sebarang tawaran. 
Pada tahun ini, mami cuba memohon Rumah Selangorku...namun masih juga belum mendapat sebarang tawaran.

Ya..umur mami hampir mencecah 38 tahun tidak lama lagi. Mami masih belum memiliki sebarang rumah! Walaupun belajar dan bekerja dalam bidang harta tanah, namun sebuah rumah sendiri pun mami belum miliki... Mami sedar, lagi lama mami tangguh beli rumah, makin tinggi insuran mami kena tanggung bila mami beli rumah nanti!

Permohonan pertama mami, PPA1M Putrajaya - kurang mendapat restu dedi. Katanya banyak masalah, terutama masalah berebut parking. Maklumlah, perumahan bertingkat tinggi. Tak seronok nak tinggal, walaupun lokasi strategik. Lalu..mami membiarkan takdir yang menentukan. Kalau baik untuk mami miliki rumah di sini, moga Allah permudahkan.

Permohonan Rumah Selangorku juga masih perumahan bertingkat tinggi berhampiran Cyberjaya. Lokasi agak strategik kerana berhampiran UiTM Dengkil. Dua parkir disediakan untuk setiap unit, jika rujuk kepada iklan yang dipaparkan. Kurang mendapat restu dedi juga, kerana dedi prefer landed.

Mami tahu, rumah landed di Lembah Klang ini mencapai harga yang mampu tengok je..tak mampu milik. Sangat jarang pemaju nak dirikan rumah teres 1 tingkat, memandangkan harga tanah yang mahal. Rumah teres 2 tingkat di atas tanah Rizab Melayu di Semenyih pun ditawarkan pada harga melebihi RM500,000. Perghhh...tak mampu!

Seminggu dua ni, seorang rakan mami yang berkerja sebagai estate agent sering update status whatsapp mengiklankan rumah teres 1 tingkat di kuantan pada harga RM235,000 hingga RM245,000 seunit. Ehmm...harga mampu milik. Biarlah Rizab Melayu pun. Tergerak pula hati mami untuk beli rumah di Kuantan la. Dedi orang sana. Mana tahu ada rezeki pindah sana pulak.

Hari ni mami nampak lagi status whatsapp rakan mami tu. Dah tergerak hati nk tanya lanjut, masih available lagi tak? Tapi...belum sempat mami swipe up status tu, sebagaimana diarahkan, mami tergerak nak google PPAM di Kuantan. Ya..itulah yang membawa mami ke laman web PPAM dan ternampak projek rumah teres 1 tingkat yang ditawarkan. Harga serendah RM180,000 hingga RM230,000 seunit, bergantung kepada saiz dan lokasi.

Teringat mami dengan permintaan Uzair, nak mami beli rumah macam mama (sepupu dedi) masa kita beraya di rumah mama tempoh hari. Rumah mama teres 1 tingkat di Pekan, Pahang. Uzair kata rumah mama best. Uzair siap pesan pada mama supaya mama bagitahu kalau ada rumah nak jual berhampiran rumah mama. Hahaha...hai lah anak. Jauh sangat Pekan tu nak oii.

Masa mami buka laman web PPAM tadi, terpampang gambar rumah bertingkat tinggi dan landed. Rania bagitau mami, dia tak nak rumah yang tinggi tu. Dia nak rumah yang rendah (landed).

Anak-anak mami semua teruja mami nak beli rumah. Mami cakap..mami baru mohon..belum tentu dapat. Kena doa banyak-banyak supaya dapat mami beli rumah tu.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita ya nak! Niat mami nak beli rumah tu untuk gembirakan hati semua kesayangan mami. Andai tak panjang umur mami, sekurang-kurangnya ada tempat anak-anak mami berteduh (aduh! tak tergamak nak tulis ni sebenarnya....sebak!)

Mohon doakan juga ya! Moga ada rezeki kami. Ya...anda yang terbaca coretan ini....Moga doa yang baik kembali kepada yang mendoakan jua...

Update: Keputusan Permohonan - Rujuk sini (klik)