Check it out!

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Sunday, September 15, 2019

GAGAL KE IPTA LEPAS SPM? JOM AMBIL PELUANG IKUTI PROGRAM SIJIL DALAM BIDANG HARTA TANAH

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam hujung minggu.

Berita baik buat lepasan SPM yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Jangan putus asa. Masih ada peluang untuk anda menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Yang penting, ada niat dan tekad untuk menambah ilmu di dada.

Jika anda berumur antara 17 hingga 21 tahun (berdasarkan tarikh lahir), boleh mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang harta tanah di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia. Sesi pengambilan bagi tahun 2019/2020 sedang dibuka sehingga 30 September 2019.

Sebanyak tiga (3) program sijil ditawarkan secara sepenuh masa iaitu:
  • Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT)
  • Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT)
  • Sijil Agensi Harta Tanah (CEA)
Brosur pelawaan permohonan. Layari laman web www.inspen.gov.my untuk maklumat lanjut.


Sijil Penilaian Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang penilaian harta tanah (minat nak jadi valuer).
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    


Sijil Pengurusan Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengurusan harta tanah (minat nak jadi Property Manager). 
  • Tempoh pengajian : 24 bulan (5 semester termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik atau Matematik Tambahan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam:
              i)  Bahasa Inggeris; dan
              ii) Satu (1) mata pelajaran lain.    

Sijil Agensi Harta Tanah
  • Disarankan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang agensi harta tanah (minat nak jadi Estate Agent - ejen jual beli harta tanah)
  • Tempoh pengajian : 19 bulan (termasuk latihan industri)
  • Yuran pengajian : RM365 per semester
  • Syarat kemasukan:
       - Berumur 17 hingga 21 tahun
       - Warganegara Malaysia
       - Lulus SPM dan setaraf dengan kelulusan minimum:
           ⏩ Kepujian dalam:
              i)   Bahasa Melayu;
              ii)  Matematik/ Sains/ Prinsip Akaun/ Perdagangan; dan
              iii) Satu (1) mata pelajaran lain.
         dan
           ⏩ Lulus dalam dua (2) mata pelajaran lain.

DI MANA LOKASI INSPEN?


INSPEN terletak di Gate 1, Putrajaya, bersebelahan dengan Kg. Abu Bakar Baginda dan Presint 14 Putrajaya. Lokasi strategik, dengan kemudahsampaian yang baik.

Sumber: Google map

KENAPA PERLU PILIH BELAJAR DI INSPEN?

⇨  Yuran pengajian yang rendah. Hanya RM365 setiap semester.
⇨  Penginapan asrama disediakan secara percuma sepanjang pengajian.
⇨  Bantuan makan sebanyak RM20 sehari.
⇨  Graduan berpeluang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Jom belajar di INSPEN! 
Peluang depan mata, buat apa tangguh lagi!

Jom daftar di http://icms.inspen.gov.my/ atau layari laman web inspen di www.inspen.gov.my sebelum 30 September 2019.

Mungkin boleh baca sharing saya sebelum ini berkenaan melanjutkan pelajaran dalam bidang harta tanah dan prospek kerjayanya untuk maklumat lanjut di sini.

Saturday, April 4, 2015

Kanak-kanak 6 tahun maut gara-gara bermain di eskalator

Terkedu. Terkejut. Tergamam. Ini reaksi saya bila terbaca kiriman whatsapp ahli group berhubung berita menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun maut apabila terjatuh dari ketinggian 5 tingkat ketika bermain-main dengan handrail eskalator. Kanak-kanak malang ini tertarik ke handrail yang sedang bergerak sehingga beliau terjatuh ke ruang kosong di celahan eskalator dari tingkat 2 sehingga ke aras basement B2. Innalillahi wainna ilaihiroji'un..

Tersentuh hati saya melihat gambar-gambar yang disebarkan. Kanak-kanak perempuan ini berlumuran darah. Tak sanggup nak tengok. Beliau memakai seluar frozen. Seluar sama macam Rania. Umurnya pun sebaya Rania. Terbayangkan..mesti beliau telah didaftarkan untuk bersekolah darjah 1 tahun depan. Tapi dah tertulis, ajal dah menjemput tanpa sempat beliau memulakan persekolahan. Moga ahli keluarga adik ini diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.

Mula terbayang di ruang mata, perihal Rayyan, Rania dan Razin yang gemar sangat nak bermain dengan eskalator. Encik asben marah sangat kalau diorang ni dok main-main dekat eskalator. Seriously, saya sebelum ni tak kisah sangat sebab saya tak pernah terbayangkan impak sebegini boleh terjadi. Baru saya sedar betapa ini bukanlah kes pertama yang melibatkan kanak-kanak maut akibat eskalator. Rupa-rupanyanya telah acapkali berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di luar negara juga.

Peringatan buat saya dan semua ibu bapa di luar sana. Eskalator memang satu kemudahan. Walau bagaimanapun, sedikit kecuaian dan kealpaan mampu mendatangkan kemalangan. Awasi anak-anak kita yang sangat seronok bermain dengan benda-benda yang menarik perhatian mereka ini.

Berikut adalah petikan berita dari www.hmetro.com.my berhubung cerita ini:
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh daripada tingkat dua di kompleks beli belah Kenanga Wholesale City, di sini, kira-kira jam 3 petang tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. "Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit di bawa oleh ibu bapanya ke kompleks beli belah itu sebelum jatuh dari tingkat dua hingga ke aras bawah tempat meletak kenderaan," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi. Difahamkan kanak-kanak malang berkenaan terlebih dulu bermain di kawasan sekitar eskalator sebelum terjatuh dari ketinggian lima tingkat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Tips keselamatan ketika menggunakan eskalator
  • Pastikan tali kasut tidak longgar dan kasut yang dipakai bersesuaian ketika menaiki eskalator;
  • Sentiasa memegang tangan anak-anak di eskalator dan tidak membenarkan anak-anak untuk duduk atau bermain di muka tangga eskalator;
  • Sentiasa memandang ke hadapan, berdiri di tengah muka tangga iaitu dalam kawasan tangga eskalator di mana sempadannya diwarnakan kuning dan berpegang pada handrail;
  • Elakkan berdiri di tepi muka tangga bagi mengelakkan kaki tersepit;
  • Ketahui di mana butang kecemasan shutoff yang berwarna merah jika anda perlu untuk menghentikan eskalator;
  • Elakkan daripada meletak beg tangan atau bungkusan di atas handrail;
  • Jangan bersandar di tepi handrail.
Sumber: http://www.dosh.gov.my 

Realiti kehidupan : Sifat semula jadi anak-anak adalah bermain dan berseronok tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya. Ibu bapalah yang perlu memainkan peranan untuk mengawasi anak-anak ini.