Check it out!

Showing posts with label Catatan seorang mummy. Show all posts
Showing posts with label Catatan seorang mummy. Show all posts

Saturday, May 23, 2020

Pengalaman Bersalin Edisi Keempat: Bersalin Normal di Dewan Bedah

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam 30 Ramadan 1441 Hijrah.

Sebuah catatan buat ingatan.

Tarikh hari ini 23 Mei, 2 tahun yang lalu bersamaan dengan 7 Ramadan 1439 Hijrah, hari rabu, mami selamat melahirkan anakanda keempat. Setelah berehat hampir 7 tahun.

Belum pernah mami kongsikan pengalaman bersalin edisi keempat ini dalam blog ni. Saje nak tulis untuk perkongsian pengalaman selain untuk bacaan mami dan anak-anak pada masa depan. Lama nak menulis kisah ni. Tapi tertangguh-tangguh, sampai la saat ini, setelah 2 tahun..hihi.

Sebagaimana anak kedua dan ketiga, anak keempat mami ni nak juga keluar pada tarikh expected due date (EDD) dia, 23.5.2018. Doktor yang melawat mami di wad kata 5% je kelahiran yang menepati EDD ni. Ok mami ada sumbangan sebanyak 3 sampel kat statistik ni..hehe. Anak sulung mami je lahir awal 5 hari dari EDD, tak sabar nak keluar pada usia kandungan 39 minggu 2 hari. Anak-anak yang lain sabar menepati masa jangkaan kelahiran mereka, cukup 40 minggu dok dalam rahim mami.

Berbalik kepada kisah 2 tahun lepas, memandangkan mami dah dapat rasakan yang no.4 ni pun akan keluar pada tarikh due date, maka mami siap-siap minta tolong adik bujang yang tinggal di Shah Alam untuk balik kampung ambil mak pada 22.5.2018. Jarak ke kampung lebih kurang 140 km dari sini. Sempat la adik berbuka di kampung dan patah balik semula ke sini, sampai rumah lebih kurang pukul 12 tengah malam pada 23.5.2018.

Alhamdulillah, mak dah ada bolehlah nak beranak dengan tenang kan? Tak lama lepas tu lebih kurang pukul 3.30 pagi mami terjaga daripada tidur. Masuk toilet dan perasan dah keluar tanda lendir bercampur darah. Yes! It's the time. Tanda yang sama macam anak sulung, kedua dan ketiga nak keluar. Masa ni contraction belum sampai lagi. Nervous pulak rasa bila lama tak beranak ni. 

Mami kejut dedi maklumkan dah sampai masa nak beranak tapi belum urgent lagi. Lebih kurang setengah jam kemudian baru contraction datang tapi belum berapa nak kuat lagi. Mami siap-siap sediakan juadah sahur dan iron baju sekolah anak-anak dulu. Sempatlah sahur dulu sebelum ke hospital. Nak pakai tenaga nak meneran kan? Kami gerak lebih kurang pukul 5.20 pagi dari rumah. Contraction masa ni macam tak berapa nak konsisten lagi. Antara 5 hingga 10 minit sekali.

Dedi tanya nak ke hospital mana? Hospital Putrajaya ke Hospital Serdang? Dua-dua pun jarak lebih kurang sama dari rumah. Mami ajak dedi pegi Hospital Serdang. Nak anak Selangor kata mami..haha. Padahal seram bila terdengar cerita yang Hospital Putrajaya suka bedah orang, tak nak ambil risiko katanya. Takut juga kalau kena bedah, walaupun belum pernah bersalin melalui pembedahan. Tapi jauh di sudut hati mami percaya doktor di sana pastinya membuat keputusan sedemikian untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak kan?

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari...haha. Nampaknya hasrat nak beranakkan anak Selangor tak kesampaian. Mami dimaklumkan oleh nurse yang bertugas di front desk, ward penuh. Boleh baca seperti yang tertera pada notice board. Boleh kalau nak bersalin di hospital ini, tapi akan stay di labour room sehingga ada ward kosong katanya. Alamak! 


Notis terpapar di lobi pintu masuk Dewan Bersalin Hospital Serdang
Nurse tanya tinggal di mana dan suggest pegi hospital lain yang terdekat. Mami minta tolong beliau, boleh ke tolong checkkan sama ada Hospital Putrajaya yang mami bakal pergi tu penuh jugak tak? Tapi dukacita beliau tidak dapat membantu sejauh itu. 

Ok, mami dedi teruskan perjalanan menuju ke Hospital Putrajaya pulak. Tak lama lepas  bertolak ke Hospital Putrajaya, azan subuh berkumandang di corong radio. 5.40 pagi masa ni (mami semak kat portal e-solat jakim baru jap tadi). Contraction masa ni lebih kurang 5 minit sekali. 

Sebelum ke hospital, kami singgah solat subuh di Stesen Minyak Petronas di Presint 9 dulu. Lebih kurang pukul 6 pagi di sini. Tunaikan dulu tanggungjawab sebelum nak berjuang kan?

Sampai Dewan Bersalin Hospital Putrajaya dah hampir pukul 6.30 pagi. Prosedur biasa, kena interview dulu kenapa datang. Mami cakap lah dah ada blood show dan contraction 5 minit sekali. Mula-mula nurse macam nak percaya tak percaya yang mami dah ada contraction sebab dia kata mami boleh duduk elok. Biasanya orang yang contraction 5 minit sekali ni tak boleh nak duduk dah katanya. Eh, beliau meragui kita ke ni? Ah tak kisah la kan. Janji beliau bagi masuk buat pemeriksaan. Ambil tekanan darah, timbang berat, ukur tinggi. Pastu baring untuk dipasang CTG, alat yang dilekatkan pada perut untuk memantau denyut jantung baby dan contraction rahim.

Sementara mami dalam pemeriksaan, dedi balik sekejap nak hantar anak-anak pergi sekolah. Ketiga-tiga mereka ada exam pertengahan tahun. Mami baru teringat yang mami lupa salam dedi...huhu...

Berdasarkan rekod whatsapp dengan dedi, pukul 7.17 pagi dedi dah settle hantar anak-anak ke sekolah dan dalam perjalanan semula ke hospital. Mami masih belum settle lagi, CTG masih terpasang. Doktor datang check bukaan, baru 1 cm katanya. Adoii la.. masa ni contraction mami dah kuat.. memang tak tahan. Rasa nak guling-guling je atas katil tu. Tak kan la baru 1 cm. Eh, mami pulak nak meragui doktor muda ni! Ada pulak nurse yang berada di situ kata boleh balik dulu. Tapi bila tahu mami nak beranak anak keempat, risau pulak beliau nak bagi balik. 

Lebih kurang pukul 7.45 pagi, sekali lagi mami dipasang CTG. Tak pasti kenapa sampai dua kali. Doktor kata gerak jantung baby tak cantik. Maybe baby tengah tido katanya. Contraction makin kuat...sakit....huhu...

Lebih kurang pukul 8.05 pagi doktor pakar datang check pulak. Sekali lagi mami diseluk tapi kali ni oleh doktor pakar. Doktor kata bukaan dah 4cm. Baby dah berak kat dalam katanya sebab air ketuban nampak keruh. Emergency operate!
arahnya. Masa ni doktor pakar agak marah sebab mami masih belum dipasang tag nama dan branula di belakang tapak tangan. Kelam kabut nurse dan pembantu pasang tag nama dan branula. Paling sakit nak pasang branula la, tak jumpa salur darah agaknya. Tak dapat belah kanan, belah kiri mereka kerjakan. Sakit kena cucuk..di dua-dua belah tangan pulak tu..huhu. Akhirnya jumpa jugak la. 


Menyakitkan...
Nak kena bersalin secara pembedahan caesarean ke ni? Bila dengar doktor pakar kata operate, mami try nego. Berapa lama boleh bagi mami masa untuk try normal. Beliau kata, sekarang juga tak boleh tunggu. Emergency. Risiko untuk baby katanya. Dedi dipanggil masuk jumpa mami. Mami dah sedih dah masa ni bila nak kena operate. Bergenang dah air mata nak nangis. Dedi sabarkan mami. Redha je katanya. Perkara yang mami nak elak di Hospital Putrajaya ni akhirnya mami kena hadap juga..huaaa.. Terketar2 jugak la tangan sign borang kebenaran operate.. tahan sakit contraction plus takut nak kena operate. Hah bergabung!

Sebenarnya masa nak bersalinkan Uzair 7 tahun yang lalu di hospital yang sama, mami pun ada pengalaman macam ni. Bila doktor pecahkan air ketuban, doktor tengok air ketuban mami dah keruh. Baby dah berak kat dalam kata doktor. Masa ni doktor bagi tempoh sejam untuk bersalin normal. Kalau tak, emergency operate! Tak sampai sejam, lebih kurang 20 minit kemudian mami dah selamat bersalin secara normal.

Nampaknya kali ni doktor tak boleh nak bagi masa sejam macam doktor yang dulu bagi. Mami pasrah, sambil berdoa moga Allah permudahkan. 

Sebelum ditolak ke dewan bedah, mami dipasang tiub kencing dan diberi minum sejenis cecair ubat yang rasanya macam serai..huhu..(ubat tahan muntah katanya). Contraction mami masa ni memang dah kuat...sakit sangat rasa nak berguling, rasa nak menendang...sambil mengerang kesakitan.

Semasa baru nak bertolak ke dewan bedah, salah seorang nurse bisik pada mami, "Puan, kalau puan rasa nak teran, puan teran je. tapi jangan cakap saya cakap tau." Mungkin dia tengok mami mengerang kesakitan akibat contraction tu dan percaya mami boleh bersalin normal tanpa pembedahan kot. Beliau juga ada masa doktor pertama check bukaan 1cm dan sejam kemudian doktor kedua check bukaan dah 4cm.

On the way ke dewan bedah, ternampak dedi duduk di kerusi menunggu. Dedi tengok mami, mami tengok dedi. Masa ni lupa nak request nak salam dedi...huhu.

Sampai di dewan bedah, doktor bedah dan doktor bius dah menunggu mami. Mami masih mengerang kesakitan akibat contraction. Doktor bedah tanya mami "puan nak teran ke?" Mami cakap "Ya". Doktor tanya juga kelahiran paling besar berapa kg? Mami cakap 3.38 kg.

Ok, doktor terus minta mami buat posisi biasa bersalin normal dan suruh mami teran. Mami tarik nafas dalam-dalam dan push. Dalam 3 kali push juga la baby keluar. Doktor tak putus-putus bagi semangat dan pujian masa push ni. Alhamdulillah....pukul 8.38 pagi baby keluar dengan selamat. Tiada koyakan juga, so mami tak perlukan jahitan perineum. Alhamdulillah...kali pertama tak jahit. Kalau tak, menahan satu lagi kesakitan..huhu...

Mami tak pasti tiada koyakan ni disebabkan faktor mami tak angkat punggung masa meneran atau mami ada minum minyak kelapa dara pada penghujung kehamilan atau baby kecil, 2.82 kg atau kombinasi kesemuanya? yang penting Allah dah permudahkan...Alhamdulillah....bersalinlah mami secara normal di dewan bedah.

Lepas bersalin dan disorong keluar dari dewan bedah, mami dimasukkan drip oksitosin. Nurse kata untuk bantu kecutkan rahim dengan segera sebab rahim mami dah berkerja keras dari 1cm ke 10cm dalam tempoh sejam lebih.

Dah keluar dari dewan bedah, dedi dah boleh berada di samping mami. Nampaknya dua-dua anak perempuan lahir dedi tak dapat tengok. Masa Rania lahir dulu boleh nurse lupa panggil dedi. Dah selamat bersalin baru dedi masuk, padahal ada je dedi kat luar tu..huhu. Kali ni tak boleh masuk sebab dalam dewan bedah.

Setengah jam kemudian, baru mami dapat dakap baby yang mami baru lahirkan. Baby girl dengan berat 2.82 kg. Paling kecil berbanding kelahiran terdahulu 3.19 (lelaki), 2.92 (perempuan), 3.38 (lelaki). Anak-anak perempuan tak sampai 3kg..hehe..sama macam mami lahir dulu, 2.9 kg je.

Tak tunggu lama, mami terus menyusukan baby. Subhanallah, pandainya dia menyusu, kuat betul hisapannya macam anak lelaki..hihi.


Fresh from oven. 5 jam selepas dilahirkan.
Alhamdulillah Allah permudahkan urusan bersalin anak keempat ini. Satu lagi pengalaman berharga yang Allah titipkan untuk mami.

Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-2 tahun anak mami, Adra Raisha! Moga Adra membesar dengan sihat dan pintar, jadi anak solehah, berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.


Friday, April 24, 2020

Korban Gigi Pertama Musim PKP

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Salam Jumaat, 1 Ramadan.
Salam PKP Hari Ke-38.

Catatan buat kenangan. Kisah anak no. 4 mami, Adra Raisha.

Adra jatuh tersembam di lantai pada Isnin lepas (20.4.2020) ketika main sorang-sorang dalam khemah mainan di ruang tamu. Mungkin kaki tersadung di pintu masuk khemah tu, lalu jatuh tersempam atas lantai tanpa alas. Mami di dapur masa ni, memasak. Menangis la dia dengan mulut dan gigi berdarah.

Masa ni mami tak perasan gigi dia patah. Mami try pujuk dengan bagi nenen, ubat penenang dia. Tapi dia keep menangis. Tak nak nenen. Bila mami sentuh gigi depan tu, nampak ia bergoyang. Maknanya dah patah lebih separuh tapi masih tak tertanggal. Kawasan patah tu dah sangat hampir dengan pangkal gigi.
Kenangan senyum dengan gigi 😊

Maka bermulalah kisah Adra tak boleh nak nenen. Makan dan minum pun dia tak nak, walau puas dipujuk. Try nak bagi minum pakai straw pun dia tak nak. Mami dah risau. Setelah 8 jam dia berlapar, mami baru dapat ilham, nak cuba bagi minum pakai syringe. Nasib baik ada syringe ubat kat rumah. Saiz 10 ml. Mami buat EBM depan dia dan bagi minum pakai syringe. Alhamdulillah, dia boleh terima. 

Mami rasa nak bawa pi hospital je. Tapi hati berbelah-bahagi juga dengan keadaan sekarang ni - wabak Covid-19. Mami pilih untuk pantau dulu. Mungkin boleh sembuh sendiri dalam sehari dua ni.

Walau bagaimanapun, masuk hari ke-4 semalam, 23.4.2020 Adra masih tak ok lagi. Masih tak nak direct BF. Walaupun selalu mami pujuk nak bagi. Dia geleng kepala, palingkan muka sambil kata "tidak" takpun "nanak". Sangat mencabar bila nak tidurkan dia. Biasanya sebelum ni, senang sangat. Bagi direct BF je tak payah dodoi, popok bagai, tidur dah. Terbangun tengah malam nangis nak susu pon mami tak payah susah2 bangun pi dapur buat susu, selak je..hihi. Tapi sejak 3 hari lalu, dapat mami rasakan kesusahan tanpa senjata penenang mami. "Welcome to my world" kata dedi...huhu. Nak tido mami akan bagi EBM atau air milo (ikut kehendak dia) melalui syringe. Kemudian, mami akan dodoikan dengan zikir sambil hayun kiri kanan secara perlahan-lahan depan kipas meja sampai la Adra tertidur sebelum baringkan atas katil. Kadang-kadang bila dia blum sampai ke peringkat deep sleep, bila baringkan atas katil dia terjaga dan menangis....mami sambung balik kerja mendodoi tadi...adoii doi doi la anak. Nasib baik ringan 8 kg je. Tu pun lenguh jugak kalau lama-lama..huhu..

Sepanjang masa ni makan minum Adra memang guna syringe. Dedi beli syringe saiz lagi besar, 60 ml untuk mudahkan bagi bubur. Dedi gelak cakap macam anak burung dah...haha. Gelak-gelak pun hati mak bapak mana yang tak risau keadaan anaknya macam ni kan? Adra main kurus mami tengok. Boleh nampak tulang rusuk dah. Tak boleh berterusan macam ni, semalam mami google cari klinik gigi swasta yang buka waktu PKP ni. Mami call Klinik Halizah Bangi, mereka bagi rawatan by appointment dan perkhidmatan separuh hari sahaja. Appointment Adra hari ni, 24.4.2020 pukul 11 pagi tadi.

Makan minum semua guna syringe. Dedi beli syringe 60 ml supaya boleh bagi bubur sekali.

Pukul 10.40 pagi lebih kurang kami bertolak ke Kompleks Diamond dekat Warta, Bangi. Sampai lagi 2 minit pukul 11 tapi mami tengok klinik berkunci. Aik? kenapa kunci pulak? Mami call klinik semula, dia kata appointment di klinik dekat Bangi Gateway. Kat cawangan warta memang tutup. Adoila, confident mami terus datang klinik kat warta ni. Salah mami sebab tak confirmkan betul-betul kat mana appointment tu. Maka bergerak la kami ke Bangi Gateway pulak dengan bantuan google map. 

Sampai di klinik, buat pendaftaran juga declaration ada tak pergi luar negara, pergi perhimpunan, contact rapat dsb. Diminta pakai hand sanitizer yang disediakan. Suhu badan mami dan Adra juga diambil. Langkah-langkah mencegah penularan wabak Covid-19. Selepas rawatan seorang pesakit, nama Adra dipanggil. Doktor tengok keadaan gigi Adra. Doktor kata saraf dia dah terdedah sebab patah tu dekat dengan gusi, tu yang sakit. Doktor tak berani nak cabut sebab Adra pon tak nak bagi kerjasama. Doktor cadang ke hospital sebab ada pakar. Baiklah mami akur, ke hospital juga akhirnya. Mami minta Doktor bagi referral letter untuk bagi hospital. Caj klinik total RM40.

Sebelum ke hospital, kami singgah rumah dulu. Nak bagi adra makan minum siap-siap dan bawa bekal ke sana takut lama. Sampai rumah dekat pukul 12.30 tengah hari. Then, kami pun bertolak ke Hospital Putrajaya. Ada road block oleh polis bertanya nak ke mana? Mami cakap nak ke hospital, kami dibenarkan meneruskan perjalanan. Tak sempat mami nak tunjuk surat refer hospital tu..hihi.. Sampai Hospital Putrajaya tepat pukul 1 petang. Sekali waktu rehat daa... pukul 2.45 baru naik rehat, nak senang pukul 3 petang la datang semula kata nurse frontliners. Hahaha..mami boleh lupa hari ni hari Jumaat. Dedi pun sama tak ingat. Main ikut je mami ajak pergi tadi. Masing-masing fikir anak dah tak ingat lain dah. Maka, baliklah semula kami anak-beranak ke rumah.

Sempat Adra tidur sekejap, mami pon joint sekali. Puasa hari pertama kan.. letih skit. Pertama kali jalan jauh lak tu sejak 38 hari PKP ni. Biasanya bilik - ruang tamu - dapur je kawasan laluan mami. Hambik..arini first time keluar rumah, dari rumah ke Bangi ke rumah semula ke Putrajaya pulak ke rumah semula ke putrajaya lagi jap lagi. 

Kami sampai di Hospital Putrajaya sekali lagi pada pukul 3 petang. Berurusan di Klinik Pakar Bedah Mulut. First time ke sini walaupun dah banyak kali berurusan di Hospital Putrajaya. Alhamdulillah, kes Adra dikategorikan sebagai kes kecemasan dan terus akan diberikan rawatan. Mami dan dedi expect akan diberikan temujanji untuk rawatan selanjutnya tapi takdir Allah lebih baik. 

Doktor bagitau prosedur tak lama. Tiada pilihan lain, gigi Adra memang perlu dicabut sebab saraf dah terdedah menyebabkan Adra kesakitan. Mami tandatangan surat kebenaran. Tapi jenuh jugak la nak berperang dengan Adra yang tak nak bagi kerjasama. Sebelum mulakan rawatan Doktor terdengar Adra cakap nak belon dengan mami dan mami pujuk nanti mami beli belon lepas siap. Doktor isi angin dalam sarung tangan getah bagi mengelembung macam belon, then bagi Adra. Lepas tu Doktor lukis mata, hidung dan mulut. Special belon untuk Adra yang takde jual kat kedai. Terima kasih Doktor!

Walau bagaimanapun, belon tu tak mampu menahan Adra dari meraung dan menangis bila sedang dirawat. Tiga orang termasuk mami kena pegang Adra semasa Doktor nak cabut gigi tu. Mami baring sekali di kerusi rawatan sambil peluk Adra sambil kaki mami kepit kaki dia, tangan mami peluk badan dan tangan dia. Sebelum tu Doktor dah balut tangan dan badan Adra dengan kain. Bersungguh dia nak keluarkan tangan dari bungkusan sambil nangis. Hati mami pon ikut tak tenteram dengar tangisan Adra, kesian kat dia..huhu. Tapi apakan daya, demi untuk kebaikan dia juga. Tapi bagus juga Adra menangis, senang Doktor nak cabut gigi dengan mulut besar ternganga...hihi. Alhamdulillah, gigi Adra selamat dicabut. Banyak darah keluar tapi Adra tak nak gigit kapas yang dibekalkan. Aduiila anak. Apa-apapun terima kasih Doktor dan pembantu2! Perkhidmatan yang mami dapat percuma, alhamdulillah. 

Pengalaman hidup namanya ni duhai anak..
Kadang kita perlu berdepan dengan kesakitan sebelum berjumpa kesenangan..
Kadang kita kukuh berdiri, kadang kita jatuh tersungkur.. Jangan takut bangun kembali.. langkah perlu diatur.. Doa mami mengiringi langkahmu anak..moga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah swt..

Mami dan Adra di hospital musim PKP sementara tunggu ubat di farmasi.

Gigi susu pertama yang terpaksa dikorbankan sebab patah. Garisan yang menganjur dari atas ke bawah itu adalah bahagian yang patah.

Dah takde 1 gigi, bulan depan baru nak sambut birthday ke-2 tahun. Kena tunggu 4 atau 5 tahun lagi baru tumbuh gigi baru. Walaupun takde gigi, senyumanmu tetap menawan di mata mami nak...

Tuesday, July 30, 2019

Permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Coretan buat anak-anak dan tatapan buat kenangan masa depan.

Mami baru sahaja selesai membuat permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Alhamdulillah! sempat mami apply sebelum pukul 12 tengah malam. Isi borang permohonan secara online. Nasib baik semua dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik, telah ada dalam simpanan mami. Salinan kad pengenalan mami, salinan kad pengenalan dedi dan slip gaji terkini mami.

Tak tahu mengapa hari ini, tiba-tiba Allah gerakkan hati untuk "menggoogle" PPAM ni. Kebetulan ada projek di Kuantan, Pahang. Dan kebetulan juga, tarikh akhir permohonan adalah pada hari ini, 30 Julai 2019! Mami ada lebih kurang 2 jam sahaja untuk membuat permohonan!

Sebelum ini, mami pernah memohon PPA1M di Putrajaya sejak tahun 2017...tapi sehingga sekarang tidak pernah mendapat sebarang tawaran. 
Pada tahun ini, mami cuba memohon Rumah Selangorku...namun masih juga belum mendapat sebarang tawaran.

Ya..umur mami hampir mencecah 38 tahun tidak lama lagi. Mami masih belum memiliki sebarang rumah! Walaupun belajar dan bekerja dalam bidang harta tanah, namun sebuah rumah sendiri pun mami belum miliki... Mami sedar, lagi lama mami tangguh beli rumah, makin tinggi insuran mami kena tanggung bila mami beli rumah nanti!

Permohonan pertama mami, PPA1M Putrajaya - kurang mendapat restu dedi. Katanya banyak masalah, terutama masalah berebut parking. Maklumlah, perumahan bertingkat tinggi. Tak seronok nak tinggal, walaupun lokasi strategik. Lalu..mami membiarkan takdir yang menentukan. Kalau baik untuk mami miliki rumah di sini, moga Allah permudahkan.

Permohonan Rumah Selangorku juga masih perumahan bertingkat tinggi berhampiran Cyberjaya. Lokasi agak strategik kerana berhampiran UiTM Dengkil. Dua parkir disediakan untuk setiap unit, jika rujuk kepada iklan yang dipaparkan. Kurang mendapat restu dedi juga, kerana dedi prefer landed.

Mami tahu, rumah landed di Lembah Klang ini mencapai harga yang mampu tengok je..tak mampu milik. Sangat jarang pemaju nak dirikan rumah teres 1 tingkat, memandangkan harga tanah yang mahal. Rumah teres 2 tingkat di atas tanah Rizab Melayu di Semenyih pun ditawarkan pada harga melebihi RM500,000. Perghhh...tak mampu!

Seminggu dua ni, seorang rakan mami yang berkerja sebagai estate agent sering update status whatsapp mengiklankan rumah teres 1 tingkat di kuantan pada harga RM235,000 hingga RM245,000 seunit. Ehmm...harga mampu milik. Biarlah Rizab Melayu pun. Tergerak pula hati mami untuk beli rumah di Kuantan la. Dedi orang sana. Mana tahu ada rezeki pindah sana pulak.

Hari ni mami nampak lagi status whatsapp rakan mami tu. Dah tergerak hati nk tanya lanjut, masih available lagi tak? Tapi...belum sempat mami swipe up status tu, sebagaimana diarahkan, mami tergerak nak google PPAM di Kuantan. Ya..itulah yang membawa mami ke laman web PPAM dan ternampak projek rumah teres 1 tingkat yang ditawarkan. Harga serendah RM180,000 hingga RM230,000 seunit, bergantung kepada saiz dan lokasi.

Teringat mami dengan permintaan Uzair, nak mami beli rumah macam mama (sepupu dedi) masa kita beraya di rumah mama tempoh hari. Rumah mama teres 1 tingkat di Pekan, Pahang. Uzair kata rumah mama best. Uzair siap pesan pada mama supaya mama bagitahu kalau ada rumah nak jual berhampiran rumah mama. Hahaha...hai lah anak. Jauh sangat Pekan tu nak oii.

Masa mami buka laman web PPAM tadi, terpampang gambar rumah bertingkat tinggi dan landed. Rania bagitau mami, dia tak nak rumah yang tinggi tu. Dia nak rumah yang rendah (landed).

Anak-anak mami semua teruja mami nak beli rumah. Mami cakap..mami baru mohon..belum tentu dapat. Kena doa banyak-banyak supaya dapat mami beli rumah tu.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita ya nak! Niat mami nak beli rumah tu untuk gembirakan hati semua kesayangan mami. Andai tak panjang umur mami, sekurang-kurangnya ada tempat anak-anak mami berteduh (aduh! tak tergamak nak tulis ni sebenarnya....sebak!)

Mohon doakan juga ya! Moga ada rezeki kami. Ya...anda yang terbaca coretan ini....Moga doa yang baik kembali kepada yang mendoakan jua...

Update: Keputusan Permohonan - Rujuk sini (klik)

Tuesday, June 25, 2019

Adra's Milestone: #1 year 1 month

25 Jun 2019. 

Coretan untuk ingatan.

Hari ni genap Adra berusia 1 tahun 1 bulan dan 2 hari. Semalam mami nampak Adra dah boleh menapak 3 langkah. Hari ni Adra tunjuk kat mami Adra boleh menapak banyak langkah dah. Walaupun masih terkedek-kedek, langkah terabur macam mak-mak mengandung 9 bulan..haha..

Alhamdulillah..tahniah anak mami kerana berani melangkah! Setapak demi setapak! Walau lambat...Adra tetap sampai ke destinasi...asalkan terus melangkah.

Ingat ini wahai anak. Adra lahir tidak terus berlari. Bermula hanya dengan satu langkah. Berbekalkan keberanian, terus mengorak langkah demi langkah. Jatuh, bangun kembali, tidak kenal putus asa! Moga semangat ini terus bersamamu. Perjalananmu masih jauh. Banyak lagi ranjau dan onak duri kehidupan perlu ditempuh. Namun begitu, ingat ini. Doa mami sentiasa mengiringi langkahmu anak!




Saturday, December 13, 2014

Nak suruh anak panggil apa?

Nak pilih tajuk pun pening..huhuhu. Taip taip padam. Taip taip padam. Last-last tajuk ni terpilih. Biasanya persolan ini timbul untuk bakal-bakal ibu, bakal-bakal bapa. Kadang-kadang yang bakal-bakal kahwin pun dah terlintas persoalan ni. Jarang-jarang yang bakal-bakal nak ambil SPM terfikir soalan ni. Tapi kalau terfikir gak, anda limited edition! Hahaha..

Al-kisahnya semalam, saya masuk ke sebuah baby center dalam sebuah shopping complex. Bukan nak cari buah, tapi sabun pencuci botol susu anak. Biasa la orang pompuan, tujuan hanya satu nak beli pencuci tu tapi melencong gak belek-belek seluar baju. Boleh beli untuk anak-anak kalau berkenan rupa dan harga. Sedang saya terbelek sana, terbelek sini.. sambil tu telinga ni menangkap perbualan pekerja-pekerja baby center yang rancak berborak. Ada la tiga empat orang. Boleh jadi ahli forum dah..hehe. Topik mereka berkisar nama panggilan yang anak-anak panggil untuk mak bapak dia. Ibu-ayah. Mama-papa. Mummy-daddy. Ummi-Abi.

Punca topik tu muncul bila salah seorang daripada mereka menceritakan salah satu scenario yang beliau hadapi di baby center tu. Seorang mak menyuruh anak memanggil ayahnya. Mula-mula si mak cakap kat anak, “ Panggil ayah. Mana ayah?”. Sekejapan kemudian..tukar pulak. “ Panggil daddy. Daddy mana?” lebih kurang la ayatnya. Isi pentingnya.. sekejap guna nama panggilan lain sekejap lain. Orang yang mendengar pun jadi pelik. Yang mana satu betul? Jangan Tanya saya..saya pun tak tahu!    

Isu dan masalah dah tahu. Then, saya dengar lagi huraian mereka. Pertukaran pendapatpun bermula. Antara statement yang saya dengar:

“ Panggil mummy – daddy, tapi bawak cangkul pegi kebun. Kalau bawak kayu golf, baru sesuai panggil daddy.”

“ Aku tak berkenan betul anak panggil Abi. Tapi pakai seluar pendek. Panggil ummi – abi tapi tak sembahyang.”

“ Ada jugak yang belum kawin dah panggil papa – mama. Geli pulak aku dengar. “

Tersenyum-senyum gak la saya dengar. Kelakar pun ada. Terkena kat batang hidung sendiri pun ada..haha. Ye la, saya dan encik asben takde pun kayu golf. Tapi anak-anak panggil kami mummy – daddy. Kami ni takde cangkul. Tanah pun takde. Inikan pulak kebun. Rasanya orang yang bawak cangkul pi kebun tu lagi kaya dari kami kan? At least dia ada gak tanah kebun. Sungguh tak layaknya kami untuk anak-anak panggil mummy – daddy.

Masa saya nak bayar kat kaunter bayaran, saya cakap kat cashier, “Hangat betul topic. Terasa saya. Saya takde kayu golf tapi anak-anak panggil mummy – daddy. Menarik topic ni. Boleh tulis dalam blog.” (Saya cakap dengan nada mesra. Macam biasa lak berborak dengan cashier tu..hehe) Cashier yang mendengar hanya tersenyum. Dia tak joint pun forum tu. Dia macam saya gak.. silent listener..haha.


Uolls macam mana? Ada yang guna panggilan mummy – daddy tak? Berapa batang kayu golf uolls ada? Hahaha.. Walau takde kayu golf, tapi saya ada alasan sendiri kenapa memilih untuk dipanggil mummy – daddy. 6.5 tahun dulu tak terfikir pun boleh jadi isu nama panggilan ni. Tak tahu pun kena ada syarat-syarat tertentu untuk melayakkan guna nama panggilan ni.

Yang saya fikirkan adalah supaya tak sama dengan ahli keluarga saya yang lain. Pakcik makcik saya ramai yang guna panggilan ibu - ayah (8 pasangan). Hinggakan anak-anak menangis panggil ibu..ibu.. tak tahu anak siapa yang nangis..hahaha. Mak - abah saya guna untuk panggilan ibu bapa saya. Ummi - abah / ummi - ayah pulak ada 4 pasangan yang guna. Mama-papa pulak kebanyakan sepupu saya gunakan panggilan ni. Encik asben pun panggil mak dia mama. So, nak membezakan dengan yang lain-lain ni maka kuatlah keputusan nak guna nama panggilan ni. Sehingga sekarang, kami je yang guna panggilan ni dalam kalangan keluarga.

Pencetus pertama idea ni adalah semasa saya mendengar perbualan encik asben dengan best friend saya. Masa ni kami sama-sama mengandung sulung. Cuma kawan baik saya tu mengandung awal 2 bulan dari saya walau kami kawin awal dia 2 hari je. Dia tanya encik asben, nanti nak suruh anak panggil apa? Encik asben jawab nak suruh anak panggil mam dengan pap. Supaya mulut anak tertutup bila panggil mak bapak dia..haha. Tapi kami tak pernah pun berbincang nak suruh anak panggil apa bila dah beranak nanti. 

Macam pelik lak panggil mam dengan pap. Tapi kalau mom dengan dad ok sikit. Still tertutup mulut anak ketika panggil nama kami. Makanya bila dah melahirkan Rayyan, saya nak dipanggil mummy. Encik asben pulak automatik suruh dipanggil daddy. No objection..hehe.

Itulah sejarahnya macam mana terlintas nak suruh anak panggil kami mummy - daddy. Ada gak masa awal-awal dulu ada kawan yang tak percaya saya gunakan nama panggilan mummy ni. Diorang ingat saya akan gunakan nama panggilan ummi. Lebih sesuai katanya. 

Rupanya kena ikut kesesuaian jugak ye nak suruh anak panggil kita apa?
Ehmmm....

Thursday, March 6, 2014

Anak-beranak masuk hospital

Pukul 4 pagi semalam, 05.03.2014, mummy terjaga dari tidur.
Gara-gara terdengar Rayyan muntah-muntah.
Mummy rasa dahi dan bawah dagu Rayyan.. Panas!
Tak puas hati.. mummy ambil termometer dan letak bawah ketiak Rayyan.
Suhu tercatat 40.3 darjah celcius.
Uishh! panasnya.

Mummy ambil asam jawa dan bancuh dengan air lalu lumurkan ke kepala, ketiak dan badan Rayyan. Petua untuk turunkan suhu badan ajaran tok nenek.
Risau juga mummy.
Lagi pulak ini bukan hari pertama Rayyan demam.
Rayyan demam sejak Sabtu malam Ahad lagi.
Maknanya dah hari keempat dah ni.
Tambahan lagi, malam semalam mummy nampak ada bintik-bintik merah halus di badan Rayyan.
Denggikah? 

Kemuncak kepada kerisauan mummy, Mummy ajak Daddy pergi hospital.
Apa-apapun biar mereka yang pakar sahkan daripada mummy dok risau tak tentu hala.
Selepas Rayyan, Mummy check juga suhu Rania.
39.3 darjah celcius.
Adeh! tinggi jugak.
Rania juga dah beberapa hari demam.
Cuma Rania start demam lewat sehari daripada Rayyan.
Maknanya, hari ni hari ke-3 Rania demam.
Rania juga ada bintik-bintik merah halus di badan macam Rayyan.

Razin pulak demam dah ok.
Mummy check suhu dia 36 darjah celcius.
Cuma selsema dia tak baik-baik lagi.
Seminggu dah.
Nafas pun hanya guna mulut je.

Kami bertolak ke hospital lebih kurang pukul 4.30 pagi.
Tiba lebih kurang 4.45 pagi.
Anak-beranak masuk hospital pagi tu.
Jenuh nak mengusung 3 anak untuk dapatkan rawatan.
Tiga-tiga daftar terus.


Nasib baik tak ramai orang masa tu.
Pelik gak tengok tak ramai.
Mungkin waktu tu dah ramai orang balik kot.
Lebih kurang pukul 5 pagi, doktor dah panggil dah.
Lepas sesi soal jawab, doktor sarankan agar sampel darah Rayyan dan Rania diambil.
Doktor kata, nak ambil darah di mana?
Klinik kesihatan atau hospital ini?
Kalau klinik kesihatan, masa diambil hanya setengah jam dah boleh dapat result,
Tapi kalau kat hospital ni, masa diambil lebih kurang 3 hingga 4 jam, kataya.

Saya tanya, " Boleh pergi klinik kesihatan terus ke? "
" Tunggu klinik buka pukul 8 pagi. " Jawabnya.
Ehm.. macam lebih kurang aje.
Nak kena ambil nombor dulu..
Nak kena tunggu giliran..
Nak kena tunggu klinik buka..
Nak kena tunggu doktor sampai..

" Kami nak ambil darah kat sini aje la."
Itu keputusan mummy.
Alang-alang dah sampai sini.
" Tapi tak boleh pergi mana-mana tau sehingga siap. Kena tunggu nama dipanggil kat sini. " Doktor mengingatkan. 
Okeh!

Nasib baik ada pot nak tido sementara tunggu result darah.

Sementara tunggu masuk waktu subuh, kami lepak dulu kat sofa di lobi hospital.
Memang ramai yang tido di sofa ni.
Nasib baik banyak gak sofa yang disediakan.

Lepas Razin dah tido dan selesai solat subuh,
daddy jaga anak-anak yang tido kat sini sementara mummy tunggu nama dipanggil di jabatan kecemasan tadi. Tertido-tido mummy kat kerusi yang disediakan.
Lantaklah, ngantuk sangat..
Nasib baik mummy sedar nombor dipanggil lebih kurang pukul 7.45 pagi.

Alhamdulillah!
Rayyan dan Rania bebas denggi!
Cuma bakteria je agak tinggi dalam badan.

Mummy tanya, kenapa ada bintik-bintik halus merah tu?
Doktor kata itu mungkin allergic atau effect sebab suhu badan tinggi  sangat.
Lega mummy dengar.. 
Bintik-bintik merah memenuhi badan Rania. Rayyan pun sama.

Sebenarnya Rayyan, Rania dan Razin telah demam secara berjemaah sejak Sabtu lepas yang dimulai oleh Razin.
So, sepanjang di kampung Sabtu hingga Isnin yang lalu, terperap je la kat rumah MIL.
Takde main-main pasir kat pantai macam selalu.
Cuma Rania je yang sempat pergi sekejap dengan daddy pada hari sabtu.
Tu pun balik terus demam. 

Mangsa demam ke-3
Mangsa demam ke-2
Mangsa demam pertama.
Daddy cakap, ni baru 3 anak yang sakit serentak dah kelam kabut macam ni.
Belum lagi ramai.
Huhuhu.. nampaknya mummy kena tunggu Trio 3R ni besar sikit lagi sebelum dapat green light untuk tambah koleksi R lagi..

# mangsa demam keempat sekarang ini ialah daddy.
Balik dari hospital semalam.. terus tumbang.. demam!
Semalam daddy cuti anak-anak demam.
Hari ni pagi daddy gagahkan diri pergi opis tapi tengah hari ke klinik lalu balik dah tak larat nak keje.

Semoga Allah terus pinjamkan mummy kesihatan..
Untuk jaga insan-insan kesayangan..

Sunday, February 16, 2014

Make over ke mak yang over?

Mummy masih segar-bugar pada dinihari ini.
Baru lepas kemas rumah dan mop lantai.
Beginilah rutin hampir setiap malam atau awal pagi sejak daddy out-station.
Lama sungguh la 3 minggu nak berakhir.
Geng 3R berkerjasama adik-beradik menyepahkan rumah, menumpahkan air dan memberi makan lantai. Setiap hari!
Kalau daddy ada, sorang jadi pemantau, dan sorang lagi boleh buat kerja lain.

Hari ni je, sebungkus biskut tiger seberat 175g boleh habis.
Bukan masuk perut, tapi ke lantai, atas sofa, dalam poket baju, bawah sofa, atas karpet, bawah gelongsor dan dalam khemah pun ada.
Sebotol minyak gamat juga turut lingkup.
Dahlah tu, itu satu-satunya stok minyak gamat yang ada.
Nampaknya kena mintak daddy bawa pegi Langkawi nih!

Mummy ni bukanlah rajin sangat pun. Apatah lagi kemas-mengemas rumah ni.
Tapi ari ni, tetiba lak rasa nak buat make over sikit kat rumah.
Serius, sejak berumah tangga ni, mummy tak pernah menyusun atur perabot atau mendekorasi rumah. Semuanya daddy yang buat ikut suka dia. 
Mummy jenis tak cerewet. Tak kisah pun macam mana rupa rumah.
Janji boleh tinggal di dalamnya..hehe.. 

So, daddy tak ada 3 minggu ni.. Ini rumah saya yang punya! hehe.. takdelah..
Sebenarnya saje nak ubah pemandangan. Lagi satu kesian kat Geng 3R tu.. terperuk dalam rumah. Mummy dia malas nak bawak pegi taman permainan kat luar.
Takde la make over sangat pun. Mummy je yang over. Itu pun nak cerita..hehe..
Bukan apa.. first time! kena ada rekod..hehe.. bahan bukti!

Mummy cuma wujudkan taman permainan dalam rumah aje.
Tu pun kat ruang tamu. Nak khaskan satu bilik sebagai taman permainan mereka, bilik agak sempit. Sah-sah mereka akan main di luar jugak sebab boleh tengok tv.


Rumah kecik, ruang pun limited. Kena pandai manfaatkan ruang.
Playhouse tu, dah lama sebenarnya. 5 tahun usianya tahun ni. Hadiah birthday untuk Rayyan pada umur 1 tahun. Tak rugi beli untuk anak sulung.. manfaat untuk adik-adik sekali. Tu pun beli time offer. 

Sebelum ni, playhouse ni diletak bersebelahan dengan sofa yang menghadap tv.
Kemas gak susunatur yang daddy buat.
Tapi, daddy selalu terganggu dengan Geng 3R yang dok main-main kat situ sehingga menghalang tontonan tv. 

Maka, mummy alihkan tumpuan mereka bermain ke belakang sofa supaya mereka taklah menyepahkan mainan depan tv. Bolehlah mereka main playhouse tu tanpa halangan.
Mummy tambah lagi khemah untuk mereka bermain dalam tu.
Khemah ni pun dah lama. Lebih kurang 3 tahun jugak la usianya. Tapi tak pernah pasang dalam rumah. Biasanya pasang masa pegi picnic je.

Geng 3R sangat seronok dengan make over ini!
Mereka kata rumah baru! hehe..
Siap tanya lagi.."mummy siapa nak datang?"
" Ada orang nak datang ke mummy? "

Alah diorang ni.. kecik ati mummy..
nampak sangat yang mummy ni kemas rumah bila ada orang nak datang je..hehe,, 

Bila dah start mengemas macam ni.. tetiba lak mummy rasa nak pegi Ikea la pulak!
Juga nak pegi Nilai.. cari carpet or tikar baru..
Ni yang malas nak buat make over ni..
Mesti mummy akan over.. hehe..

Moral of the story:

1)  Anak-anak teruja dengan perubahan yang kita buat kat rumah walaupun tak besar mana. Mereka rasa mereka ada rumah baru.
2)  Kita memang tak boleh halang atau elak anak-anak dari bermain atau menyepahkan rumah. Oleh itu, kitalah yang kena disiplinkan mereka kat mana mereka boleh bermain dan sediakan mereka tempat bermain yang sesuai.

Saturday, November 30, 2013

Welcome to new member in the house

Eh eh tersilap tajuk pulak.
Takde de beliau boleh masuk dalam house kami
Tak muat.
Boleh dok diam-diam kat luar rumah je.

22 November lepas, mummy dan daddy telah membawa balik anak angkat yang bernama Rayqal. Ya, nama ni mummy yang bagi kat dia. Supaya nampak sedondon dengan nama anak-anak mummy yang lain. Supaya beliau tidak terasa terasing.. hahaha..




Inilah Rayqal yang mummy maksudkan..hehe..
Putih gebu kan? hahaha..

Oppss! sebelum tu, biar mummy jelaskan dulu.
Ini bukan entry menunjuk-nunjuk ye. Jauh sekali nak membangga diri apa yang kami ada.
Tak ada apa yang nak dibanggakan pun.
Belum sah milik kami lagi. Bank yang punya. Masih taraf sewa lagi..sebab perjanjiannya sewa-beli.. hehehe. Dia boleh ambik bila-bila masa je, kalau kami tak bayar sewa kan? (psssst!! satu sen pun belum bayar lagi ni..hihihi..)

Memang dah masuk tahap keperluan dah ni. 
Family dah besar. Tambah lagi mummy dan daddy sendiri masing-masing anak sulung dari family yang besar. So, senang nak bawa orang tua jalan-jalan sekali.
Tak mampu nak beli yang besar lagi. Ni je la yang termampu setakat ini.

Mummy ingat lagi, 
masa mummy konvo kat UTM Skudai tahun lepas, kami naik kenari 8 orang tau. 
Mak, abah dan adik bongsu mummy, plus mummy, daddy, dan 3R.
Walaupun muat, tapi tak la berapa selesa.
Mummy cakap kat abah masa tu, "nanti abah doakanlah lepas ni cepat dapat naik pangkat, boleh beli kete yang lagi besar.."
Alhamdulillah, 4 bulan selepas konvo, mummy dapat naik pangkat.
Mungkin berkat doa mak dan abah, Allah murahkan rezeki.
Setahun lepas naik pangkat, baru mummy dapat merealisasikan impian untuk beli kereta yang lebih besar untuk bawa mak dan abah dengan selesa, walaupun taklah sebesar mana.  

Rombongan cik kiah. Termasuk pemotret gambar ini.

Geng 3R sangat excited dengan kehadiran Rayqal ni.
Macam poyo je mummy kan.. kereta pun nak bagi nama.
Sebenarnya bukan ni je mummy bagi nama.
Motor mummy masa zaman Uitm dulu pun mummy bagi nama. Nama dia Haiqal.
Kereta pertama mummy pulak nama dia Amsyar.
Ntah.. mungkin memang hobby mummy kot bagi nama.
Termasuklah semua kucing kat rumah mummy dulu.

Antara 3R ni, paling teruja dengan rayqal ialah razin.
Sikit-sikit dia sebut kereta baru.
Nak naik kereta baru..
Nak naik kereta baru.

Hari isnin lepas, sebelum daddy bertolak ke Paka untuk outstation,
daddy dah masukkan siap-siap beg sekolah geng 3R ni ke dalam perut Amsyar.
Maka pagi tu mummy bawa la Amsyar.
Punya la menangis-nangis Razin tak nak masuk kereta.
" Nak kete baru.. nak naik kete baru.."
Ahh sudah. Dah kesuntukan masa mummy nak naik balik ambik kunci.

Sampai taska pun razin masih menangis-nangis lagi.
Petang tu, masa mummy ambik 3R, teacher kat taska tu bagi tau,
Masa sampai pagi tadi, dia tanya razin, kenapa menangis?
Razin cakap nak naik kereta baru..
Huhuhu.. habis kecoh kat semua orang 
dia ada kereta baru..

Seronok mummy bila tengok anak-anak seronok naik kereta baru.
Ye la.. mungkin mereka tak pernah merasa naik kereta baru.
Lahir-lahir je kereta dah buruk ye.
Tapi.. 
anak-anak mummy masih beruntung.
Lahir-lahir je ada gak kereta yang boleh lindung dari panas dan hujan.
Mummy kecik-kecik dulu.. tak merasa naik kereta.
Motor je la kenderaan mummy 9 beradik.
Itulah kenderaan kami. Selagi ada ruang..selagi tu la kami bertenggek atas motor tu..hehehe.
Disebabkan tak pernah naik kereta, bila sesekali dapat naik kereta pakcik untuk perjalanan jauh, siap muntah-muntah lagi. Pening. Kepala pusing. hahaha...
Bukan menyesali takdir. Sekadar berkongsi untuk anak mummy rasa bersyukur. 
Mungkin atas takdir itu, Allah takdirkan mummy seperti mana mummy yang sekarang.
Alhamdulillah!

 

Sunday, November 17, 2013

Perlancaran Tabung Ke Legoland Malaysia

Semenjak keluar iklan bertubi-tubi kat TV mempromosikan Legoland, 
anak-anak dah mula menyuarakan keinginan untuk ke sana..
Huh! mudah sungguh anak-anak mummy terpengaruh


Hati mak mana la tak teringin nak menunaikan impian anak-anak dia kan?
Tapi mengenangkan kemampuan mak ko ni.. memang tak mampu la nak oii..
Dalam nak menunaikan hasrat anak-anak.. kena la mak ni mengukur baju di badan sendiri..

Risik-risik jugak harga tiket kat laman web rasmi Legoland ni 
Terbuntang mata tengok harga dia..
Memang mahal la bagi orang tak berapa nak berada macam mummy ni
Lagi la kena darab dengan 5 orang sekeluarga
Cecah ribuan ringgit!
Haruslah! nak cover RM700 juta kos nak buat taman tema yang pertama seumpamanya di asia ni dan yang ke-6 di dunia. 

Orang cakap, memang tak sempat nak round semua tempat kat dalam Legoland ni kalau sekali masuk je. Ye la.. luas kawasan dia je dah 30.4 hektar iaitu bersamaan dengan 304,000 meter persegi. Ada 7 taman tema yang menyamai 50 padang bola. Hah kau! penat ke tak penat nak round 50 padang bola tu! huhuhu...

Berdasarkan maklumat yang mummy peroleh, 
Mummy perlu menyediakan RM1,975 untuk annual pass 5 beranak kalau mummy pilih pakej ni. Masuk unlimited selama 12 bulan kat theme park dan juga water park.

Manakala kalau mummy pilih annual pass untuk theme park sahaja, mummy perlu menyediakan RM1,180 untuk 5 beranak.

Tapi kalau mummy pilih 2 day tickets (dua hari yang berturutan) untuk theme park dan water park, perbelanjaan untuk tiket yang mummy perlu sediakan ialah RM1,005.

Kalau just nak masuk theme park sehari, mummy perlu sediakan RM420 untuk harga tiket.

Berdasarkan tinjauan ini, mummy berangan nak pilih annual pass untuk theme park yang memerlukan kos RM1,180. Rasanya lebih berbaloi kan? Tapi...

Huwaaaaa.. mahalnya! 
Memang terketar-ketar la kalau nak keluar duit dari poket sendiri..
Mula la terbayang di layar mata macam-macam boleh beli dengan duit sebanyak tu!
Mulala perasaan bercampur-baur tu datang
Nak simpan punyala lama.. nak perabih sekelip mata je..
Hah kan dah datang sikap berkira tu! huhuhu...

Demi untuk merealisasikan impian anak-anak..
Tanpa mummy rasa berkira nak keluarkan wang gajian dan simpanan..
Maka, mummy telah melancarkan Tabung ke Legoland!

Tabung ni sumber dia bukan dari gaji mummy,
tapi dari cik Nuffnang.
Ye.. pendapatan yang mummy peroleh dari blog ini, akan totally mummy salurkan ke tabung ini!

Eh..eh.. ada pulak yang tertanya-tanya..
Banyak ke??
Hahaha.. baru je Jumaat lepas mummy cash outkan RM108.
Tu pun, setahun kumpul baru dapat banyak tu.
Tahun lepas buat pertama kalinya mummy dapat RM103. Tu pun rasanya dua tahun lebih punya kumpul..hehehe..
Nampak gayanya, dah ada tabung ni, mummy kena ganti la balik RM103 yang mummy dah joli katak tu untuk masukkan dalam tabung ni. Hah.. dah ada RM211 dalam tabung Legoland ni. Banyak gak tu. Tapi banyak gak lagi nak sampai ke tahap kecukupan tu.

Berdasarkan pendapatan ini, mummy rasa 10 tahun lagi baru cukup untuk menampung harga tiket annual pass mummy anak beranak ni..wakakakaka....
Harap-harap janganlah Legoland tu tutup pulak nanti bila mummy cukup duit ye..

Hish!! lama sangat tu kalau nak tunggu 10 tahun..
Ntah ada umur tak lagi mummy masa tu kan..
Nampaknya.. mummy kena berusaha lebih untuk meningkatkan pendapatan blog nih.
Ye.. mummy kena fokus lepas ni..
Demi impian anak-anak mummy..

Legoland!!!!
Kami nak datang ni.......
(hahaha.. mummy yang hover!)