Check it out!

Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Friday, February 14, 2014

Vacation : Cameron Highlands Day 3

Sambung balik entry bersiri bercuti di Cameron Highlands.
Episod 3! ye.. episod akhir ni kawan-kawan.
Lama bebenor la nak settle cerita ni.
Ibarat kata.. kalau masa turun Cameron ari tu bawak balik buah strawberi dan tak makan strawberi tu, mahu dah tumbuh pokok dah..hahaha..

Hari ke-3 kami dimulakan dengan sarapan dan packing barang-barang. Siap-siap untuk balik dah. Kami check-out lebih kurang pukul 11.30 pagi.
Datang ikut Simpang Pulai, balik pun kami ikut jalan yang sama.
Fuh! tak jauh je kereta gerak, jalan dah mula sesak.
Apsal la semua orang keluar serentak ni..huhuhu.

Rupanya kesesakan adalah disebabkan ramai orang berhenti singgah kat kedai-kedai borong di situ. Kami turut singgah juga. Saje menyumbang lagi kesesakan yang ada..hehe..
Boleh tahan juga murah.. tapi sayang.. saya tak sempat shopping strawberi di sini.
Akibat khusyuk sangat memilih baju, saya ditinggalkan keseorangan.
Paling bijak, boleh pulak saya tak bawak handphone. Dalam beg yang ditinggalkan bawah jagaan encik asben yang menjaga anak-anak di kedai makan.
Bila sampai semula di tempat berkumpul, geng-geng shopping tak balik lagi.
Tapi saya tak tahu mereka pergi mana.
Tahu-tahu masing-masing bawak balik beg plastik..huhu..
Tayang pulak strawberi murah. Adeh! terkilan pulak mula menjelma..

Takpe.. ada satu lagi destinasi.
Agak lama juga kami di kedai-kedai borong tu. 
Destinasi seterusnya, kami ke Lavender Garden. 
First time saya ke sini.
Bayaran tiket masuk ialah RM5 satu kepala untuk dewasa ye.
Saya tak pasti pulak adakah tak perlu bayar kalau kita datang tak bawak kepala..haha
Kanak-kanak 5 - 12 tahun RM3.

Matlamat ke sini ialah nak petik buah strawberi sendiri!
Saje nak bagi anak-anak happy.
Tapi nampak lagi happy atok anak-anak ni..hehe..
Penuh sebakul stawberi dipetiknya!

Anak-anak ni maknya bagi catuan.
Lagi banyak petik..lagi baaanyak pulak kena bayar..hehe..
Minimum 200 gram RM10.00 harganya.

Harganya agak mahal berbanding beli kat pasar malam.
Tapi pengalaman petik buah strawberi memang tak boleh beli kat pasar malam kan?
Tu yang kena catu tu..hehe..

Secara keseluruhannya.. best jugak la tempat ni.
Selain strawberi, landskapnya juga cantik-cantik..
Siapa suka posing-posing tu, anda pasti puas hati di sini!
Berbaloi la bayar RM5 tu..


Ada la sejam dua kami habiskan masa di Taman Lavender ni.. sebelum bergerak pulang.
Singgah jap makan besar kat Ipoh sebelum kami berpisah dengan adik yang akan pulang ke penang.

Tak sempat nak ambil gambar lauk-pauk..hehe.. sempat snap sikit je.. lapar weh..

Kami sampai di rumah lebih kurang pukul 11 malam. Destinasi saya dah sampai tapi tidak bagi ahli rombongan yang lain. Hanya saya dan anak-anak yang diturunkan sementara encik asben dan yang lain-lain meneruskan perjalanan ke Tangkak. Tido la kami 4 beranak di rumah sementara daddy tido di kampung. Tak larat dah nak drive balik.

Sekian sahaja. Habis juga cerita ni akhirnya. Seronok dapat habiskan masa dengan keluarga bercuti-cuti Malaysia. Next destination? Tunggu tahun depan update ye.. in sha Allah.

Tak sabar rasanya nak abadikan gambar-gambar percutian ni dalam photo book special edition! Tapi ntah bila la siap agaknya.. tak sempat lagi nak pilih dan edit gambar-gambar menarik di sana!

Sunday, February 9, 2014

Vacation : Cameron Highlands Day 2

Lama sungguh nak tunggu dapat tulis day 2 di Cameron Highlands ek.
Semangat sedang di upload ni agar dapat juga membuat catatan di sini. Cerita macam dah basi je. Takpe la ye, anggap la saya baru pergi semalam..ehehe..
Kali ke-3 ke sini, inilah pertama kali saya berjaya kuatkan semangat mengabadikan cerita di Cameron Highlands di blog ini.

Kalau hari pertama kami ke Taman Rama-rama dan pasar malam, hari kedua pula kami ke ladang teh dan Mardi. 

Hari kedua kami mulakan pada pukul 10.45 pagi. Agak lewat, maklumla.. kontigen ramai sangat. Lagi la nak uruskan 8 orang anak kecik dan 5 orang bujang. Sarapan siap-siap kat rumah. Prepare sendiri untuk save bajet..hehe. Sarapan nasi goreng sardin, nugget dan teh o. Takde la rumit sangat penyediaannya. Masak ramai-ramai..seronok! 

Lawatan pertama pada hari ke dua ini ialah ke ladang teh, Bharat Plantation. Tarikan kat sini adalah ladang teh itu sendiri. Boleh la berkenal-kenalan dengan daun teh secara dekat. Boleh la tahu asal-usul air teh yang kita minum tu. Takde la pandai minum aje. Pemandangan sangat cantik. Melihat kehijauan daun-daun teh yang menyuburi tanah berbukit-bukit menyajikan pemandangan indah saujana mata memandang. Sesuai untuk menenangkan fikiran sambil merenung keindahan alam.  

Terdapat cafe dan kedai cenderahati di sini. Boleh la minum-minum dan makan-makan sambil menikmati keindahan alam. Harga macam biasa la..mahal sikit (bagi orang kebanyakan macam saya la). Harga seteko air teh untuk 6 cawan berharga RM49. Fresh dari ladang la kot..sebab tu harganya mahal. Donut coklat pula berharga RM4.50 satu. Lebih mahal dari donut Big Apple dan Dunkin Donut. Tapi kalau anda beli donut big apple dan dunkin takde la dapat tengok pemandangan cantik..ehehe. Orang pergi bercuti biasanya tak kisah berhabis duit asalkan puas hati ye tak? Bukan selalu... (ayat sedapkan hati..hihi..)


Opss lupa nak cerita. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke ladang teh ni kecuali untuk masuk ke tandas dan juga menikmati makanan dan minuman di cafe. Juga barang-barang di kedai cenderamata ye.




Selesai lawatan sambil belajar ke ladang teh, rombongan Cik Kintan menuju ke Taman Agroteknologi Mardi. Terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands. Bayaran masuk ialah RM3 untuk dewasa dan RM1 kot untuk kanak-kanak. First time saya sampai ke sini. Boleh dirumuskan sebagai best la tempat ni. Ada bunga-bunga yang cantik, pokok epal, pokok pir, kilang teh, landskap menarik, pokok strawberi, strawberi coklat serta kedai cenderamata. Ada la sejam dua kami habiskan masa kat sini sebelum bergerak pulang ke rumah penginapan pada jam lebih kurang 2.30 petang. 

Landskap dan bunga-bunga yang cantik. Kalau anda peminat fotografi, anda tak akan kecewa ke sini!

Tiada dalam gambar : Encik asben, Rayyan dan Tukang ambik gambar ni yang merangkap penulis cerita ni
Rombongan Cik Kintan. Inilah keluarga besar saya!
Menikmati strawberi coklat di sini. Lupa lak nak ambil tahu berapa harga dia. Saya tahu makan aje..hehe..
Bunga-bunga yang segar dan cantik!
Strawberi lazat yang mengiurkan!

Dua tempat je kami kunjungi pada hari kedua ini. Bercuti bersama anak-anak kecik ni aktiviti tak boleh nak pack sangat. Kalau lama-lama sangat, mood mereka ke laut. Mula la buat perangai yang boleh meningkatkan hormon kemarahan. Ni pun dah start buat perangai dah..

Kami makan tengah hari di rumah. Masak nasi sendiri tapi lauk-pauk beli kat kedai. Lebih selesa makan di rumah berbanding di kedai bila ramai anak kecik ni. Selain tu, dapat feel macam berada di rumah sendiri!

Lepas makan.. semua tumbang! Keletihan...
Malam baru start balik aktiviti shopping mopping di pasar malam. Dekat je dengan rumah. Jalan kaki je..

Malam kedua ni kesejukannya agak kurang sikit berbanding hari pertama. Tapi still sejuk la. Masih tak boleh pijak lantai tanpa stoking dan selipar. Mencuci pinggan di sinki macam mencurah air sejuk dari peti ais..huhu..

Sekian laporan untuk hari kedua. Ada hutang lagi satu entry untuk hari ketiga lak! Tunggu...

Monday, January 27, 2014

Vacation : Cameron Highlands Day 1

Buat pertama kali dalam hidup, berjaya juga akhirnya menganjurkan percutian keluarga besar saya. Percutian di Cameron Highlands selama 3 hari 2 malam. Alhamdulillah! cukup semuanya. Mak, abah, 9 orang anak mereka, 4 orang menantu dan 8 orang cucu. Sangat jarang kami dapat berkumpul sekeluarga. Tidak juga pada hari raya. Tak pernah dapat memotret gambar sekeluarga besar ini.

24 Januari 2014 yang lalu, kami memulakan perjalanan percutian ini dari Putrajaya. Kami bertolak lebih kurang pukul 10.45 pagi. Singgah sebentar di R&R Rawang untuk menambah keahlian konvoi, namun masih belum cukup korum kerana ada seorang adik dan keluarganya dari Pulau Pinang akan bertolak sendiri dari sana. Perjalanan diteruskan sebelum singgah sekali lagi, kali ini di R&R Tapah untuk makan tengah hari.

Kami memilih untuk melalui Jalan Simpang Pulai berbanding Jalan Tapah memandangkan Jalan Simpang Pulai lebih besar sikit berbanding Jalan Tapah walaupun ianya agak jauh. Perbezaan jarak yang sangat ketara iaitu melebihi 50 km.

Setelah melalui jalan yang berliku-liku, kami sampai ke destinasi pertama, Taman Rama-Rama, Butterfly Farm lebih kurang pukul 4.50 petang. Kedudukannya di tepi Jalan Besar ke Brinchang. Kalau dari Simpang Pulai, kedudukannya di sebelah kiri jalan. First time saya sampai sini walaupun ini kunjungan ketiga saya. Hasil dari homework yang dibuat sebelum bercuti..google sana google sini, terjah blog sana terjah blog sini..hehe.. 

Saje je memilih untuk singgah ke sini sebelum sampai ke rumah penginapan di Brinchang. At least ada la aktiviti pada Jumaat itu. Takde la pack sangat jadual keesokan harinya.

Bersebelahan dengan Butterfly Farm ni, ada juga Butterfly Garden. Tak tahu apa perbezaannya. Otak saya yang tak berapa nak genius ni fikir, farm tu mungkin lebih besar dari garden, tu yang pilih butterfly farm tu..hehe..

Bayaran masuk RM5 seorang dewasa. Manakala kanak-kanak berumur 3 tahun - 12 tahun RM2 seorang. Memandangkan kami membeli tiket dewasa seramai 13 orang, dapatla diskaun sikit, kanak-kanak 2 orang yang tertakluk bayaran, Rayyan dan Rania tak payah bayar.

Target saya masuk ke sini sebenarnya nak ambik gambar je di samping nak bagi Trio 3R tengok butterfly secara live. Bukan butterfly aje yang ada, ada juga itik, ular, katak, ikan, kumbang, iguana, bunga-bunga cantik, kaktus, serangga daun (serangga menyerupai daun) dan serangga ranting (serangga menyerupai ranting).

Trio 3R enjoy di sini. 
Kalau anda peminat fotografi, kat sini sangat sesuai anda berada!





Lebih kurang sejam berada dalam ni, kami keluar membeli cenderamata sebelum bertolak ke rumah penginapan. Kami menginap di Ria Cameron Hotel, Brinchang. Kami menyewa 2 buah apartment bagi menampung penduduk yang ramai. Harga sebuah apartment 3 bilik ini ialah RM350 satu malam (mungkin bukan peak time), namun harga rundingan dapat RM300 satu malam sebab ambil 2 rumah dan menginap untuk 2 malam.

Keadaan apartment sangat selesa. Kedudukan strategik. Kami hanya berjalan kaki untuk ke pasar malam selain berdekatan kedai makan, klinik dan kedai-kedai yang lain kerana kedudukan hotel ini di deretan kedai 2 tingkat.

Cuma yang tak bestnya kami tak dapat duduk sama-sama ramai-ramai la sebab terpisah oleh dinding rumah. Rombongan Cik Kintan terpaksa di bahagi 2. 3 orang anak perempuan yang dah berkeluarga dan beranak-pinak duduk 1 rumah - senang anak-anak kecik 8 orang tu bermain sama-sama. Manakala mak, abah dan 6 orang anak lelakinya serta seorang menantu pompuan duduk serumah. Kesian mak dengan abah kena lepak kat rumah kami lama sebab nak main dengan cucu. Balik rumah untuk tido je.



Aktiviti terakhir pada hari pertama ini ialah shopping di pasar malam.
Pasar malam ini diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu.
Macam pasar malam lain, macam-macam ada jual, dari makanan sampailah ke pakaian.
Paling famous pastilah buah strawberi.
Harga boleh tahan murah berbanding strawberi farm.

Suhu sangat sejuk pada hari pertama ini, sampai tak boleh nak pijak lantai.
Terpaksa beli selipar strawberi untuk alas kaki selain stokin gambar strawberi (nak jugak strawberi..hehe)