Check it out!

Showing posts with label Hernia. Show all posts
Showing posts with label Hernia. Show all posts

Saturday, January 18, 2014

Rania telah selamat dibedah

Maaf. Ini adalah siaran tertunda. Ada masalah teknikal dan praktikal pulak nak buat secara live..hehe..
Nak ikutkan, rasa malas nak menulis masih bersarang di seluruh urat saraf dan sanubari ini. Namun, mengenangkan mungkin ada yang ternanti-nanti cerita Rania selanjutnya dan juga untuk rekod Rania pada masa depan, mummy update jugalah cerita terbaru Rania dan hernia.

8 Januari 2014 lalu, akhirnya Rania telah selamat dibedah di Hospital Putrajaya.
Akhirnya? ye.. setelah 4 kali datang ke hospital untuk pembedahan.
First, 30.9.2013 - Pembedahan gagal dilakukan kerana Rania minum vitagen pada pukul 6.30 pagi yang mengakibatkan puasanya batal. Doktor tak berani lakukan pembedahan kerana khuatir Rania termuntah dan menyebabkan ianya memasuki tiub pernafasan dan boleh menyebabkan paru-paru dijangkiti kuman.

Second, 14.10.2013 - Sehari sebelum hari raya haji (kami tak balik kampung beraya disebabkan jadual pembedahan ini). Sekali lagi, pembedahan gagal dilakukan kerana Rania batuk dan selsema. 

Third, 18.11.2013 - Rania batuk lagi. Tonsil juga bengkak. Again, pembedahan ditangguh lagi. Doktor beri tarikh baru dengan peringatan, "pastikan Rania tidak batuk lagi."

Fourth, 08.01.2014 - Alhamdulillah, Rania sihat pada hari ini.
Walaupun seminggu dua sebelum itu dia batuk dan selsema.
Khuatir pembedahan ditangguh lagi, mummy bagi Rania minum madu dua kali sehari supaya antibodi dia kuat untuk melawan penyakit.

Pada hari tu, kami sampai hospital dalam lebih kurang pukul 7.45 pagi. Selepas pendaftaran kemasukan wad, kami ke pusat jagaan harian (daycare). Pembedahan dan pemantauan akan dibuat di sini. Rania steady aje. Tak nangis, tak buat perangai. Nampak happy je. Mungkin sebab dah biasa sangat dia ke sini. Jalan-jalan dengan mummy.. hehe.. 

Mummy tak beritahu langsung Rania pasal dia akan dibedah. Cuma mummy maklumkan pada dia doktor nak ubat sakit dia. "Rania kuat kan?" Mummy cuba mengumpan dengan pujian sambil membuat gaya ahli bina badan menunjuk muscle. Mummy cakap jugak kat dia yang doktor akan letak kat mulut dia macam ni (sambil menekup tapak tangan ke kawasan mulut dan hidung). " Rania jangan nangis tau. Tak sakit pun. Doktor nak ubatkan Rania je. Doktor nak baiki ni (sambil tunjuk tempat yang dia sakit)" kata mummy memberi sedikit persediaan mental kepada Rania.

Sejurus sahaja sampai, doktor anaest (doktor bius) datang memeriksa kesihatan Rania sambil interview mummy dengan beberapa soalan berkenaan Rania. Beliau turut menerangkan yang Rania akan dibius penuh dan risiko-risiko yang mungkin akan berlaku akibat bius tersebut. Agak ngeri jugak mendengarnya, namun beliau menenangkan yang ianya jarang berlaku tetapi mungkin boleh berlaku. 

Lepas doktor anaest, datang pulak doktor surgery. Check Rania sambil interview mummy beberapa soalan. Kawasan yang hendak dibedah, ditanda dengan pen marker. Rania sangat berkerjasama. Patuh mendengar arahan. Nampak macam dah bersedia. 

Sementara menunggu masuk ke Dewan Bedah (OT), Rania mengisi masa bermain game di tablet. Mummy pula disuruh membuat kapal terbang kertas daripada pamplet hospital. Layankan aje..

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, Rania disorong ke OT oleh beberapa orang nurse. Mummy dibenarkan menemani Rania sehingga Rania tidur selepas dibius. Ketika disorong masuk, mummy masih terkial-kial memakai sarung kepala, baju khas dan sarung kasut sebelum masuk ke OT menyebabkan Rania jauh ke depan berbanding mummy. Rania langsung tak menangis dan steady je duduk atas katil yang disorong. "Baiknya dia. Kalau macam ni, mak dia takde pun takpe.." kedengaran seorang nurse bersuara memuji ke'steady'an Rania.

Sampai dalam OT, Rania dipindah dan dibaringkan ke katil khas untuk dibius. Sebuah topeng oksigen yang mengandungi ubat bius ditekup ke mulut dan hidung Rania. Rania memberi kerjasama yang baik. Langsung tak menangis. Mungkin inilah hikmah pembedahan ditangguh sampai 4 kali rupanya untuk memberi persediaan mental buat Rania.


Beginilah lebih kurang rupa alat yang membius Rania. Sumber : Google

Rania disuruh menyedut gas yang keluar dari mask tersebut. Siap terbatuk lagi Rania. Tiga, empat kali sedut, perlahan-lahan Rania memejamkan mata. Mummy sayu dan sebak ketika melihat mata Rania perlahan-lahan terpejam. Bergenang air mata mummy tengok keadaan dia. Takut mummy kehilangan dia. Tapi mummy kena berbaik sangka dan berdoa dalam hati semoga pembedahan berjaya dan Rania selamat dari sebarang kemudharatan. Semoga Allah tenangkan hati para doktor dan memberi ilham kepada mereka melaksanakan tugas dan kepakaran mereka dengan baik. Mummy tinggalkan Rania bersama-sama kapal terbang kertas dan keluar dari OT dengan rasa berdebar.

Ketika pembedahan ini, Rania bernafas dengan bantuan mesin pernafasan dan tidak sedar. Satu tiub pernafasan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan Rania dan disambungkan ke mesin bantuan pernafasan. 


Gambaran tiub yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan Rania. Sumber : Google

Menurut doktor, pembedahan Rania mengambil masa lebih kurang 20 minit. Walau bagaimanapun, dengan prosedur bius dan beberapa lagi proses, ia mengambil masa lebih kurang 1 hingga 1 setengah jam. Lebih kurang pukul 10 lebih dekat pukul 11 pagi, mummy dipanggil oleh nurse untuk masuk ke dalam OT kerana Rania telah sedar.

Semasa mummy masuk, Rania sedang menangis tanpa suara. Laju je air mata dia mengalir. Nurse kata dia menangis-nangis manja. Mummy rasa mungkin Rania sakit. Setelah pernafasan Rania kembali stabil, Rania dibenarkan keluar dari OT. Kali ni, mummy yang dukung Rania keluar menuju ke wad. Mummy pujuk Rania dengan nenen dan Rania kembali tidur.

Mungkin kesan bius masih tersisa, Rania asyik tidur je. Dua tiga kali juga dia termuntah. Ini gejala biasa kesan daripada bius tersebut. Masa muntah kali pertama, nurse maklumkan jangan bagi makan atau minum lagi kerana bimbang Rania akan termuntah. 
Rania dibenarkan discharge lebih kurang pukul 4.40 petang pada hari yang sama setelah doktor bius dan doktor bedah memeriksa keadaan Rania.

Rania sedang tidur selepas pembedahan. Kesejukan akibat pendingin hawa yang agak kuat
Belahan yang dibuat ketika pembedahan. Di bahagian ari-ari. Duit 10 sen tu saje diletak untuk kalian membanding dan menganggarkan saiz torehan tersebut. (gambar diambil seminggu selepas pembedahan)
Semasa di kampung hari tu, ada yang bertanya, besar ke ketulan yang keluar? Opps mungkin beliau ingat hernia ini daripada angin yang membentuk ketulan sehingga menyebabkan bengkak, sesuai dengan panggilannya angin pasang. Saya terangkan kepada yang bertanya sebagaimana penerangan doktor kepada saya. Hernia ini disebabkan ada bukaan atau lubang di dinding perut Rania. Pembedahan ini adalah untuk menutup lubang tersebut. Bengkak yang berlaku mungkin disebabkan ada tisu-tisu lemak yang memasuki lubang tersebut dan menyebabkan bengkak berlaku. Namun, apabila ditekan, ia hilang kerana telah memasuki semula lubang tersebut. Risiko jika lubang tidak ditutup, dikhuatiri usus Rania boleh keluar dari lubang tersebut dan ini adalah lebih memudharatkan.

Alhamdulillah Rania telah sihat, cuma luka pembedahan mummy tengok masih belum kering sepenuhnya. Doktor ada cakap kat mummy yang hernia ini boleh berlaku lagi dan kemungkinan untuk sebelah kanan pulak ada hernia juga ada. Ehm... 

Monday, November 18, 2013

Update : Tarikh pembedahan herniotomy Rania

Mummy baru je dapat panggilan telefon dari doktor.
Tarikh baru untuk Rania dibedah ialah pada
8 Januari 2014.
Ye.. tahun depan!

Doktor kata..
tarikh tu je yang kosong.
Dan doktor kata lagi..
Sila pastikan Rania tak batuk lagi pada tarikh tu..

Hah! mummy jawab sambil gelak..
Yang tu saya tak berani jamin la doktor.. hehe..

Mummy serah je pada yang Maha Mengetahui
apa yang terbaik untuk Rania.

Moga anak mummy tahu..
Hidup ini memang banyak ranjau dan duri yang kita perlu tempuhi
Belum tentu apa yang kita nak itu akan kita dapat 
dan belum tentu apa yang kita dapat itu tidak baik untuk kita
Yang penting.. sabar dan redha ye..

Pembedahan Rania dipostpone lagi!

Mummy cuti lagi hari ni.
Bercuti untuk temankan Rania yang sepatutnya dioperate hari ni.
Herniotomy operation.

Namun, ditakdirkan Allah sekali lagi hari ni operation ditangguhkan buat sekian kalinya.
Kali ni sebab Rania batuk.
Doktor tak nak ambik risiko.
Rania akan dibius penuh, satu badan.
Walau pun batuk sikit, doktor takut boleh dapat jangkitan kuman ketika tiub saluran pernafasan dimasukkan.

Takpe la mummy redha,
biar tangguh, asalkan anak mummy tak berdepan dengan risiko yang boleh mengancam nyawa. Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Tarikh baru untuk pembedahan, doktor masih belum maklumkan lagi.
Dia akan maklumkan melalui panggilan telefon nanti.

Sebagai rekod, 
Jadual pembedahan Rania yang asal adalah 30.09.2013. Terpaksa dipostpone sebab Rania telah membatalkan puasanya dengan meminum air vitagen pada pukul 6.15 pagi. Sepatutnya Rania dikehendaki berpuasa bermula 12 tengah malam.

Kemudian, diberi tarikh baru pada 14.10.2013 iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Kami sekeluarga tak balik beraya sebab pembedahan yang dijadualkan ini. Namun begitu, pembedahan terpaksa dipostpone lagi sebab Rania batuk dan selsema.

Sekali lagi diberi tarikh baru untuk pembedahan iaitu hari ini.
Walau bagaimanapun, masih lagi tidak berjaya menjalani pembedahan akibat kesihatan Rania yang tidak mengizinkan.
Doktor kata pembedahan ni senang je. Hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Tapi prosedur Anesthesia (bius) memerlukan pesakit kanak-kanak sihat sepenuhnya agar tidak berdepan sebarang risiko.

Hari ni kiranya mummy dan Rania saje je jalan-jalan ke hospital.
To get along berdua..hehe..

Tuesday, October 1, 2013

Hernia : Ke Hospital Putrajaya untuk pembedahan

Hari ni 30.09.2013 appointment pembedahan hernia Rania.
7 pagi kena daftar dekat pusat jagaan harian bahagian pembedahan Hospital Putrajaya.
6.45 pagi kami dah keluar rumah untuk ke hospital.
Masa sampai mummy tengok kaunter pendaftaran yang biasa mummy register masih tutup lagi. Ramai orang beratur ambik nombor giliran. Seawal 7 pagi dah ramai macam ni..

Memandangkan kaunter pendaftaran tutup, mummy terus naik ke tingkat 1, pusat jagaan harian. Mungkin tak perlu register kot. Pintu masih berkunci. Mummy dan Rania kira customer kedua la. Ada 3 orang pak Arab telah mendahului kami. Sebelah tangan mummy dukung Rania, sebelah tangan pegang beg sandang, salah seorang pak arab tu offer nak tolong sama ada pegang beg atau pegang Rania. Indah sungguh akhlaknya..hehehe. Tapi mummy tak sedia nak terhutang budi. Small the matter la pak arab, ana boleh handle! syukran..syukran..

Ada dalam 5 minit menunggu, datang pulak seorang pakcik dan anaknya. Nak buat operation gak. Nampak ditangan anak perempuan beliau sekeping kad temujanji dan sticker nama yang panjang seolah-olah telah mendaftar. Mummy ringankan mulut bertanya, "Dah daftar dah ke? Kena daftar eh?" Anak perempuan beliau mengiakannya dan menyatakan bahawa pendaftaran di buat di bahagian kecemasan.

Sejurus mendapat perkhabaran tersebut, bagaikan terkena renjatan elektrik, mummy bergegas turun ke bawah semula untuk membuat pendaftaran. Boleh pulak bertanya kat pengawal keselamatan di bawah tu kat mana nak daftar. Apasal la tadi mummy tak terfikir nak tanya sebelum naik atas. Ni lah bak kata orang tua-tua.. malas bertanya, buruk padahnya..hehe..

Dah siap daftar dan naik ke atas semula, mummy dan Rania menjadi pelanggan ke empat. Takpela.. bukannya ramai sangat pun.

Prosedur biasa.. bila nama Rania dipanggil, of course ada interview sikit. Nurse tanya Rania sihat ke tidak? Bila last makan atau minum malam tadi? Jawab mummy,

" Dia sihat. Last minum susu sebelum dia tidur lebih kurang 10.30 malam. Pagi tadi dia bangun, dia minta susu. Tapi saya tak bagi sebab dia kena puasa. Saya tinggal dia kejap nak solat, tup tup lepas solat tengok ada botol vitagen dah tinggal separuh sebelah dia. Dia ambik sendiri dalam peti ais. Kejadian berlaku lebih kurang 6.15 pagi. "

Selepas mendengar penerangan mummy, nurse cakap dia tak pasti sama ada pembedahan boleh dijalankan ataupun tidak. Depend apa doktor akan cakap. In case kalau jadi pembedahan, lepas pembedahan Rania nak makan apa nurse ni ada tanya. Siap-siap ambik order dulu. Nak bubur ke bihun goreng. Rania pilih bubur!

Dah masuk dalam wad, dua tiga orang doktor datang interview. At last pembedahan Rania tidak poleh dijalankan. Postponed! Yup! gara-gara setengah botol vitagen perisa oren. Kesian Rania.. kalau tahu.. mummy biar je dia abiskan sebotol vitagen tu kan.

Doktor jelaskan bahawa, at least 4 jam sebelum pembedahan, pesakit tak boleh makan atau minum apa-apa. Dikhuatiri pesakit akan termuntah ketika tiub pernafasan dimasukkan dan muntah tersebut masuk ke dalam paru-paru. Ini akan menyebabkan jangkitan kuman.

Wowowo.. besar risikonya! Takpelah doktor.. tak jadi bedah pun tak pe. Mummy tak marah. Mungkin ada hikmahnya Rania tak jadi bedah. Tapi tu la..kesian Rania tak dapat makan bubur..hehe..

Doktor ada cakap lagi, selain sesi pagi, ada satu lagi sesi pembedahan iaitu pukul 12.30 tengah hari. Tapi kalau operate tengah hari, pesakit kena tidur wad untuk pemantauan. Sebab tu mereka suka operate pagi, petang pesakit dah boleh balik selepas pemantauan. Doktor suggest ambik date baru. Ok, mummy terima. Kesian pulak Rania kalau dia kena teruskan puasa sampai pukul 12.30 tengah hari. Dahla dapat minum vitagen setengah botol je. 

Appointment date baru Rania ialah 14 Oktober 2013 iaitu sehari sebelum hari raya haji. Nampaknya.. kami tak balik beraya di kampung la..

Masa tengah tunggu pihak hospital uruskan dokumen pembatalan pembedahan Rania, datang pulak seorang pesakit berumur 2 tahun yang turut akan dibedah pada hari ni. Budak ni kira untung la.. dia dapat makan fish ball 2 ketul berserta air pada pukul 6.30 pagi..hahaha. Seorang lagi bakal tak jadi operate gara-gara berbuka sebelum waktu! Pening kepala doktor dan nurse! hehe.. nak buat macam mana.. luar kawalan!

Balik je dari hospital dan hantar daddy ke opis dia, mummy dan Rania pergi lepak kat Alamanda. Huh! lengang sungguh parking. Siap boleh pilih nak lot parking mana satu..hehe. Maklumla baru pukul 9.15 pagi. Berbekalkan syiling yang hanya ada 3 ringgit, Rania main la sorang-sorang mesin yang gerak-gerak keseronokan sebab dapat telan duit syiling mummy..huhuhu..

Ada dekat 2 jam kami lepak, makan donut kat big apple dan masuk MPH, 10.45 pagi kami melangkah keluar. Nak ambik daddy pulak. Katanya habis meeting pukul 11 pagi. 

Mummy dan daddy cuti saje-saje je nampaknya hari ni..hehe.. Esok mummy cancel cuti. Cuti akan dipostpone pada 14 oktober nanti pulak.

Gambar kenangan tag nama untuk pembedahan yang tak jadi..hehe..

Monday, September 30, 2013

Hernia : Bukan hanya anak lelaki, anak perempuan pun boleh kena jugak!

Saya seperti juga kebanyakan orang, sebelum ini menganggap hernia atau selalu disebut sebagai 'angin pasang' hanya terjadi kepada anak lelaki. Semasa berpantang selepas bersalinkan Umar Rayyan dulu, mak, ma, atok dan nenek siap pesan supaya 'aset' anak lelaki dituam dengan daun ati-ati yang telah dilayur. Petua menolak 'aset' tersebut dengan tumit kaki baby turut diamalkan sepanjang tempoh berpantang. Punyalah menjaga agar tidak berlaku angin pasang.

Amalan menjaga anak lelaki dalam pantang tidak saya samakan dengan anak perempuan. Tidaklah saya menuam bagai.. Just urut je satu badan sama macam anak lelaki. Tidak pula saya sangka, rupanya anak perempuan juga boleh terkena hernia ni. 

Doktor telah mengesahkan Rania mempunyai hernia pada sekitar Ramadhan yang lepas. Saya perasan ada benjolan di sebelah kiri atas alat sulitnya lebih kurang sebulan sebelum berjumpa doktor. Apabila saya urut dengan lembut, benjolan itu hilang dan keadaan kembali normal macam biasa. Walau bagaimanapun, ia akan muncul kembali dan akan hilang apabila diurut. Maklumbalas daripada Rania, beliau rasa sakit bila benjolan itu ditekan.

Semasa membawa encik asben mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 28.7.2013 lepas, tergerak pulak untuk bertanya doktor perihal Rania. Ketika inilah doktor mengesyaki Rania ada hernia (dah lebih kurang pulak namanya) dan mengesyorkan pemeriksaan susulan di hospital.

Lalu, bersama-sama surat rujukan doktor kami anak beranak ke Hospital Putrajaya. Dipendekkan cerita (kalau tak pendekkan mahu panjang lagi kena taip iaitu cerita sepanjang masa yang kena tunggu sebelum jumpa doktor..hehehe), doktor membuat pemeriksaan fizikal dan interview sikit dan terus sahkan Rania ada hernia. Tak payah scan-scan.. senang rupanya nak detect ada hernia ni. Doktor ini menetapkan satu tarikh iaitu 1.8.2013 untuk berjumpa doktor pembedahan. Tiada cara lain kecuali pembedahan! Fuh! ngeri dengar pasal bedah-bedah ni. 

Semasa berjumpa doktor bedah pulak, beliau buat lagi pemeriksaan fizikal ke atas Rania dan interview mummy sikit. Tiada juga scan-scan. Mungkin sangat biasa penyakit ini. Doktor jelaskan bahawa terdapat lubang pada dinding perut Rania sehingga menyebabkan tisu-tisu lemak atau lain-lainnya masuk ke dalam lubang tersebut dan menyebabkan bengkak. Apabila diurut, bengkak itu hilang bermakna ia masuk kembali ke tempat asal. 

Saya cuba mengelak agar Rania tidak dibedah. Tetapi doktor menasihatkan agar pembedahan dilakukan kerana dibimbangi lubang membesar dan kemungkinan usus akan terjulur keluar dari lubang tersebut dan tidak boleh masuk kembali. Tambah doktor lagi, ini melibatkan struktur badan maka pembedahan perlu dilakukan untuk membaikinya. Tidak boleh hanya sekadar memakan ubat.

Tak nak ambik risiko, maka saya setuju untuk Rania dibedah. Mula-mula doktor cadangkan tarikh bedah ialah pada hujung bulan ogos. Alamak! cepat sangat la pulak. Saya minta bulan September. Maka 30 September 2013, Rania akan dibedah!

Mohon doakan Rania ye.. agar semuanya selamat!






Sunday, September 29, 2013

Hernia : Fakta yang kita perlu tahu


Selama ni saya biasa dengar je perkataan hernia yang sama makna dengan angin pasang tu. Takde la rasa nak selidik mendalam fakta berhubung dengannya. Tapi bila dah terlibat secara langsung dengan penyakit ni, maka kajian ilmiah perlu dilakukan untuk menambah ilmu di dada. Saya kongsikan sikit info yang saya google untuk kita sama-sama tahu ye..

Bahaya mengurut hernia

HERNIA merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum Adam. Sekalipun insidennya lebih banyak menyerang orang dewasa, ia juga kerap terjadi di kalangan kanak-kanak.
Walaupun hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi ia turut mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang.

Hernia diambil daripada perkataan Latin, herniae yang membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat.

Punca

Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital). Bonjolan hernia biasanya berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.
Pakar bedah kanak-kanak di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zulkiflee Laidin berkata, sesetengah bayi memang dilahirkan dengan beberapa bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya.

Tetapi pada sesetengah kes, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan tisu-tisu berhampiran menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.

Kata beliau, hernia kanak-kanak lazimnya berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.

“Hernia jenis ini boleh ditutup dan selalunya tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Cuma kadangkala, tisu-tisu boleh terjerut di dalam bukaan dan tidak boleh ditarik semula kepada kedudukannya yang asal.

“Ia terjadi apabila sebahagian daripada organ badan tertentu seperti gelungan usus menonjol keluar dari dinding otot yang lemah atau terbuka.

“Ia juga boleh jadi membran abdomen atau lain-lain tisu yang menolak dinding otot sehingga menyebabkannya menjulur ke dalam ruang yang tidak sepatutnya. Penonjolan inilah yang dipanggil sebagai hernia, yang kelihatan seperti bengkak atau bonjolan yang keluar dari kaviti tubuh,’’ katanya Dr. Ahmad Zuilkiflee.

Terdapat dua jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal pada bahagian pusat dan hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha di mana abdomen bertemu bahagian atas paha.

Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit, yang mana sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya.

Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.

Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen atau ovari atau salur falopian bagi kanak-kanak perempuan, melalui pembukaan masuk ke bahagian groin.

Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.

“Bagi kanak-kanak lelaki dianggarkan seorang bayi daripada 40 kelahiran mengalami hernia jenis ini,’’ ujarnya.

Tambahnya, terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana hernia tidak dapat dikembalikan ke tapak normal.

Hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan. Contohnya, gelungan usus yang terperangkap dan menekan masuk pembukaan berupa kantung di dalam kawasan groin akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.

“Jika tisu-tisu yang terperangkap itu tidak dapat dikeluarkan, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera,’’ kata Dr. Ahmad Zulkiflee.

Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, hernia diaphragma iaitu satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan), menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.

Menurut Dr. Ahmad Zulkiflee, dianggarkan seorang daripada 5,000 kelahiran mengalami hernia jenis ini.

Pembedahan

Rawatan moden satu-satunya kaedah yang dapat menyelesaikan masalah bayi yang mengalami hernia. Jika ibu bapa takut dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan atau hanya mencuba kaedah mengurut, besar kemungkinan hernia itu lebih parah.

Bayi tersebut mungkin perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan.
“Pembedahan untuk pemulihan, bukannya kemudaratan. Bayangkan jika hernia itu dibiarkan. Ia akan membesar dan menolak buah zakar dan zakar ke belakang. Lama-kelamaan ia akan merosakkan alat kelamin bayi. Jadi, pembedahan adalah lebih baik,” katanya.

Hernia pusat yang terjadi kepada bayi jarang menyekat atau menjerut, tidak seperti orang dewasa.
Kebanyakan hernia pusat, sekalipun yang besar akan tertutup sendiri apabila usia kanak-kanak mencecah dua tahun. Doktor biasanya akan menasihatkan ibu bapa supaya tunggu dan lihat sahaja dulu, daripada terus membedahnya.

“Pembedahan hanya akan di jalankan jika saiz hernia mencecah dua sentimeter,” ujarnya.
Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jari, bagi memastikan sama ada ia boleh dimasukkan semula ke dalam perut atau sebaliknya.

Rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada pemeriksaan tersebut. Kebiasaannya doktor akan mengambil masa sejam bagi mengesan penyakit tersebut dan pembedahan kecemasan akan dijalankan jika perlu.

Pembedahan juga tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.

“Pembedahan segera perlu dilakukan jika ia hernia inkarserat dan terjerut kerana bahagian tersebut membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian.
“Dalam pembedahan tersebut, usus yang termasuk ke kerandut akan diletakkan kembali ke dalam perut dan ruang di antara perut dan kerandut akan diperkukuhkan,’’ jelas Dr. Ahmad Zulkiflee lagi.

Kesimpulannya kata beliau, kanak-kanak perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi dan jangan mengurut hernia kerana ia adalah sangat berbahaya.

“Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah dan boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut,’’ tegasnya.






Otot lemah punca hernia


Oleh NORAINON OTHMAN
HERNIA atau angin pasang sering dikaitkan sebagai penyakit lelaki walaupun perempuan turut mengalaminya. Penyakit itu berlaku pada individu di semua peringkat umur akibat kelemahan otot tubuh yang menyebabkan kandungan dalam badan membonjol keluar.
Kandungan itu biasanya ialah usus atau tisu lemak abdomen yang menembusi dinding abdomen yang kurang tebal membentuk kantung.

Hernia berlaku akibat kecacatan otot di badan sejak lahir yang dikenali sebagai kongenital, manakala jenis lain berpunca daripada kerosakan otot badan disebabkan kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan meningkat akibat batuk berulang kali, mengangkat objek berat, meneran, sembelit yang teruk dan sukar kencing.
Jenis hernia yang biasa ialah epigastric, umbilical, inguinal dan femoral.

Ramai lelaki mengalami hernia inguinal disebabkan proses perkembangan alat reproduksi mereka yang berbeza daripada wanita.

Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.
Lubang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, kawasan itu boleh menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia.

Ada hernia yang pasang surut, tidak surut dan hernia jerutan. Hernia pasang surut boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
Pesakit merasa sedikit senak, tetapi lazimnya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.

Bonjolan akan timbul atau saiznya bertambah apabila pesakit berdiri atau berlaku peningkatan tekanan dalam abdomen, misalnya disebabkan batuk.

Hernia tidak surut ialah bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, tetapi kemudian tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.

Sebahagiannya mungkin kronik iaitu dialami dalam jangka waktu lama tetapi disebabkan tidak sakit, pesakit tidak mendapatkan rawatan.

Hernia jerutan bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudian mengalami jerutan pada bukaan hernia, menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.

Pesakit merasa sakit jika bonjolan ditekan. Antara tanda usus tersumbat ialah loya, muntah dan perut kembung, malah pesakit boleh demam dan kelihatan tenat.

Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.

Untuk mendiagnosis hernia, doktor akan meminta pesakit batuk, mengemut atau berdiri untuk pemeriksaan badan. Bahagian terbonjol boleh ditekan masuk dengan tangan.

Semua jenis hernia patut dibedah. Ini kerana usus yang tertonjol keluar menerusi lubang hernia menyebabkannya tersumbat, seterusnya mengakibatkan pengaliran darah ke bahagian itu terganggu dan akhirnya bocor.

Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Chan Kin Yoong berkata, rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan, termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.

Menurutnya, jenis pembedahan yang biasa dilakukan ialah menggunakan jaring untuk menampal lubang hernia.

Pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi dilakukan iaitu dengan penggunaan kamera dan peralatan bagi menebuk bahagian tubuh yang mengalami hernia.

Tampalan jaring di bahagian berlubang boleh mengelak hernia berulang. Jaring untuk menampal bahagian berlubang diperbuat daripada sejenis plastik dan ia tidak mengandungi protein yang boleh mengakibatkan alahan atau penolakan pada tolakan.

Jangkitan kuman jarang berlaku pada jaring tampalan. Bagaimanapun, jika terjadi, komplikasi boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua.

“Hernia seperti inguinal, umbilical, femoral, incisional atau epigastric hernia boleh dibedah secara harian iaitu pesakit datang ke hospital untuk membuat pembedahan dan pulang ke rumah pada hari sama.

“Bagaimanapun, hernia besar atau ada komplikasi perlu menjalani prosedur lebih rumit, menyebabkan tidak boleh dibedah secara harian. Hernia kecil boleh dibedah dengan bius setempat,” katanya.

Menurutnya, pesakit hernia yang mempunyai penyakit lain seperti lemah jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi yang terkawal masih boleh menjalani pembedahan dengan selamat.

Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan dibenarkan.

“Selepas menjalani pembedahan, pesakit sembuh dengan cepat dan boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan dan selamat. Kerja di pejabat boleh diteruskan seperti biasa dua atau tiga hari selepas pembedahan.

“Pesakit boleh memandu sendiri kereta ke pejabat manakala kerja ringan boleh dilakukan selepas 10 hingga 14 hari berikutnya. Kerja berat pula boleh dilakukan selepas tiga hingga empat minggu pesakit berehat,” katanya.

Dr Chan berkata, pesakit yang menjalani pembedahan juga tiada halangan untuk kembali aktif bersukan. Selepas tiga atau empat hari, pesakit boleh berjalan kaki, berenang atau joging, antara lima hingga tujuh hari boleh bermain golf, bowling, bermain ski, papan luncur atau mendaki gunung.

Selepas 10 hingga 12 hari menjalani pembedahan, pesakit boleh bermain tenis atau berbasikal manakala dua minggu selepas itu, tiada sekatan untuk mereka membabitkan diri dengan sukan lebih lasak seperti bola lisut, bola sepak atau hoki.
Sumber info : http://www.hmetro.com.my/