Check it out!

Saturday, June 14, 2014

Kapsul Jiwa : In sha Allah, pasti ada baiknya...

Lama sungguh blog ini tidak dikemaskini. Paling lama dalam sejarah ketamadunan blog ini..huhuhu.. Kalau masih nak melayan rasa yang sangat malas ini.. tinggal kenangan je la blog mamiraysha ni. Maaf kepada yang ternanti-nanti entry terbaru di sini. Maaf juga kepada yang tinggalkan komen tapi lambat dapat respon dari saya. Saya masih wujud. Masa lapang saya je yang tak berapa nak wujud. Dan masalah paling besar.. virus malas sentiasa menguasai diri! Antibodi tak cukup kuat ni.. mana nak beli?

Sebagai salam kembali dari saya, saya nak kongsikan satu kisah yang saya rasa tersentuh membacanya. Mungkin peringatan dari Allah untuk saya melalui pembacaan santai majalah kecil molek, Mastika. 

Ceritanya begini..

Ada seorang raja yang mempunyai seorang sahabat yang bijaksana dan terkenal dengan ketakwaannya.  Setiap apa yang berlaku, sahabat raja ini akan berkata, "In sha Allah, pasti ada baiknya." Kata-kata ini sentiasa meniti di bibir sahabat raja ini walaupun kejadian yang berlaku adalah kejadian yang tidak diingini dan menyedihkan.

Pada suatu hari, raja mempelawa sahabatnya ini memburu bersama-sama baginda ke dalam hutan belantara. Sedang asyik berburu, tiba-tiba berlaku kemalangan kecil yang menyebabkan salah satu jari raja luka dan terputus terkena pisau.

"In sha Allah, pasti ada baiknya." ujar sahabat raja dengan tenang walau hakikatnya raja berada dalam kesakitan.

Mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulut sahabatnya itu, raja berasa sangat marah. Baginda berasakan seolah-olah sahabatnya itu tiada sensitiviti langsung tentang perasaan baginda. Lantas, baginda menyuruh pengawal membawa sahabatnya itu pulang untuk dipenjarakan. Pun begitu, sahabatnya itu tetap mengulangi ayat yang sama, "In sha Allah, pasti ada baiknya."

Tanpa sahabat baginda, raja meneruskan pemburuan dengan beberapa orang pengawal pengiring. Walau bagaimanapun, sedang asyik dengan aktivitinya itu, si raja tersesat di dalam hutan dan terpisah daripada pengawal pengiring baginda.

Sedang mencari-cari jalan keluar, raja terserempak dengan sekumpulan puak yang mengamalkan ritual pelik. Lantas, raja ditangkap untuk dijadikan korban dalam upacara ritual mereka.

Bagi memenuhi syarat-syarat ritual tersebut, si raja perlu diperiksa terlebih dahulu. Namun ketika pemeriksaan, mereka dapati si raja itu seorang yang cacat. Sedangkan mereka perlu menyediakan korban yang sempurna fizikalnya untuk dijadikan korban dalam upacara ritual tersebut. 

Akhirnya, raja dilepaskan semula oleh puak tersebut. Kembalilah raja ke istana dan segera baginda menemui sahabatnya yang dipenjarakan lantas membebaskannya semula.

" Saat engkau mengatakan 'In sha Allah, pasti ada baiknya' ketika jariku terpotong, aku berasa sangat marah. Namun, baru aku sedar bahawa kebaikannya itu memang ada. Kerana jari yang hilang, aku selamat daripada menjadi korban puak yang tinggal di dalam hutan itu. " kata raja yang telah mula memahami apa yang tersirat daripada kata-kata sahabatnya itu.

" Tapi, aku ingin bertanya. Jika itu kebaikan untuk aku, apa pula kebaikan untuk kamu apabila dipenjarakan?" tanya raja.

" Pasti ada baiknya aku dipenjarakan. Jika aku masih bersamamu ketika itu, pasti aku yang akan dijadikan korban sebagai penggantimu. Sesuatu yang kita tidak suka atau membuat kita marah, mungkin ia adalah yang terbaik untuk diri kita. In sha Allah, hanya Dia yang lebih mengetahui rahsianya." jawab sahabatnya itu sambil tersenyum.

- Petikan cerita dari majalah Mastika Jun 2014.

Kesimpulan daripada cerita di atas, setiap apa yang berlaku itu, pasti ada hikmahnya. Kita perlu berlapang dada dan redha dengan apa jua yang telah ditakdirkan untuk kita. Allah tidak memberi kita apa yang kita hendak tetapi Dia memberi kita apa yang kita perlu. Allah knows best! 


Pasti ada baiknya.. mengapa Allah ciptakan landak ini sebegini rupa..

" Sharing is caring "
Love :  mamiraysha

4 comments:

Cikgu Norazimah said...

Good sharing ;)

Nad MamaZN said...

ya Allah....
nice sharing, suka sangat entry ni

mamiraysha said...

Thanks CN and MamaZN. Sharing is caring :-)

Anonymous said...

Sharing to loving. betul x puan. :)