Check it out!

Tuesday, November 16, 2010

Kapsul Jiwa : Ganjaran Hebat Hari Arafah

Salam 9 Zulhijjah! Hari ni merupakan hari Arafah. Hari ni juga merupakan ulang tahun kelahiran mamiraysha dalam bulan Islam. Mak cakap saya lahir sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Kesian mak tak dapat beraya..kena berpantang :-) Kalau saya lahir Hari Raya Aidil Adha, agaknya nama saya Nurul Adha kot..hehe..tapi sebab lahir hari wukuf di Arafah ni..makanya nama saya Afifah..ada gak la iras2 Arafah tu..hihi..

Ari ni saya nak berkongsi pasal kelebihan Hari Arafah ni. Sedikit perkongsian ilmu yang saya kutip dari Majalah Anis keluaran November 2010, hasil interview dengan Ustaz Fauzi Mustafa (Pengacara Program Al-Kuliyyah TV3).

Menurut ustaz, Hari Arafah difahami dengan erti hari perkenalan atau taaruf. Hari ini merupakan hari di mana Nabi Adam a.s dan Siti Hawa 'diperkenalkan' (dipertemukan) semula setelah dua ratus tahun terpisah. Jadi, pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa a.s sebagai simbolik Hari Arafah mendapat namanya. Mereka dipertemukan di tempat yang bernama Jabal Rahmah.

Selain itu, hari Arafah juga menjadi saksi pertemuan Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya Nabi Ismail a.s dan isterinya Siti Hajar. Kedua-dua beranak ini ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di bumi Makkah bersendirian sehinggalah anaknya Ismail meningkat dewasa.

5 kemuliaan dan keistimewaan Hari Arafah

1) Hari Maghfirah

Hari Arafah adalah hari Maghfirah. Allah SWT berjanji dengan menyatakan, "akan digugurkan dosa-dosa hambaNya setahun sebelum dan setahun yang akan datang." Sebab itulah, bagi mereka yang tidak menunaikan haji sangat dituntut untuk berpuasa.

2) Mustajab berdoa

Hari Arafah adalah hari yang paling mustajab berdoa. Allah mendengar doa hamba-hambaNya. Allah makbulkan doa-doa mereka yang memuliakan hari Arafah. Oleh itu mintalah apa sahaja daripada Allah.

3) Terlepas daripada seksaan neraka

Hari yang paling ramai Allah SWT bebaskan hamba-hambaNya daripada seksaan neraka. Tetapi semuanya bersandar pada doa, istighfar dan dengan memperbanyakkan amalan puasa.

4) Turun Rahmat

Hari turunnya rahmat yang mencurah-curah. Sebab itu Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan, hari Arafah ini adalah hari yang paling dibenci oleh syaitan. Syaitan-syaitan akan menjadi lemah hanya kerana besar dan luasnya rahmat yang Allah turunkan untuk sekalian hambaNya yang beramal soleh.

5) Ibadat puasa yang paling dimuliakan

Tidak ada hari yang Allah paling muliakan ibadat puasanya melainkan puasa pada bulan Ramadan dan puasa pada 9 Zulhijjah bagi yang tidak mengerjakan haji.

Kelebihan Puasa Arafah

Bagi Muslimin dan Muslimat yang tidak pergi mengerjakan haji disaran agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah puasa dan perbanyakkan doa pada hari kemuncak 9 zulhijjah. Hujah ini berteraskan iktibar dan sikap teladan daripada baginda SAW sendiri.

Berdasarkan sepotong hadis, Habsah pernah berkata bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan puasa 9 Zulhijjah. Bahkan, baginda sendiri dalam hadis menyebut bahawa, "Tidak ada hari yang paling mulia yang dituntut umatku berpuasa melainkan puasa bulan Ramadan dan puasa pada 9 Zulhijjah."

Fadilat berpuasa pada hari Arafah sangat besar sehingga dapat menggugurkan dosa-dosa hamba Allah setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ini satu peluang yang tidak harus ditinggalkan malah perlu direbut dengan sungguh-sungguh oleh setiap hamba yang menagih rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ini bermakna Allah mengampunkan dosa hamba-hambaNya selama dua tahun berturut-turut. Sebab itulah Rasulullah SAW sangat menekankan dan menuntut umatnya menghidupkan awal Zulhijjah dengan ibadat puasa. Lebih-lebih lagi puasa pada 9 Zulhijjah yang merupakan waktu kemuncak wukuf bagi jemaah haji yang berada di Arafah.

Sepanjang 9 Zulhijjah inilah turunnya rahmat dan pengampunan yang sangat luas kepada seluruh umat manusia yang beriman. Bahkan, doa-doa yang dipohon terus diangkat untuk dimakbulkan oleh Allah SWT. Kemudian disusuli dengan ibadat2 lain seperti berzikir, bersedekah, membaca Al-Quran dan berbuatapa sahaja amal kebajikan sebanyak-banyaknya.

Waktu Mustajab Berdoa

Bermulanya waktu yang mustajab untuk berdoa ialah apabila masuk malam 9 Zulhijjah hingga waktu Asar pada 9 Zulhijjah. Kalau di Arafah, waktu ini yang dikatakan waktu kemuncak. Jemaah2 haji akan bertalbiah, berzikir, membaca Al-Quran dan mereka perlu jaga adab dan pantang larang sepanjang dalam ihram.

Disarankan, sebaik-baik doa ialah mesti bermula dengan 'sayyidul istighfar' iaitu:

Ertinya: "Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan Taat ) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau. Amin"


Kemudian, mintalah kepada Allah apa sahaja sesuai dengan kehendak dan keperluan diri. Keutamaannya mintalah Allah panjangkan umur, sentiasa dalam kebaikan, murah rezeki, doa minta kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga, doa dapat jodoh, doa untuk sihat dan lain-lain. Ia bergantung kepada kehendak individu. Selain berdoa untuk diri sendiri, jangan lupa untuk mendoakan saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang ditimpa musibah.

Sekian~

No comments: