Salam. Pejam celik..pejam celik..dah masuk bulan Rejab kan..Dah hari keempat dah ari ni..lepas ni syaaban..pastu Ramadhan..pastu plak Syawal. Biasanya bila dah masuk bulan Rejab ni..orang-orang pompuan tak kan terlepas dari memikirkan pasal nak kena ganti puasa..hehe.. Dua bulan lagi dah nak masuk Ramadhan dah ni..sempat ke ganti? Kalau sikit..sempatla..tapi kalau yang ada hutang sampai lebih 30 hari tu..kenala bertindak segera..hehe..maklumla bersalin dalam bulan Ramadhan..ye tak? Kalau tak sempat abis hutang..kena la bayar fidiyah. Hutang saya tinggal 3 je lagi..moga2 sempatla membayarnya..hehe.. Ehm.. mukadimah je ni..bukan nak cite pasal ganti puasa dan fidiyah..tapi nak kongsi pasal kelebihan bulan Rejab ni.. Cite pasal fidiyah dan puasa nanti bulan Ramadhan plak ye..
Pengertian Rejab
Rejab ertinya mulia. Bulan Rejab bulan mulia, dinamai demikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini.
Peristiwa Penting di Bulan Rejab
Peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rejab adalah Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w tanggal 27 Rejab.
Setelah Khadijah dan Abu Thalib meninggal dunia maka hilanglah salah satu kekuatan dan benteng tempat Rasulullah bersandar. Abu Thalib merupakan orang yang sangat berpengaruh di Makkah dan sangat disegani oleh orang ramai. Orang-orang kafir berasa segan untuk menganiaya Nabi Muhammad selagi Abu Thalib masih melindunginya.
Manakala Khadijah pula merupakan seorang isteri yang sangat istimewa. Rasa penat dalam berdakwah akan hilang sebaik sahaja baginda bertemu Khadijah yang telah mengorbankan seluruh harta kekayaannya untuk perjuangan risalah suci. Pengaruhnya juga sangat kuat di kalangan penduduk Makkah. Justeru itu, wafatnya kedua-dua orang ini merupakan satu kehilangan besar dalam kehidupan Rasulullah, sebab kedua-dua tokoh Quraisy ini merupakan sayap perjuangan baginda. Rasulullah merasakan kesedihan yang amat sangat dengan kehilangan dua orang yang sangat dicintainya. Maka tahun pemergian keduanya dinamakan dengan tahun kesedihan.
Di saat-saat menghadapi ujian yang sangat berat dan tingkat perjuangan yang sudah sampai ke puncaknya ini, gangguan dan hinaan, aniaya dan seksaan yang dialami baginda dan pengikut-pengikutnya semakin hebat. Maka pada saat ini pulalah, iaitu pada 27 Rejab, Allah s.w.t memerintahkan supaya Rasulullah s.a.w menjalani Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah merupakan perjalanan pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha terus naik ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha. Di situlah baginda menerima perintah langsung daripada Allah s.w.t tentang solat lima waktu.
Hikmah Allah memerintahkan Israk dan Mikraj kepada Rasulullah s.a.w dalam perjalanan satu malam itu adalah untuk lebih menambahkan lagi kekuatan iman dan keyakinan baginda sebagai Rasul yang diutus Allah ke tengah-tengah umat manusia. Dengan demikian akan bertambah kuatlah batin baginda sewaktu menerima cubaan dan musibah serta seksaan betapapun besarnya dalam memperjuangkan cita-cita murni, mengajar seluruh umat manusia kepada agama Islam.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini di samping memberikan kekuatan batin kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah, juga menjadi ujian bagi keimanan kaum muslimin. Bagi kaum kafir Quraisy, peristiwa Israk dan Mikraj ini mereka jadikan senjata untuk menuduh Nabi sebagai seorang yang tidak normal otaknya dan mereka jadikan sebagai bahan hinaan dan cacian.
Ibadah yang dianjurkan pada bulan Rejab
1) Mengerjakan Puasa Sunat Rejab
Sangat banyak hadith Nabi yang menganjurkan supaya mengerjakan puasa sunat pada bulan ini. Antaranya:
" Di dalam syurga ada sebuah sungai yang dinamai Rejab. Ertinya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin daripada salji. Orang yang berpuasa pada bulan Rejab akan diberi Allah minuman air sungai itu." (Hadith Riwayat Baihaqi)
" Di dalam syurga itu ada sebuah istana megah untuk orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab." (Hadith Riwayat Tabrani)
" Semua orang lapar pada hari kiamat, kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Meeka itu kenyang, tiada lapar dan tiada haus." (Hadith dari Aisyah)
Berkata Abu Bakar As-Shiddiq: " Selepas sepertiga malam Jumaat pertama dalam bulan Rejab, malaikat penghuni langit berhimpun dalam Kaabah. Allah berfirman kepada mereka: " Wahai para malaikat, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki!" Para malaikat menjawab: " Kami memohon wahai Tuhan, ampunilah dosa orang yang mengerjakan puasa pada bulan Rejab." Allah SWT berfirman: " Sesungguhnya sudah Aku ampunkan dosa mereka."
Pahala orang yang berpuasa pada bulan Rejab, dalam satu riwayat dihuraikan sebagai berikut:
- Bagi orang yang berpuasa sebanyak 20 hari : akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu
- Berpuasa 19 hari : akan dibinakan sebuah mahligai di syurga
- Berpuasa 16 hari : akan dapat melihat Allah SWT di dalam syurga
- Berpuasa 15 hari : diberi pahala seperti berpuasa seratus ribu tahun
- Berpuasa 14 hari : diberi pahala seperti berpuasa sepuluh ribu tahun
- Berpuasa 13 hari : diberi pahala seperti berpuasa tiga ribu tahun
- Berpuasa 10 hari : akan diberi dua sayap untuk terbang seperti kilat di atas Siratal Mustaqim
- Berpuasa 9 hari : tidak ditolak untuk masuk syurga
- Berpuasa 8 hari : akan dibukakan lapan pintu syurga pada hari kiamat
- Berpuasa 7 hari : akan ditutupkan tujuh pintu neraka pada hari kiamat
- Berpuasa 6 hari : akan dikeluarkan dari kubur dengan muka yang bercahaya
- Berpuasa 5 hari : akan terhindar dari seksa kubur
- Berpuasa 4 hari : akan dijauhkan dari bala bencana
- Berpuasa 3 hari : akan dibina benteng penghalang dari api neraka
- Berpuasa 2 hari : akan dilipat gandakan pahala amal ibadah
- Berpuasa 1 hari : akan diberi pahala seperti berpuasa 40 tahun.
- Berpuasa 1 hari pada hari peringatan Israk dan Mikraj (27 Rejab) akan diberi pahala seperti berpuasa 60 bulan dan berpuasa seluruhnya pada bulan Rejab akan diampuni oleh Allah SWT semua dosa yang telah berlalu, dipelihara imannya dan terlepas dari dahaga pada hari kiamat.
To be continued..
No comments:
Post a Comment