Salam. Artikel ni saya jumpa dalam majalah mami & baby keluaran Februari 2010. Nak share dengan anda semua..selain memudahkan saya gak wat rujukan. Kalau still dlm majalah susah skit nak rujuk..dah byk sgt majalah..tak tau plak duduk kt mane satu majalah kan..
Semasa hamil, perubahan paras hormon di kalangan wanita adalah sangat ketara. Kebanyakan kaum lelaki sukar untuk memahami sepenuhnya apa yang menyebabkan perubahan yang berlaku iaitu daripada perasaan yang tidak menentu hingga ke sembelit, banyk tidur dan mengidam makanan. Sebenarnya, penyumbang utama kepada perubahan2 yg berlaku adalah kesan pelbagai hormon. Perubahan hormon inilah yang membolehkan wanita mengandungkan bayi selama sembilan bulan dan membantunya membesar.
1) Progesteron
Progesteron terdapat dalam paras yang agndah pada peringkat pertama kitaran haid wanita. Ia dihasilkan oleh sel-sel dalam ovari yang dipanggil "sel-sel granulosa" yang mengelilingi folikel kecil yang akan matang menjadi telur-telur yang subur.
Selepas pengovulan, "badan kuning" (korpos luteum) yang membebaskan telur matang ke dalam tiub fallopio akan mula merembeskan progesteron dalam paras yang tinggi daripada sel-sel granulosa yang terdapat di dalamnya. Hormon ini merangsang pertumbuhan saluran darah yang dibekalkan kpd lapisan dinding uterus (endometrium). Ia juga menyebabkan pengembangan kelenjar2 kecil dalam endometrium yang menghasilkan bendalir (bendalir uterus) yang digunakan untuk menyuburkan sperma dan embrio yang akan menuju ke uterus. Kelenjar-kelenjar kecil ini dihasilkan oleh hormon estrogen dan progesteron pula mengambil alih tugas untuk mematangkannya menjadi alat pemberi makan atau "feeding structures".
Penghasilan progesteron biasanya akan menurun lebih kurang 10 hari selepas pengovulan. Pengurangan hormon yang berlaku secara tiba-tiba inilah yang mencetuskan permulaan haid disebabkan oleh kekurangan bekalan oksigen daripada saluran darah yang pertumbuhannya sebelum ini digalakkan oleh hormon progesteron.
Walau bagaimanapun, sekiranya telur yang keluar disenyawakan dan berjaya untuk melekat pada dinding uterus, maka ketika itu hormon b-HCG akan dibebaskan daripada plasenta yang sedang berkembang, yang memberi isyarat kepada "badan kuning" untuk terus mengeluarkan kedua-dua progesteron dan estrogen. Seterusnya, ini akan mencegah permulaan kitaran haid dan terus menghentikan telur-telur dari dibebaskan.
Ovari akan terus mengeluarkan progesteron (dan estrogen) dalam tempoh lapan hingga sembilan minggu pertama sehingga plasenta mula mengurangkan jumlah b-HCG yang dirembeskan, yang merupakan satu isyarat kepada "badan kuning" bahawa ia berkeupayaan mengeluarkan hormon-hormon ini dengan sendirinya dan memerlukan bantuan yang sedikit.
Peranan Progesteron
Plasenta akan terus menghasilkan kedua-dua progesteron dan estrogen untuk tempoh kehamilan dan parasnya semakin meningkat sehingga sejurus sebelum kelahiran.
Semasa kehamilan, progesteron diperlukan untuk perkara berikut, (kebanyakannya berhubungkait dengan estrogen):
- Membuatkan endometrium menghasilkan dan merembeskan bendalir selepas disediakan oleh estrogen.
- Memelihara fungsi-fungsi plasenta dan melawan sel-sel berdekatan dengan rahim yang tidak diperlukan yang boleh menyebabkan kerosakn kepada plasenta atau janin.
- Mengekalkan ketebalan endometrium.
- Menghentikan uterus daripada gerakan spontan.
- Merangsang pertumbuhan tisu buah dada.
- Mencegah laktasi sehingga selepas kelahiran (dengan estrogen).
- Menguatkan penyumbat mukus yang menutup serviks untuk mencegah jangkitan.
- Menguatkan dinding pelvis bagi persediaan ketika hendak bersalin.
- Menghentikan uterus daripada mengecut (dengan ini bayi dapat dikekalkan pada kedudukannya).
Di akhir kehamilan, paras progesteron yang dirembeskan pleh plasenta merosot. Tindakan inilah yang merangsang permulaan pengecutan yang mengakibatkan kelahiran.
Kesan peningkatan paras progesteron ke atas wanita merangkumi mana-mana atau kesemua perkara berikut :
- Sembelit
- Pedih ulu hati
- Hidung berhingus dan gatal
- Masalah-masalah penglihatan (kabur atau pening)
- Meningkatkan risiko jangkitan buah pinggang.
Paras minimum lebih kurang 10mg/ml diperlukan bagi mengekalkan kehamilan semasa peringkat awal. Sisebabkan ini doktor boleh mengukur paras progesteron dalam darah bagi membantu dalam diagnosis kehamilan luar biasa seperti kehamilan ektopi.
Suplemen progesteron semula jadi kadang-kadang diberikan sebagai satu rawatan kesuburan atau bagi membantu dalam mengurangkan risiko keguguran. Ia didapati dalam bentuk krim yang boleh digosok kepada abdomen dan paha ataupun ia terdapat dalam bentuk supositori faraj atau suntikan (pil-pil tidak berapa berkesan).
2) Estrogen
Estrogen adalah nama yang diberi kepada satu keluarga hormon ovari yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Semasa kitaran haid wanita, pengeluaran estrogen dikawal oleh hormon LH (Leutenising Hormon) secara tidak langsung dan secara langsung. "Badan Kuning" (korpus luteum) secara langsung dirangsang oleh LH untuk menghasilkan estrogen, manakala sebelum pengovulan, sel-sel granulosa folikel itu dirangsang untuk mengeluarkan estrogen melalui satu enzim dipanggil aromatase.
Seperti progesteron, estrogen dihasilkan oleh plasenta sepanjang tempoh kehamilan dan paras itu meningkat terus menerus sehingga kelahiran.
Setiap hormon memainkan peranan yang amat penting dan kompleks semasa kehamilan dan kebanyakannya berinteraksi dengan satu sama lain bagi merangsang pelbagai proses. Begitu juga dengan estrogen. Satu daripada peranan estrogen semasa kehamilan adalah untuk mengawal atur pengeluaran progesteron sepanjang tempoh kehamilan. Oleh kerana estrogen dihasilkan oleh plasenta, maka pengeluaran progesteron akan dirangsang dan dikawal atur.
Selain daripada itu, estrogen memainkan peranan yang amat penting dalam perkembangan janin. Tanpa estrogen, paru-paru, buah pinggang, hati, kelenjar-kelenjar adrenal dan organ-organ lain tidak akan menjadi matang. Sebenarnya plasenta sendiri tidak akan membesar dan berfungsi dengan betul jika tidak kerana estrogen.
Senarai berikut menunjukkan tugas-tugas lain yang dilakukan oleh estrogen:
- Mencetuskan pematangan organ-organ pembiakan
- Membantu dalam perkembangan ciri-ciri seksual
- Membantu dalam proses laktasi
- Mengawal kepadatan tulang dalam janin
- Memelihara endometrium dalam tempoh kehamilan
- Menggalakkan aliran darah dalam uterus
- Memelihara, mengawal atur dan mencetuskan pengeluaran hormon-hormon lain
- Melindungi bayi-bayi perempuan yang belum lahir daripada kesan-kesan androgen dalam sistem ibu. (Androgen adalah bahan yang memberi kesan kelakian).
Kesan luaran utama peningkatan estrogen kepada wanita semasa kehamilan adalah ruam atau tompok-tompok merah pada kulit. Kesan ini yang sering kali digambarkan sebagai 'seri' kehamilan.
3) Somatomammotropin korionik manusia atau Laktogen Plasenta Manusia
Hormon ini dikawal atur oleh estrogen dan dihasilkan dalam plasenta. Ia memainkan peranan dalam perkembangan janin dan membantu buah dada membentuk kelenjar-kelenjar yang akan diperlukan untuk penyususan. Ia juga mengurangkan paras glukosa yang diambil oleh ibu. Paras itu akan meningkat terus-menerus daripada 3 minggu kandungan hingga ke satu tahap di bulan akhir kehamilan.
4) Kalsitonin
Hormon yang berasaskan protein digunakan untuk mengawal pertumbuhan tulang dan menghentikan kalsium daripada dipindah daripada tulang kepada sistem darah.
5) Tiroksin (T4 & T3)
Ini diperlukan untuk perkembangan sistem saraf pusat. Ia juga menambahkan penggunaan oksigen dan membentuk keupayaan janin untuk memetabolisme protein dan karbohidrat. Selain daripada itu, ia berinteraksi dengan hormon pertumbuhan untuk mengawal atur dan merangsang pertumbuhan bayi.
6) Insulin
Membantu bayi untuk menyimpan makanan dalam badannya dan untuk mengawal atur paras glukosa.
7) Relaksin
Menggalakkan otot-otot serviks dan pelvis untuk kendur, dengan ini dapat membantu semasa hendak bersalin dan semasa kelahiran.
8) Oksitosin
Hormon ini dibebaskan sebagai tindak balas terhadap penarikan serviks atau rangsangan kepada puting buah dada. Ia mengakibatkan pengecutan uterus supaya kelahiran berlaku dengan cepat. Ia juga merangsang kelenjar-kelenjar susu untuk menghasilkan susu. Paras progesteron yang tinggi akan menghalang kesan kesan oksitosin. Hanya apabila paras progesteron menurun disaat kelahiran, barulah kesan hormon ini dapat dirasai.
9) Eritropoietin
Dihasilkan dalam buah pinggang, hormon ini menjaga sumsum tulang dan pengeluaran sel darah merah.
10) Kortisol
Membantu bayi menggunakan pelbagai makanan dengan betul di dalam badan.
11) Prolaktin
Hormon ini dihasilkan oleh buah pinggang bayi dan pengeluarannya berkurangan kira-kira satu minggu selepas kelahiran. Paras itu kekal tinggi dalam darah ibu untuk kira-kira 2 minggu selepas kelahiran. Prolaktin adalah penting untuk pengawalan metabolisme ibu semasa kehamilan dan membantu dalam rangsangan pertumbuhan sel sistem imun. Ia membantu buah dada dalam persediaan untuk penyusuan dan menggalakkan pertumbuhan bayi.
No comments:
Post a Comment