Check it out!

Thursday, August 19, 2010

16 September : Cuti Umum Hari Malaysia

Beberapa hari yang lalu ada terdengar kat berita Hot FM pasal cuti umum Hari Malaysia. Malangnya..tak berapa nak dengar plak bila start cuti umum tu. Tahun lepas takde plak. Start tahun ni ke tahun depan? Seronok gak kalau betul cuti umum.. belek punya belek kat kalender..16 september tu jatuh pada hari khamis..lepas raya.. wow! bleh jimat cuti rehat 1 ari ni..hehe.. maklumla nak cuti strait seminggu lepas raya..

Pertanyaan yang berlegar di kepala..cuti tu start tahun ni ke tahun depan? Ehm.. try la search kat internet..harapan sedikit hampa bila ada petikan menyatakan cuti umum tu start tahun depan..keciwa sungguh!

Tapi kan hari ni..seronok balik sebab memang betul cuti umum tu start tahun depan..tapi dari tarikh berita tahun 2009. Hehehe..maknanya start tahun ni la cuti umum Hari Malaysia tu.. Wah..gumbiranya hati.. Tapi rasanya..dah ramai orang tahu pasal cuti ni..i je yang ketinggalan zaman..huhuhu..

Wat mereka yang ketinggalan zaman macam i..bleh la baca petikan berita di bawah untuk kesahihan berita ini..sebelum melombat kegirangan! hehe..

**********

Hari Malaysia 16 September diisytihar cuti umum
Tuesday, October 20th, 2009 at 11:06 am

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana Menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di keduadua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan social seperti di Semenanjung.

“Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung,” katanya.

Mengenai gagasan 1Malaysia, Najib berkata tujuan utama konsep yang menjadi teras pentadbiran beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara adalah untuk terus memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, Perdana Menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus dipertingkat selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

“Dengan adanya perpaduan nasional, negara kita akan menjadi lebih stabil, kukuh dan aman. Negara yang aman damai pula akan menjadi asas terpenting bagi mencapai semua matlamat Wawasan 2020 yakni menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam kesemua aspek,” katanya.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas.

“Dan ingatkan bahawa harga keamanan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporakperandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identity yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsure lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.
“Kalau kita sorot kembali asas pembinaan negara Malaysia, dari awal kita pilih jalan integrasi dan bukan asimilasi seperti negara-negara yang disebut oleh Yang Berhormat (Putatan) tadi seperti Indonesia, Filipina dan Thailand yang memilih jalan asimilasi. Ini menunjukkan pimpinan kita dari awal lagi bersikap amat terbuka.

“Kita lihat dari mula itu jalan terbaik iaitu apabila kita dapat menampilkan satu kekuatan berdasarkan perpaduan dan kepelbagaian…tiada negara lain seperti Malaysia,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya.

“Ia perjalanan yang lama, tidak mungkin sampai ke penghujung dalam masa sepenggal dua penggal. Kita anggap ia satu kesinambungan, dan insya-Allah apabila kita lakukan satu gagasan 1Malaysia ada nilai yang mendasari gagasan ini dan ia menyokong Wawasan 2020,” katanya.

Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasardasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020. — Bernama

No comments: