" Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) seseorang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai berbuah seratus biji. Allah melipat gandakan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha luas (pemberianNya), lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 261)
Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam Islam kerana ia melambangkan kesyukuran kepada Allah, pelaksanaan perintah Allah dan mempererat hubungan persaudaraan serta silaturrahim di antara sesama muslim. Dengan demikian, sedekah adalah satu cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah dan di antara hamba sesama hamba.
"Hai orang-orang yang beriman...! Nafkahkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami kurniakan kepadamu, sebelum datang hari yang tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab dan tiada lagi syafaat padanya. Dan orang-orang kafir itu adalah golongan yang zalim." (Al-Baqarah : 254)
Firman Allah di atas mengandungi pengertian bahawa sebagai orang yang beriman, hendaklah kita menafkahkan sebahagian kurnia Allah yang telah kita terima untuk keperluan orang lain yang memerlukan atau untuk kepentingandan kesejahteran umum yang diredhai oleh Allah SWT. Memberikan sebahagian harta benda untuk keperluan-keperluan tersebutdalam Islam dikenali sebagai infaq dan yang lebih dikenali di kalangan masyarakat dengan sebutan sedekah.
Bersedekah Mendatangkan Berkah
Selain daripada menyuburkan harta, sedekah juga mendatangkan berkah kepada orang yang melakukannya. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, ketika pulang dari rumah Rasulullah SAW, Ali bin Abi Thalib menemui isterinya, Fatimah Az-Zahra', puteri Rasulullah SAW.
" Wahai wanita mulia..! Adakah kamu mempunyai makanan untuk suamimu ketika ini..?, tanyanya.
" Demi Allah, wahai suamiku..! Aku tidak mempunyai sesuatu untuk dimakan..!", jawab Fatimah. " Tapi aku ada mempunyai wang sebanyak enam dirham..!", katanya.
" Dari mana engkau memperolehi wang itu..?", tanya Ali.
" Salman yang memberikan kepadaku, sebagai upah memintal tali..!", jawab Fatimah. " Wang ini hendak kubelikan makanan untuk Hasan dan Husain..!", tambahnya.
" Kalau begitu, biarlah aku sendiri yang membelinya, berikanlah wang itu kepadaku...!, pinta Ali.
Kemudian Fatimah menyerahkan wang itu kepada suaminya dan Ali terus pergi membeli makanan. Ketika dalam perjalanan beliau bertemu dengan seorang lelaki yang mengatakan : " Adakah sesiapa yang mahu meminjami Allah Yang Maha Pengasih dan menepati janji..?", ujar lelaki itu.
Mendengar ucapan lelaki itu, Ali teringat bahawa di dalam sakunya ada wang enam dirham. Maka tanpa berfikir panjang lagi, beliau memberikan semua wang itu kepada lelaki tersebut. Kemudian beliau kembali ke rumahnya dengan tangan kosong.
Fatimah menangis melihat kedatangan suaminya dengan tangan hampa itu, sedangkan kedua-dua putera mereka sangat memerlukan makanan.
" Wahai wanita mulia, mengapa engkau menangis..?", tanya Ali dengan lemah lembut.
" Wahai Ali..! Aku sedih kerana engkau pulang tanpa membawa sesuatu untuk anak-anak kita..!", jawab Fatimah sambil menghapus air mata di pipinya.
" Wang yang aku bawa tadi, telah aku pinjamkan kepada Allah..!", jelas Ali.
" Alhamdulillah..! Aku sungguh gembira mendengar penjelasanmu, wahai suamiku..!, jawab Fatimah.
Tidak lama kemudian, Ali keluar rumah hendak menemui Rasulullah SAW. Dalam perjalanan, beliau bertemu dengan seorang Badwi yang menuntun seekor unta.
" Wahai Abu Hasan..! Belilah untaku ini..!, ucap Badwi itu.
" Aku tidak mempunyai wang untuk membayarnya..!", jawab Ali
" Engkau boleh membayarnya pada bila-bila masa..!", jelas Badwi itu.
" Kalau begitu, baiklah..! Tapi berapa harganya..?", tanya Ali
" Tidak mahal..! Hanya seratus dirham saja..!", jelas Badwi itu lagi.
" Kalau begitu, aku setuju untuk membelinya..!", jawab Ali.
Kemudian pemilik unta itu menyerahkan untanya kepada Ali, dan Ali meneruskan perjalanan sambil menuntun (memimpin) unta yang baru dibelinya itu.
Baru beberapa langkah beliau berjalan, beliau bertemu pula dengan seorang Badwi, dan lelaki Badwi itu menghampiri beliau.
" Wahai Abu Hasan..! Apakah engkau hendak menjual unta ini..?", tanya Badwi itu.
" Entahlah..! Unta ini baru saja aku beli dengan harga 100 dirham, dan belum lagi aku bayar wangnya kepada pemiliknya..!", jelas Ali dengan jujurnya.
" Kalu begitu, setujukah engkau jika aku beli untamu dengan harga 300 dirham..?", tanya Badwi itu.
Ali bersetuju dengan tawaran harga yang diberikan oleh lelaki Badwi itu. Lalu berlakulah jual beli di antara mereka. Ali menyerahkan unta itu, dan Badwi itu membayarnya dengan wang tunai sebanyak 300 dirham kepada Ali.
Selepas itu, Ali segera pulang ke rumahnya dengan perasaan gembira.
" Apakah yang engkau bawa, wahai Abu Hasan..?", tanya Fatimah.
" Wahai puteri Rasulullah..! Aku membeli seekor unta dengan harga 100 dirham secara berhutang, kemudian aku menjualnya 300 dirham dengan cara tunai..!", jelas Ali.
" Alhamdulillah..!". jawab Fatimah.
Kemudian Ali meneruskan hasratnya hendak menemui Rasulullah SAW di Masjidil Haram. Rasulullah SAW tersenyum melihat Ali memasuki masjid dengan wajah gembira.
Selepas memberi salam, Ali duduk di samping Rasulullah SAW.
" Wahai Abu Hasan..! Ceritakanlah apa yang berlaku kepada dirimu sebentar tadi..!", ujar Rasulullah SAW sambil menoleh kepada menantu dan sahabatnya itu.
" Lebih baik engkau saja yang bercerita, wahai Rasulullah..!", jawab Ali.
" Wahai Abu Hasan..!", Tegur Rasulullah SAW. " Tahukah engkau siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli untamu tadi..?", tanya baginda.
" Hanya Allah dan RasulNya sajalah yang tahu..!", jawab Ali.
" Berbahagialah engkau, wahai Abu Hasan..! Engkau telah meminjamkan kepada Allah sebanyak 6 dirham. Maka Allah menggantikannya dengan 300 dirham. Setiap 1 dirham diganti dengan 50 dirham..!", jelas Rasulullah.
" Tapi siapakah Badwi itu, ya Rasulullah..? Bagaimana dengan hutangku yang 100 dirham itu..?", tanya Ali bersungguh-sungguh.
" Badwi yang pertama adalah Jibril, manakala Badwi yang kedua ialah Mikail. Adapun hutang yang engkau sebutkan itu telah diberikan oleh Allah kepadamu..!", tegas Rasulullah SAW.
Demikianlah Allah telah membalas satu kebaikan dengan 50 kali ganda, kepada hambaNya yang bersedekah semata-mata kerana mengharap keredhaanNya.
"Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambahkan nikmatKu kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), sesungguhnya azabKu sangat pedih." (Surah Ibrahim : 7)
Sumber : Amalan membersihkan jiwa dan Harta, Akmal Hj. Mhd. Zain : Darul Nu'man
No comments:
Post a Comment