Check it out!

Wednesday, July 21, 2010

Anak Nakal - Bagaimana menanganinya

Anak yang soleh dan solehah, taat kepada ibu bapa.. penyejuk di mata..penawar di hati.. tentunya menjadi dambaan setiap ibu bapa. Manakala anak yang menunjukkan sikap nakal pastinya memeningkan kepala. Kadang-kadang bleh hilang sabar dibuatnya. Anak sulung saya, Umar Rayyan..yang kini berusia 2 thn 1 bulan..dah mula menunjukkan kenakalannya. Walaupun saya tahu yang sikap ini adalah normal bagi kanak-kanak seusianya..tapi risau juga kalau sikap ini bleh berlarutan sampai besar. Tempoh usia 2-7 tahun merupakan tempoh paling penting dalam mendidik anak-anak dan membentuk keperibadiannya; kerana kepastian berjaya atau gagalnya si anak di dalam hidup ini; juga keberanian atau pengecutnya, kuat atau lemahnya adalah bergantung kepada peringkat usia ini.



Bila berhadapan dengan kenakalannya.. membuatkan saya check balik cara saya didik dia. Muhasabah balik. Memang setiap kali dia buat salah, saya dan husband akan bagi dia hukuman pada dia. Tapi seolah-olah hukuman itu tidak memberi kesan kepadanya.. dan dia akan mengulangi perbuatan tersebut.. sedih memang sedih bila anak tak dengar kata.. tension pun ada. Bila dia nangis kena marah atau kena hukuman yang diberi.. pilu rasa hati dengar tangisannya.. tambah lagi dia akan hulur tangan minta maaf sambil cakap.. " dedi/mami..alam..alam.." (daddy/mummy..salam.. salam.. -sambil nangis). Tapi lepas tu buat gak lagi..walaupun dah minta maaf. Mungkin persoalan macamana nak tangani anak nakal ni bukan saya je tertanya-tanya. Saya rasa ramai ibu bapa diluar sana pun macam saya gak.. Search punya search.. saya jumpa 1 artikel yang bertajuk '1 cara untuk menangani anak yang nakal' tulisan Ummu Solihin. Saya suka artikel ni. Kat sini saya copy pastekan tulisan beliau untuk kita kongsi sama-sama.

Berikut adalah hasil tulisan beliau tanpa pengauditan..hehe..sebab saya suka gaya penulisannya..tak nak edit2..takut ada cacat cela plak nanti.. selamat membaca!

-----------------------------------

Pada hujung minggu yang lalu, saya telah bertemu dengan lebih daripada 10 orang kanak-kanak berumur di bawah 6 tahun, pada waktu yang berbeza, dan di tempat yang berbeza. Saya bermain dengan mereka, berbual dengan mereka, membaca dengan mereka, kerana saya sayang mereka dan ingin belajar sesuatu daripada mereka. Maha besar kuasa Allah swt yang telah menjadikan mereka sebagai asbab untuk saya mendapatkan pelbagai ilmu dan idea baru, terutamanya dalam ilmu pendidikan anak-anak. Allahuakbar

Daripada pemerhatian saya yang masih cetek ilmu ini, saya dapati bahawa sifat anak-anak pada usia bawah 6 tahun sangat-sangat dipengaruhi oleh apa yang dilihat dan didengar pada setiap hari. Ini bermaksud, seorang anak itu boleh menjadi baik kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang baik yang dijumpainya pada setiap hari. Begitu juga sebaliknya. Seorang anak itu boleh menjadi nakal kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang ‘kurang’ baik yang dijumpainya pada setiap hari.

Oleh itu, satu cara untuk menangani anak-anak yang nakal ialah dengan menjauhkan anak ini daripada individu-individu yang memberikan pengaruh negatif kepada sifatnya. Semakin lama anak nakal ini bersama dengan individu tersebut, maka semakin banyaklah sifat negatif orang itu yang akan diserap ke dalam dirinya. Dan satu berita yang pernah saya dengar daripada seorang alim, setiap sifat yang terbentuk dalam diri anak-anak pada usia 0-6 tahun akan dibawa seumur hidupnya. Fakta ini bukan sahaja kajian daripada Barat. Malah ia turut diakui dalam Islam. Sebab itu, pendidikan yang betul di peringkat umur ini sangat penting dan tidak harus diabaikan sama sekali.

Jadi, apakah tindakan yang harus dilakukan?

Langkah #1:

Periksa siapakah orang-orang yang biasanya dijumpai oleh anak-anak ini pada setiap hari. Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah tersebut (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh), adakah terdapat orang-orang yang membawa unsur negatif ini. Jika ada, seboleh-bolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik, daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

Langkah #2:

Ubah cara pendekatan anda dengan anak-anak ini. Asasnya, anak-anak banyak sekali mencontohi dan meniru sifat ibubapa. Sekiranya ibubapa telah memberikan sifat negatif (secara sedar atau pun tidak), maka ibubapa tidak ada pilihan lain melainkan membuat sedikit inisiatif untuk BERUBAH. Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras. Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibubapa memarahi mereka, maka semakin kuat lah pemberontakan mereka. Anak-anak pada usia ini tidak “makan” dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.
Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak, dakap anak, peluk anak, cium anak, sayang anak, dudukkan anak di atas pangkuan, dan berilah nasihat secara HIKMAH. Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat tadi adalah salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.
Takutkan mereka dengan azab Allah dan gembirakan mereka dengan ganjaran yang Allah sediakan untuk anak-anak yang soleh. InsyaAllah, bila mendengar cerita-cerita syurga, anak-anak akan lebih teruja untuk melakukan lebih banyak kebaikan.
Apabila mereka lakukan kebaikan, walaupun tidak sempurna, (contohnya: anak mahu lap air yang tumpah, tetapi cara lap nya menyebabkan air semakin berselerak), ibubapa MESTI tunjukkan penghargaan. Apabila pujian diberikan, pasti anak akan gembira untuk melakukan perkara yang baik lagi di masa akan datang.

Ibubapa bukan sahaja perlu mendekati anak-anak sewaktu mereka melakukan kesalahan sahaja, sebaliknya, carilah peluang untuk membuat pelbagai aktiviti bersama anak-anak. Seperti bermain, membaca, mewarna dan sebagainya. Anak-anak pada usia ini sangat suka apabila ada orang dewasa menyertai aktiviti mereka, kerana mereka mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk belajar apa sahaja perkara baru daripada orang dewasa.

Apabila ibubapa rapat dengan anak-anak, maka kerja untuk mendidik akhlak dan sifat yang terpuji di dalam diri anak-anak menjadi lebih mudah. Anak pada usia ini akan taat dan hormat kepada orang yang banyak menunjukkan keprihatinan kepada mereka.
Untuk menghasilkan sifat yang terpuji dalam diri anak-anak, ibubapa perlu sentiasa menunjukkan sifat yang terpuji di hadapan mereka.

Jika mahu anak mematuhi perintah Allah, ibubapa perlu patuhi perintah Allah terlebih dahulu. Jika mahu anak taat kepada ibubapa, ibu perlu taat pada perintah bapa dahulu.
Jika mahu anak pandai ucap terima kasih, ibu dan bapa perlu selalu ucap terima kasih kepada mereka dan sesiapa sahaja. Jika mahu anak mengeluarkan kata-kata yang sopan, ibu dan bapa perlu berkata perkataan yang baik sahaja di hadapan mereka atau sesiapa sahaja. Jika mahu anak-anak meminta maaf selepas melakukan kesalahan, ibu dan bapa perlu selalu saling meminta maaf sesama mereka dan tidak salah jika ibubapa meminta maaf kepada anak-anak juga.

Bila ibubapa mula menunjukkan sifat yang baik, sedikit demi sedikit anak akan menirunya dan sifatnya akan mula berubah. Kalau bukan hari ini, mungkin esok.Kalau bukan esok, mungkin lusa.Dan kalau bukan lusa, mungkin minggu depan atau bulan depan atau tahun depan. Yang penting, terus lakukannya dengan istiqamah dan terus panjatkan doa kepada Allah swt dengan keyakinan yang kuat bahawa suatu hari nanti pasti anak ku akan berubah.

Yakinlah wahai ibubapa, setiap ciuman yang diberikan kepada anak dan sekelumit kesabaran dalam mendidik mereka, mempunyai NILAI yang sangat besar di sisi Allah swt.
Semoga Berjaya!

--------------------------------------------------------

Saya setuju dengan tulisan ini. Insaf rasanya.. insyaallah saya nak cuba aplikasikan. Selain tu bleh gak baca tips lain kat sini.

No comments: